Friday, April 03, 2020

ADAM vs IBLIS


Kedua-duanya telah melakukan maksiat kepada Allah. Namun terdapat beberapa perbezaan untuk kita pelajari.

Adam a.s. melakukan perkara yang dilarang, makan buah khuldi

Iblis enggan melakukan apa yang disuruh, sujud kepada Adam

Adam a.s. melakukan perkara yang dilarang kerana terlupa dan tergoda dengan bisikan dan tipu daya Iblis, bukan dengan sengaja atau dengan niat untuk melanggar perintah Allah “Dan demi sesungguhnya, Kami telah berpesan kepada Adam pada masa yang lalu, tetapi ia lupa; dan kami tidak mendapatinya mempunyai keazaman (untuk melanggar pesanan itu)” (Taha 20:115)

Iblis mengingkari perintah Allah dengan sengaja didorong oleh sifat sombong dan dengki 
“Iblis berkata: "Aku tidak patut sujud kepada manusia yang Engkau jadikan dia dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya". (Al-Hijr 15:33
“Allah berfirman: "Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?" Iblis menjawab: "Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah." (Al-A'raaf 7:12)

Adam a.s., setelah melakukan kesalahan insaf dan bertaubat “Mereka berdua (Adam dan Hawwa) merayu: "Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi". (Al-A'raaf 7:23)

Iblis bukan sahaja tidak insaf dan tidak bertaubat, malah menyalahkan Allah atas kesesatannya dan bersumpah untuk membalas dendam dengan menyesatkan anak Adam hingga ke hari qiamat.
“Iblis berkata: "Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya,” (Al-Hijr 15:39

Kesimpulannya, Allah datangkan semua nabi dan rasul untuk kita contohi. Manusia yang baik tidak semestinya manusia yang suci dari melakukan dosa dan kesalahan sebagaimana dinyatakan di dalam sepotong hadis yang bermaksud: “Setiap bani Adam itu melakukan kesalahan / dosa. Dan sebaik-baik orang yang berdosa ialah yang bertaubat.” Riwayat alTirmizi, Ibn Majah dan al-Hakim.

Hadis ini tidak boleh dijadikan alasan untuk kita melakukan dosa dengan sengaja, kerana itu sifat Iblis. Tetapi ia merupakan petunjuk kepada kita tentang kelemahan diri kita, anak Adam yang mungkin terlupa dan terpedaya. Maka jalan terbaik ialah segera bertaubat dan kembali kepada Allah.

#fastabiqulkhairat
#negara_rahmah

No comments:

Post a Comment