Friday, December 14, 2018

PENGHIJRAHAN MP UMNO / BN


Bersempena dengan tindakan beberapa orang MP UMNO berhijrah meninggalkan parti itu, saya ingin mengingatkan beberapa perkara yang bagi saya amat penting.

Pertama – hijrah bukan sekadar meninggalkan wadah lama kepada wadah yang baharu. Hijrah yang sebenar ialah meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah sebagaimana yang disebut di dalam sepotong hadis yang bermaksud: “Muhajir (orang yang berhijrah) itu ialah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah”. Riwayat al-Bukhari.
Maka pesanan saya, berhijrahlah dengan menghayati makna hijrah yang sebenarnya. Kalau ada tabiat atau budaya tidak baik dan bercanggah dengan ajaran Allah yang diamalkan di dalam UMNO/BN tolong jangan dibawa ke dalam mana-mana parti yang akan anda sertai nanti. Kalau tidak, tidak ada makna hijrah. Tinggal wadah lama yang hampir tenggelam, bertenggek di wadah baru dengan membawa misi yang sama.

Rakyat telah berusaha bersungguh-sungguh menumbangkan UMNO/BN kerana mahukan perubahan berlaku dalam negara ini. Maka, tolong fahami dan hargai hasrat kami.


Kedua – ikhlaskan niat hijrah kerana Allah, bukan kerana dunia. Jika niat hijrah kerana dunia, yang anda dapat hanya dunia dan itupun belum tentu dapat. Tetapi jika niat hijrah kerana Allah, Dia janji keuntungan dunia juga akhirat. Renungi firmanNya yang bermaksud:
“Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Ketiga – berhijrah kerana prinsip, bukan kerana pemimpin. Pemimpin datang dan pergi. Tetapi prinsip yang benar akan terus kekal tegak berdiri. Abu Bakar r.a. mengungkapkan kata-katanya yang masyhur ketika Umar bin al-Khattab r.a. tidak dapat menerima berita kewafatan Nabi s.a.w. yang amat disayangi: “Ketahuilah bahawa sesiapa yang menyembah Muhammad s.a.w. maka Muhammad telah mati. Dan sesiapa yang menyembah Allah, maka sesungguhnya Allah tetap hidup, tidak mati!”

Keempat – MP, statusnya adalah pemimpin. Sekurang-kurangnya pemimpin kepada rakyat di kawasan yang telah mengangkatnya sebagai MP. Seorang pemimpin, setiap perancangan, setiap keputusan, setiap langkah yang diambil mestilah di atas dasar kemaslahatan, kepentingan, kebaikan dan keuntungan kepada rakyat. Maslahat rakyat yang diambil kira mula dan akhir. Imam Syafie berkata: “Kedudukan imam (ketua) di sisi rakyat adalah sama dengan kedudukan penjaga anak yatim di sisi anak yatim yang dijaganya itu”. Terdapat satu kaedah fiqh yang bermaksud “keputusan dan tindakan imam yang ada kaitan dengan rakyat hendaklah di atas dasar kemaslahatan rakyat”.
Oleh itu, di manapun anda berada; di dalam UMNO atau di luarnya jangan sekali-kali abaikan rakyat yang telah menyerahkan amanah mereka kepada anda. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda maksudnya: “Sesiapa yang diberi tanggungjawab mengendalikan urusan muslimin dalam sesuatu perkara, kemudian dia tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk (kebaikan) mereka, dan tidak menasihati untuk (kebaikan) mereka, tidak akan masuk syurga bersama dengan mereka (muslimin itu).” Riwayat Muslim.
Di dalam hadis lain, Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Tidak ada seorang hamba (manusia) yang Allah amanahkannya menjaga rakyat, kemudian dia mati dalan keadaan dia menipu rakyatnya, (tidak ada hamba yang berbuat demikian) melainkan Allah haramkannya syurga!” Muttafaq ‘alaih.

Itulah secebis peringatan buat kita semua, khususnya mereka yang berhijrah dari satu wadah ke wadah yang baharu.


p.s. Mereka tak kenal saya dan tak akan baca status ini. Jadi, sesiapa yang kenal dan boleh sampaikan sangatlah dihargai. Jazakumullahu khaira.

No comments:

Post a Comment