Sunday, September 23, 2012

Keluarkan ayam daripada balang


Seorang guru sedang mengajar mata pelajaran bahasa Arab di dalam sebuah bilik darjah.

Tiba-tiba seorang murid menyampuk:

Murid 1: Mu'allim, bahasa Arab ni susahlah!

Sebelum sempat murid tersebut menghabiskan kata-katanya, murid-murid lain menyampuk dengan serentak menyetujui apa yang dikatakan oleh murid tadi. Bukan sekadar itu, mereka menambah pula dengan bermacam-macam alasan, sehingga kelas menjadi hingar bingar.

Guru yang agak panik dengan suasana yang tidak diduga dengan tiba-tiba itu berkata dengan suara yang agak kuat bagi melawan kebisingan yang sedang memuncak.

Mu'allim: Baiklah! Kalau begitu, hari ini kita tidak akan belajar bahasa Arab. Saya akan tukar dengan permainan.

Seketika mereka bersorak kegembiraan dan seterusnya diam menanti permainan yang dijanjikan mu'allim.

Mu'allim melukis di atas papan putih sebiji balang kaca yang runcing di sebelah atas. Dilukisnya pula seekur ayam di dalam balang tersebut. Kemudian dia berkata: "Siapa yang dapat keluarkan ayam daripada balang ini dengan syarat balang tidak pecah dan ayam tidak mati."

Mulalah mereka mencuba memberikan pandangan bermacam-macam cara. Namun semuanya tidak berjaya. Akhirnya seorang murid yang duduk di barisan paling belakang berkata dengan nada putus asa:

Murid 2: Mu'allim, kita tidak dapat keluarkan ayam itu kalau tidak dipecahkan balang atau dipotong-potong ayam terlebih dahulu.

Mu'allim: Tidak boleh. Itu telah melanggar syarat!

Murid 2: (Dengan nada mengejek) Kalau begitu, suruhlah orang yang telah memasukkan ayam itu ke dalam balang mengeluarkannya sebagaimana yang dia masukkan!

Kata-kata itu disambut gelak ketawa murid-murid di dalam kelas. Tetapi gelak ketawa itu tidak lama. Ia telah dipatahkan oleh jawapan guru.

Mu'allim: Betul, betul! Itulah jawapan yang sebenarnya. Sesiapa yang memasukkan ayam ke dalam balang, dia sahajalah yang boleh mengeluarkannya. Begitu jugalah kamu semua!

Ayat terakhir itu membuatkan mereka tercengang. Apa pula kaitan ayam dalam balang dengan diri mereka? Guru meneruskan syarahannya...

Mu'allim: Kamu sudah letakkan anggapan di dalam minda kamu bahawa bahasa Arab itu susah. Macam manapun saya cuba untuk mengajar kamu supaya kamu faham, kamu tetap akan rasa susah kecuali kamu keluarkan dulu anggapan yang kamu telah letakkan itu. Keluarkan sendiri tanpa bantuan orang lain sebagaimana anggapan itu kamu telah letakkan sendiri tanpa bantuan sesiapapun.

Saturday, September 22, 2012

Cintakan Nabi, apa buktinya?


Tidak susah untuk setiap orang daripada kita mendakwa bahawa dia cintakan Nabi s.a.w. Namun mampukah kita membuktikannya?

Cintakan Nabi bererti melaksanakan tanggungjawab yang dituntut ke atas kita terhadapnya. Mari kita semak satu persatu tanggungjawab tersebut.

1. Mengenali dirinya, susur galur keturunannya, bangsanya, kelahirannya bila dan di mana? Kita wajib mengetahui bahawa baginda dilahirkan dalam kalangan keluarga paling mulia dan keturunan paling suci. Di dalam sepotong Hadis, baginda bersabda maksudnya: "... kemudian Allah memilih beberapa qabilah, maka dijadikanNya aku di dalam sebaik-baik qabilah, kemudian Dia memilih beberapa rumah, maka dijadikan aku dalam sebaik-baik rumah. Lantas, aku adalah insan terbaik dari rumah yang terbaik." (At-Tirmizi)

2. Mengenali ahli keluarga baginda; isteri-isteri, anak-anak, cucu-cucu dan ahli bait baginda. Sesungguhnya Allah telah mensucikan keluarga baginda dari segala kejahatan. Firman Allah bermaksud: "... Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu wahai "AhlulBait" dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji).” (Al-Ahzab 33:33)

3. Mengetahui sifat-sifat baginda, iaitu sifat khalqiyyah (dari segi penciptaan) dan sifat khuluqiyyah (budi pekerti). Sesungguhnya Nabi s.a.w. dicipta dengan sebaik-baik rupa, sebaik-baik bentuk dan sebaik-baik penciptaan. Baginda juga dihiaskan dengan sebaik-baik akhlak, sama ada sebelum atau selepas diutus menjadi rasul. Keindahan akhlak baginda diperakui oleh Allah ‘Azza wa Jalla di dalam firmanNya yang bermaksud: “Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.” (Al-Qalam 68:4)

4. Beradab dengan baginda sebagaimana anak beradab dengan bapa, murid dengan guru. Tidak harus kita memanggil namanya tanpa dikaitkan dengan kedudukannya (sebagai nabi dan rasul) dan tidak harus kita mendahulukan pendapat kita daripada petunjuk serta sunnah yang dibawanya. “Janganlah kamu jadikan seruan atau panggilan Rasulullah di antara kamu seperti seruan atau panggilan sesama kamu; sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang di antara kamu yang menarik diri keluar (dari majlis Nabi) secara berselindung dan bersembunyi.” (An-Nur 24:63)

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengangkat suara kamu melebihi suara Nabi dan janganlah kamu menyaringkan suara (dengan lantang) semasa bercakap dengannya sebagaimana setengah kamu menyaringkan suaranya semasa bercakap dengan setengahnya yang lain. (Larangan yang demikian) supaya amal-amal kamu tidak hapus pahalanya, sedang kamu tidak menyedarinya.” (Al-Hujurat 49:2)

5. Mentaati perintahnya. Taat kepada Rasul bererti taat kepada Allah. Taat kepada Rasul juga bukti seorang hamba itu kasih kepada Allah. “Sesiapa yang taat kepada Rasulullah, maka sesungguhnya dia telah taat kepada Allah dan sesiapa yang berpaling ingkar, maka (janganlah engkau berdukacita wahai Muhammad), kerana Kami tidak mengutusmu untuk menjadi pengawal (yang memelihara mereka dari melakukan kesalahan).” (An-Nisaa’ 4:80)

“Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Aali ‘Imran 3:31)

Para sahabat r.anhum mengikuti baginda dalam semua urusan kehidupan mereka. Mereka mengetahui tentang baginda segala titik bengik kehidupan baginda, baik mengenai urusan persendirian atau urusan awam, sehinggakan mereka mengetahui berapa bilangan rambut dan janggut baginda yang telah putih kerana uban.

6. Mencontohi dan mengikuti perbuatan baginda serta menghayati sunnah, berpegang kepada hidayah yang dibawanya dan berakhlak sebagaimana akhlak baginda. Firman Allah Ta'ala bermaksud: "Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)” (Al-Ahzab 33:21)

Maka wajib atas kita mengasihi apa yang dikasihi baginda dan membenci apa yang dibenci baginda serta beramal dengan syariat yang baginda bawa dalam segala urusan hidup kita agar kita tidak termasuk dalam kalangan mereka yang disebut di dalam ayat berikut: "... Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya, beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (An-Nur 24:63)

7. Limpahkan hati dengan perasaan cinta kepada baginda kerana itu merupakan kesempurnaan iman. Dan seseorang itu akan berada bersama dengan orang yang dicintainya pada hari qiamat nanti. Sebagai contoh betapa hebatnya cinta para sahabat kepada baginda, pada suatu hari baginda melihat khadimnya (pembantunya) yang bernama Thauban pusat lesi wajahnya, lalu baginda bertanya kenapa wajahnya berubah sedemikian rupa. Thauban menjawab: "Aku teringat pada hari qiamat nanti, Rasulullah akan berada di beberapa tingkat paling tinggi di syurga, sedangkan kami di tempat yang lebih rendah daripada Rasulullah. Maka bagaimana kami mampu bersabar berpisah dan berjauhan dari Rasulullah?" Maka Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: " Seseorang itu akan bersama dengan orang yang dicintainya." (Al-Bukhari)

Maka sesiapa yang mencintai Rasulullah s.a.w., dia akan bersama dengan baginda di syurga. Alangkah indahnya kalau dapat mendampingi baginda serta para sahabat r.anhum.

8. Membanyakkan selawat dan salam ke atas baginda. Ganjaran berselawat ke atas baginda sangat besar. Dan sesiapa yang memberi salam kepada baginda, akan dijawabnya dari dalam kuburnya sebagaimana sabdanya bermaksud: "Sesiapa yang berselawat dan memberi salam ke atasku, Allah kembalikan ruhku, lalu aku menjawab salamnya." (Abu Daud)

9. Mempertahankan baginda baik semasa hayatnya atau selepas kewafatannya. Dari semasa ke semasa tidak henti-henti musuh menyerang baginda, baik ke atas peribadi, mahupun ke atas ajaran yang dibawa. Serangan datang bertalu-talu dari segenap penjuru, dari luar dan dari dalam. Namun segala serangan itu tidak sedikitpun menggugat baginda atau menjejaskan kesucian agama yang dibawa. Ini kerana baginda sentiasa dipelihara dan dilindungi Allah 'Azza wa Jalla sebagaimana firmanNya yang bermaksud: " Sesungguhnya Kami tetap memelihara dan mengawalmu dari kejahatan orang-orang yang mengejek-ejek dan mempersendakanmu,” (Al-Hijr 15:95)

Sungguhpun begitu, sebagai mukmin kita tidak harus berpeluk tubuh membiarkan baginda diserang dan disakiti dengan alasan baginda sudah dilindungi Allah. Sebaliknya kita mestilah membela dan mempertahankan baginda dengan apa cara, hatta mengorbankan nyawa dan darah sebagaimana yang dilakukan oleh para sahabat r.anhum. Itulah buktinya kita mencintai baginda. Sabdanya bermaksud: "Tidak beriman seseorang kamu sehingga aku lebih dicintainya berbanding keluarganya, hartanya dan manusia seluruhnya." (Al-Bukhari).

Friday, September 14, 2012

Ucapan Ustaz Umar at-Tilimsani kepada pemuda




Ini merupakan ucapan terakhir Ustaz Umar, mujahid yang telah berangkat menemui Tuhannya, ucapan yang ditujukan kepada pemuda pada pertemuan tahunan terakhir di Kaherah sebelum beliau menghembus nafas terakhir beberapa bulan selepas itu.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas khatam al-anbia' dan al-mursalin, Sayyidina Muhammad, ahlinya dan sahabat-sahabatnya.

Wahai anak-anak yang dikasihi lagi disayangi

Kekuatanku telah longlai, kesihatanku telah lemah, penyakit dan kesakitan timpa menimpa. Benteng kesejahteraan tiada lagi mampu melawan.

Tetapi, ketika aku dijemput menghadiri haflah atau perhimpunan dan aku diberi ruang untuk bercakap kepada pemuda, tiba-tiba aku bagaikan direntap keluar dari kelemahan kepada kekuatan, dari sakit kepada sihat. Seluruh jiwa raga dilimpahi kebahagiaan kerana aku akan bertemu dengan pemuda yang merupakan bekalan bagi umat ini untuk masa kini dan hari-hari mendatang.

Dan sekalipun kamu pernah mendengar aku bercakap kepada kamu lebih daripada satu kali di mana aku tidak bercakap kecuali tentang keselamatan, keamanan dan kestabilan, jangan menunjuk perasaan, jangan melakukan kerosakan dan elakkan pertembungan. Sekalipun semua itu, aku tidak mengetahui apakah faktor yang menjadikan aku dihalang daripada bercakap kepada para pemuda. Aku tidak dijemput menghadiri suatu perhimpunan untuk bercakap kepada pemuda kecuali aku disekat. Hanya inilah peluang yang dapat diterobos. Itupun aku tidak tahu bagaimana ia datang?

Wahai pemuda!

Sesungguhnya orang yang berada di sekeliling Rasulullah s.a.w. adalah dari kalangan pemuda!! Umar r.a. berusia 26 tahun. Talhah bin Abdullah, az-Zubair bin al-Awwam, Ali bin Abi Talib, semuanya dari kalangan pemuda. Dan kamu adalah pemuda.

Bahkan lebih daripada itu, Rasulullah s.a.w. telah melantik menjadi pemimpin di Najran seorang sahabat bernama Abdullah bin Hazm al-Ansari. Baginda mengutus Abdullah ke Najran untuk mengajar penduduknya agama, mengajar mereka menghafaz al-Quran dan memungut zakat daripada mereka. Tahukah kamu berapa umur sahabat tersebut? 17 tahun. Pemuda yang berumur 17 tahun mengajar agama, menghafazkan al-Quran dan memungut zakat. Inilah yang sedang kita usahakan dengan sungguh-sungguh sekarang.

Dakwah Ikhwan Muslimin tidak mencari dan tidak mengingini kecuali untuk melihat sirah serta sunnah Rasulullah s.a.w. terlaksana di negeri ini kerana wilayah ini, dari Iraq ke Maghribi adalah wilayah Islam.

Kita adalah kaum muslimin, dari Indonesia ke Maghribi. Adapun dakwah qaumiyyah arabiyyah (kebangsaan Arab) yang dengannya mereka hendak memesongkan kita dari Islam sedikit demi sedkit, sekali-kali tiada tempat di kalangan kita, kaum muslimin.

Kita adalah muslimun sebelum yang lain-lain sekalipun negeri tempat tinggal kita berbeza. Kita adalah ummah muslimah sebagaimana firman Allah bermaksud:
“Sesungguhnya ugama Islam inilah ugama kamu, ugama yang satu asas pokoknya, dan Akulah Tuhan kamu; maka sembahlah kamu akan Daku.” Al-Anbiaa’:92
“Dan sesungguhnya ugama Islam ini ialah ugama kamu – ugama yang satu asas pokoknya, dan Akulah Tuhan kamu; maka bertaqwalah kamu kepadaKu.” Al-Mu’minun:52

Inilah hakikat yang kita berusaha keras ke arah merealisasikannya. Dan aku tidak mengetahui kenapa pemuda muslim yang memikul dakwah kepada Allah ini diperangi?

Semua pertubuhan, semua parti ada di dalamnya pemuda. Semua pertubuhan menggesa pemudanya supaya bergerak aktif. Sehingga parti kebangsaan yang memerintahpun ada di dalamnya pemuda dan dipanggil dengan gelaran yang khusus. Kenapa hanya pemuda yang berdakwah kepada Allah sahaja yang disekat dan dihalang dari dakwahnya?

Namun, dalam semua situasi itu, aku tetap menasihatkan diriku dan diri kamu agar bersabar, tabah dan kuatkan tekad menghadapinya. Jangan memberontak kerana tidak itu mendatangkan kebaikan kepada dakwah. Yang beruntung hanya musuh-musuh negara ini.

Wahai pemuda:

Kamu memikul dakwah yang paling suci dalam kehidupan ini. Dan kamu diiktiraf oleh semua golongan. Aku mendengar dengan telingaku sendiri pujian kepada kamu. Aku mendengar sebutan yang baik tentang kamu. Aku mendengar kata-kata yang membicarakan keikhlasan kamu, kegigihan dan kesungguhan kamu. Tetapi aku mendengar semua itu dalam majlis-majlis yang tertutup. Apabila orang yang bercakap tentang kebaikan kamu itu keluar di tengah-tengah masyarakat, aku mendengar mereka menuturkan ucapan yang berbeza. Mereka memerangi jamaah Islam, bertindak keras ke atasnya dan memanggilnya pengganas. Mereka lakukan begitu dalam keadaan mereka tahu tentang kamu, tetapi mereka menyembunyikannya. Kenapa?

Mungkin aku tahu dan mungkin juga aku tidak tahu. Kalaupun aku tahu, di sana ada sesuatu yang menghalang aku untuk berterus terang mengatakannya. Bukan semua yang diketahui itu mesti diucapkan. Dan sekiranya aku tidak tahu, maka itu merupakan kelemahanku sebagai manusia yang tidak mengetahui sesuatu yang ghaib. Sesungguhnya yang ghaib itu tidak ada yang mengetahuinya kecuali Allah s.w.t.

Wahai pemuda:

Sesungguhnya apa yang aku minta daripada kamu, dan kami adalah generasi yang telah mendahului kamu, iaitu kami bawa kepada kamu bendera ini. Kami telah menanggung pelbagai siksa dan sengsara ketika membawanya. Kami dibunuh, dihalau, disera, dipenjara dan sebagainya. Bukan aku berkata begitu. Mahkamah-mahkamah jenayah Mesir yang mengakuinya, di mana setengah prosidur dan penghakiman yang berlaku pada masa itu amat-amat memalukan.

Itulah yang telah kami hadapi dan kami tanggungi. Adakah ia menjejaskan keazaman kami walau sekelumit?

Sesungguhnya Ikhwan keluar dari setiap mihnah (tribulasi) dengan semangat yang lebih kuat daripada ketika mereka masuk ke dalamnya. Kerana dengan mihnah itu terbongkarlah hakikat mereka (Ikhwan), manusia mengenali tentang mereka. Mereka adalah rijal, pemuda yang memikul dakwah paling suci, mereka menyeru manusia ke jalan paling lurus, mereka menarik keluar umat Islam dari Iraq ke Maghribi dan di tempat-tempat lain dari lembah kehinaan akibat membelakangi kitab Allah s.w.t.

Kami sebutkan kata-kata ini kepada kamu, kami ajarkan kamu dan kami dedahkan kepada kamu pengalaman kami pada masa lalu.

Kenapa kita ditindas? Bukankah kita berada di dalam zaman orang bercakap tentang demokrasi? Sekalipun aku tidak mengiktiraf perkataan demokrasi, tetapi aku tahu kebebasan di dalam Islam. demokrasi adalah ciptaan manusia, sedangkan kebebasan adalah satu daripada anugerah Allah. Alangkah jauhnya antara keduanya.

Demokrasi yang kita perkatakan tentangnya, apabila kita bandingkan dengan demokrasi yang berlaku di luar sana sangat pelik. Terlalu pelik.

Aku mengenali setengah negara beraja yang diperintah oleh seorang raja, sesiapapun dari kalangan manusia, di mana-mana tempat yang jauh dari kesesakan jalan, boleh mengkritik raja dan pemerintahannya, dan tiada siapapun yang mampu menghalangnya.

Adapun di sini, kita mencari satu medan kita tidak menemuinya, kita menyewa satu ruang, pintu ditutup di hadapn kita. Maka di manakah yang dikatakan demokrasi?

Aku yakin kamu tahu atau kamu baca sebagaimana kami telah baca bahawa telah sabit kesalahan presiden Amerika Syarikat bahawa dia melakukan intipan ke atas parti lawan. Maka kes itu menjadi sebab dia meletakkan jawatan presiden USA kerana itu dianggap telah melanggar sempadan sistem demokrasi.

Aku tidak mengetahui bagaimana kita hidup?

Di pintu pejabat, mata-mata gelap berlegar di dalam dan di luar, termasuk di rumahku juga. Tetapi aku tidak menoleh kerana tidak penting bagiku sama ada aku tetap berada di rumah atau di penjara. Kedua-duanya sama sahaja bagiku. Sesungguhnya aku, dengan rahmat Allah, telah menyerahkan urusanku dan ruhku kepada Allah s.w.t. Dialah yang melakukan apa yang dikehendakiNya. Semua tindakan mereka tidak penting bagiku.

Di setiap tempat telefon diawasi. Kenapa? Adakah kita ini musuh kepada Mesir? Adakah kita ini musuh kepada tanah air ini? Sebenarnya kitalah warga yang paling ikhlas kepada tanah air ini. Kitalah orang yang mengembalikan keamanan, kestabilan negeri ini sehingga presiden mampu bergerak di jalan-jalan dan lorong-lorong di Kaherah dengan berjalan kaki tanpa rasa takut, tanpa dikawal oleh ribuan pasukan keselamatan untuk menjaga keamanan jalan-jalan. Kenapa? Adakah kita telah kehilangan kepercayaan kepada satu sama lain? Adakah presiden tidak percaya kepadaku dan aku tidak percaya kepadanya.

Kami percaya kepada presiden, tetapi mereka?

Kami tidak menyeru kepada menggulingkan kerajaan. Kami menyeru kepada mengislahkan kerajaan. Kalau ditawarkan kepada kami kementerian, kami menolaknya kerana kami tidak meminta kerajaan, tetapi kami meminta kerajaan yang adil, siapapun yang menerajui pemerintahan ini.

Wahai pemuda:

Nasihatku kepada kamu, peganglah dakwah ini. Peganglah hingga ke titisan terakhir darah kamu, sehingga ke detik terakhir nafas kamu. Berpeganglah dengan janji Allah. Berpeganglah dengan tali Allah yang kukuh. Tidak ada tempat kembali, tidak ada tempat selamat kecuali dengan kembali kepada Allah s.w.t.

Seandainya kerajaan-kerajaan di zon ini berpakat untuk sesuatu perkara yang mendatangkan faedah kepada tanah air mereka, nescaya keadaan ini akan berubah, nescaya kedudukan zon ini akan bertukar, nescaya kita menjadi satu kekuatan yang benar-benar dipandang orang, nescaya Israel, Amerika dan Russia tidak akan mampu membuat kerosakan di benua kita atau mengacau bilaukan maruah kita serta kehurmatan kita sebagaimana yang sering kita baca di akhbar-akhbar.

Wahai pemuda:

Aku menasihati kamu, khususnya para siswa supaya kamu berpegang kepada akhlak yang mulia dengan guru-guru kamu di kuliah-kuliah. Jangan berbuat perkara yang tidak baik terhadap guru, jangan bersikap kasar walaupun mereka tidak sealiran dengan kamu.

Wahai pemuda:

Kami kemukakan hal ini kepada kamu, dan kami menegaskan bahawa para duat kepada Allah sering menghadapi pelbagai ujian. Sesiapa yang benar-benar bersedia untuk menjual dunia ini dan membeli akhirat, membeli syurga yang lebarnya antara langit dengan bumi, maka masukilah medan ini, pikullah kalimah Allah, katakanlah kebenaran dengan beradab, dengan matang, rasional, jelas dan berlandaskan hujjah. Dan usah peduli apa yang akan menimpanya selepas itu.

Tidak ada sesuatupun yang berlaku di dalam alam ini kecuali mengikut ketentuan Allah s.w.t.

Demi Allah, jika kita bertasbih dengan memuji para pemerintah siang dan malam, pada hal mengikut ketentuan Allah kita akan masuk penjara, kita tetap akan masuk penjara. Dan kalau kita tegur mereka siang dan malam dengan teguran yang membuatkan mereka rasa tertekan, pada hal tidak ada dalam ketentuan Allah kita akan masuk penjara, kita pasti tidak akan masuk penjara.

Semua perkara di dalam alam ini mengikut ketentuan Allah sejak azali, pada hari Dia menciptakan langit dan bumi dan menurunkan manusia di muka bumi ini. Semuanya telah tertulis, apa yang akan menimpa manusia seorang, seorang. Dia mengetahui setiap peristiwa yang akan berlaku satu persatu. Maka kenapa kita takut?

Menunjuk perasaan dengan kekuatan, mencela guru-guru, membaling bangunan universiti dengan anak batu, memecah dan meruntuhkan, semua itu bukan akhlak pendakwah Islam. Pendakwah kepada Allah ialah pendakwah kesejahteraan dan keamanan. Aku tidak dapat menggambarkan pemuda yang menyeru kepada Allah, pemuda yang di dalam hatinya mantap kefahaman tentang dakwah kemudian dia mengganas, meruntuhkan, memukul dan mengasari.

Agama ini adalah din yang sejahtera. Muhammad s.a.w. adalah rasul kesejahteraan. Allah s.w.t. antara NamaNya yang Husna ialah as-Salam.

Wahai pemuda:

Kita hanya wajib melaksanakan apa yang diwajibkan ke atas kita melaksanakannya. Adapun natijah adalah milik Allah s.w.t.

Kamu membaca di dalam al-Quran ayat (dan katakanlah: beramallah) dan kamu tidak akan temui satu ayatpun, yang terdapat perintah supaya kita tanggung natijah amal kita. Kita wajib beramal, kita jangan memandang lamanya masa, atau kita berkata telah berlalu puluhan tahun, namun kita tidak juga sampai kepada natijah. Sesungguhnya kita telah melalui perubahan yang sangat banyak. Pada permulaan dakwah ini, tuntutan supaya melaksanakan Syariat Allah merupakan satu jenayah. Seseorang ditangkap dan dibicarakan kerana tuntutan ini. Dan dakwah terus bergerak dan bergerak ke hadapan sehingga sekarang ini kamu telah baca bahawa semua parti politik di Mesir, ketika mereka mengemukakan hasrat memasuki pilihanraya yang lalu, agenda pertama yang mereka bawa ialah melaksanakan Syariat Islam. Ini merupaka satu kejayaan yang tidak terbatas. Kejayaan yang sangat besar kepada dakwah Ikhwan Muslimin. Perlembagaan negara mengandungi peruntukkan berikut:
"Agama rasmi bagi negara adalah Islam". Ungkapan ini sebenarnya tiada makna kerana kita adalah umat Islam. Namun dakwah Ikhwan Muslimin menggesa kerajaan agar menyebutkannya di dalam perlembagaan. Dan tertulislah di dalam perkara dua: "Bahawanya Syariat Islam adalah sumber utama perundangan bagi negara ini".

Justeru, kita sebenarnya menapak ke hadapan langkah demi langkah secara perlahan-lahan. Dan ketika aku mengadakan pertemuan akhir-akhir ini dan membincangkan tentang pelaksanaan Syariah di dewan rakyat dan pendapat Ikhwan mengenainya, mereka menyatakan pandangan mereka: kami tidak mahu menekan dan menyusahkan. Kami menyeru supaya diperundangkan Syariah Islam secara perlahan-lahan supaya tidak timbul kekeliruan.

Setengah hakim, peguam dan wakil-wakil rakyat tidak mengkaji Syariah Islam. Majority terbesar dari kalangan mereka tidak tahu langsung tentang pengajian Islam. Maka bagaimana aku hendak menuntut satu kaum yang tidak belajar tentang sesuatu supaya melaksanakannya? Jadi kita wajib menghadapi dengan lembut, sedikit demi sedikit sehingga mereka menghayati apa yang kita serukan kemudian mereka menjalankan peranan mereka sebagaimana yang sepatutnya mereka jalankan.

Wahai pemuda:

Aku menyeru kamu supaya bersabar dengan kesabaran yang cantik (sobrun jamil). Sobrun jamil itu ialah kesabaran yang tiada sungutan bersamanya. Tidak ada ungkitan dan tidak ada putus asa kerana Allah s.w.t. berfirman maksudnya: (Dan kesudahan (yang baik) itu untuk orang yang bertaqwa).

Wahai pemuda:

Sesungguhnya peranan kamu sangat besar dan sangat penting. Dan pandangan kamu tentang semua perkara mestilah didasarkan kepada kajian dan penelitian yang sangat teliti. Aku bersumpah dengan sumpah yang benar di mana aku tidak berdosa dengan sumpah tersebut bahawa sekiranya kita melkasanakan Syariah Allah di negeri ini, sudah tentu keadaan akan berubah dengan suatu perubahan yang tidak pernah digambarkan sama sekali oleh mana-mana insan. Inilah peranan kamu. Inilah tanggungjawab kamu.

Kamu sebagai penuntut, doktor, peguam atau jurutera, kamu ada kawan-kawan, ada keluarga, ada saudara mara yang boleh kamu mantapkan kefahaman ini di persekitaran kamu, tempat kamu tinggal dan bekerja.

Ini satu lagi manifestasi yang indah yang kita lihat berlaku di kalangan kaum wanita. Pernahkah kita lihat pemandangan seperti ini sebelum tersebarnya dakwah Ikhwan? Atau pemandangan yang hampir serupa dengannya? Sesungguhnya aku belajar di fakulti undang-undang tahu 1931. Di situ hanya terdapat seorang sahaja pelajar perempuan, tetapi sedihnya dia tidak memakai pakaian keislaman.

Hari ini kita lihat di fakulti perubatan, kejuruteraan dan pertanian di sebuah universiti, malah di semua unversiti, mahasisiwinya beriltizam dengan pakaian Islam sepenuhnya. Ini adalah satu kurniaan Allah hasil dakwah Ikhwan Muslimin.

Oleh itu aku menyeru kamu wahai ikhwah, janganlah kamu berpada hanya sekadar menjadi akh muslim, atau berpuas hati sekadar dirinya telah bersolat, berpuasa dan bermujahadah. Jangan! Menyebarkan dakwah itulah yang dituntut daripada kamu, setiap orang. Maka, awas kamu! Jangan berlengah, jangan bermalas, jangan berasa berat untuk melaksanakan kewajipan ini. Awas! Jangan kamu tanggalkan baju yang telah dipakaikan Allah kepada kamu dengan memilih Muhammad s.a.w. sebagai ikutan dan pemimpin kamu.

Wahai pemuda:

Aku wasiatkan kamu agar bersabar. Aku bercita-cita kalaulah aku dapat berbicara dengan kamu lebih banyak daripada ini, atau aku dapat ucapkan semua yang ada padaku. Namun, sayang sekali aku tidak mampu.

Aku mengucapkan kata-kataku ini dan memohon ampun kepada Allah untuk diriku dan kamu. Aku serahkan urusanku kepada Allah. Sesungguhnya Allah itu Maha Melihat akan hamba-hambaNya.

Umar at-Tilimsani
Al-Mursyid al-'Aam lil-Ikhwan al-Muslimin.

Sumber:
http://www.ikhwanonline.com/new/Article.aspx?ArtID=118751&SecID=373


Wednesday, September 05, 2012

Nasi Dagang


Nasi dagang (baca dage) adalah satu daripada makanan istimewa orang Kelantan dan Terengganu. Sekarang seolah-olah tidak jadi istimewa lagi sebab di mana-manapun ada orang jual, khususnya waktu pagi di samping nasi lemak, nasi kerabu dan lain-lain.

Setiap kali makan nasi dagang (ND) pasti teringat ND yang dimasak oleh Cik (Bondaku). Tidak ada yang sama dengan masakan Cik. Bukan bias, tapi masakan Cik memang super sedap.

Sesiapa yang teringin hendak merasa kesedapannya, bolehlah cuba resepinya. Ana kongsikan di sini supaya menjadi satu ilmu bermanfaat yang akan menambah hasanah Cik di alam barzakh. Kalau bukan ana, anak tunggalnya siapa lagi yang akan mengongsikan ilmunya ini? Lagipun jarang orang terfikir, resepi pun boleh jadi ilmu bermanfaat yang boleh menambah pahala.

Baiklah. Ana akan kongsikan cara memasak gulai ND yang sedap. Cumanya masakan orang dulu-dulu tidak guna sukatan macam sekarang, agak-agak saja melalui pengalaman. Namun semuanya terasa kelazatannya.

Bahan-bahan:

Ikan tongkol (ikan ayo)
Santan
Serbuk kari ikan
Garam, gula melaka (manisan), asam keping
Minyak

Bahan untuk dikisar:
Bawang merah, bawang putih, cili kering, lengkuas, halia dan kunyit.

Cara memasak:

1. Rebus ikan dengan garam, gula melaka dan asam keping. Jangan bubuh air terlalu banyak kerana kuahnya tidak digunakan. Hanya ikan saja yang digunakan. Kalau air terlalu banyak, rasa masin, manis dan masamnya tidak berapa sebati dengan isi ikan.
2. Tumis bahan yang telah dikisar, masukkan rempah kari ikan yang telah dibancuh dengan sedikit air. Kacau sehingga naik minyak. Masukkan santan. Bubuh sedikit garam, gula melaka dan asam keping (hati-hati jangan terlebih kerana ikan telah ada rasa masin, manis dan masamnya).
3. Setelah santan mendidih, masukkan ikan yang telah direbus tadi. Biarkan sebentar dengan api yang kecil. Sedap juga dimasukkan cili merah atau cili hijau yang segar.

Selamat mencuba.

“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha" dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (Al-Isra’:23-24)

Monday, August 27, 2012

Hudud Allah


Setiap kali timbul isu pelaksanaan hukum hudud, bermacam-macam ulasan dikemukakan, berbagai-bagai reaksi dibangkitkan bagaikan tiada kesudahan. Sebagai mukmin, sepatutnya kita yakin dan terima dengan redha apa yang Allah dan Rasul tentukan. Itulah hakikat iman: yakin dan redha.

“Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.” (Al-Ahzab:36)

“Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak kepada Kitab Allah dan Sunnah RasulNya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata: Kami dengar dan kami taat: dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan.” (An-Nur:51)

“Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.” (An-Nisaa’:65)

Perkataan HUDUD disebut di dalam al-Quran beberapa kali dalam pelbagai konteks. Setiap kali perkataan HUDUD disebut semuanya disandarkan kepada Allah (hududullah).

“Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu. Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu mengkhianati diri sendiri, lalu Dia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu. Maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib) dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid. Itulah HUDUD Allah, maka janganlah kamu menghampirinya. Demikian Allah menerangkan ayat-ayat hukumNya kepada sekalian manusia supaya mereka bertakwa.” (Al-Baqarah:187)

“Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah dia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik. Dan tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri yang diceraikan itu) kecuali jika keduanya (suami isteri) takut tidak dapat menegakkan HUDUD Allah. Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan HUDUD Allah, maka tidaklah mereka berdosa; mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebuskan dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu). Itulah HUDUD Allah maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa yang melanggar HUDUD Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. Sesudah (diceraikan dua kali) itu, jika diceraikan pula (bagi kali yang ketiga) maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sesudah itu, sehingga dia berkahwin dengan suami yang lain. Setelah itu kalau dia diceraikan (oleh suami baru itu dan habis idahnya), maka mereka berdua (suami lama dan bekas isterinya) tidaklah berdosa untuk kembali (berkahwin semula), jika mereka kuat menyangka akan dapat menegakkan HUDUD Allah dan itulah HUDUD Allah, diterangkannya kepada kaum yang (mahu) mengetahui dan memahaminya.” (Al-Baqarah:229-230)

Persoalan yang dibincangkan dalam ayat-ayat di atas adalah mengenai perceraian dan hubungan suami isteri. Istilah hudud bermaksud syari’at yang ditetapkan oleh Allah. Ia merupakan sempadan yang tidak boleh dilanggari atau dilepasi. Rasulullah s.a.w. menjelaskan di dalam sepotong Hadis sahih riwayat al-Bukhari bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah meletakkan sempadan-sempadan (hudud), maka janganlah kamu melanggarinya. Dia telah memfardhukan kefardhuan-kefardhuan, maka janganlah kamu meninggalkannya. Dia telah mengharamkan beberapa perkara, maka janganlah kamu mencerobohinya. Dan Dia telah diam (tidak menyebut) tentang beberapa perkara kerana kasihan belas kepada kamu, bukan kerana Dia lupa, maka janganlah kamu bertanya-tanya tentangnya.” (Tafsir Ibn Kathir, jld 1, hal 207)

“Segala hukum yang tersebut adalah HUDUD Allah dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam Syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya dan itulah kejayaan yang amat besar. Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan RasulNya dan melampaui HUDUDNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api Neraka, kekallah dia di dalamnya dan baginya azab seksa yang amat menghina.” (An-Nisaa’:13-14)

Dua ayat daripada surah an-Nisaa’ di atas pula didatangkan selepas Allah Ta’ala mengupas secara terperinci mengenai kaedah pembahagian harta pusaka yang juga merupakan satu ketentuan yang tidak boleh diubah dan ditukar ganti. Dalam konteks ini, Ibn Kathir mengemukakan satu Hadis yang diambil daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesungguhnya seorang lelaki itu telah beramal dengan amalan ahli kebaikan selama 70 tahun, tetapi dia melakukan penyelewengan di dalam wasiatnya, dengan itu dia menutup usianya dengan amalan kejahatan, lalu dia masuk neraka. Dan sesungguhnya seorang lelaki itu beramal dengan amalan ahli kejahatan selama 70 tahun, tetapi dia berlaku adil di dalam wasiatnya, dengan itu dia menutup usianya dengan amal yang baik, maka dia masuk syurga.” Dan Abu Hurairah berkata: “Bacalah jika kamu mahu ayat “An-Nisaa’: 13 dan 14.” (Tafsir Ibn Kathir, jil 1, hal 366)

“Orang-orang A`rab lebih keras kufurnya dan sikap munafiknya dan sangatlah patut mereka tidak mengetahui HUDUD yang diturunkan oleh Allah kepada RasulNya dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (At-Taubah:97)

“HUDUD yang diturunkan oleh Allah” di dalam ayat di atas bermaksud kefardhuan-kefardhuan yang disyari’atkanNya. Ada yang berpendapat maksudnya ialah hujjah atau dalil yang dikemukakan Allah untuk menthabitkan RububiyyahNya dan kebenaran rasul-rasul yang diutuskanNya. (Tafsir al-Qurtubi)

“Dan orang-orang yang "ziharkan" isterinya, kemudian mereka berbalik dari apa yang mereka ucapkan (bahawa isterinya itu haram kepadanya), maka hendaklah (suami itu) memerdekakan seorang hamba sebelum mereka berdua (suami isteri) bercampur. Dengan hukum yang demikian, kamu diberi pengajaran (supaya jangan mendekati perkara yang mungkar itu) dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu lakukan. Kemudian, sesiapa yang tidak dapat (memerdekakan hamba), maka hendaklah dia berpuasa dua bulan berturut-turut sebelum mereka (suami isteri) itu bercampur. Akhirnya sesiapa yang tidak sanggup berpuasa, maka hendaklah dia memberi makan enam puluh orang miskin. Ditetapkan hukum itu untuk membuktikan iman kamu kepada Allah dan RasulNya (dengan mematuhi perintahNya serta menjauhi adat Jahiliah) dan itulah HUDUD Allah, dan bagi orang-orang yang kafir disediakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (Al-Mujadilah:3-4)

Ayat 3 dan 4 surah al-Mujadilah ini juga berkaitan dengan hubungan suami isteri. Perkataan hudud di dalam ayat di atas bermaksud perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah. (Tafsir Ibn Kathir, jil 3, hal 460)
Yang diharamkan dalam ayat ini ialah mendera dan menzalimi isteri dengan cara menyamakannya dengan ibu sendiri. Lalu dia diabaikan tanpa disetubuhi.

“Wahai Nabi! Apabila kamu (engkau dan umatmu) hendak menceraikan isteri-isteri (kamu), maka ceraikanlah mereka pada masa mereka dapat memulakan idahnya dan hitunglah masa idah itu (dengan betul), serta bertakwalah kepada Allah, Tuhan kamu. Janganlah kamu mengeluarkan mereka dari rumah-rumah kediamannya (sehingga selesai idahnya) dan janganlah pula (dibenarkan) mereka keluar (dari situ), kecuali (jika) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata dan itulah HUDUD Allah (maka janganlah kamu melanggarnya) dan sesiapa yang melanggar HUDUD Allah maka sesungguhnya dia telah berlaku zalim kepada dirinya. (Patuhilah hukum-hukum itu, kerana) engkau tidak mengetahui boleh jadi Allah akan mengadakan, sesudah itu, sesuatu perkara (yang lain).” (At-Talaq:1)

Ayat 1 daripada surah at-Talaq menghuraikan tentang hak isteri selepas diceraikan suami. Hak itu merupakan syari’at yang ditentukan Allah yang tidak boleh dilanggari. (Tafsir Ibn Kathir, jil 3, hal 513)

Jelas bahawa perkataan hudud bermaksud syari’at dan batas-batas yang ditentukan Allah supaya mukmin mematuhi dan melaksanakannya. Tidak ada beza antara satu hukum dengan yang lain, sama ada yang berkaitan dengan kekeluargaan, kemasyarakatan, kenegaraan dan sebagainya. Apa saja yang ditentukan Allah, ia merupakan HUDUD yang wajib dipatuhi. Itulah antara ciri orang beriman yang telah menjual diri dan hartanya kepada Allah ‘Azza wa Jalla.

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual belinya itu dan (ketahuilah bahawa) jual beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar. (Mereka itu ialah): Orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji Allah, yang mengembara (untuk menuntut ilmu dan mengembangkan Islam), yang rukuk, yang sujud, yang menyuruh berbuat kebaikan dan yang melarang daripada kejahatan, serta yang menjaga HUDUD Allah. Dan gembirakanlah orang-orang yang beriman (yang bersifat demikian).” (At-Taubah:111-112)

Sunday, August 26, 2012

Murtabak lapis usrati


Kali ini ana nak kongsi makanan jasmani. Tapi kalau kena gaya boleh jadi makanan emosi dan rohani juga sebab kalau ahli keluarga rasa sedap makanan ini, mereka tentu rasa gembira dan kita yang masakpun rasa puas. Bila hati sudah gembira, rohanipun ceria insya Allah.

Ok, nama masakan seperti di atas: murtabak lapis usrati.

Bahan-bahan:

Sebungkus roti gardenia, 3 biji telur, 3- 4 cawan susu segar, keju (jika suka).

Untuk inti:

2 biji ubi kentang dipotong dadu
2 biji bawang besar dipotong dadu juga
250 gram daging atau ayam dicincang
bawang merah, bawang putih dan halia untuk tumis
serbuk kari atau kurma dan minyak untuk menumis
garam, gula, asam jawa secukup rasa
(Masak seperti memasak inti karipap. Bila sudah masak, biarkan hingga sejuk.)

Cara-cara membuat murtabak:

Sapukan loyang 4 persegi dengan majerin. Aturkan 4 keping roti di dalam loyang tadi, tuang susu segar ke atas roti sehingga roti itu basah dan lembut.
Pecahkan 2 biji telur, masukkan ke dalam inti yang telah sejuk, kacau rata-rata.
Letakkan sebahagian inti di atas roti, ratakan. Taburkan keju (jika suka)
Ambil 4 keping roti lagi, aturkan di atas inti. Tuang susu segar di atas roti sehingga semuanya basah dan lembut.
Masukkan baki inti, lakukan seperti yang pertama tadi. Taburkan keju jika suka.
Aturkan 4 keping roti lagi untuk menutup inti. Tuang susu segar di atas roti seperti di atas. Pastikan semua bahagian roti basah dan lembut.
Pecahkan sebiji telur, pukul sehingga sebati kuning dan putihnya. Tuang ke atas roti, ratakan sehingga menutupi seluruh permukaan roti tersebut.

Masukkan ke dalam ketuhar, bakar sehingga masak. Anggaran 30 minit insya Allah.

Selamat mencuba. Kalau sedap, sebarkan. Kalau tak sedap baikilah sendiri sampai jadi sedap.

Thursday, August 16, 2012

10 Panduan Menyambut Hari Raya

Hari raya fitrah, atau ‘eidul-fitri merupakan satu anugerah Allah kepada hamba-hambaNya yang telah menjalani ibadah puasa selama sebulan di bulan Ramadhan.

An-Nasa’e dan Ibn Hibban meriwayatkan daripada Anas r.a. katanya: Nabi s.a.w. telah tiba di Madinah. Di kalangan penduduk Madinah terdapat dua hari di mana mereka bermain bersuka ria pada dua hari tersebut. Maka baginda bersabda maksudnya: “Sesungguhnya Allah Ta’ala telah gantikan untuk kamu dengan dua hari yang lebih baik daripada keduanya: Hari (raya) al-Fitri dan al-Adha.

Daripada Aisyah r.a., beliau menceritakan bahawa Abu Bakar r.a. datang ke rumahnya pada Hari Mina (Hari Tasyriq). Pada ketika itu terdapat dua orang kanak-kanak perempuan sedang menyanyi sambil memalu kompang. Nabi s.a.w. pula menutup muka dengan bajunya. Lantas Abu Bakar mengherdik kedua-dua kanak-kanak perempuan itu. Maka Nabi s.a.w. menyelak mukanya lalu bersabda: “Wahai Abu Bakar, biarkanlah mereka berdua kerana hari ini adalah hari raya.” Murttafaq ‘alaih.

Jelas bahawa hari raya adalah satu anugerah, rahmat dari Yang Esa. Justeru, apa yang patut dilakukan ketika menyambut hari raya?

1. Takbir bermula dari tenggelam matahari akhir Ramadhan dan berakhir ketika imam keluar untuk menunaikan solat sunat hari raya. Firman Allah Ta’ala bermaksud: “…dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur.” (Al-Baqarah:185) Daripada az-Zuhri, dia berkata: “Adalah menjadi kebiasaan manusia bertakbir pada hari raya ketika mereka keluar dari rumah-rumah mereka sehingga mereka sampai ke tempat solat dan sehingga imam keluar (ke tempat solat). Apabila imam keluar, marekapun diam (berhenti dari bertakbir) dan apabila imam bertakbir (takbiratul-ihram), mereka bertakbir (takbiratul-ihram).” Riwayat Ibn Abi Shaibah. Lafaz takbir adalah:
الله اكبر الله أكبر لا إله إلا الله والله أكبر , الله أكبر ولله الحمد
Tambahan daripada itu adalah sesuatu yang baik. Kata asy-Syafi’ei, tambahan yang paling aku sukai ialah:
الله أكبر كبيرا والحمد لله كثيرا وسبحان الله بكرة وأصيلا ،لا إله إلا الله ولا نعبد إلا إياه مخلصين له الدين ولو كره الكافرون، لا إله إلا الله وحده صدق وعده ونصر عبده وهزم الأحزاب وحده، لا إله إلا الله والله أكبر
kerana Nabi s.a.w. menyebut lafaz yang sedemikian di atas bukti Safa sebagaimana riwayat Imam Muslim.

Takbir disunatkan kepada semua pada malam hari raya, di masjid-masjid, di rumah-rumah, di jalan-jalan, secara bersendiri dan berkumpulan, orang yang bermuqim dan bermusafir.

2. Mandi. Imam an-Nawawi berkata di dalam kitab (al-Majmum’): Disunatkan mandi pada dua hari raya. Perkara ini tiada khilaf mengenainya dan telah menjadi pegangan. Telah diriwayatkan bahawa Ibn Umar melakukannya, di samping qias kepada sunat mandi pada hari Jumaat. Waktu sunat mandi adalah selepas terbit fajar, iaitu selepas masuk waktu subuh. Jika mandi sebelum itu, sebahagian ulamak berkata harus, sebahagian lagi berkata tidak dapat pahala sunat.

3. Berhias dengan memakai pakaian yang baru atau yang cantik jika tidak dapat mengadakan yang baru. Daripada Abdullah bin Umar r.a. katanya: Umar telah mengambil sehelai jubah sutera yang dijual di pasar lalu dibawa kepada Rasulullah s.a.w. Dia berkata: “Ya Rasulullah, belilah jubah ini. Anda boleh berhias pada hari raya dan ketika menyambut rombongan (yang berkunjung dari jauh)”. Rasulullah s.a.w. berkata kepadanya: “Sesungguhnya pakaian ini tidak sesuai.” Muttafaq ‘alaih. Nabi s.a.w. menolak baju tersebut kerana ia diperbuat daripada sutera, tetapi tidak membantah kata-kata Umar untuk berhias pada hari raya.

4. Makan sebelum keluar ke tempat solat hari raya. Al-Bukhari meriwayatkan daripada Anas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. tidak keluar ke tempat solat pada hari ‘Eidul-Fitri sebelum baginda makan beberapa biji kurma. Dan baginda makan dalam bilangan ganjil. Di dalam syarah Hadis ini, Ibn Hajar berkata: hikmah baginda makan sebelum solat adalah untuk mengelak sangkaan sesetengah orang yang mungkin akan menyangka, wajib berpuasa sehingga selesai solat sunat hari raya.

5. Pergi ke tempat solat melalui satu jalan dan balik dari tempat solat melalui jalan yang lain. Jabir bin Abdullah r.a. berkata: Nabi s.a.w., ketika hari raya berjalan (waktu pergi dan pulang dari tempat solat) pada jalan yang berlainan. Riwayat al-Bukhari.

6. Sunat pergi ke tempat solat dengan berjalan kaki kerana itulah yang dilakukan oleh Nabi s.a.w. sebagaimana diriwayatkan oleh Ibn Majah daripada Ibn Umar dan Ali r.a.

7. Solat sunat hari raya. Ia sunat dilakukan di tanah lapang seperti yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. sebagaimana diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim, kecuali terdapat halangan seperti hujan, cuaca terlalu sejuk dan sebagainya. Jika luput solat sunat pada hari raya, sunat diqadha pada keesokan harinya di waktu yang sama dilakukan secara bersendirian atau berjamaah tanpa membaca khutbah. Sekiranya hari raya jatuh pada hari Jumaat, maka gugur kewajipan solat Jumaat ke ata mereka yang telah menunaikan solat sunat hari raya. Mereka hanya wajib menunaikan solat Zohor. Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesungguhnya telah berhimpun pada hari ini dua hari raya. Maka sesiapa yang mahu meninggalkan solat Jumaat, telah memadai untuknya solat hari raya. Namun kami tetap melaksanakan solat Jumaat.” Riwayat Abu Daud.

8. Sunat mendengar khutbah selepas solat. Ia tidak wajib, tetapi mendengar lebih afdhal. Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesungguhnya kami menyampaikan khutbah. Sesiapa yang suka duduk untuk mendengarnya, hendaklah dia duduk dan sesiapa yang suka untuk beredar, hendaklah dia beredar.” Riwayat Abu Daud.

9. Tahinah kepada satu lain. Terdapat beberapa riwayat bahawa para sahabat r.a. serta salaf as-soleh selepas pulang dari solat saling mengucapkan tahniah kepada satu sama lain dengan ucapan:
تقبل الله منا ومنكم
Walau bagaimanapun tiada riwayat yang thabit daripada Rasulullah s.a.w. mengenai ucapan itu. Maka ia tidak boleh dikatakan sunnah. Ia boleh dikatakan sebagai satu adat yang baik dan tidak bercanggah dengan Syariah.

10. Lahirkan kegembiraan dengan makan, minum serta hiburan yang harus. Daripada Aisyah r.a., beliau berkata: “Abu Bakar datang ke rumahku pada hari raya. Ketika itu terdapat dua orang kanak-kanak perempuan Ansar sedang menyanyikan lagu yang masyhur di kalangan orang Ansar berkenaan Hari Bu’ath (peperangan yang berlaku sebelum Islam). Dua kanak-kanak itu bukanlah penyanyi. Abu Bakar berkata: “Adakah terdapat seruling syaitan di rumah Rasulullah s.a.w.?” Maka Rasulullah menjawab: “Wahai Abu Bakar, bagi setiap kaum itu ada hari raya. Dan hari ini adalah hari raya kita.” Al-Bukhari.

Moga-moga puasa yang telah kita jalani dan hari raya yang kita rai penuh rahmah dan barakah daripada Allah ‘Azza wa Jalla.

Wednesday, August 15, 2012

Ole Ole Ramadhan Buat Akhawat Tersayang


Alhamdulillah dengan rahmatNya kita telah hampir menamatkan tarbiah Ramadhan yang penuh keberkatan. Semoga kita tidak lupa apa yang kita perlu capai ketika menjalani tarbiah selama sebulan ini, iaitu TAQWA sebagaimana dinyatakan di dalam firmanNya yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” (Al-Baqarah:183)
Taqwa adalah sifat mulia yang tumbuh dan subur di dalam jiwa apabila kita menjalani ibadah puasa dengan sebenar-benarnya, dengan penuh penghayatan yang tulus ikhlas keranaNya semata-mata. Apabila taqwa subur merendang di dalam hati, akan indahlah amalan dan berserilah budi pekerti menghiasi peribadi. Firman Allah bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman Syurga, dengan mata air-mata air terpancar padanya. (15)
(Keadaan mereka di sana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan kepadanya oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan. (16)
Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja masa dari waktu malam, untuk mereka tidur. (17)
Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun). (18)
Dan pada harta-harta mereka, (ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi) hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta). (19)
(Adz-Dzariyat)

Perhatikan keindahan ciri-ciri orang yang bertaqwa yang diperincikan di dalam ayat-ayat di atas:

1. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan. Orang yang berbuat kebaikan adalah terjemahan kepada perkataan muhsinin. Muhsinin adalah orang yang memiliki sifat ihsan. Dari segi bahasa, ihsan adalah nama terbitan dari kata kerja (fi’il) ahsana. Ahsana bermakna berbuat baik dan melakukan sesuatu dengan cara yang terbaik. Dalil bagi makna berbuat baik ialah firman Allah bermaksud: “ Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik (ihsan) kepada kedua ibu bapanya;…” (Al-Ahqaf:15) Dalil bagi makna buat dengan cara yang terbaik ialah firman Allah bermaksud: “Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dengan sebaik-baiknya dan dimulakanNya kejadian manusia berasal dari tanah;” (As-Sajadah:7)
Selain daripada dua makna di atas, Nabi s.a.w. telah menambah satu makna baru seperti yang dihuraikan di dalam Hadis no 2, (Hadis 40 Imam an-Nawawi) “Ihsan ialah engkau beribadah kepada Allah seolah-olah engkau melihatNya. Jika engkau tidak melihatNya, maka Dia melihat engkau.”
Di dalam surah Aali ‘Imran ayat 134, Allah menyatakan: “dan Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik (muhsinin)”. Sebelum itu Allah telah sebut tiga daripada ciri orang yang bertaqwa, iaitu: “orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang.” Maka secara tidak langsung, bila kita kaitkan ayat 134 surah Aali ‘Imran dengan ayat 16 surah adz-Dzariyat, kita dapat faham bahawa maksud muhsinin di sini juga merangkumi tiga ciri yang disebutkan di dalam surah Aali ‘Imran, iaitu menginfaqkan harta pada masa senang dan susah, menahan marah dan memaafkan orang.

2. Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja masa dari waktu malam, untuk mereka tidur. Inilah yang kita lakukan sepanjang Ramadhan. Sedikit tidur kerana bertarawih, bersahur dan pada malam-malam 10 terakhir pula berjaga mencari Lailatul-Qadar. Rupa-rupanya inilah yang Allah hendak jadikan budaya hidup kita. Ramadhan hanya sekadar latihan. Tambahan sebagai du’at, qiamul-lail adalah bekalan yang sangat-sangat kita perlukan.
“Wahai orang yang berselimut!. (1)
Bangunlah sembahyang Tahajud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat), (2)
Iaitu separuh dari waktu malam atau kurangkan sedikit dari separuh itu, (3)
Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya dan bacalah Al-Quran dengan "Tartil". (4)
(Sayugialah engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri masing-masing dengan ibadat yang berat kepada hawa nafsu, kerana) sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang berat (kepada orang-orang yang tidak bersedia menyempurnakannya).” (5)
(Al-Muzzammil)

3. Dan pada waktu akhir malam (sahur) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun). Allahu Akbar! Allah sunatkan kita bersahur sepanjang Ramadhan bukan hanya sekadar untuk bekalan berpuasa, tetapi Allah hendak latih kita bangun pada waktu yang berkat itu untuk beristighfar. Jadi, untuk mengekalkan ciri orang yang bertaqwa, kita mesti terus bangun waktu sahur, walaupun bukan untuk makan sahur, sebaliknya bangun untuk beristighfar. Mungkin ada yang bertanya, apakah tidak boleh beristighfar di waktu lain? Pastinya boleh. Tetapi Allah kehendaki hambaNya yang bertaqwa itu memilih waktu terbaik, waktu Dia turun ke langit dunia untuk memaqbulkan doa dan mengampunkan dosa. Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Allah Tabaraka wa Ta’ala turun setiap malam ke langit dunia di sepertiga terakhir daripada malam. Lalu Dia berfirman: “Apakah di sana ada orang yang meminta, maka akan Aku berikan? Apakah di sana ada orang yang berdoa, maka akan Aku qabulkan? Apakah di sana ada orang yang memohon ampun, maka akan Aku ampunkan?” Riwayat al-Bukhari, Muslim dan lain-lain.

4. Dan pada harta-harta mereka, (ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi) hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta). Ramadhan juga dikenali sebagai bulan sedekah. Rasulullah s.a.w. adalah seorang insan yang amat pemurah, dan baginda paling pemurah pada bula Ramadhan. Banyak bersedekah dalam bulan Ramadhan bukan bererti selepas Ramadhan wang disimpan. Sebaliknya, sedekah di bulan Ramadhan hanyalah latihan untuk membangunkan potensi menjadi seorang yang pemurah. Jalan dakwah adalah jalan yang menuntut pengorbanan yang tiada sempadan. Bukan sahaja harta, malah jiwa juga mesti dikorbankan.

Akhawat fillah yang dikasihi,
Marilah kita kutip ole-ole Ramadhan ini dan jadikan ia bekalan hidup kita sepanjang hayat.

تقبل الله منا ومنكم

MAAF ZAHIR DAN BATIN.

Friday, August 10, 2012

Lailatul-Qadar : Pencarian Bermula


Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam al-Qadar, (1) Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam al-Qadar itu? (2) Malam al-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. (3) Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); (4) Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! (5)

Imam Malik rahimahullah berkata di dalam kitabnya (Al-Muwatto’) bahawa dia telah mendengar daripada seorang yang dia percayai kejujurannya dari kalangan ahli ilmu, bahawa Rasulullah s.a.w. diperlihatkan usia manusia sebelumnya yang sangat panjang, maka baginda seolah-olah merasai alangkah pendek usia umatnya. Dengan usia yang pendek itu umatnya tidak akan mencapai amal sebanyak yang dicapai oleh umat lain sebelumnya kerana usia mereka panjang. Maka Allah Taala menganugerahkan baginda Lailatul-Qadar yang lebih baik daripada 1000 bulan.

Kenapakah malam itu dinamakan Lailatul-Qadar?
Menurut Shaikh Ibn Uthaimin, dinamakan Lailatul-Qadar kerana:
- kemuliaannya. Al-Qadar bermakna asy-Syaraf, iaitu kemuliaan. Seseorang yang mulia dan mempunyai kedudukan disebut: fulanun zu qadar ‘azeem
- pada malam itu ditentukan apa yang akan berlaku pada tahun itu dan ini menunjukkan kebijaksanaan Allah serta menerangkan ketelitian perbuatan dan kejadianNya dan ia bertepatan dengan firmanNya yang bermaksud: “pada malam yang berkat itu, dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku, (tidak berubah atau bertukar).” (Ad-Dukhan:4)
- ibadah pada malam tersebut sangat besar ganjarannya, iaitu lebih baik daripada 1000 bulan, dan sebagaimana dinyatakan di dalam sepotong Hadis yang sahih (maksudnya): “Sesiapa yang qiam pada malam al-Qadar dalam keadaan beriman dan ihtisab (mengharap ganjaran serta keredhaan Allah) diampunkan apa yang terdahulu daripada dosanya.” Muttafaq ‘alaih.

Bilakah Lailatul-Qadar itu?
Lailatul-Qadar adalah satu malam daripada malam-malam di bulan Ramadhan. Di dalam sepotong Hadis sahih, Nabi s.a.w. menyebut beberapa fadhilat Ramadhan, dan di antara fadhilat tersebut baginda menyatakan: “… padanya (Ramadhan) terdapat satu malam yang lebih baik daripada 1000 bulan. Sesiapa yang dihalang dari kebaikannya, maka sesungguhnya dia telah terhalang.” (Ahmad dan an-Nasa’e.
Daripada Aisyah r.a. katanya: Adalah Rasulullah s.a.w. beri’tikaf pada sepuluh malam terakhir daripada Ramadhan. Dan baginda bersabda maksudnya: “Carilah Lailatul-Qadar pada 10 malam terakhir daripada Ramadhan.” (Muttafaq ‘alaih)
Daripada Aisyah r.a. juga, Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Carilah Lailatul-Qadar itu pada malam witir (ganjil) daripada 10 terakhir Ramadhan.” (Al-Bukhari)

Apa yang patut dilakukan pada Lailatul-Qadar?
Nabi s.a.w. memberikan sepenuh tumpuan untuk beribadah pada 10 malam terakhir. Baginda menghidupkan seluruh malamnya dengan ibadah, membangunakan ahli keluarganya dan mengemaskan ikatan kain sarungnya. Ini digambarkan oleh Sayyidatuna Aisyah r.a. dengan katanya: “Adalah Rasulullah s.a.w. bersungguh-sungguh di dalam ibadah pada 10 malam terakhir lebih daripada apa yang dilakukan pada malam-malam yang lain.” (Muslim) Beliau juga berkata: “Apabila masuk 10 malam terakhir, baginda mengemaskan ikatan kain sarungnya dan menghidupkan seluruh malamnya serta membangunkan ahli keluarganya.” (Muttafaq ‘alaih)
Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesiapa yang qiam pada Lailatul-Qadar dengan iman dan ihtisab, diampuni apa yang terhadulu daripada dosanya.” (Muttafaq ‘alaih)
Jadi Lailatul-Qadar adalah malam di mana seorang hamba mengurung diri untuk Tuhannya semata-mata. Rasulullah s.a.w. beri’tikaf di masjid dan tidak menggauli isteri. Baginda hanya mengisi masa dengan solat, zikir, tilawah, bersedekah dan berdoa. Doa yang baginda ajar kepada Aisyah r.a., apabila Aisyah bertanya apa yang patut beliau lakukan pada malam al-Qadar, ialah:
اللهم إنك عفو تحب العفو فاعفو عني

Adakah terdapat tanda-tanda Lailatul-Qadar?
Allah telah sifatkan Lailatul-Qadar sebagai malam yang penuh kesejahteraan hingga terbit fajar. Selaras dengan itu, Ibn Abbas r.a. meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Ia adalah malam yang lapang lagi ceria, tidak panas dan tidak sejuk. Matahari akan terbit pada paginya dengan warna merah yang lemah.” (At-Tayalisiy)
Menurut Shaikh Ibn Uthaimin, tanda Lailatul-Qadar terbahagi kepada dua, iaitu muqarinah dan lahiqah. Muqarinah adalah tanda yang seiring dengan malam tersebut, iaitu:
1. Cahayanya lebih kuat dan lebih terang daripada kebiasaan. Tanda ini sukar dilihat pada masa kini kecuali di tempat-tempat yang jauh dari pelbagai jenis lampu yang dipasang di waktu malam.
2. Hati terasa tenang dan dada terasa lapang.
3. Angin berhembus membelai lembut tanpa ribut atau angin kencang
4. Kadang-kadang Allah memberi mimpi kepada orang-orang tertentu sebagaimana pernah berlaku kepada beberapa orang sahabat radhiallahu ‘anhum
5. Manusia yang qiam pada malam tersebut akan rasa lebih lazat daripada malam-malam yang lain.
Tanda-tanda lahiqah ialah tanda yang mengikutinya atau yang terjadi selepas Lailatul-Qadar. Matahari terbit pada hari berikutnya tanpa sinar yang memancar, bersih dan murni tidak seperti hari-hari yang lain. Ini digambarkan di dalam Hadis yang diceritakan oleh Ubai bin Ka’ab r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesungguhnya matahari terbit pada hari itu tanpa ada pancaran sinarnya.” (Muaslim)

Monday, August 06, 2012

Muhasabah Nuzul al-Quran

Setiap tahun menjelang 17 Ramadhan, umat Islam menyambut hari Nuzul al-Quran. Bersempena dengan hari yang sangat penting dan bersejarah itu (walaupun tiada persepakatan dari segi tarikh sebenar peristiwa itu), elok kita bermuhasabah sejauh manakah kita telah melaksanakan tanggungjawab sebagai umat al-Quran?
Al-Quran adalah sebuah kitab suci yang tiada tandingannya. Apakah tanggungjawab kita terhadap kitab suci tersebut? Sekurang-kurang terdapat enam tanggungjawab yang wajib kita laksanakan:

Pertama: Beriman kepada al-Quran dengan sebenar-benar iman. Kita wajib beriman bahawa al-Quran adalah kitab suci, Kalam Allah yang sangat benar lagi terpelihara dari sebarang kekurangan, kesilapan dan kebatilan. Hal ini telah dinyatakan dengan cukup jelas dan tegas, di samping dalil-dalil aqli yang tidak dapat dipertikaikan lagi. Firman Allah Ta’ala bermaksud:
- Diturunkan Al-Quran ini, dengan tidak ada sebarang syak padanya, dari Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. (As-Sajadah:2)
- Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar terhadap Al-Quran ketika sampainya kepada mereka, (akan ditimpa azab seksa yang tidak terperi); sedang Al-Quran itu, demi sesungguhnya sebuah Kitab Suci yang tidak dapat ditandingi, Yang tidak dapat didatangi sebarang kepalsuan dari mana-mana arah dan seginya; ia diturunkan dari Tuhan Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Terpuji. (Fussilat:41-42)
- Kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya. (An-Nisaa’:82)
- Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya. (Al-Hijr:9)

Kedua: Membaca al-Quran dengan betul. Membaca al-Quran adalah satu daripada ibadah yang sangat besar pahalanya. Terdapat banyak ayat dan Hadis mengenai kelebihan membaca al-Quran. Antaranya:
- Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian; (Fatir:29)
- Ahli-ahli Kitab itu tidaklah sama. Di antaranya ada golongan yang (telah memeluk Islam dan) tetap (berpegang kepada agama Allah yang benar) mereka membaca ayat-ayat Allah (Al-Quran) pada waktu malam, sedang mereka sujud (mengerjakan sembahyang). (Aali ‘Imran:113)
- Daripada Abi Umamah r.a., beliau mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Bacalah al-Quran. Sesungguhnya al-Quran akan datang pada hari qiamat nanti memberi syafa’at kepada tuannya (orang yang membacanya).” Riwayat Muslim
- Daripada Ibn Umar r.a., Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Tiada iri hati kecuali kepada dua orang; orang yang Allah anugerahkannya (kebolehan membaca) al-Quran, lalu dia membacanya di waktu malam dan siang, dan orang yang Allah berikannya harta, lalu dia infaqkan hartanya (di jalan Allah) siang dan malam.” Mutafaq ‘alaih.

Ketiga: Tadabbur untuk memahami ayat-ayatnya dan mempelajari tafsirannya. Al-Quran diturunkan untuk memimpin manusia ke jalan yang lurus, mengeluarkan mereka dari kegelapan kepada cahaya, menyelamatkan mereka dari kesesatan, kejahilan dan kesyirikan kepada kebenaran serta kebahagiaan dunia dan akhirat. Semua itu tidak akan terlaksana sekiranya manusia tidak memahami apa yang dibicarakan di dalam al-Quran. Maka menjadi kewajipan bagi umat yang menerima kitab suci yang mulia ini memahami dan mempelajarinya dengan sungguh-sungguh. Allah Ta’ala memerintahkan agar mentadabbur dan mengecam keras mereka yang tidak memperhatikan ayat-ayat suci yang telah diturunkanNya:
- Maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)? (Muhammad:24)
- (Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar. (Sod:29)

Keempat: Mengamalkan apa diperintahkan di dalam al-Quran dan menjauhi larangannya serta menjadikannya rujukan dalam semua urusan kehidupan. Inilah tanggungjawab yang paling penting. Segala suruhan dan larang Allah bertujuan untuk menjaga kemaslahatan hambaNya. Allah telah memilih umat ini sebagai umat yang adil, umat yang sederhana, umat yang terbaik dari kalangan manusia. Adakah dengan membaca dan mengkaji al-Quran sahaja sudah cukup untuk menjadikan kita umat yang bersifat seperti di atas? Pastinya tidak. Sifat-sifat itu akan hanya terserlah apabila isi kandungan al-Quran itu dilaksanakan dengan betul sebagaimana yang diajarkan oleh Nabi s.a.w.
- Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman) dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang-orang yang fasik. (Aali ‘Imran:110)
- Tidakkah engkau pelik memikirkan (wahai Muhammad) terhadap sikap orang-orang (Yahudi) yang telah diberikan sebahagian dari Kitab Taurat, mereka diseru kepada Kitab Allah supaya Kitab itu dijadikan hakim (mengenai perkara-perkara yang timbul) di antara mereka. Alih-alih satu puak dari mereka berpaling ingkar sambil menolak (seruan dan hukum Kitab Allah itu). (Aali ‘Imran:23)

Kelima: Menyampaikan. Setiap orang yang telah diberikan ilmu, diberikan hidayah memahami al-Quran ini tidak harus menyembunyikannya untuk diri sendiri sahaja. Mereka wajib menyampaikan kepada manusia lain sekadar yang diketahui dan difahaminya.
- Daripada Abdullah bin ‘Amru, Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Sampaikan daripadaku walaupun satu ayat.” Al-Bukhari
- Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayat, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk. Kecuali orang-orang yang bertaubat dan memperbaiki (amal buruk mereka) serta menerangkan (apa yang mereka sembunyikan); maka orang-orang itu, Aku terima taubat mereka dan Akulah Yang Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani. (Al-Baqarah:159-160)

Keenam: Mempertahankan kebenaran dan kedaulatan al-Quran walaupun terpaksa mengorbankan harta dan nyawa sekalipun. Kesediaan untuk berkorban adalah bukti ketulinan dan ketulusan iman yang tersemat di dalam hati.
- Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya). (Al-Hujuarat:15)

Sunday, July 22, 2012

3 PERKARA


Alhamdulillah hari ini masuk hari ke 3 bulan penuh barakah. Pastinya ramai yang berlumba-lumba untuk mencapai seberapa banyak pahala buat bekalan kembali ke alam baqa. Tahniah dan teruskan usaha.

Bagi mereka yang berhajat kepada pahala, di sana terdapat tiga perkara yang dijanjikan pahala yang tidak berbatas banyaknya. Jangan lepaskan peluang untuk merebutnya!

Pertama: SABAR

Firman Allah:
إِنَّمَا يُوَفَّى ٱلصَّـٰبِرُونَ أَجۡرَهُم بِغَيۡرِ حِسَابٍ۬
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.” (Az-Zumar:10)

Kedua: MEMBERI KEMAAFAN

Firman Allah:
وَجَزَٲٓؤُاْ سَيِّئَةٍ۬ سَيِّئَةٌ۬ مِّثۡلُهَا‌ۖ فَمَنۡ عَفَا وَأَصۡلَحَ فَأَجۡرُهُ ۥ عَلَى ٱللَّهِ‌ۚ إِنَّهُ ۥ لَا يُحِبُّ ٱلظَّـٰلِمِينَ
Maksudnya: “Dan (jika kamu hendak membalas maka) balasan sesuatu kejahatan ialah kejahatan yang bersamaan dengannya; dalam pada itu sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim.” (Asy-Syura:40)

Ketiga: PUASA

Nabi s.a.w. bersada di dalam sepotong Hadis Qudsi:
كل عمل ابن آدم له إلا الصوم فإنه لي وأنا أجزي به
Maksudnya: “Semua amalan anak Adam itu untuk dirinya kecuali PUASA. Sesungguhnya puasa itu untukKU dan AKU akan memberikan ganjarannya.” (iaitu tanpa hisab) Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Tiga perkara: SABAR, KEMAAFAN dan PUASA untuk kita ganjaran yang tidak terkira.
Hari ini kita berpuasa tetapi;
adakah kita sabar menghadapi macam-macam karenah manusia keliling kelalang kita? Karenah anak-anak yang kadang-kadang menyebakkan dada? Karenah pengguna jalan raya yang sering menyakitkan jiwa? Karenah kawan-kawan yang suka menyakat dan menghina?
adakah kita telah memaafkan mereka yang telah menyakiti kita? Adakah kita telah memaafkan suami yang tidak menunaikan hak kita? Memaafkan isteri yang kurang layanannya kepada kita? Memaafkan pekerja yang kurang memuaskan hati kita?

Sekadar muhasabah buat diriku yang lemah dan selalu kalah.

"اللهم رحمتك أرجو فلا تكلني إلى نفسي طرفة عين، وأصلح لي شأني كله، لا إله إلا أنت"
“Ya Allah, hanya rahmatMu aku mengharap, maka janganlah Engkau serahkan aku kepada diriku walaupun sekelip mata. Perbaikilah urusanku kesemuanya. Tiada Tuhan melainkan Engkau.” (Riwayat Abu Dawud dan Ahmad)

Saturday, July 21, 2012

I'dad al-Murabbi

Pada minggu lepas ana dijemput menyampaikan satu ceramah kepada sekumpulan mahasiswi sebuah IPTA. Tajuk yang diminta ialah “I’dad al-Murabbi”.

I’dad bermkasud menyediakan. Manakala murabbi adalah pendidik. Satu lagi istilah berkaitan dengannya, iaitu mutarabbi yang bermaksud orang yang dididik.

Sesungguhnya pendakwah bukan hanya sekadar menyeru dan mengajak manusia agar beriman kepada Allah serta seluruh ajaranNya, sebaliknya pendakwah juga merupakan pendidik serta guru kepada mad’unya (orang yang didakwahnya).

Firman Allah Ta’ala bermaksud: “Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari i’tiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak) dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.” (Al-Jumuah:2)

Ayat di atas menjelaskan bahawa Rasulullah s.a.w. melaksan tiga perkara: membacakan ayat-ayat, iaitu menyampaikan dan mengajak manusia agar beriman kepada ayat-ayat tersebut, membersihkan jiwa mereka dari sifat-sifat keji dan pegangan yang salah, dan mengejar al-Quran dan as-Sunnah agar mereka memahami dan menghayatinya. Sebagai umat Islam, kita mewarisi semua tugas itu daripada baginda s.a.w.

Di dalam sepotong ayat, Allah menegaskan bahawa dakwah bukan hanya diwajibkan ke atas Rasulullah s.a.w. semata-mata. Sebaliknya dakwah merupakan jalan dan manhaj baginda serta seluruh mengikutnya. Orang yang menolak tugas dakwah, sedar atau tidak sedar bererti dia menafikan dirinya menjadi pengikut baginda s.a.w.

Firman Allah Ta’ala bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): "Inilah jalanku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala i’tiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain." (Yusuf:108)

Ayat ini menjelaskan:
- dakwah adalah satu kewajipan yang diperintahkan oleh Allah. Bukan kerja sukarela, bukan kerja yang boleh dipilih sama ada hendak buat atau tidak
- dakwah merupakan satu jalan yang jelas dan lurus, jalan yang diajar oleh Allah dan dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w.
- dakwah adalah usaha yang berterusan sepanjang hayat, tiada ada titik noktahnya kerana ia merupakan usaha mengajak manusia kepada Islam, memahami, menghayati dan mempertahankan kedaulatannya
- matlamat paling utama dakwah ialah mencapai redha Allah dengan melaksanakan dan mendaulatkan Syari’atNya
- dakwah disampaikan dengan hujjah serta kefahaman yang jelas, bukan sekadar emosi atau tanggapan yang tiada bukti
- Rasulullah s.a.w. adalah pemimpin yang telah merintis jalan dakwah yang wajib diikuti dan dicontohi setiap aspek perjuangannya
- umat Islam adalah pengikut setia baginda yang mewarisi tugas dakwah yang mulia ini
- keikhlasan dan ketulusan adalah bekalan paling penting. Matlamat pendakwah hanyalah Allah, mengajak manusia hanya kepada Allah.

Justeru, pendakwah adalah murabbi, pendakwah adalah guru. Tidak lengkap kalau hanya berdakwah tetapi tidak mendidik dan mengajar.

Tidak dapat dinafikan betapa berat dan mencabarnya tugas itu, namun kita wajib memikulnya kalau mahu mengaku sebagai pengikut serta umat Nabi Muhammad s.a.w. Untuk memikul tugas yang begitu berat, tentulah memerlukan persediaan. Antaranya:

Pertama: Iman. Yakin bahawa dakwah adalah wajib. Dakwah adalah tugas yang sangat mulia, yang paling disukai oleh Allah ‘Azza wa Jalla. “Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta dia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!” (Fussilat:33)

Kedua: Ikhlas. Amalan yang bernilai dan diterima di sisi Allah hanyalah amal yang dilakukan dengan ikhlas demi mencari keredhaanNya semata-mata. Tanpa ikhlas, amalan besar laksana gunung sekalipun akan berkecai, berterbangan bagaikan debu. Atau ia ibarat fatamorgana, nampak berkilaun yang disangkakan air oleh orang yang dahaga, namun hakikatnya tiada.

Ketiga: Ingat ganjaran yang sangat besar. Maha Suci Allah! Tidak dapat digambarkan betapa besarnya ganjaran yang Allah sediakan untuk orang yang mengajak kepada kebaikan, iaitu pahala orang yang beramal dengannya tanpa dikurang sedikitpun. (Maksud Hadis riwayat Muslim)
Dalam sepotong Hadis lain, Nabi s.a.w. bersabda kepada Sayyidina Ali r.a. maksudnya: “Demi Allah, seandainya Allah beri hidayah kepada seorang individu melalui usahamu, adalah lebih baik bagimu daripada unta merah (harta paling berharga di kalangan bangsa Arab)” Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Seorang yang menerima Islam kerana usaha kita, kemudian dia pula akan menyeru orang lain. Dan yang lain itu menyeru generasi seterusnya dan seterusnya. Semua itu akan mendatangkan pahala kepada orang pertama yang menyeru mereka, tidak putus-putus pahala sehingga ke hari qiamat.

Keempat: Lengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran. Pepatah Arab ada menyebut bahawa orang yang tidak mempunyai sesuatu, tidak akan dapat memberikannya kepada orang lain. Memang betul. Kalau kita tidak memiliki apa-apa, maka apa yang hendak kita berikan? Justeru, murabbi mestilah melengkapkan diri dengan ilmu. Oleh kerana kita hendak mengajak manusia kepada Islam, maka ilmu paling utama yang mesti dikuasai ialah ilmu-ilmu berkaitan dengan Islam itu sendiri. Di samping ilmu, perlu juga ada kemahiran. Kemahiran menyampai, berkomunikasi, cara-cara menegur dan memberi nasihat, kaedah motivasi, ilmu pengurusan dan apa saja ilmu yang boleh membantu pelaksanaan tugas dakwah dan tarbiah dengan berkesan.

Kelima: Laksanakan terlebih dahulu apa yang diajar kepada mad’u. Orang lebih suka melihat apa yang kita buat daripada apa yang kita cakap. Apa yang kita sampaikan kepada mad’u atau mutarabbi kita seharusnya kita laksanakan pada diri kita terlebih dahulu. Jika tidak, kita termasuk di dalam golongan mereka yang dikutuk dan dibenci oleh Allah.
“Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.” (As-Saff: 2-3)
“Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?” (Al-Baqarah:44)



Sunday, July 15, 2012

Surat kepada murabbi


Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah…

Saudaraku murabbi, sesungguhnya penerimaan tanggungjawab untuk mentarbiah mereka yang diletakkan di bawah kendalianmu merupakan satu aqad perjanjian antara dirimu dengan mereka. Engkau merupakan pihak pertama dan mereka adalah pihak kedua. Manakala saksinya adalah Allah ‘Azza wa Jalla. Firman Allah bermaksud: “…dan (ingatlah), Allah sentiasa menyaksikan tiap-tiap sesuatu.” (Al-Buruj:9)

Oleh kerana surat ini ditujukan kepadamu wahai murabbi, maka disebutkan di sini beberapa peringatan yang berkaitan dengan tanggungjawabmu secara khusus.

Antara isi kandungan yang paling asas dalam perjanjian ialah, engkau mesti membimbing mereka untuk melakukan perubahan yang positif sepanjang mereka berada di bawah seliaanmu. Perkara itu dilakukan menerusi pengurusan tarbawi yang betul, iaitu dengan meletakkan sasaran yang jelas, aktiviti-aktiviti yang tersusun serta kaedah-kaedah yang pelbagai.

Saudaraku, sentiasa letakkan di hadapan matamu firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian…” (Al-Maidah:1)

Selalu ingatkan dirimu bahawa tanggungjawabmu yang pertama terhadap ikhwanmu ialah memegang tangan mereka dan meningkatkan mustawa mereka dalam semua aspek tarbiah; aspek makrifah, keimanan, kejiwaan dan tingkah laku (sulukiyyah). Ingatkan juga dirimu bahawa ukuran kajayaan yang sebenarnya ialah berkait rapat dengan perubahan yang berlaku pada mereka. Bukan diukur pada banyaknya aktiviti dakwah yang kalian laksanakan atau kepelbagaian wasilah yang dijalankan.

Mata mereka tertambat padamu

Aku berkata kepada diriku dan kepadamu: sesungguhnya mata ikhwan tertumpu kepadamu, maka janganlah engkau menjadi fitnah kepada mereka. Engkau mesti ingat bahawa sebahagian mereka mengambil ajaran agama ini hanya daripadamu. Jika engkau mengurangkan sebahagian daripada kewajipan agama, mereka juga akan mengurangkannya. Jika engkau meringan-ringankan sesuatu yang tidak sepatutnya diringan-ringankan, mereka juga akan turut meringan-ringankan. Ingatlah bahawa mengajar dengan perbuatan lebih mantap dan lebih berkesan daripada mengajar dengan perkataan sebagaimana pepatah ada mengatakan “jika engkau menjadi ketuaku, maka hendaklah engkau berada di hadapanku”.

Ketahuilah wahai saudaraku yang dikasihi, sesungguhnya keyakian itu mesti dibina, bukan diperolehi secara percuma. Kayakinan akan terbina di dalam diri ikhwanmu dengan mereka melihat sikapmu yang positif, amalanmu yang baik seperti tawaduk, suka memberi, jujur dan benar dalam semua keadaan. Maka berusahalah untuk merealisasikan itu semua di dalam dirimu. Ingatlah selalu bahawa di sana ramai di kalangan ikhwan yang melihat dan menilai dakwah melalui tindakanmu. Maka takutlah kepada Allah dalam melaksanakan kerja dakwah ini.

Jangan jadi seperti lilin

Saudaraku murabbi, sesungguhnya factor asas kejayaanmu dalam memberi kesan yang positif di dalam diri ikhwanmu, selepas pertolongan Allah dan taufiq-Nya ialah engkau melaksanakan terlebih dahulu pada dirimu. Sejauh mana perkara itu meresap dalam jiwamu dan terkesan di hatimu, barulah ia membekas di hati ikhwanmu. Maka berusahalah bersungguh-sungguh untuk menghayati apa yang engkau minta mereka menghayatinya. Jangan beralasan dengan kesibukan atau kesuntukan waktu. Tiada seorangpun yang boleh diuzurkan dari menambah bekalan untuk diri atau dibenarkan untuk berhenti dari beramal. Ingatlah pesanan Allah Ta’ala kepada Nabi s.a.w. bermaksud: “Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain),” (Al-Insyirah:7). Ayat ini bermakna apabila engkau telah selesai berdakwah dan berjihad maka segeralah pula beribadah. Cukuplah kata-kata Rasulullah s.a.w. ini sebagai nasihat: “Perumpamaan orang yang mengajar kebaikan kepada manusia dan lupa pada dirinya, seperti sumbu pelita, ia menerangi manusia dan membakar dirinya.” At-Tabraniy

Tawaduk dan tawaduk

Aku mengingatkan diriku dan dirimu wahai saudaraku yang dikasihi betapa pentingnya mentarbiah diri agar bersikap tawaduk. Antara tanda-tanda tawaduk yang ada pada diri murabbi ialah dia tidak merasai ada perbezaan antara dia dengan ikhwannya kerana kedudukannya sebagai murabbi, sehingga terbawa-bawa pada cara dia berinteraksi dengan mereka. Umpamanya dia mahu tempat duduk yang khusus, layanan yang khusus dan keistimewaan tertentu yang tidak didapati oleh ikhwannya.

Murabbi hendaklah mentarbiah dirinya supaya sentiasa merasai bahawa dia lebih rendah daripada ikhwan dan mereka lebih baik daripada dirinya. Kalaulah tidak kerana tanggungjawan yang diamanahkan kepadanya, tidaklah dia berada di hadapan mereka. Dengan cara itu, di samping pertolongan Allah, mudahlah baginya berinteraksi dengan mereka dan menghimpunkan hati-hati mereka. Letakkan dirimu di tempat mereka ketika engkau bercadang untuk menegur apabila mereka cuai dalam melaksanakan sesuatu tugasan. Beri peluang kepada dirimu untuk mendengar nasihat mereka dan terima dengan dada yang terbuka. Jika engkau lewat atau tersilap, mohonlah kemaafan dari mereka dan jangan malu untuk berkata ‘saya tidak tahu’ jikalau mereka bertanya sesuatu yang engkau tidak tahu. Jangan sekali-kali gunakan kuasamu ke atas mereka kecuali dalam keadaan yang amat-amat terbatas.

Saudaraku murabbi, aku menasihati diriku dan dirimu, jangan halang seseorang daripada kalangan saudaramu untuk beramal sekiranya berlaku sedikit perselisihan antaramu dengannya, atau kerana engkau diberitahu sesuatu yang tidak kena mengenainya, atau kerana sesuatu kesalahan yang dilakukannya, atau dia telah tersasar sedikit dari jalan ini, atau dia telah lama menyepi kemudian ingin memulakan langkahnya kembali.

Siapa di antara kita yang tidak pernah melakukan kesalahan atau tidak pernah tersilap langkahnya?

Sekiranya setiap yang bersalah itu dihalang dari meneruskan amal, maka tidak akan ada seorangpun yang kekal di jalan dakwah!

Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Sekiranya kamu tidak berdosa, nescaya aku takut akan berlaku ke atas kamu sesuatu yang lebih besar daripada itu, iaitu ujub dan ujub.” Al-Albani dalam as-Silsilah as-Sahihah.

Hadis ini menjadikan kita menginsafi bahawa tersasar ke jalan yang salah sama ada secara sengaja atau tidak sengaja, secara luaran dan dalaman adalah kemungkinan yang tidak dapat dielakkan. Ia pasti terjadi. Yang berbeza antara kita adalah dari segi banyak atau sedikit kesilapan itu serta bagaimana cara kita mengelak atau mengatasinya dengan izin Allah.

Dari sini aku ingin menegas kepada diriku dan dirimu wahai akhi murabbi, jangan jadikan gambar saudaramu yang lama terpampang di hadapan matamu, seolah-olah suatu bayangan yang tidak kunjung padam walaupun dia telah berubah dan telah berbuat baik. Hal ini seperti Firaun yang cuba mengaitkan Nabi Musa dengan masa lalunya yang pernah membunuh seorang qibtiy, lalu dia tidak layak untuk berdakwah. Firman Allah bermaksud: “Firaun menjawab: Bukankah kami telah memeliharamu dalam kalangan kami semasa engkau kanak-kanak yang baru lahir, serta engkau telah tinggal dalam kalangan kami beberapa tahun dari umurmu? Dan (bukankah) engkau telah melakukan satu perbuatan (jenayah) yang telah engkau lakukan dan (dengan itu) engkau dari orang-orang yang tidak mengenang budi?” (Asy-Syu’araa’:18-19)

Dan Nabi Musa a.s. tidak menafikan tuduhan yang dilemparkan oleh Firaun kepada dirinya, sebaliknya dia menarik perhatian Firaun terhadap perubahan yang telah berlaku dan terhadap kedudukannya yang baru. “Nabi Musa berkata: Aku melakukan perbuatan yang demikian sedang aku ketika itu dari orang-orang yang belum mendapat petunjuk. Lalu aku melarikan diri dari kamu, ketika aku merasa takut kepada kamu; kemudian Tuhanku mengurniakan daku ilmu pengetahuan agama dan menjadikan daku seorang RasulNya.” (Asy-Syu’araa’: 20-21)

Jangan lupa mengharap ganjran

Saudaraku, berusahalah bersungguh-sungguh menyediakan dirimu dari segi persediaan dalaman sebelum engkau memegang tugas menyelia ikhwanmu. Wasilah paling penting untuk mempersiapkan dirimu ialah doa. Mohon kepada Allah dengan sungguh-sungguh agar Dia membuka jalan-jalan kepadamu dan mencampakkan kebenaran di hatimu dan lidahmu.
Jangan lupa mengharap pahala. Ingatlah sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Tidak ada pahala bagi orang yang tidak mengharapkannya.” Ibn al-Mubarak dan ditashih oleh al-Albani.

Dan di sana terdapat berbagai-bagai wasilah untuk mencetuskan kesedaran dan menguatkan keazamanmu, ingatkan dirimu setiap kali sebelum engkau pergi menemui ikhwanmu betapa pentingnya amal ini, ia merupakan amalan yang diredhai Allah, Allah janjikan pahala untuk orang yang melakukannya dan mengancam dengan dosa bagi mereka yang meninggalkannya.

Moga-moga Allah mantapkan imanku dan imanmu dan membimbing kita selalu. “…Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (al-Baqarah:32)

د. مجدي الهلالي

http://www.ikhwanonline.com/new/Article.aspx?ArtID=82476&SecID=363

Tuesday, July 10, 2012

Kemanisan Hidup Dalam Rumahtangga Muslim


Pada hari Sabtu 30 Jun yang lalu, ana diminta menyampaikan satu ceramah yang bertajuk “Kemanisan Hidup Dalam Rumahtangga Muslim” kepada ahli-ahli Ikram Bandaraya Johor Bahru bertempat di Sekolah Menengah Islam Hidayah Johor.

Alhamdulillah sambutan serta kehadiran amat memberangsangkan.
Antara point yang disentuh dalam ceramah tersebut:

1. Kemanisan hidup dalam rumahtangga secara khusus dan dalam kehidupan umumnya hanya boleh dirasai apabila kita mengecapi dan menghayati kemanisan iman. Menurut sepotong Hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim, Nabi s.a.w. menyatakan kemanisan iman akan dikecapi oleh seseorang yang ada padanya tiga perkara, iaitu: Allah dan Rasul lebih dicintai daripada yang lain, mencintai seseorang kerana Allah dan tidak suka kembali kepada kekufuran sebagaimana tidak sukanya masuk ke dalam api neraka.

2. Allah dan Rasul lebih dicintai daripada yang lain. Kata-kata ini jelas menunjukkan bahawa Islam mengiktiraf wujudnya rasa cinta sesama manusia, baik antara suami dan isteri, ibu dan anak, sesama sahabat dan sebagainya. Dan tidak dinafikan juga rasa cinta terhadap sesuatu yang lain daripada manusia seperti cintakan harta benda, tempat kediaman dan lain-lain.

3. Oleh kerana tajuk ini berkaitan dengan kemanisan hidup dalam rumahtangga, maka focus utama adalah cinta antara suami dan isteri kerana kedua-duanya adalah rukun utama bagi sesebuah rumahtangga. Cinta antara suami dan isteri adalah satu daripada nikmat Allah kepada hamba-hambaNya yang juga merupakan tanda-tanda kekuasaan dan kesempurnaanNya. Firman Allah Ta’ala bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” (Ar-Rum:21)

4. Apa yang perlu diusahakan ialah jangan sampai cinta kepada suami, cinta kepada isteri dan lain-lain mengatasi cinta kepada Allah dan RasulNya. Maka suami harus tahu kedudukannya di sisi isteri. Dan isteri juga harus tahu kedudukannya di sisi suami. Mereka bukan orang nombor satu, bukan orang yang paling utama di sisi pasangan masing-masing. Yang paling utama, di tempat pertama mestilah Allah dan Rasul. Oleh itu, kedua-duanya mestilah saling ingat mengingatkan agar diri mereka diletakkan pada kedudukan yang betul, iaitu selepas Allah dan Rasul.

5. Mencintai seseorang kerana Allah. Asalnya perasaan cinta antara suami isteri merupakan fitrah yang telah dijadikan Allah sebagaimana dinyatakan di dalam ayat 21 surah ar-Rum di atas. Untuk mencapai kemanisan iman, suami isteri harus berusaha meng’upgrade’kan cinta mereka ke tahap cinta kerana Allah, bukan hanya sekadar cinta fitrah yang sama dimiliki oleh semua pasangan, hatta mereka yang tidak beriman.

6. Antara ciri-ciri cinta kerana Allah ialah cinta itu dibina di atas dasar tolong menolong di dalam melaksanakan tugas dakwah, mengingati Allah, berzikir dan bertasbih sebanyak-banyaknya. Ini digambarkan di dalam doa Nabi Musa yang memohon agar Allah menjadikan suadaranya Harun sebagai pembantunya dalam melaksanakan tugas kerasulan yang diamanahkan kepadanya. “Dan jadikanlah bagiku, seorang penyokong dari keluargaku. Iaitu Harun saudaraku; Kuatkanlah dengan sokongannya, pendirianku, Dan jadikanlah dia turut campur bertanggungjawab dalam urusanku, Supaya kami sentiasa beribadat dan memujiMu, Dan (supaya) kami sentiasa menyebut dan mengingatiMu; Sesungguhnya Engkau adalah sedia melihat dan mengetahui hal ehwal kami. (Ta Ha: 29-35)
Selain itu, cinta kerana Allah juga merupakan cinta yang tidak mengharap balasan selain dari cinta dan redha Allah. Diriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Tidak berkasih sayang antara dua orang kerana Allah, melainkan yang paling afdal di sisi Allah antara keduanya, yang paling kasih kepada saudaranya.” Menurut al-Albani, Hadis ini Sahih.

7. Tidak suka kembali kepada kekufuran sebagaimana tidak sukanya masuk ke dalam api neraka. Untuk menyelamatkan diri dari api neraka tidak ada jalan selain daripada istiqamah di atas jalan iman dan Islam. Istiqamah memerlukan kefahaman yang jelas tentang Islam serta ruang lingkupnya. Tanpa kefahaman yang jelas, seseorang yang mendakwa muslim itu mudah tergelincir dan terpengaruh dengan dakyah yang ditaburkan oleh musuh. Apabila sudah tergelincir, maka tiada jaminan ia akan selamat dari api neraka. Oleh itu, untuk mencapai kemanisan iman, suami isteri mesti selalu berusaha bersama-sama meningkatkan ilmu tentang Islam dan mendalaminya.

8. Dengan wujudnya tiga perkata yang disebutkan di dalam Hadis di atas, terhasillah kemanisan iman. Dan apabila kemanisan iman dinikmati, seluruh hidup ini akan terasa manisnya.

Tuesday, July 03, 2012

Nisfu Syaaban


Malam esok adalah malam ke 15 Syaaban atau dikenali sebagai malam nisfu Syaaban.
Di kalangan masyarakat Islam, ramai yang menganggap malam tersebut merupakan satu malam yang sangat besar fadhilatnya. Mereka mengkhususkan malam tersebut dengan ibadah seperti solat beberapa rakaat, baca surah Ya Sin dan lain-lain dengan kepercayaan sesiapa yang melakukannya akan mendapat ganjaran pahala yang besar dan diampuni segala dosa.

Dari segi sejarahnya, al-Hafidz Ibn Rajab rahimahullah menulis di dalam kitabnya “Latoif al-Ma’arif”, “Dan malam nisfu Syaaban, at-Tabi’un dari kalangan ahli Syam seperti Khalid bin Ma’dan, Makhul, Luqman bin ‘Aamir dan lain-lain membesarkannya dan bersungguh-sungguh di dalam melakukan ibadah pada malam tersebut. Daripada merekalah orang ramai mengambil fadhilatnya dan membesarkannya. Sesungguhnya ada yang berkata bahawa mereka mengambil perkara itu daripada kesan-kesan israeliyyat. Apabila tersebar perkara ini daripada mereka di kalangan orang ramai, mereka berselisih pendapat. Sebahagian manusia menerima dan bersetuju dengan mereka dalam membesarkannya. Antara yang bersetuju adalah sekumpulan ahli ibadah penduduk Basrah dan lain-lain. Manakala sebahagian besar ulamak Hijaz mengingkarinya. Mereka, termasuk ‘Ato’, Ibn Abi Mulaikah, dinaqalkan oleh Abd al-Rahman bin Zaid bin Aslam daripada fuqaha’ ahli Madinah. Ini juga merupakan pendapat sahabat-sahabat Malik dan lain-lain. Mereka berkata: “Itu semua bid’ah.”

Ahli Syam yang bersetuju dengan perkara ini berlainan pendapat pula dari segi cara sambutannya.

Pertama: Ia disunatkan menyambutnya secara berjamaah di masjid-masjid. Khalid bin Ma’dan, Luqman bin ‘Aamir dan lain-lain memakai pakaian yang paling elok pada malam itu, memakai wangian dan bercelak. Mereka qiam di masjid sepanjang malam. Perbuatan itu dipersetujui oleh Ishaq bin Rahuwaih. Dia berkata, qiam di masjid itu bukan bid’ah.
Kedua: Makruh berkumpul pada malam itu di masjid-masjid untuk solat, bercerita dan berdoa. Tetapi tidak makruh jika seseorang bersolat pada malam tersebut sendirian. Ini merupakan pendapat al-Auza’ei, Imam ahli Syam, juga merupakan seorang yang faqih lagi alim.”
Seterusnya beliau (Ibn Rajab) menambah, “tidak thabit tentang nisfu Syaaban daripada Nabi s.a.w. sedikitpun dan tidak juga daripada sahabat-sahabat baginda. Tetapi ia thabit daripada segolongan tabi’in dari kalangan fuqaha’ ahli Syam yang terkemuka.”

Antara dalil yang dipegang oleh mereka yang membesarkan malam nisfu Syaaban ialah: “Jika datang malam pertengahan di bulan Sya’ban, maka solatlah pada malamnya dan berpuasalah siang harinya.” Hadis dhaif riwayat Ibn Hibban daripada Ali r.a.

Selain itu terdapat Hadis palsu atau rekaan yang bermaksud “Wahai Ali, barang siapa yang melakukan solat pada malam Nisfu Syaaban sebanyak 100 rakaat, ia membaca setiap rakaat Al fatihah dan surah al-Ikhlas sebanyak sepuluh kali, pasti Allah memenuhi segala permintaannya…”

Imam an-Nawawi berkata di dalam kitab “Al-Majmuk”: “Solat yang dikenali sebagai solat al-Raghaib iaitu solat sebanyak dua belas rakaat antara Maghrib dan Isyak pada malam Jumaat pertama bulan Rejab dan solat sunat pada malam Nisfu Syaaban sebanyak seratus rakaat adalah dua jenis sembahyang yang bidaah dan mungkar. Jangan terpedaya dengan apa yang disebut tentang keduanya di dalam kitab “Qut al-Qulub” dan “Ihya’ Ulum ad-Din” serta Hadis mengenai keduanya. Sesungguhnya semua itu batil. Jangan terpedaya dengan setengah imam yang keliru mengenainya, lalu mereka mengarang beberapa helai kertas yang menggalakkan keduanya. Semua itu adalah salah dan tidak betul.”

Terdapat sepotong hadis yang diceritakan oleh Abu Musa al-Asy’ari r.a. daripada Rasulullah s.a.w. baginda bersabda maksudnya: “Sesungguhnya Allah melihat dan memerhati pada malam nisfu Syaaban, lalu Dia mengampunkan semua makhluk-Nya kecuali musyrik atau musyahin (orang yang benci membenci).” Riwayat Ibn Majah dan dikategorikan hasan oleh Albani di dalam Silsilah Sahihah.

Namun begitu tidak terdapat riwayat mengatakan Nabi s.a.w. mengkhususkan ibadat tertentu pada malam tersebut.

Jelas bahawa membesarkan malam nisfu Syaaban dengan solat khusus atau lain-lain dan mengkhususkan harinya dengan berpuasa merupakan sesuatu yang tidak thabit daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat r.a. Hadis-hadis yang diriwayatkan mengenai kelebihan malam tersebut, menurut ahli Hadis dan para alim ulamak adalah dhaif dan palsu.