Friday, November 01, 2019

MUHASABAH YANG MEMBEKAS


Terbaca satu kisah israeliyyat. 
Kisahnya: Terdapat seorang abid dari kalangan Bani Israel yang telah menghabiskan usianya bertahun-tahun lamanya beribadah kepada Allah semata-mata. Dia tidak pernah melakukan maksiat walau seketika sepanjang hayatnya. Kerana kesungguhannya beribadah dia dikurniakan karamah. Apabila dia keluar dari rumahnya awan akan berarak memayungi sepanjang perjalanannya  
Pada masa yang sama, terdapat seorang fasiq yang bergelumang dengan kemaksiatan. Dia tidak pernah taat kepada perintah Allah walaupun sekali sepanjang hayatnya. 

Pada suatu hari kedua-duanya bertembung di suatu jalan. Mereka datang dari arah yang bertentangan. Apabila bertembung masing-masing mengelakkan diri tidak mahu bertemu dan bertentang mata antara sama lain. 

Abid merasa dirinya mulia dengan ibadahnya. Tidak layak baginya bertemu dengan seorang fasiq yang penuh dosa dan menderhaka kepada Allah Yang Esa.

Fasiq merasa dirinya sangat hina dan tidak layak baginya bertemu dengan seorang abid yang sangat mulia di sisi Tuhannya.

Dengan kesombongan yang tercetus di dalam diri abid sehingga dia memandang hina kepada seseorang yang tidak setara dengan dirinya menyebabkan Allah murka kepadanya.
Lantas karamah yang diberikan kepadanya ditarik. Awan yang selama ini memayunginya dengan perintah  Allah beralih memayungi si fasiq yang insaf dengan kekurangan dirinya. 

Semoga kisah ini menjadi pengajaran yang berguna buat kita.  
Jangan sekali-kali memandang hina kepada makhluk Allah yang lain walaupun pada zahirnya mungkin tidak sama kedudukan dengan kita dalam apa segi sekalipun. 

No comments:

Post a Comment