Tuesday, March 09, 2021

MINDA PRESIDEN

“Assalamu’alaikum, Haji?”
“Wa’alaikumus-salam. Kamu, Salim! Duduklah!”
Salim duduk di sebelah Haji Kasim sambil menghulurkan tangan, bersalaman.
“Haji apa khabar?”
“Alhamdulillah sihat. Kamu tu, kenapa nampak macam orang susah hati saja?”
“Ada hal nak bincang dengan Haji sikit…”
“Hal apa? Serius ke?”
“Ini..” Salim menunjukkan satu artikel yang tertera di laman FB dalam telefon bimbitnya, “Haji dah baca?” sambungnya.
Haji Kasim memandang sepintas lalu artikel yang ditunjuk oleh Salim.
“Oh minda presiden. Mestilah dah baca.” Jawab Haji Kasim dengan penuh rasa bangga.
“Apa pendapat Haji tentang tulisan tu?” Salim menduga Haji Kasim yang merupakan ketua cawangan parti di daerahnya.
“Bagus!” Haji Kasim menunjukkan symbol bagus dengan jarinya, “Minda TG sentiasa bernas dan padat!” sambungnya lagi.
“Saya ada beberapa kemusykilan lah…” luah Salim.
“kemusykilan apa? Engkau ni tak habis-habis dengan kemusykilan!” bebel Haji Kasim kepada setiausahanya itu. Usia Salim lebih muda berbanding usia Haji Kasim. Namun hubungan mereka berdua agak rapat. Haji Kasim sedia melayan apa sahaja persoalan yang diutarakan oleh Salim walaupun tidak semua soalan Salim dapat dijawabnya dengan jawapan yang memuaskan hati si penanya.
“Cuba Haji baca betul-betul tulisannya pada perenggan pertama…”
Kedua-duanya menatap tulisan itu di telefon bimbit masing-masing.
(LANGKAH KANAN BUKAN LANGKAH SHERATON
Alhamdulillah sudah genap setahun Perikatan Nasional (PN) memerintah negara yang tercinta. Langkah yang bermula dengan bismillah selepas sahaja selesai Pilihan Raya Umum ke-14, bukannya sekadar beberapa minit ketika berada di Sheraton sepertimana yang diberikan nama oleh sebahagian pihak. …)
“Haji tak rasa pelik ke?” tanya Salim.
“Apa yang pelik?” Haji Kasim mengerutkan dahi seperti mencari poin manakah yang Salim kata pelik?
“TG kata dia yang rancang rampasan kuasa bermula selepas sahaja selesai Pilihan Raya Umum ke-14?”
“Kalau dia kata begitu, betullah. Dia seorang yang berpandangan jauh!”
“Selama ini kita dengar rampasan kuasa itu rancangan DSAA dan TSMY?”
“Mungkin itu hanyalah satu teori atau andaian pihak tertentu sahaja. Hakikatnya TG-lah perancang utamanya!” jelas Haji Kasim dengan penuh yakin.
“Tapi… kenapa TG merancang untuk rampas kuasa pada hal PH menang dalam PRU-14 dengan cara yang sah?” Salim masih tidak memahami apa tujuan TG rancang untuk rampas kuasa. Apa yang dia faham, apabila sesebuah parti atau gabungan beberapa parti menang dalam PRU, parti itulah yang berhak untuk memerintah sehingga habis penggal selama tiga hingga lima tahun. Dan sekiranya terdapat keraguan, atau disyaki terdapat penipuan dalam proses pengundian, maka kemenangan itu boleh dicabar di mahkamah. Bukan dengan cara rampas kuasa bersama dengan para pembelot.
“Kenapa dia merancang untuk merampas kuasa, Haji? Bukankah PH mencapai kemenangan dengan cara yang sah?”
“Cuba kamu baca apa yang dia tulis tu. Dia sebut kenapa rampasan kuasa perlu dilakukan!”
Salim meneliti lagi teks tulisan TG di telefon bimbitnya. Haji Kasim juga turut berbuat demikian.
(Sebenarnya kemenangan Pakatan Harapan sangat rapuh, lantaran ramai rakyat tertipu dengan manifesto dan janji PRU-14 yang dikemukakan, laksana permohonan Puteri Gunung Ledang dalam cerita dongeng Melayu yang mudah lupa. Khususnya mereka yang lupa terhadap janji-janji PH yang terlalu banyak, dan tidak perlu disebutkan semuanya. Jika diingati kembali, antaranya janji PH untuk menurunkan harga minyak dalam tempoh kurang 24 jam, menghapuskan tol dan banyak perkara lagi.)
“Kamu nampak tak? Dia kata PH tidak menunaikan janji.”
Salim termnangu-termangu.
“Tunai janji atau tidak hanya diketahui apabila mereka telah memerintah, Haji. Ini TG kata “bermula dengan bismillah selepas sahaja selesai Pilihan Raya Umum ke-14,” belum terbukti lagi mereka tunai janji atau tidak. Kenapa sudah rancang untuk jatuhkan?”
Haji Kasim menelan air liur. Dia ligat mencari idea untuk menjawab soalan SUnya ini.
“Itulah kelebihan yang ada pada TG. Dia mampu menjangkakan apa yang akan berlaku. Dia sudah dapat mengagak bahawa PH tidak akan menunaikan janjinya. Bukankah dia kata dalam tulisannya itu bahawa janji PH itu “laksana permohonan Puteri Gunung Ledang dalam cerita dongeng Melayu yang mudah lupa”? Faham tak”
Salim tidak menjawab. Matanya terkebil-kebil memandang Haji Kasim.
“Yang engkau terkebil-kebil pandang aku ni, kenapa? Tak faham lagi?”
Salim hanya mampu tersengeh memandang Haji Kasim.
“Kau kena ingat Salim! Dia tu ulamak, ilmunya tinggi. Tak macam kita ni, jahil. Kamu tengoklah sendiri tulisannya tu.
Mantap
, padat dan berisi. Perumpamaan-perumpamaan yang dia berikan sangat luar biasa. Tak terfikir oleh orang macam kita!”
Salim mengangguk-angguk walaupun persoalan yang ditimbulkan dirasakan belum lawas.
“Boleh tanya satu soalan lagi?”
“Hem… apa lagi?” sahut Haji Kasim tanpa memandang wajah Salim.
“Saya tengok dalam tulisan tu ada yang bercanggah dengan kenyataan yang kita tahu sebelum ini?”
“Kat mana yang kamu kata bercanggah tu?”
“TG kata: (Perubahan kerajaan PH kepada kerajaan PN dilakukan secara demokratik dan mengikut proses Perlembagaan Persekutuan dengan langkah paling tepat, tanpa menebuk atap dan masuk dari pintu belakang.) Salim membaca salah satu perenggan daripada teks minda presiden.
“Betul lah tu.” tanpa berfikir panjang Haji Kasim dengan pantas mengiakannya.
“Bukankah sebelum ini dia kata ini kerajaan tebuk atap? Sekarang dia menafikannya pula?”
“Tebuk atap tu orang lain yang kata. Bukan dia!” tegas Haji Kasim dengan yakin.
“Saya pernah tengok videonya, Haji.”
“Mungkin orang salah petik atau kamu silap faham tu.” Dalih Haji Kasim.
Salim terkedu. Dia sudah mati kutu.
“Saya minta diri dulu lah, Haji.” Dia menghulurkan tangan berjabat salam. Haji Kasim menyambut dan menggenggam tangan Salim dengan erat sambil berpesan,
“Jangan mudah percaya pada fitnah lawan.”
Salim tersenyum hambar. Banyak lagi persoalan yang berligar di dalam kepalanya.
“Bukan di sini tempat aku mencari jawapan kot?” ngomelnya kepada diri sendiri sambil melangkah.

rujukan minda presiden:
https://www.facebook.com/146911248727335/posts/3757920857626338/

No comments:

Post a Comment