Sunday, June 14, 2020

Adakah terdapat manusia yang tak pernah buat silap?


Antara ayat yang menjadi wirid hampir setiap kali lepas solat ialah ayat terakhir surah al-Baqarah yang bermaksud:
Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! JANGANLAH ENGKAU MENGIRAKAN KAMI SALAH JIKA KAMI LUPA ATAU KAMI TERSALAH. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir". (Al-Baqarah 2:286

Di dalam sepotong ayat yang lain, Allah Ta’ala berfirman maksudnya: “DAN KAMU PULA TIDAK DIKIRA BERDOSA DALAM PERKARA YANG KAMU TERSILAP MELAKUKANNYA, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Al-Ahzaab 33:5

Kedua-dua ayat di atas menunjukkan dengan jelas bahawa melakukan kesilapan adalah sesuatu yang biasa bagi makhluk yang bernama manusia. Dan Allah Ta’ala amat mengetahui akan hal ini. Justeru, dengan sifat rahmah dan kasihan belasNya Dia tidak mengira perbuatan yang dilakukan dengan tidak sengaja, tersalah dan tersilap itu sebagai perbuatan yang berdosa. Nabi s.a.w. turut menjelaskan di dalam sepotong hadis yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah melepaskan dosa dari umatku (perbuatan yang dilakukan dengan) tersilap, terlupa dan yang dipaksakan ke atasnya.” Riwayat Ibn Majah, al-Baihaqi dan lain-lain.
Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Apabila seseorang hakim berijtihad, jika betul baginya dua pahala. Jika salah, baginya satu pahala.” 
Hadis ini dengan jelas mengakui kemungkinan terdapat kesilapan seseorang hakim atau pemerintah di dalam ijtihadnya. Ertinya ia tidak selalunya tepat dan betul.
Inilah yang difahami dan dihayati oleh imam-imam mujtahidin terdahulu. Mereka tidak mendakwa hanya mereka sahaja yang selalunya betul. Orang lain semuanya salah.
Imam Abu Hanifah, apabila mengeluarkan sesuatu fatwa, beliau ikuti dengan kata-kata: “Ini adalah pendapat Nu’man bin Thabit (iaitu dirinya). Dan inilah pendapat terbaik yang dia mampu. Sesiapa yang mengemukakan pendapat yang lebih baik daripadanya, maka itulah yang lebih utama dan lebih tepat.”
Imam Malik berkata: “Tidak ada seorang manusiapun, kecuali boleh diambil kata-katanya dan boleh ditolak melainkan Rasulullahs.a.w.”
Imam Al-Syafie berkata: “Jika kamu dapati kata-kataku bercanggah dengan hadis, maka hendaklah kamu beramal dengan hadis dan lemparkanlah kata-kataku itu ke tembok!”

Sesungguhnya kesilapan bukan sahaja dilakukan oleh orang-orang biasa atau orang kebanyakan. Malah tidak mustahil dilakukan oleh orang-orang yang bertaqwa. Cuba kita amati firman Allah yang berikut: “Dan (orang-orang yang bertaqwa) juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).” (A-li'Imraan 3:135)
Di dalam ayat ini Allah menyenaraikan antara ciri orang yang bertaqwa ialah apabila melakukan dosa dan kesalahan, mereka segera ingat Allah dan bertaubat. Bukan orang yang tidak pernah melakukan kesalahan.

Para sahabat radhiallahu’anhum pernah ditegur oleh Allah dan Rasul s.a.w. kerana tersilap dalam pemahaman dan pelaksaan sesuatu perintah dan arahan. Terlalu banyak contoh-contoh yang boleh ditemui di dalam al-Quran dan kitab-kitab hadis yang sahih. 

Sebagai contoh, firman Allah Ta’ala yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu pergi (berperang) pada jalan Allah (untuk membela Islam), maka hendaklah kamu menyelidik (apa jua perkara dengan sebaik-baiknya), dan janganlah kamu (terburu-buru) mengatakan kepada orang yang menunjukkan kepada kamu sikap damai (dengan memberi salam atau mengucap dua Kalimah Syahadat): "Engkau bukan orang yang beriman" (lalu kamu membunuhnya) dengan tujuan hendak (mendapat harta bendanya yang merupakan) harta benda kehidupan dunia (yang tidak kekal). (Janganlah kamu gelap mata kepada daki dunia itu) kerana di sisi Allah ada disediakan limpah kurnia yang banyak. Demikianlah juga keadaan kamu dahulu (dapat diketahui oleh orang lain akan keIslaman kamu dengan memberi salam atau mengucap kalimah Syahadat), lalu Allah mengurniakan nikmatNya kepada kamu. Oleh itu selidikilah (apa-apa jua lebih dahulu, dan janganlah bertindak dengan terburu-buru). Sesungguhnya Allah sentiasa memerhati dengan mendalam akan segala yang kamu lakukan.” (An-Nisaa' 4:94
Para mufassirin meriwayatkan daripada Ibn Abbas r.a. bahawa sebab nuzul ayat ini ialah seorang sahabat bernama Miqdad bin Aswad telah membunuh seseorang yang mengucap syahadah kerana disangkanya orang yang mengucap itu hanya sekadar untuk menyelamatkan hartanya dari dirampas oleh tentera Islam. Apabila Rasulullah s.a.w. mendapat tahu tindakan Miqdad itu, bagindas.a.w. menegurnya dengan berkata: “Bagaimana kamu akan berhujjah esok (di hari akhirat) sedangkan dia telah mengucap tiada Tuhan melainkan Allah?” 

Kebanyakan nabi dan rasul a.s., termasuk Nabi kita Muhammad s.a.w. juga beberapa kali ditegur oleh Allah dan diabadikan teguran itu di dalam kitab suci al-Quran yang dibaca oleh umat manusia hingga ke hari qiamat. 
Apakah ini bermakna nabi-nabi juga buat silap? 
Untuk orang biasa selain dari nabi dan rasul, bila ditegur itu, kita kata buat silaplah. 

Namun demi menjaga adab dengan nabi-nabi dan rasul-rasul serta mengiktiraf bahawa mereka insan yang maksum, ulamak tidak menyebut mereka buat silap. Sebaliknya istilah yang disebut ialah memilih khilaful-aula, iaitu keputusan yang kurang baik atau bukan yang terbaik.
Banyak contoh-contoh jika hendak disenaraikan. Teguran kepada Nabi-nabi Ibrahim, Nuh, Musa, Daud alaihimus-salam dan Nabi Muhammad s.a.w. 
Misalnya firman Allah yang bermaksud: “Dia memasamkanmuka dan berpaling, Kerana dia didatangi orang buta. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui (tujuannya, wahai Muhammad) ? Barangkali dia mahu membersihkan hatinya (dengan pelajaran agama yang didapatinya daripadamu)! Ataupun dia mahu mendapat peringatan, supaya peringatan itu memberi manfaat kepadanya. Adapun orang yang merasa keadaannya telah cukup, tidak berhajat lagi (kepada ajaran Al-Quran), Maka engkau bersungguh-sungguh melayaninya. Padahal engkau tidak bersalah kalau ia tidak mahu membersihkan dirinya (dari keingkarannya). Adapun orang yang segera datang kepadamu, Dengan perasaan takutnya (melanggar perintah-perintah Allah), Maka engkau berlengah-lengah melayaninya. Janganlah melakukan lagi yang sedemikian itu! Sebenarnya ayat-ayat Al-Quran adalah pengajaran dan peringatan (yang mencukupi).” ('Abasa 80:1-11)

Ahli-ahli tafsir sependapat mengatakan bahawa ayat-ayat di atas turun untuk menegur perbuatan Rasulullah s.a.w. yang tidak memberi perhatian kepada Ibn Ummu Maktum yang datang ketika baginda sedang bersunggu-sungguh berbicara dengan pembesar Quraisy untuk menarik mereka memeluk Islam. 

Satu lagi ayat menegur Rasulullah s.a.w. tentang keputusan baginda membebaskan tawanan perang Badar dengan mengambil tebusan. “Tidaklah patut bagi seseorang Nabi mempunyai orang-orang tawanan sebelum ia dapat membunuh sebanyak-banyaknya di muka bumi. Kamu menghendaki harta benda dunia (yang tidak kekal), sedang Allah menghendaki (untuk kamu pahala) akhirat. Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. Kalaulah tidak (kerana) adanya ketetapan dari Allah yang telah terdahulu, tentulah kamu ditimpa azab seksa yang besar disebabkan (penebus diri) yang kamu ambil (dari orang-orang tawanan) itu.” (Al-Anfaal 8:67-68)
Ibn Jarir menyebut bahawa Umar bin al-Khattab r.a. berkata: “Keesokan harinya (iaitu selepas keputusan dibuat untuk menerima tebusan daripada tawanan) aku mengunjungi Rasulullah s.a.w. Aku dapati baginda dan Abu Bakar sedang menangis. Lalu aku berkata: “Ya Rasulullah, ceritakanlah kepadaku apakah yang menyebabkan kalianberdua menangis? Jika boleh, aku akan ikut menangis. Jika tidak, aku paksa diriku untuk menangis!” Rasulullah s.a.w. bersabda: “Aku menangis kerana aku membenarkan sahabat-sahabatku mengambil tebusan, sedangkan aku dibentangkan azab kepadaku lebih dekat daripada pokok ini (baginda mengisyaratkan pokok yang berhampiran dengannya.” Lalu Allah turunkan ayat ini (Surah al-Anfal ayat 67 hingga 69).

Kesimpulan, melakukan kesilapan atau membuat keputusan yang kurang tepat adalah sesuatu yang lumrah dalam kehidupan manusia semua peringkat. Ia bukan sesuatu yang mengaibkan atau mengurangkan kemuliaan seseorang itu di sisi Allah ‘Azza wa Jalla selagi mana mereka bersedia untuk membetulkan kesilapan bila diperingatkan.

Dakwaan mempunyai kaca mata dan kaca teropong yang putih bersih sehingga dapat melihat semua warna yang sebenar tanpa tersilap dan tidak boleh dikelirukan, pada pendapat ambo agak sukar diterima. Ia memerlukan penjelasan dan pembuktian yang jitu baik secara naqli maupun aqli.

Allahu A’lam.

No comments:

Post a Comment