Wednesday, October 07, 2020

SANGGUPKAH KITA DIAZAB KERANA KEZALIMAN YANG DILAKUKAN OLEH ORANG LAIN?

 

Pastinya tidak ada di kalangan kita yang sudi dan rela dihukum atas kesalahan dan kezaliman yang dilakukan oleh pihak lain, bukan?

Kita akan berkata, di mana keadilan kalau aku dihukum sedangkan aku tidak melakukan kejahatan?

 

Sebelum berhujjah dengan lebih panjang, mari kita sama-sama tadabbur ayat yang bermaksud:

Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya.” (Al-Anfaal 8:25

Ibn Kathir berkata, menurut satu riwayat daripada Ibn Abbas r.a. bahawa beliau mentafsirkan ayat ini dengan berkata: “Allah perintahkan orang-orang yang beriman supaya tidak memperakui kemungkaran yang berkalu secara terang-terangan di dalam kalangan mereka. Jika mereka berbuat demikian, iaitu mendiamkan diri melihat kemungkaran yang dilakukan secara terang-terangan, Allah akan timpakan azab merangkumi mereka semua!”

Tafsiran itu selari dengan sepotong hadis yang diriwayatkan daripada Adi bin Umairah r.a. katanya, aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla tidak mengazab orang ramai dengan sebab dosa yang dilakukan oleh seseorang tertentu kecualilah mereka melihat kemungkaran itu dilakukan secara terang-terangan dan mereka berkuasa untuk mengingkarinya tetapi mereka tidak mengingkarinya. Sekiranya mereka berbuat demikian (tidak mengingkari dalam keadaan mereka mampu mengingkarinya), Allah akan mengazab orang khas (yang melakukan kemungkaran) dan orang awam (yang melihat tetapi tidak mencegah)” Riwayat Ahmad

Hadis lain diriwayatkan daripada Huzaifah bin Al-Yaman r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Demi Tuhan yang diriku di TanganNya, kamu hendaklah benar-benar menyuruh yang makruf dan mencegah mungkar atau jika tidak, Allah akan timpakan azab ke atas kamu dari sisiNya. Kemudian kamu berdoa kepadaNya dengan bersungguh-sungguh, namun Dia tidak memperkenankan doa kamu!” 

Dan Huzaifah r.a. berkata: “Sesungguhnya seorang lelaki bercakap dengan satu perkataan pada zaman Rasulullah s.a.w. dahulu, dia telah jadi munafiq (dengan sebab perkataan itu). Namun hari ini aku mendengar salah seorang daripada kamu menyebut dan mengulang perkataan itu sebanyak empat kali dalam satu majlis. 

Ingatlah! Hendaklah kamu benar-benar menyuruh yang makruf, mencegah yang mungkar dan saling menggalakkan berbuat kebaikan. Atau jika tidak berbuat demikian Allah akan binasakan kamu semua dengan azabNya hingga ke akar umbinya. Atau Allah akan jadikan orang yang jahat dari kalangan kamu menjadi pemerintah. Kemudian (apabila itu berlaku) orang-orang yang baik dari kalangan kamu berdoa, namun doa mereka tidak diperkenankan!” Riwayat Ahmad. 

(Sumber: Tafsir Ibn Kathir)

 

Bukankah ayat serta hadis-hadis yang berkaitan dengannya itu jelas menunjukkan besarnya tanggungjawab kita dalam mencegah kemungkaran. 

Jika tidak, azab akan menimpa ke atas kita semua dalam pelbagai bentuk: doa tidak dimaqbulkan, diperintah oleh pemimpin yang jahat, bala bencana yang melata. 

Bukankah itu semua sedang berlaku ke atas kita sekarang kerana ramai di kalangan kita yang menyokong dan membenarkan pengkhianatan dilakukan secara terang-terangan? 

 

Ya Allah, ampunilah kami. Angkatlah bencana ini dari kami, hambaMu yang lemah lagi berdosa ini .. 

 

08102020

20021442

No comments:

Post a Comment