Thursday, January 13, 2022

SEJAHAT-JAHAT MUSLIM VS SEBAIK-BAIK NON MUSLIM

Ada pihak yang berpegang dengan konsep sejahat-jahat seorang muslim yang beriman diterima taubatnya oleh Allah SWT. Manakala sebaik-baik amalan orang yang tidak beriman akan ditolak juga pada Hari Kiamat nanti.

Bukan hendak pertikaikan konsep itu. Sekadar ingin mengingatkan beberapa noktah yang kita sebagai manusia tidak tahu dengan pasti:

Pertama - muslim yang buat jahat itu, pastikah dia sempat bertaubat sebelum malaikat maut datang meragut nyawanya? Tahukah dia bilakah masa malaikat maut akan datang supaya dia dapat bertaubat? Sekiranya kejahatan itu bersabit dengan hak manusia seperti mengambil harta dengan cara yang salah, memfitnah, menjatuhkan maruah, merampas hak yang dimiliki oleh orang lain dengan cara menipu dan berpakat dengan golongan yang zalim, sempatkah meminta maaf dengan mereka yang dizalimi dan memulangkan hak-hak mereka sebelum mati? 

Kalau sempat, alhamdulillah. Kalau tak sempat, bagaimana? 

Kedua –kita tidak tahu siapakah yang akan mati sebagai muslim dan siapakah yang akan mati sebagai kafir. Hal ini difahami daripada hadis sahih Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Ibn Masud RA yang bermaksud: “Sesungguhnya seseorang hamba (manusia) itu benar-benar beramal dengan amalan ahli syurga sehingga jarak antara dia dengan syurga hanya satu hasta, namun telah tercatat dalam ilmu Allah bahawa dia ahli neraka, maka dia beramal dengan amalan ahli neraka, lalu dia masuk neraka. Sebaliknya, seseorang hamba (manusia) itu benar-benar beramal dengan amalan ahli neraka sehingga jarak antara dia dengan neraka hanya satu hasta, namun telah tercatat dalam ilmu Allah bahawa dia ahli syurga, maka dia beramal dengan amalan ahli syurga, lalu dia masuk syurga.”

Ketiga – semuanya serba mungkin. Kita sebagai manusia tidak diberi hak untuk menghukum. Orang yang jahat, mungkin dia sempat bertaubat dan Allah terima taubatnya seperti kisah lelaki yang telah membunuh 100 orang (Riwayat Muslim daripada Abu Saeid al-Khudri RA) dan mungkin dia tidak sempat bertaubat, maka Allah pasti membalasnya setimpal dengan kejahatan yang dia telah lakukan.

Orang yang belum beriman yang melakukan kebaikan, mungkin dengan sebab kebaikan yang dia lakukan itu, Allah berikannya hidayah pada akhir umurnya dan mati sebagai muslim yang beriman, lalu Allah kurniakannya ganjaran yang tidak terhitung banyaknya.

Sesungguhnya Allah Maha Adil. Allah tidak mensia-siakan amalan hambaNya sama ada baik atau jahat walaupun sebesar zarah.

Justeru, kita tidak boleh terlalu yakin dan berasa bangga dengan keislaman kita kerana mungkin dalam ilmu Allah kita akan mati sebagai kafir atau munafiq, na’uzubillahi minzalik (Semoga Allah pelihara kita daripada berlaku sedemikian).

Juga tidak boleh memandang hina dan rendah kepada mereka yang masih kafir kerana mungkin dalam ilmu Allah mereka akan mati sebagai muslim.

Sentiasa berdoa dan bersangka kepada Allah.


Allahu A’lamu bis-sowab. 



No comments:

Post a Comment