Tuesday, October 20, 2020

RAJA MESIR DAN NABI YUSUF

 

“Apa tajuk kuliah kita pagi ini, Ustaz?” Tanya Haji Seman, selapas Ustaz Nasir memberi salam untuk memulakan kuliah subuhnya.

“Eh kamu ni Seman, tak sabar-sabar.” Sergah Haji Sabran.

“In syaa Allah pagi ini kita akan sambung kisah Nabi Yusuf a.s.” 

“Bagus tu...” Sampuk beberapa orang jemaah serentak.

 

Ustaz Nasir pun memulakan kuliahnya dengan menyebut secara ringkas kisah yang telah dihuraikan sebelumnya. Kemudian barulah beliau menyambung...

 

Apabila Raja Mesir berkata kepada Nabi Yusuf a.s.:

“Sesungguhnya engkau pada hari ini (wahai Yusuf), seorang yang berpangkat tinggi, lagi dipercayai di kalangan kami ". (Yusuf 12:54)

 

Dan Nabi Yusuf a.s. menjawab:

"Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya". (Yusuf 12:55)

 

Maka bermulalah Nabi Yusuf a.s. memikul tanggungjawabnya yang berat serta berjaya melaksanakan amanah yang digalasnya dengan cemerlang.

Dan demikianlah caranya, Kami tetapkan kedudukan Yusuf memegang kuasa di bumi Mesir; ia bebas tinggal di negeri itu di mana sahaja yang disukainya. Kami limpahkan rahmat Kami kepada sesiapa sahaja yang Kami kehendaki, dan Kami tidak menghilangkan balasan baik orang-orang yang berbuat kebaikan.” (Yusuf 12:56

 

Selalunya pengajaran penting yang diserlahkan daripada kisah ini ialah: 

i. Kebenaran janji Allah SWT kepada hamba-hambaNya yang beriman dan sabar menanggung ujian yang getir. 

ii. Setiap kesukaran pasti berakhir dengan kesenangan. 

iii. Keharusan bekerjasama dan memegang jawatan dalam kerajaan yang tidak Islam.

iv. Keharusan meminta jawatan apabila kita mempunyai kelayakan dan yakin dapat menjalankan tugas dengan sebaik-baiknya.

 

Aspek yang jarang ditonjolkan ialah kesediaan Raja mengangkat Nabi Yusuf a.s. selepas baginda melihat kemampuan Nabi Yusuf a.s. mentakwilkan mimpinya walaupun Nabi Yusuf a.s. menganut agama yang berlainan dengannya.

 

Tidakkah dia bimbang Nabi Yusuf a.s. akan menghasut dan mempengaruhi rakyatnya meninggalkan agama yang dianutinya?

Tidakkah dia bimbang Nabi Yusuf a.s. yang sangat pintar itu akan menggulingkan kerajaan yang dipimpinnya dan merampas takhta yang diwarisinya dari datuk neneknya generasi demi generasi?

 

Sebenarnya keputusan yang dibuat oleh Raja, menyerahkan jawatan penting kepada Nabi Yusuf a.s. menggambarkan sikap keprihatinannya terhadap kepentingan rakyat dan negara. Dia mengetahui melalui mimpinya yang ditakwil oleh Nabi Yusuf a.s. negaranya akan ditimpa kemarau panjang yang menyebabkan bekalan makanan berkurangan. Sebagai persediaan untuk menghadapi keadaan yang mencabar itu negara memerlukan seseorang yang benar-benar mempunyai kepakaran, ikhlas dan amanah dalam melaksanakan tanggungjawabnya. Dan pada firasatnya ciri-ciri itu terdapat pada sosok Nabi Yusuf a.s. yang berupaya mentakwilkan mimpinya.

Lalu baginda tidak teragak-agak meletakkan Nabi Yusuf a.s. di posisi penting di dalam kerajaannya, iaitu sebagai pengurus perbendaharaan hasil bumi sebagaimana yang diminta oleh Nabi Yusuf sendiri....

 

“Ustaz, boleh saya tanya?” Celah Haji Seman.

“Boleh Haji. Silakan!”

“Boleh tak kita kaitkan kisah Raja Mesir ini dengan apa yang berlaku di negara kita sekarang?”

“Hendak kaitkan macam mana tu, Haji?”

“Saya terfikir, sekarang ni negara kita sedang dilanda pelbagai masalah.” 

“Ya, betul.” Ustaz Nasir mengiakan.

“Ada seorang tokoh yang dikenali ramai. Dia pula telah terbukti mempunyai rekod yang cemerlang di dalam pelbagai bidang, dia telah berusaha, berjuang, mengatasi pelbagai halangan, fitnah dan tohmahan. Apabila dia menyatakan dengan penuh yakin bahawa dia telah mempunyai jumlah yang mencukupi untuk mengambil alih pucuk pimpinan, berbagai-bagai pihak; atas, bawah, kiri dan kanan berusaha membina tembok, memasang jerat untuk menghalang kemaraannya. 

Bukankah sepatutnya, mengambil semangat Raja Mesir yang prihatin dengan masalah rakyat dan negara tokoh inilah yang diangkat sekarang?”

 

“Oh! Ke situ pula fikiran engkau ni?” Sampuk Haji Sabran.

“Kita dalam rumah Allah ni, janganlah nak berdebat tentang keadaan politik kepartian pula.” Bantah seorang jemaah.

“Bukan maksud aku hendak berdebat tentang politik kepartian. Kita belajar agama bukan untuk suka-suka. Tapi untuk kita serapkan dalam kehidupan.” Haji Seman mempertahankan tindakannya mengemukakan soalan yang kurang disenangi oleh sebahagian jemaah.

 

“Apa pendapat Ustaz?” Tanya Haji Sabran.

“Beginilah. Dalam Islam ada satu kaedah “tasarruful imami manutun bimaslahatir-ra’iyyah”.

“Apa maksudnya?” Seorang jemaah mencelah sambil mengerutkan dahi.

“Maksudnya, imam atau ketua negara mestilah menjalankan semua urusan selaras dengan kepentingan rakyat. Apa-apa peraturan, polisi dan keputusan yang dibuat dan dilaksanakan mesti mengambil kira kepentingan rakyat. Bukan kepentingan dirinya.”

 

“Cantik. Saya setuju sangat kaedah itu.” Haji Seman pantas menyampuk.

“Sebab itu saya tidak nampak usaha untuk menyekat dan menghalang tokoh yang saya maksudkan tadi menjadi PM itu didorong oleh sikap prihatin kepada kepentingan negara serta rakyat jelata sebagaimana keprihatinan Raja Mesir yang Ustaz ceritakan. Saya bimbang segala usaha untuk menyekat itu semata-mata didorong oleh nafsu serakah ingin mempertahankan takhta dan kuasa!”

Ustaz Nasir merenung Haji Seman tanpa sebarang ulasan.

“Macam mana, Ustaz? Setuju tak?”

 

Ustaz Nasir mengangkat bahu dan membuat memek muka seperti hendak berkata “saya tak mahu campur.”

No comments:

Post a Comment