Wednesday, March 04, 2020

TADABBUR SIRAH – MENJUNJUNG SUNNAH


Nama Mu’awiah bin Abi Sufyan r.a. tidak banyak disebut kecuali dalam kes pertelingkahannya dengan Ali bin Abu Talib r.a. dan pengasas Dinasti Bani Umayyah. Ini menyebabkan sebahagian kita lupa bahawa beliau adalah antara insan bertuah yang dipilih oleh Allah untuk mendampingi Rasulullah s.a.w. dan tetap berpegang pada Sunnah baginda s.a.w.

Daripada Abu Qubail daripada Mu’awiah bin Abu Sufyan r.a. Beliau menceritakan:
Pada suatu hari Jumaat, Mu’awiah menaiki mimbar untuk menyampaikan ucapannya. Beliau berkata: “Wahai manusia, sesungguhnya harta ini (harta baitulmal) milik kami. Al-Fai’ (harta yang diperolehi daripada orang kafir tanpa perang atau hasil negara) milik kami. Maka sesiapa yang kami kehendaki untuk memberikan harta itu kepadanya, kami akan berikan dan sesiapa yang kami enggan memberikannya, kami tidak akan memberikannya!”
Semua yang mendengar diam. Tidak ada seorangpun yang membantah ucapannya itu.
Pada hari jumaat berikutnya beliau berkata seperti itu juga. Masih tidak ada seorangpun yang membantahnya.
Hari Jumaat yang ketiga beliau mengulangi lagi apa yang diucapkan pada minggu sebelumnya.
Maka bangkitlah seorang lelaki yang berada di dalam masjid itu lantas berkata: “Tidak sekali-kali! Sesungguhnya harta itu milik kami. Dan fai’ adalah hak kami. Oleh itu, sesiapa yang menghalang kami dari mendapat hak kami, kami akan menghadapkannya kepada Allah dengan pedang-pedang kami!”
Maka Mu’wiah turun dari mimbar dan mengarahkan lelaki itu dibawa menemuinya. Orang ramai berkata, “habislah lelaki itu!”
Tidak lama kemudian, orang ramai masuk ke tempat Mu’awiah. Mereka mendapati lelaki itu duduk bersama Mu’awiah di atas sofa.
Mu’awiah berkata kepada mereka:
“Sesungguhnya lelaki ini telah menghidupkan aku, semoga Allah menghidupkannya! Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda (maksudnya): “Akan ada selepasku para pemerintah yang berkata sesuatu (yang salah) tetapi tidak ada seorangpun yang membantahnya. Mereka saling mencampakkan diri ke dalam neraka seperti sekawan beruk!”
Dan aku telah menyampaikan khutbahku pada hari Jumaat pertama. Tidak ada seorangpun yang membantahnya. Maka aku bimbang aku termasuk dalam golongan yang Nabi sebut itu. Kemudian aku ulang pada minggu kedua. Pun tidak ada seorang yang membantahnya. Aku berkata kepada diriku, kalau begini pastinya aku termasuk di dalam golongan itu!
Kemudian aku ulang lagi pada minggu ketiga. Lantas lelaki ini bangkit dan menbantah ucapanku. Maka dialah yang menghidupkan aku. Semoga Allah menghidupkannya!” Riwayat AlTabrani.

Dipetik daripada kitab “Tarikhuna AlMuftara ‘Alaih” Dr Yusuf AlQaradawi

Adakah perkara yang diramalkan oleh Rasulullah s.a.w. itu sedang berlaku pada zaman kita sekarang? Ya Allah, lindungilah kami dari tercampak ke dalam neraka!

#negara_rahmah

No comments:

Post a Comment