Thursday, April 20, 2023

SYUKUR DI ATAS NI’MAT MEMASUKI RAMADAN


Daripada Talhah bin Ubaidillah RA. Beliau menceritakan bahawa dua orang lelaki dari Baliy datang ke Madinah. Kedua-duanya sama-sama memeluk Islam.

Salah seorang daripada mereka sangat rajin berbanding seorang lagi. Beliau ikut berperang lalu syahid.

Manakala yang seorang lagi dipanjangkan usia sehingga satu tahun. Kemudian beliau meninggal dunia.

Talhah berkata, pada suatu malam aku bermimpi aku berada di hadapan pintu syurga. Tiba-tiba aku terpandang kedua-dua lelaki dari Baliy itu.

Aku melihat seseorang keluar dari syurga lalu mengizinkan lelaki yang mati kemudian masuk.

Selepas itu dia keluar dan mengizinkan lelaki yang syahid pula masuk.

Kemudian dia keluar menemuiku dan berkata kepadaku:

“Pulanglah! Waktu untukmu belum tiba lagi.”


Pada paginya Talhah menceritakan mimpinya kepada semua orang yang ditemuinya. Mereka berasa hairan dengan peristiwa yang dialami oleh Talhah dalam mimpinya.

Akhirnya cerita tentang mimpi itu sampai ke pendengaran Rasulullah SAW.

Mereka meluahkan rasa hairan mereka kepada Rasulullah SAW.


Maka Baginda SAW bertanya:

“Apa yang kamu hairankan?”

Mereka berkata:

“Ya Rasulullah, salah seorang daripada kedua mereka sangat rajin beribadah kemudian beliau syahid. Kenapa pula yang seorang lagi itu masuk syurga terlebih dahulu daripadanya?”

Rasulullah SAW bertanya lagi:

“Bukankah dia hidup selama setahun selepasnya?”

“Ya, benar,” jawab mereka.

“Dan dia sempat memasuki Ramadan, lalu dia berpuasa, solat dan lain-lain seperti sujud selama setahun?”

“Ya, benar,” jawab mereka lagi. 

“Maka jarak antara keduanya sejauh langit dengan bumi,” jelas Baginda SAW

Sunan Ibn Majah (3925). Dikategorikan sahih oleh al-Albani.


Justeru, memasuki Ramadan merupakan satu anugerah terbesar, satu ni’mat yang maha hebat. Memasuki Ramadan, lalu berpuasa pada siangnya dan qiam pada malamnya dapat mendahului syuhada’ fi sabilillah. 


Allahu Akbar walillahilhamd!


UMD

30 Ramadan 1444

21 April 2023


No comments:

Post a Comment