Saturday, April 25, 2020

TADABBUR – KESYUMULAN AL-QURAN


Hari ke 3 Ramadhan. Mungkin ramai yang telah tamat membaca juzuk ke 2.
Saya ingin mengajak tadabbur beberapa ayat daripada juzuk ke 2, iaitu muka surat 29 ayat 187 hingga 190 surah al-Baqarah.

Empat ayat dalam satu muka surat mushaf uthmani. Sama-sama kita renungi ayat demi ayat:

“Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu. Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu mengkhianati diri sendiri, lalu Ia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu. Maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu; dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib); dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid. Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya. Demikian Allah menerangkan ayat-ayat hukumNya kepada sekalian manusia supaya mereka bertaqwa.”

Di dalam ayat ini Allah menekankan hubungan intim antara suami isteri di mana mereka diibaratkan sebagai pakaian kepada satu sama lain. Namun begitu mereka mesti menyedari bahawa di antara mereka berdua, ada Allah yang mengatur hubungan mereka. Walau serapat manapun antara mereka berdua, mereka mestilah mematuhi batas-batas yang ditentukan oleh Allah. Termasuk dalam soal hubungan seksual antara mereka. Meskipun ia halal, malah dalam sepotong hadis ia dianggap sedekah yang diberi pahala, tidak bermakna mereka bebas melakukannya pada bila-bila masa yang mereka suka. Allah yang menghalalkan hubungan itu berhak untuk mengatur waktunya. Dan mengikuti ketentuan Allah dalam urusan yang sangat peribadi, sangat rahsia itu juga termasuk di dalam jalan-jalan menuju taqwa. 
Allah juga menyebut tentang i’tikaf di masjid. Ini secara tidak langsung mengajar kita bahawa sebagai hamba, kita mesti memperuntukkan masa yang khusus untuk berkahlawah dan bermunajat mendekatkan diri (bertaqarrub) kepada Allah khususnya dalam bulan Ramadhan sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat r.a.

“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

Daripada urusan hubungan intim antara pasangan suami dan isteri, Allah menyentuh tentang kepentingan sifat amanah di dalam kehidupan bermasyarakat. Muslim bukan sahaja dituntut menjaga hubungan baik dengan ahli keluarga di dalam rumah sendiri semata-mata. Sebaliknya mereka mestilah menjadi anggota masyarakat yang berguna yang menghayati sifat-sifat terpuji. Dan sifat yang ditekankan di dalam ayat ini adalah sifat amanah dan menjauhi amalan rasuah sama ada dengan memberi atau menerimanya. Sedia maklum bahawa rasuah merupakan penyakit social yang amat berbahaya yang boleh menghancurkan kesejahteraan dan kestabilan hidup masyarakat dan negara. Malangnya, negara kita masih berada pada tahap yang rendah bagi Indeks Persepsi Rasuah walaupun terdapat sedikit peningkatan pada tahun lepas berbanding tahun-tahun sebelumnya. 
Menurut Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan, Kedudukan Malaysia bagi Indeks Persepsi Rasuah (CPI) bagi tahun 2019 meningkatke tangga 51 daripada 180 (bukan 500 hehe) negara berbanding pada tangga 61 pada tahun 2018.Sebagai umat yang memiliki al-Quran dan membacanya saban tahun, kita sepatutnya berada di tangga paling atas.


“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak bulan. Katakanlah: "(peredaran) anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu (urusan dan amalan) manusia, khasnya ibadat Haji. Dan bukanlah perkara kebajikan: kamu memasuki rumah dari bahagian belakangnya (ketika kamu berihram) akan tetapi kebajikan itu ialah perbuatan orang yang bertaqwa; dan masuklah ke rumah (Kamu) itu melalui pintunya, serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya."

Ayat ini pula membincangkan tentang peredaran bulan yang berlaku sepanjang masa sejak terciptanya langit dan bumi. Dan peredaran itu mempunyai kaitan yang rapat dengan ibadah yang dituntut ke atas umat Islam. Meskipun dalam ayat ini disebut ibadah haji secara khusus, namun mengetahui tarikh kemunculan anak bulan mempunyai kaitan rapat dengan ibadah-ibadah lain juga sama ada ibadah wajib atau sunat seperti puasa, hari raya, puasa sunat asyuraa, puasa sunat hari putih dan lain-lain.
Ayat ini juga menyentuh tentang adab memasuki rumah. Menurut mufassirin, orang-orang Arab sebelum Islam beranggapan bila berada di dalam ihram, atau bila pulang dari mengerjakan haji mereka tidak boleh memasuki rumah melalui pintu. Sebaliknya mereka mesti memasuki rumah dengan memanjat dinding atau melalui atap. Maka Allah menegur perbuatan yang tidak beradab itu. Ia tidak ada kaitan dengan ibadah haji atau umrah. Masuklah ke rumah kalian dengan cara yang biasa orang memasukinya tanpa bersusah payah mencari jalan yang luar biasa.

“Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh.”
Di dalam ayat ini Allah memerintahkan umat Islam supaya mempertahankan diri dan agama dari dicerobohi. Dan supaya mampu mempertahankan diri, tentulah mereka mesti mempunyai kekuatan, mempunyai semangat dan jati diri yang tinggi, kental dan solid. Umat yang tidak mudah terpengaruh atau dipengaruhi oleh apa juga kepentingan duniawi sama ada harta, pangkat, kedudukan dan sebagainya. 

Demikianlah syumulnya ajaran al-Quran. Hanya di dalam empat ayat yang termuat di dalam satu muka sahaja Allah mengajar kita pelbagai aspek kehidupan; merangkumi:
1.    Hubungan intim antara suami isteri serta adab-adab berkaitan dengan rumah dan kehidupan berkeluarga. 
2.    Hubungan intim dengan Allah SWT melalui ibadah khusus: solat, puasa, i’tikaf, dan haji.
3.    Hubungan dengan masyarakat dengan menjadi warga yang berguna, amanah dan bertanggungjawab.
4.    Kewajipan sebagai muslim dalam membela dan mempertahankan kesucian agama dari dicerobohi dan diperkotak-katikkan oleh musuh-musuh luaran dan dalaman. 
5.    Lantaran itu tadabbur kali ini saya memilih empat ayat secara serentak, tidak seperti sebelum ini. Saya ini mengajak kita semua menjadi umat al-Quran yang memahami dan menghayatinya, lebih-lebih di bulan ini: bulan Ramadhan, bulan al-Quran.

*UMD*

3 Ramadhan 1441/26 April 2020

No comments:

Post a Comment