Thursday, August 20, 2020

HAJI SEMAN KELIRU

 

“Ustaz, tunggu sekejap!”

Ustaz Nasir mematikan langkah apabila mendengar namanya dipanggil. Dia hendak berkejar ke masjid untuk menyampaikan kuliah dhuha pula. Dia menoleh ke arah suara. 

“Maaf Ustaz. Kami ada kemusykilan sikit nak tanya.” Haji Seman tercungap-ngucap meluahkan hasratnya. Beberapa orang jemaah mengekori di belakangnya.

“Ya, Haji. Apa yang boleh saya bantu?” jawab Ustaz Nasir dengan nada ramah.

“Saya nak tanya, cerita yang Ustaz bawa dalam kuliah subuh tadi tu betul ke?”

“Cerita yang mana, Haji?”

“Cerita Nabi s.a.w. hendak potong tangan anaknya, Fatimah kalau Fatimah mencuri?”

“Betul Haji. Hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim.” jelas Ustaz Nasir dengan sungguh-sungguh, tegas dan yakin.

Haji Seman diam seketika. Sebaris mendung mengusapi wajahnya.

 

“Orang-orang macam Ustaz semuanya tahu ke tentang hadis tu?”

“Orang-orang macam saya? Apa maksud Haji?”

“Orang-orang yang belajar agama macam Ustaz? Tok-tok guru, mufti-mufti semua tahu lah tentang hadis tu?”

“Tahu. Kenapa, Haji” jawab Ustaz Nasir dengan perlahan. Dia seperti dapat menghidu sesuatu yang aneh di sebalik soalan Haji Seman.

 

“Saya dan kawan-kawan saya ni keliru, Ustaz. Dalam hadis tu Ustaz kata, Nabi ajar kita supaya berlaku adil. Kalau tidak, umat akan binasa seperti apa yang telah menimpa umat sebelum kita.”

“Betul tu, Haji,” Ustaz Nasir membenarkan apa yang difahami oleh Haji Seman.

“Allah... kami takut, Ustaz!” keluh Haji Seman dengan suara yang berat.

“Kenapa?” Ustaz Nasir belum dapat menangkap apa yang berputar di dalam benak Haji Seman.

“Kita akan binasa sebab pemimpin kita tidak adil! Tok-tok guru dan mufti-mufti tak tegur!” Gedebum! Kata-kata Haji Seman menghantuk kepala Ustaz Nasir walaupun kata-kata itu dihamburkan dengan nada yang perlahan.

 

“Mana yang Haji nampak tidak adil tu?”

“Banyak, Ustaz. Tak kan Ustaz tak tahu?” 

“Kena lagi...!” Keluh Ustaz Nasir pada diri sendiri. Dia meramas-ramas kunci kereta di dalam genggamannya sebagai tanda isyarat bahawa dia kena pergi sekarang. Nanti terlewat sampai di masjid tempat dia akan menyampaikan kuliah dhuha.

“Cerita terbaru yang sedang hangat diperkatakan, seorang menteri yang tidak patuh arahan kementerian kesihatan tidak diambil tindakan, pada hal orang awam dikenakan hukuman penjara beberapa bulan dan denda beribu-ribu. Ustaz tak takut ke kita dibinasakan sebagaimana yang Ustaz sebut dalam hadis tadi?”

“Mestilah takut, Haji. Tapi saya ni penceramah biasa saja.” Ustaz Nasir cuba berdalih.

“Tak kan lah tugas Ustaz hanya memberi ceramah kepada orang-orang macam kami saja? Makin kelirulah kami. Dalam ceramah Ustaz cakap lain. Orang atas di luar sana buat lain. Orang yang ada ilmu macam Ustaz tak pula tegur mereka....!”

“Bukan takat tak tegur. Ramai yang sokong dan bersekongkol lagi!” kawan-kawan Haji Seman tiba-tiba menambah...

 

Ustaz Nasir terkedu. Dia memandang jam di tangan. Sudah agak lewat.

Namun yang lebih merisaukannya adakah dia akan berhadapan dengan persoalan yang sama daripada jemaah yang menghadiri kuliah dhuha nanti?

No comments:

Post a Comment