Sunday, March 24, 2019

NABI YANG RAHMAH


Rahmah adalah antara sifat peribadi Nabi s.a.w. yang paling menonjol. Ini tidak menghairankan kerana Allah Ta’ala sendiri telah memilih dan mengutus baginda s.a.w. untuk membawa rahmah sebagaimana firmanNya yang bermaksud:

"Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (Al-Anbiaa’:107)

Ibn Kathir berkata, di dalam ayat di atas Allah Ta’ala mengkhabarkan bahawa Allah menjadikan Muhammad s.a.w. sebagai rahmat bagi seluruh alam. Ertinya Dia mengutuskannya sebagai rahmat bagi mereka semua. Maka sesiapa yang menerima rahmat ini dan mensyukuri ni’mat ini, bahagialah dia di dunia dan akhirat. Sesiapa yang menolaknya dan mengingkarinya rugilah dia di dunia dan akhirat.

Imam Muslim berkata di dalam kitab “Sahih”nya, daripada Abu Hurairah r.a. “Seseorang berkata kepada Rasulullah s.a.w. “Ya Rasulullah, berdoalah (agar kecelakaan menimpa) ke atas kaum musyrikian!”
Baginda s.a.w. menjawab: “Sesungguhnya aku tidak diutuskan sebagai pelaknat. Sebaliknya aku diutuskan sebagai rahmat.”
Di dalam riwayat lain, Baginda s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesungguhnya aku adalah rahmat yang membawa hidayat”.

Daripada Sa’eid bin Jubair, Ibn Abbas r.a. berkata maksud ayat 107 surah al-Anbiaa’: Sesiapa yang mengikutinya adalah baginya rahmat di dunia dan akhirat. Sesiapa yang tidak mengikutinya dimaafkan daripada bala bencana yang menimpa sekelian umat terdahulu seperti ditenggelami bumi dan dibaling dengan batu dari langit.”

Abu Hurairah r.a. berkata: Tufail bin Amru ad-Dawsi dan beberapa orang sahabatnya datang bertemu Nabi s.a.w.
Mereka mengadu kepada Rasulullah: “Ya Rasulullah, sesungguhnya qabilah Daws menolak dan enggan memeluk Islam. Maka berdoalah (agar kecelakaan menimpa) ke atas mereka!”
Lalu ada yang berkata: “Binasalah Daws!” (Ini kerana mereka menyangka Nabi s.a.w. akan mendoakan kecelakaan menimpa ke atas mereka).
Maka Rasulullah s.a.w. berdoa: “Ya Allah, berikanlah hidayah kepada Daws. Dan datangkanlah mereka!” Riwayat al-Bukhari (2937) dan Muslim (2524)

Tidak berapa lama selepas itu, Allah memberikan hidayah kepada mereka dan mereka datang sebagai muslimin.


Ya Allah, limpahkan ke dalam jiwa sifat rahmah dan masukkanlah kami ke dalam rombongan para pendakwah yang membawa rahmah.

No comments:

Post a Comment