Friday, June 11, 2021

JAWATAN : GHANIMAH ATAU GHARIMAH

Istilah ghanimah digunakan merujuk harta yang diperolehi hasil daripada kemenangan dalam peperangan menentang orang-orang kafir. Perkataan ini juga bermaksud faedah, keuntungan, berhasil mendapat sesuatu kebaikan.
Ada golongan yang berpendapat bahawa memegang sesuatu jawatan itu sebagai satu wasilah untuk meraih keuntungan, memperolehi pelbagai faedah yang menggiurkan. Lantaran itu, mereka akan berusaha bermati-matian walau dengan apa cara, tanpa mengambil kira halal atau haram untuk mendapatkan jawatan. Yang penting, jawatan mesti diraih. Makin tinggi jawatan, makin luaslah peluang untuk mendapat ghanimah.
Dan apabila jawatan telah disandang, amat sukar untuk dilepaskan. Berat atau ringan, cemerlang atau kecundang, bukan menjadi perhitungan. Yang penting jawatan mesti dipertahankan demi menjamin ghanimah berterusan mengalir ke dalam genggaman.
Gharimah bermaksud hutang, denda, tanggungan yang membebankan.
Orang yang berpendapat jawatan sebagai satu gharimah akan mengelakkan diri dari mengambilnya, lebih-lebih lagi apabila dia menginsafi akan kelemahan diri serta ketidak upayaannya untuk memikul amanah yang dipertanggungjawabkan.
Rasulullah SAW berkata kepada Abu Dzar RA (mafhumnya) : “wahai Abu Dzar, sesungguhnya engkau lemah. Sesungguhnya tanggungjawab kepimpinan itu satu amanah. Dan pada hari qiamat nanti ia menjadi sebab kepada kehinaan dan penyesalan kecuali orang yang mengambil tanggungjawab itu dengan cara yang betul dan menunaikan tanggungjawb yang dipikulkan ke atasnya dengan sempurna.” (Riwayat Muslim dan Ahmad).
Kata-kata ini adalah bagi menjawap permintaan Abu Dzar RA supaya baginda melantiknya menjadi ketua dalam sesuatu urusan.
Sedia maklum bahawa Abu Dzar RA adalah antara sahabat yang terawal memeluk islam, iaitu sebelum baginda SAW berhijrah ke Madinah. Beliau telah ikut serta dalam beberapa peperangan bersama Rasulullah SAW Beliau juga terkenal sebagai seorang sahabat yang warak, tidak gentar dalam memberi teguran dan nasihat.
Jadi kelemahan beliau yang disebut oleh baginda SAW pastinya bukan kelemahan dari segi ilmu dan iman, bukan juga dari sudut jasmani dan ketangkasan dalam peperangan.
Ini memberikan kita satu pengajaran bahawa kekuatan dan ketangkasan jasmani, keteguhan iman dan akhlak, keluasan ilmu dan pengalaman yang dimiliki oleh seseorang belum pasti dapat menjamin dia mempunyai kekuatan untuk memegang semua jawatan atau memikul semua tugas yang dipertanggungjawabkan. Jawatan adalah satu gharimah. Bukan ghanimah.
Berbeza jika seseorang itu mempunyai kemampuan dan dia mengetahui jika dilepaskan jawatan itu akan dipegang oleh orang yang tidak berkelayakan.
Perhatikan apa jawapan Nabi Yusuf AS apabila Raja Mesir berkata kepadanya: “Sesungguhnya engkau pada hari ini (wahai Yusuf), seorang yang berpangkat tinggi, lagi dipercayai di kalangan kami ".
Yusuf berkata: "Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya". (Yusuf 12:54-55)
Baginda telah menjangkakan masalah besar yang bakal menimpa negeri Mesir. Sekiranya jawatan itu dipegang oleh orang yang tidak mempunyai kelayakan, kepakaran serta integriti yang tinggi, masalah yang bakal menimpa tidak akan dapat diatasi dengan sebaik-baiknya. Maka baginda terus menawarkan diri untuk berada di posisi itu kerana yakin akan kemampuannya (إني حفيظ عليم )

No comments:

Post a Comment