Wednesday, May 29, 2019

I’TIKAF



Bulan Ramadhan kian berangkat pergi. Sebahagian insan sedang gigih berusaha mengejar lambaian terakhir bagi merebut pahala dan ganjaran yang tiada tara, menyusuli malam-malam yang terselit di celah-celahnya lailatul-qadar, malam-malam pembebasan dari api neraka, malam-malam I’tikaf mencari redha Yang Esa

I’tikaf adalah satu sunnah. Ia bermaksud duduk di dalam masjid kerana taat kepada Allah, memberikan tumpuan sepenuh hati kepada ibadah, sama ada malam atau siang, satu jam atau satu hari, atau satu malam, atau beberapa hari, atau beberapa malam. Ia adalah Sunnah sebagaimana firman Allah SWT: “dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di dalam masjid.” (Al-Baqarah 2:187)

Terdapat di dalam riwayat yang sahih bahawa Rasulullah s.a.w. beri’tikaf pada 10 terakhir Ramadhan. Pada tahun-tahun tertentu baginda tidak melakukannya kerana beberapa sebab. Baginda juga beri’tikaf pada 10 terawal daripada bulan Syawwal. Justeru, I’tikaf adalah Sunnah. Paling afdhal adalah di dalam bulan Ramadhan, lebih-lebih lagi pada 10 hari terakhir.

I’tikaf adalah Sunnah yang tidak dikaitkan dengan masa. Ia boleh dilakukan sepanjang masa. Namun tempatnya adalah di masjid yang didirikan padanya solat berjamaah. Yang afdhal adalah masjid yang didirikan padanya solat jumaat supaya orang yang beri’tikaf itu tidak perlu keluar untuk tunaikan solat jumaat apabila tiba waktunya.  Jika seseorang beri’tikaf di masjid yang tidak didirikan solat jumaat, tidak mengapa. Tetapi bila tiba waktu jumaat dia hendaklah keluar dari tempat dia beri’tikaf dan pergi menunaikan solat jumaat.

Orang yang beri’tikaf hendaklah berniat semata-mata kerana Allah, memberikan sepenuh tumpuan kepada ibadah dan mendampingi Allah SWT

I’tikaf ialah memutuskan hubungan dengan semua makhluk untuk berhubung dan berkhidmat hanya semata-mata kepada Allah. Ia menghabiskan sepenuh masa untuk beribadah, berzikir dan berdoa semata-mata.

Maksud I’tikaf ialah memberikan sepenuh tumpuan kepada ibadah: solat, tilawah al-Quran, istighfar, doa dan lain-lain amal kebaikan.
Az-Zuhri rahimahullah berkata: “hairan sungguh kaum muslimin! Mereka telah meninggalkan I’tikaf pada hal Rasulullah s.a.w. tidak meninggalkannya sejak baginda berhijrah ke Madinah sehinggalah baginda wafat.}

Sesungguhnya dalam ibadah terkandung rahsia dan hikmah yang banyak, termasuklah ibadah I’tikaf. Ini kerana I’tikaf itu berligar di sekitar penyucian hati. Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Ketahuilah bahawa di dalam jasad terdapat mudghah. Apabila ia baik, baiklah seluruh jasad. Dan apabila ia rosak, rosaklah seluruh tubuh. Ketahuilah bahawa ia adalah qalb.”
Yang paling banyak merosakkan qalb ialah perkara yang melekakan, kesibukan-kesibukan yang memalingkan dari mengadap Allah seperti makanan, minuman, persetubuhan, perbualan-perbualan kosong, tidur berlebihan, sahabat-sahabat yang tidak membantu kepada kebaikan dan lain-lain yang membuatkan hati lalai dari mengingati Allah. Di sinilah pentingnya peranan I’tikaf.

Oleh kerana banyaknya perkara yang membuatkan hati bercabang-cabang, yang merosakkan tumpuan kepada taat kepada Allah, Allah mensyari’atkan satu ibadah yang boleh mengawal hati daripada terheret ke arah perkara-perkara yang melalaikan. Itulah dia I’tikaf.

I’tikaf mengandungi rahsia yang besar. Iaitu mengawal seseorang hamba daripada sahabat yang tidak membawa kebaikan. Sesungguhnya sebahagian sahabat kadang-kadang melangkau batas kesederhanaan. Maka ia menjadi sebab berlaku kegemukan seperti makan berlebihan.

Beri’tikaf mengawal hati daripada mengeluarkan perkataan yang tidak berguna secara berlebihan kerana seseorang yang sedang beri’tikaf mengahadapkan dirinya kepada Allah semata-mata dengan solat, baca al-Quran, zikir, doa dan sebagainya.

I’tikaf mengawal diri dari banyak tidur kerana seseorang hamba itu beri’tikaf di masjid dengan tujuan untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada ibadah mendekatkan diri kepada Allah dengan pelbagai ibadah. Dia tidak datang dan duduk di masjid untuk tidur.

Tidak syak lagi bahawa kejayaan seseorang hamba membebaskan diri daripada sahabat yang tidak berguna, percakapan dan tidur yang berlebihan merupakan satu saham yang dapat membantu dalam mendorong hati ke arah menghadap Allah semata-mata dan mengawalnya dari perkara-perkara yang merosakkannya. Inilah dia peranan I’tikaf.


-       Biro Tarbiah IM

No comments:

Post a Comment