Wednesday, September 25, 2019

JANJI SYAITAN


Beberapa hari lalu ada di kalangan umat Nabi Muhammad s.a.w. berkata bahawa kalau iblis dan syaitan hendak tulungpun dia akan terima.

Apa maksud dan tujuan dia berkata begitu Allah jualah yang maha mengetahui.
Namun sebagai peringatan, mari kita lihat apa yang diceritakan oleh Yang Maha Benar tentang pertulungan syaitan di dalam ayat yang bermaksud:

“Dan (ingatlah) ketika Syaitan memperhiaskan kepada mereka perbuatan mereka (yang salah itu, untuk dipandang elok dan diteruskan), serta menghasut mereka dengan berkata: "Pada hari ini tidak ada sesiapa pun dari umat manusia yang dapat mengalahkan kamu, dan sesungguhnya aku adalah pelindung dan penolong kamu". Maka apabila kedua-dua puak (angkatan tentera Islam dan kafir musyrik) masing-masing kelihatan (berhadapan), Syaitan itu berundur ke belakang sambil berkata: "Aku berlepas diri dari kamu, kerana aku dapat melihat apa yang kamu tidak dapat melihatnya; sesungguhnya aku takut kepada Allah, dan Allah sangat berat azab seksaNya".

Ayat di atas menunjukkan bahawa:

1.     Syaitan hanya memihak kepada golongan yang jahat, golongan yang menentang kebenaran, menentang Rasulullah s.a.w. dan para pejuang kebenaran. Jadi syaitan tidak akan tulung pejuang kebenaran untuk menewaskan kejahatan dan kemungkaran. Oleh itu, jika syaitan menyokong dan menawarkan pertulungannya kepada anda, berhati-hatilah dan muhasabahlah kerana dibimbangi anda tidak berada di pihak yang benar dan bukan dari golongan mereka yang berjuang untuk menegakkan kebenaran.
2.     Janji syaitan tidak boleh dipercayai. Walaupun beriya-iya berjanji akan tulung, tiba masa apabila melihat kekuatan pihak lawan mereka lari dan berlepas diri. Bukan sekadar itu, dia berbohong pula dengan berkata “sesungguhnya aku takut kepada Allah”. Satu pembohongan yang amat nyata. Kalau betul takut kepada Allah, kenapa bersekongkol dengan kaum musyrikin menentang Rasulullah?
3.     Perkataan syaitan “sesungguhnya aku takut kepada Allah” itu juga jelas menunjukkan pihak yang dia telah berjanji akan tulung itu merupakan golongan yang sesat dan jahat. Kalau puak itu benar, kenapa lari dengan alasan takut kepada Allah? Kalau puak itu pihak yang benar, tetap berdiri teguhlah bersama mereka sehingga menang!


Maka, siapakah yang lebih benar perkataannya selain Allah Yang Maha Kuasa, Maha Bijaksana?

No comments:

Post a Comment