Saturday, August 17, 2019

ADAKAH KITA SEORANG PENDUSTA?


Zaman ledakan teknologi yang serba canggih seperti sekarang ini, kita saksikan penyebaran sesuatu berita sama ada baik atau sebaliknya begitu pantas dan meluas. Kadang-kadang sebahagian daripada kita tidak dapat menahan diri dari menekan butang “share” apabila menerima sesuatu berita sebelum sempat dipastikan kesahihan berita tersebut. Akibatnya ada pihak yang menjadi mangsa fitnah, tohmahan dan prasangka sehingga ke tahap bermusuhan dan cela mencela.

Seandainya kita mengambil langkah berhati-hati dan berwaspada sebagaimana yang disarankan Allah di dalam Kitab suciNya pasti perkara yang tidak diingini dapat dielak atau dikurangkan.

Mari kita sama-sama tadabur ayat berikut:

“Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya; padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada - "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka; dan jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu, tentulah kamu (terbabas) menurut Syaitan kecuali sedikit sahaja (iaitu orang-orang yang teguh imannya dan luas ilmunya di antara kamu).”

Al-Hafidz Ibn Kathir berkata: “Ayat ini mengandungi bantahan terhadap mereka yang segera menyebar dan menularkan sesuatu perkara sebelum dipastikan kedudukan yang sebenarnya kerana boleh jadi perkara itu tidak betul. Imam Muslim menyebut di dalam mukadimah kitab sahihnya daripada Abu Hurairah r.a. daripada Nabi s.a.w.
Baginda telah bersabda maksudnya: “Cukuplah seseorang itu menjadi pendusta dengan dia bercakap tentang semua perkara yang didengarinya.”
Di dalam sahih al-Bukhari pula, terdapat hadis yang bermaksud: “Sesiapa yang bercakap tentang suatu percakapan yang dia tahu perkara itu dusta, maka dia adalah salah seorang daripada pendusta.”
Dan di sini kami akan membawakan peristiwa yang berlaku pada Umar bin al-Khattab r.a. yang mana peristiwa ini diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim. Manakala Umar mendengar khabar bahawa Rasulullah s.a.w. telah menceraikan isteri-isteri baginda, beliau terus datang ke rumah Rasulullah s.a.w. Tiba di masjid, beliau mendengar semua orang yang berada di dalam masjid memperkatakan tentang hal itu. Beliau tidak teragak-agak, terus meminta izin bertemu dengan Rasulullah s.a.w. dan bertanya: “Adakah tuan telah menceraikan isteri-isteri tuan?” Baginda menjawab: “Tidak!”. Lantas Umar bertakbir: “Allahu  Akbar!”
Di dalam riwayat Muslim dinyatakan bahawa apabila Rasulullah s.a.w. menyatakan bahawa baginda tidak menceraikan isteri-isteri baginda, Umar terus bangkit, berdiri di pintu masjid lalu berkata dengan suara yang lantang: “Rasulullah tidak menceraikan isteri-isterinya!”
Dan turunlah ayat ini….

Mukhtasor Tafsir Ibn Kathir, Jilid 1, hal 417.

Berhubung dengan ayat ini juga Allah Yarham Sayyid Qutub mengingatkan kita:
“Sesungguhnya satu perkataan yang terluncur dari lidah, kadang-kadang mengheret bencana pada diri sendiri dan pada masyarakat seluruhnya, bencana yang tidak pernah terlintas di fikiran si penutur, dan tidak mungkin dapat ditarik kembali selepas ianya berlaku..”


Fi Zilal al-Quran, jilid 2, hal 723

No comments:

Post a Comment