Saturday, September 21, 2019

SECEBIS KISAH YANG MENDEBARKAN!


Ketika Rasulullah s.a.w. berada di suatu tempat selepas peperangan Bani Mustaliq, berlaku satu bertelagahan yang sengit di antara Jahjah bin Sa’eid al-Ghifari, pekerja kepada Umar bin al-Khattab r.anhuma dari kalangan Muhajirin dengan Sinan bin Yazid dari kalangan Ansar.

Maka Sinan bertempik menyeru kaumnya:
“Wahai seluruh kaum Ansar!”
Dan Jahjah membalas dengan seruannya:
“Wahai seluruh kaum Muhajirin!”

 Ketika itu, Zaid bin Arqam serta beberapa orang dari kalangan Ansar berada di sisi Abdullah bin Ubai.
Apabila Abdullah bin Ubai mendengar jeritan itu, dia berkata:
“Sesungguhnya kita telah digulingkan di negeri kita sendiri!
Demi Allah! Perumpaan yang tepat mengenai kita dengan kaum Quraisy adalah sama seperti kata-kata: “Gemukkan anjing kamu, kelak ia memakan kamu!” (senada dengan pepatah Melayu : seperti melepaskan anjing yang tersepit)
Demi Allah! Apabila kami pulang ke Madinah, pasti orang yang mulia akan menghalau keluar darinya orang yang hina!”
(Yang dia maksudkan orang yang mulia itu ialah dirinya dan orang yang hina itu Rasulullah s.a.w.)

Kemudian dia berkata kepada kaumnya dari kalangan Ansar yang duduk di sekelilingnya:
“Inilah apa yang telah kamu lakukan. Kamu halalkan negeri kamu kepada mereka menduduki dan kamu bahagikan harta kamu dengan mereka. Namun, demi Allah sekiranya kamu dari awal tidak menerima mereka memasuki negeri kamu pasti mereka akan beralih ke negeri yang lain daripada negeri kamu!”

Kata-kata itu didengari oleh Zaid bin Arqam r.a.
Beliau terus pergi menemui Rasulullah s.a.w. yang sedang duduk di sisi Umar bin al-Khattab r.a. Zaid menceritakan apa yang berlaku. Umar r.a. terus berkata:
“Ya Rasulullah, perintahkan Ubbad bin Basyar supaya memenggal leher Abdullah!”
Rasulullah s.a.w. menjawab: “Bagaimana nanti wahai Umar andainya manusia akan berbicara bahawa Muhammad telah membunuh sahabatnya? Tidak sekali-kali! Aku tidak akan bertindak demikian.
Sebaliknya, keluarkan perintah kepada angkatan tentera kita supaya berangkat sekarang juga.”

Apabila Abdullah mengetahui bahawa kata-katanya telah sampai ke pengetahuan Rasulullah s.a.w. dia datang mengadap Nabi s.a.w. meminta maaf dan bersumpah bahawa dia tidak pernah berkata seperti apa yang dilaporkan oleh Zaid bin Arqam itu. Dan dengan sebab dia mempunyai kedudukan di kalangan kaumnya, mereka seperti mahu membelanya dengan berkata kepada Nabi s.a.w.:
“Wahai Rasulullah, mungkin orang muda ini salah tanggap dan tidak mempastikan betul-betul maksud kata-kata lelaki ini!”
Rasulullah s.a.w. tidak mengendahkan kata-kata itu. Baginda tetap dengan keputusannya untuk berangkat. Pada hal sebelum ini baginda tidak pernah memilih waktu yang sedemikian untuk berangkat memulakan perjalanan.
Usaid bin Hudhair r.a. datang menemui baginda dan berkata: “Demi Allah, anda tergesa-gesa berangkat sedangkan bukan kebiasaan anda berangkat pada waktu begini?”
Rasulullah s.a.w. menjelaskan kenapa baginda bertindak sedemikian:
“Tidakkah kamu mengetahui apa yang diucapkan oleh temanmu, Ibn Ubai? Dia mengatakan bahawa apabila tiba di Madinah nanti orang yang mulia akan mengusir keluar orang yang hina!”
Usaid menjawab:
“Ya Rarulullah, andalah orang yang mulia dan dia itulah orang yang hina!”
Kemudian Usaid menyambung:
“Ya Rasulullah, berlaku lonaklah dengannya. Demi Allah, sesungguhnya ketika Allah menghantar anda ke Madinah, kami sedang mengatur persiapan untuk memahkotakannya sebagai raja. Jadi, dia berasa tercabar dan anda telah merampas peluangnya menjadi raja!”

Rasulullah s.a.w. tetap dengan keputusannya. Baginda s.a.w. meneruskan perjalanan bersama angkatan tenteranya tanpa henti; dari siang hingga ke petang. Petang membawa ke malam. Dan malam hingga ke subuh sehingga mencecah waktu dhuha yang terik barulah baginda berhenti. Semua itu dilakukan untuk tidak memberi ruang kepada sahabat bercakap-cakap tentang apa yang berlaku. Apabila berhenti saja di tempat persinggahan, mereka langsung terlena.

(Dipetik oleh Ibn Kathir daripada riwayat Abu Ishaq).

Banyak pengajaran yang dapat diambil daripada kisah di atas. Antaranya:

1.     Semangat perkauman dan perasaan kekitaan akan tercetus dan bangkit ketika berlaku pergaduhan walaupun pergaduhan itu pada asalnya berpunca dari sesuatu sebab yang lain.
2.     Seruan perkauman akan segera disahut oleh mereka yang berkepentingan dan yang sudah sedia mempunyai penyakit di dalam hati.

3.     Rasulullah s.a.w. sangat tegas dan pantas mencantas bibit-bibit perkauman dan tidak memberikan ruang sedikitpun untuknya merebak. Menurut riwayat al-Baihaqi, apabila Rasulullah s.a.w. mendengar seruan orang Ansar “Wahai Ansar!” dan seruan Muhajirin “Wahai Muhajirin!”, Baginda dengan tegas bersabda: “Apahal dengan seruan jahiliah ini? Tinggalkan seruan itu! Sesungguhnya ia teramat busuk!”

No comments:

Post a Comment