Monday, July 16, 2018

ANDA ADALAH APA YANG ANDA FIKIRKAN!


Kalau anda fikir boleh, anda pasti boleh!
Itulah ayat yang selalu kita dengar daripada para motivator.

Bagitu juga dengan perkataan dan tindakan yang kita lakukan. Ia seringkali menyerlahkan apa yang ada di dalam fikiran kita.

Termasuk juga pandangan dan penilaian kita terhadap seseorang. Selalunya akan dipengaruhi oleh persepsi yang telah sedia ada di dalam fikiran kita.

Sebagai contoh, pandangan Firaun terhadap Nabi Musa ‘alaihissalam sebagaimana diceritakan di dalam ayat berikut. Allah berfirman maksudnya:

“Nabi Musa berkata kepada mereka (ahli sihir): "Campakkanlah dahulu apa yang kamu hendak campakkan".
Lalu mereka mencampakkan tali-tali dan tongkat-tongkat mereka sambil berkata: "Demi kekuasaan Firaun, sesungguhnya sudah tetap kamilah orang-orang yang akan menang".
Kemudian Nabi Musa pula mencampakkan tongkatnya, tiba-tiba tongkatnya itu menelan apa yang mereka pura-pura adakan (dengan sihir mereka).
Maka (kemenangan Nabi Musa menjadikan) ahli-ahli sihir itu segera merebahkan diri: sujud,
Sambil berkata: "Kami beriman kepada Tuhan sekalian alam,
"Tuhan Nabi Musa dan Nabi Harun".
Firaun berkata: " Patutkah kamu beriman kepadanya sebelum aku izinkan kamu? Sesungguhnya dia lah (Musa) ketua kamu yang mengajar kamu ilmu sihir; oleh itu kamu akan mengetahui kelak (akibatnya). Demi sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan bersilang kemudian aku akan memalang kamu semuanya".

Kita lihat walaupun Nabi Musa menunjukkan mukjizat yang begitu jelas, namun Firaun tetap tidak percaya. Sebaliknya menuduh pula bahawa Nabi Musalah yang mengajar ilmu sihir kepada ahli-ahli sihir itu. Dia tetap tidak berganjak daripada anggapan awalnya bahawa Nabi Musa adalah ahli sihir yang handal.

Sebaliknya ahli-ahli sihir pula terus beriman kerana mereka yang mendalami ilmu sihir dapat membezakan antara sihir dengan mukjizat. Sehebat manapun ilmu sihir yang mereka pelajari dan kuasai tidak mungkin dapat menandingi apa yang dilakukan oleh Nabi Musa. Apa yang dilakukan oleh Nabi Musa bukan sihir. Tetapi mukjizat yang tidak mampu ditiru dan dipelajari. Ia datang dari Yang Maha Esa lagi Maha Kuasa.

Sekadar untuk renungan dan muhasabah diri….


No comments:

Post a Comment