Tuesday, July 30, 2019

ADAKAH KITA SUDAH TERLAMBAT?


Seringkali lambat atau cepat dikiaskan dengan masa, dahulu atau kemudian. Namun kadang-kadang yang terkemudian dari segi masa dapat mengatasi orang yang mendahuluinya.

Sebagai contoh, Abu ad-Dardaa’ Uwaimir bin Zaid bin Qais al-Ansari al-khazraji r.a. merupakan orang terakhir dari kalangan Ansar yang memeluk Islam. Namun kedudukannya di kalangan para sahabat r.a. tetap tidak kurang hebatnya.

Kehebatan Abu ad-Dardaa’ diperakui oleh Rasulullah s.a.w.
Baginda berkata tentang Abu ad-Dardaa’: “Sebaik-baik pahlawan berkuda ialah Uwaimir (Abu ad-Dardaa’)”. Baginda juga mengiktiraf Abu ad-Dardaa’ sebagai “Hakim ummati” bermaksud “pujangga umatku”

Abu ad-Dardaa’ juga merupakan salah seorang daripada empat individu yang mengumpul al-Quran sepenuhnya pada zaman Nabi s.a.w. sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Anas bin Malik r.a. yang berkata: “Ketika Nabi s.a.w. wafat hanya empat orang yang mengumpul al-Quran sepenuhnya, iaitu Abu ad-Dardaa’, Mu’az bin Jabal, Zaid bin Tsabit dan Abu Zaid”.

Bagaimanakah Abu ad-Dardaa’ terbuka hati untuk memeluk Islam?
Beliau pada asalnya seorang yang menyembah berhala. Pada suatu hari Abdullah bin Rawwahah dan Muhammad bin Maslamah, sahabat baik Abu ad-Dardaa’ semasa jahiliah datang ke rumah Abu ad-Dardaa’ ketika beliau tiada di rumah. Mereka berdua memecahkan berhala yang disebah oleh Abu ad-Dardaa’.

Apabila Abu ad-Dardaa’ pulang, didapati berhalanya berserakan. Dia mengumpulkan serpihan-serpihan berhalanya seraya berkata: “Hei! Kenapa kamu tidak menghalang? Kenapa kamu tidak mempertahankan diri?”
Mendengar rungutan Abu ad-Dardaa’ itu, isterinya mencelah: “Kalau berhala itu dapat memberi manfaat atau dapat mempertahankan seseorang, pasti dia mempertahankan dirinya dan memberi manfaat kepada dirinya sendiri!”

Lantas Abu ad-Dardaa’ berkata kepada isterinya: “Sediakan air mandi untukku di bilik mandi!”
Beliau terus mandi dan memakai pakaiannya dengan kemas. Kemudian pergi menemui Nabi s.a.w. di mana ketika itu Abdullah bin Rawwahah ada di sisi baginda s.a.w.
Apabila ternampak Abu ad-Dardaa’ menghampiri mereka Abdullah berkata: “Ya, Rasulullah, itu Abu ad-Dardaa’ datang. Pastinya dia datang untuk menuntut bela ke atas kami!” Rasulullah s.a.w. menenangkan Abdullah dengan sabdanya: “Sesungguhnya dia datang untuk memeluk Islam. Sesungguhnya Tuhanku telah menjanjikanku bahawa Abu ad-Dardaa’ akan memeluk Islam.”

Pengajarannya:
Tak usah bandingkan diri kita dengan orang lain. Pergunakan sepenuhnya masa dan peluang yang ada. In syaa Allah setiap orang punya bakat dan potensi yang tersendiri.


https://islamstory.com/ar/artical/33982/الصحابي_أبو_الدرداء

No comments:

Post a Comment