Tuesday, June 16, 2020

YANG ANDA PERLU TAHU TENTANG DOA


Doa adalah otak (mukh) ibadah.
Doa adalah lambang hubungan yang intim antara hamba dengan Penciptanya.
Allah suka kepada hambaNya yang berdoa. Lebih-lebih lagi yang merengek-rengek (mulihh) dalam berdoa.

Antara ayat yang berkaitan dengan perintah supaya berdoa:

1.     Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul. (Al-Baqarah 2:186
2.     Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina. (Ghaafir 40:60
3.     Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas. (Al-A'raaf 7:55
4.     Dan berdoalah kepadaNya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya. (Al-A'raaf 7:56)

Allah perintahkan hambaNya supaya berdoa dan Dia berjanji akan memaqbulkan semua doa. Allah menunjukkan beberapa contoh doa-doa yang telah dimaqbulkan termasuk doa-doa yang zahirnya di luar batasan sebab dan musabab atau berlawanan dengan apa yang dikatakan sebagai “Sunnah Alam”. Ini kerana Sunnah Alam itu ciptaanNya dan Dia boleh menjadikan apa saja tanpa terikat dengan Sunnah itu. Inilah yang hendak difahamkan kepada kita ketika memanjatkan doa kepadaNya. Bahawa Dia Maha Kuasa untuk memaqbulkan apa jua doa kita. Jangan sekali-kali berputus asa dalam berdoa.

Mari kita renungi:
1.     Doa Nabi Zakaria a.s. Beliau berdoa supaya dianugerahi cahaya mata yang mewarisi tanggungjawabnya sebagai pembela agama di ketika mana usianya sudah lanjut dan isterinya seorang yang mandul. Doanya diterima. Maka lahirlah Yahya (Surah Maryam 2-15).
2.     Doa Nabi Ibrahim a.s. untuk melihat dengan mata kepalanya bagaimana Allah menghidupkan orang yang telah mati. Bukan kerana tidak yakin. Tetapi hanya untuk menenangkan hati. Lalu Allah perlihatkan melalui satu proses yang dilakukan oleh tangan baginda sendiri (Surah Al-Baqarah 260).
3.     Doa Nabi Yunus a.s. Bagaimana sebatang tubuh manusia ditelan oleh seekor ikan boleh selamat? Kenapa ikan itu tidak mengunyah dan menyiat-nyiat daging mangsa yang ditelannya itu? Dan dengan doa yang tidak henti-henti ikan itu dengan sendirinya memuntahkan kembali mangsanya dalam keadaan selamat tanpa cacat! (Surah Al-Anbiaa’ 87-88)
4.     Doa Nabi Isa a.s. Atas desakan pengikutnya, Nabi Isa a.s. berdoa supaya diturunkan hidangan direct dari langit. Maka Allah turunkan seperti yang diminta. (Surah Al-Maidah 112-115)

Pemaqbulan doa juga tiada batas masa. Allah tidak pernah lupa, tidak pernah mengabaikan apa yang dipohon oleh hambaNya biarpun telah berlalu ratusan atau ribuan tahun lamanya. Nabi Ibrahim a.s. pernah berdoa selepas selesai membina Kaabah bersama puteranya Ismail a.s.: "Wahai Tuhan Kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat (firmanMu) dan mengajarkan mereka isi kandungan Al-Kitab serta Hikmat kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (dari syirik dan maksiat). SesungguhnyaEngkaulah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana". (Al-Baqarah 2:129)
Doa yang tulus ini diqabulkan dengan pengutusan Nabi Terakhir, Muhammad s.a.w. beratus-ratus tahun selepas itu (Nikmat berkiblatkan Kaabah yang Kami berikan kepada kamu itu), samalah seperti (nikmat) Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan membersihkan kamu (dari amalan syirik dan maksiat), dan yang mengajarkankamu kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan, dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui.) (Al-Baqarah 2:151)
Tiada kesepakatan dari segi jarak antara kedua-dua nabi yang agung itu, menurut satu riwayat, jaraknya adalah 2800 tahun!

Namun terdapat doa yang tidak diqabulkan sebagaimana yang diminta kerana sebab-sebab tertentu yang hanya Dia Mengetahuinya. Umpamanya doa Nabi Ibrahim supaya diberikan rezeki buah-buahan kepada orang-orang beriman. Tetapi Allah tidak khususkan kepada orang beriman sahaja seperti doa Nabi Ibrahim. Sebaliknya rezeki yang diberikan meliputi hambaNya yang tidak beriman (Surah Al-Baqarah 126)
Begitu juga doa Nabi Nuh a.s. agar Allah selamatkan anaknya dari mati lepas. Allah tidak qabulkan kerana anaknya telah terputus hubungan dengan Nuh kerana kekafirannya (Surah Hud 45-47).


Maka, teruskanlah berdoa supaya Allah selamatkan kita dari segala bencana yang berbagai-bagai yang tak mampu kita hadapi tanpa pertolonganNya.

No comments:

Post a Comment