Saturday, December 30, 2023

Hikmah Allah Terpampang Dengan Jelas Dalam Peperangan Di Ghazzah


Allah SWT suka hambaNya memerhati kesan-kesan af’al (perbuatan)Nya pada setiap peristiwa yang mereka alami dan mereka saksi. Dia tidak suka sekiranya mereka melintasi apa jua keadaan dengan pandangan yang jumud, otak yang beku seolah-olah apa yang terjadi hanyalah hasil perbuatan manusia semata-mata.

Sesiapa yang memerhati peristiwa yang berlaku di Ghazzah sejak hari pertama sehingga ke hari ini, dia akan lihat ayat-ayat (tanda-tanda kebesaran) Allah, manifestasi nama-namaNya, sifat-sifatNya dan hikmahNya yang terlalu banyak. Antaranya:


1. Kita saksikan betapa teguhnya semangat dan pendirian orang-orang yang beriman, betapa kuatnya hati dan jiwa mereka dalam menghadapi musuh-musuh mereka, betapa sabarnya mereka, dengan semangat yang kental bak besi waja terus mara menghentam musuh sehingga para pemerhati yakin bahawa di sebalik keberanian dan keteguhan itu ada iman yang sangat hebat, ada pertolongan dari Yang Maha Kuat serta keupayaan yang mengatasi kemampuan manusia biasa. Sesungguhnya inilah terjemahan yang sebenar kepada firman Allah yang bermaksud: “(Ingatlah) ketika Tuhanmu wahyukan kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku menyertai kamu (memberi pertolongan), maka tetapkanlah (hati) orang-orang yang beriman.” (Al-Anfaal 8:12) 


2. Kita saksikan betapa sengitnya serangan musuh-musuh Allah ke atas hamba-hambaNya yang beriman, betapa ganasnya mereka membunuh dan menyiksa golongan yang lemah sehingga engkau boleh melihat dengan jelas perbezaan antara pengikut syaitan dengan pengikut Tuhan. Perbezaan yang amat nyata ini menjadi hujjah untuk Allah memahamkan makhlukNya supaya mereka faham sejauh mana kejahatan yang mampu dicapai oleh manusia sekiranya mereka tidak berpaut kepada Allah Yang Maha Penyayang dan sejauh mana ketinggian yang mampu didaki sekiranya mereka mengikuti petunjuk Ilahi. Sesungguhnya perbezaan yang amat ketara ini merupakan satu bukti yang amat besar. “iaitu supaya orang (kafir musyrik) yang binasa itu, binasa dengan keterangan (yang membuktikan kesalahannya), dan supaya orang (Islam) yang hidup itu, hidup dengan keterangan (yang membuktikan kebenarannya); kerana sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Al-Anfaal 8:42) 


3. Kita saksikan betapa ramainya orang-orang kafir yang datang mencari Islam. Mereka memilih untuk menganutinya dengan sukarela kerana didorong oleh perasaan cinta kepada Islam. Puncanya ialah kerana mereka melihat bukti yang nyata, perbezaan yang ketara dan terpampang di hadapan mata kesan iman pada diri pemiliknya. Betapa orang yang memiliki iman itu sangat kental berhadapan dengan musibah yang amat besar. Sedang pada masa yang sama mereka melihat pengikut-pengikut syaitan mencanggahi slogan mereka sendiri, mereka telah terkeluar dari sifat kemanusiaan yang ada dalam diri mereka, mereka menjadi alat untuk membunuh tanpa matlamat. Tidak akan berlaku bilangan manusia yang begini ramai memeluk Islam dalam waktu yang singkat sebagaimana berlaku sekarang kecuali dengan takdir Allah dan hikmahNya. “kerana Allah hendak memasukkan sesiapa yang dikehendakiNya ke dalam rahmatNya.” (Al-Fat-h 48:25) 



4. Kita saksikan ramainya kaum muslimin yang selama ini berada dalam kelalain tersedar dari kelalaian mereka. Muslimin yang telah sekian lama berada dalam keadaan lena sehingga para pentazkirah dan pemberi nasihat telah menempuhi jalan buntu untuk menyedarkan mereka. Segala nasihat, peringatan, hujjah serta dalil yang terang tidak mampu menginsafkan mereka. Maka Allah menyedarkan mereka dengan rahmatNya melalui peristiwa yang amat menggemparkan di Ghazzah supaya mereka bangkit, bertaubat dari kelalaian dan memulakan hidup baru, mengorak langkah untuk beramal. Ini semua adalah daripada af’al (perbuatan) Allah, kesan-kesan asmaa’ dan sifatNya SWT. Sabda Nabi SAW bermaksud: “Tidak ada seorang pun yang paling suka menerima permohonan maaf dan taubat selain daripada Allah.” (Al-Bukhari dan Muslim)


5. Kita saksikan sikap serta pendirian orang-orang munafiq, yang merancang kejahatan dan mempersenda-sendakan orang yang berpegang pada ajaran Islam, kadang-kadang mereka memakai pakaian ulamak, bercakap dengan bahasa syara’; Allah SWT menghendaki kita mengenali mereka, membenci mereka, memusuhi mereka dan memutuskan hubungan dengan mereka sebagaimana firmanNya yang bermaksud: “Allah tidak sekali-kali akan membiarkan orang-orang yang beriman dalam keadaan yang kamu ada seorang (bercampur aduk mukmin dan munafik, bahkan Ia tetap menguji kamu) sehingga Ia memisahkan yang buruk (munafik) daripada yang baik (beriman).” (A-li'Imraan 3:179) . kalaulah tidak kerana peristiwa yang besar ini serta langkah tangkas dan tegas para mujahidin niat jahat mereka tidak terbongkar.



6. kemudian – dan ini yang paling penting -  semua yang kita saksikan yang disebutkan di atas dan banyak lagi yang lain daripadanya yang tidak disebutkan merupakan hujjah, keterangan, tanda-tanda kebesaran Allah SWT. Bukti-bukti yang sangat mantap, hebat dan jelas dapat difahami berdasarkan sunnah Allah, mempunyai kaitan yang rapat dengan perkara yang lebih besar selepas ini. Sesungguhnya Allah menghendaki umat ini bersedia untuk menghadapi perkara yang lebih besar itu dengan mengulangkaji secara menyeluruh, penuh dengan kesedaran, kewaspadaan, keimanan dan kefahaman yang mendalam. Sebagaimana Allah menghendaki musuh-musuhNya yang telah lama tidur lena, dibungkus malam yang gelap gelita supaya cahaya untuk mereka terus padam, bintang-bintang mereka terus tenggealm. Hanya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.


Maka alangkah malangnya orang yang terus lalai selepas menyaksikan peristiwa yang besar ini. Dan alangkah bahagianya orang yang celik mata hatinya dan bangkit memulakan hidup baru dengan menjadikan ayat-ayat ini sebagai pegangannya: 

- ﴿قل إن صلاتي ونسكي ومحياي ومماتي لله رب العالمين﴾

- ﴿إنما وليكم الله ورسوله والذين آمنوا الذين يقيمون الصلاة ويؤتون الزكاة وهم راكعون﴾

- ﴿استعينوا بالله واصبروا إن الأرض لله يورثها من يشاء من عباده والعاقبة للمتقين﴾


#freepalestin


No comments:

Post a Comment