Monday, January 23, 2023

SEDEKAH, HIBAH, HADIAH, RASUAH


Umumnya pemberian sesuatu yang benilai kepada seseorang merupakan sesuatu yang dituntut dan digalakkan. Ia menjadi sebab lahirnya perasaan kasih dan mesra sesama insan serta dapat mengeratkan tali persaudaraan serta persahabatan antara mereka. 

Pemberian mempunyai pelbagai cara, nama serta tujuan yang berbeza. 

i. SEDEKAH. Sedekah ialah pemberian kepada seseorang yang memerlukan berupa harta atau makanan. Tujuannya adalah untuk taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah dan meraih ganjaran pahala di dunia dan akhirat.

ii. HADIAH. Hadiah ialah pemberian yang diberikan untuk meluahkan rasa penghargaan, kegembiraan, kecintaan dan seumpamanya. Biasa juga diberikan bersempena dengan perayaan atau sesuatu peristiwa tertentu.

iii. HIBAH. Hibah adalah semata-mata pemberian yang bukan sedekah atau hadiah. Ia bertujuan seperti untuk mengeratkan silatul rahim, menghargai seseorang atas sumbangannya, kesolehannya dan sebagainya.

iv. RASUAH. Rasuah juga satu bentuk pemberian. Tetapi pemberian yang haram dan dilarang. Menurut fuqahak, rasuah merupakan pemberian yang bertujuan untuk membatalkan yang hak (yang benar) atau  membenarkan yang batil (yang salah). Atau boleh dikatakan pemberian yang bertujuan untuk menghalalkan pemberian sesuatu kepada pihak yang tidak berhak dan menghalang pihak yang berhak dari memperolehinya. Atau pemberian kepada hakim supaya membebaskannya dari sesuatu pertuduhan dan menjatuhkan hukuman ke atas seseorang yang tidak bersalah. Menurut Kamus Dewan, definisi rasuah: pemberian utk menumbuk rusuk (me¬nyogok, menyuap), (wang) tumbuk rusuk (sogok, suap): Jabatan Pencegah R~; merasuahi memberi rasuah kpd: dia dituduh ~ pegawai itu; perasuah orang yg memberi rasuah: Allah mengutuk ~, orang yg menerima rasuah dan perantara rasuah antara kedua-duanya. (Kamus Dewan Edisi Keempat). Menurut SPRM, rasuah adalah: Penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi. Suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan, upah, diskaun. Rasuah adalah haram dan terlaknat. Abdullah bin Amru RA berkata bahawa Rasulullah SAW melaknah pemberi dan penerima rasuah. (Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi) 


Allahu A’lam.


No comments:

Post a Comment