Monday, March 03, 2014

DUNIA YANG KELABU




Langit yang membiru
Dilitupi selimut tebal yang kelabu
Awan putih yang berarak
Dilindungi tabir berlapis yang kelabu
Mentari yang bersinar
Menjadi sebiji bola merah yang suram
Tergolek di atas hamparan pepasir yang kelabu
Dedaun yang menghijau
Diasapi angin yang kelabu
Bangunan tinggi yang mencakar
Puncaknya tenggelam dalam lingkungan kelabu

Namun
Aku bersyukur
Mata hatiku tidak kabur
Imanku tidak luntur
Pandanganku tidak kelabu
Yang kelabu itu jerebu
Yang kelabu itu bencana
Hasil tangan manusia
Yang keliru

Justeru aku tahu
Langit, awan, daun-daun yang merimbun
Kelabu bukan warna asalmu
Kelabu bukan keindahanmu
Kelabu bukan fitrahmu
Engkau dan aku
Bersama menunggu waktu
Tersingkapnya kelabu
Dan langitpun kembali membiru

3 Mac 2014

Sunday, March 02, 2014

TARBIAH - MURABBIAH - MUTARABBIAH



Murabbiah adalah mukminah yang mendidik dan terdidik, yang mentarbiah dan ditarbiah.
Di dalam lapangan dakwah dan harakah, tarbiah tidak dapat dipisahkan. Malah, tanpa tarbiah dakwah tidak berkembang, harakah tidak akan maju ke hadapan.
Apakah maksud sebenar tarbiah dan kenapa ia begitu penting?
Dari sudut bahasa, tarbiah berasal daripada:
Rabba – yarbu – tarbiah yang membawa maksud subur dan bertambah.  Sebagai contoh, lihat firman Allah (Ar-Rum: 39)
Rabba – yarbi  – tarbiah membawa maksud membesarkan dan memelihara. Contohnya firman Allah (Asy-Syu’ara’: 18)
Rabba – yarubbu  – tarbiah membawa maksud: memperbaiki, mengawal dan mentadbir urusan sesuatu, menjaga dan memeliharanya. Contohnya firman Allah (Al-Isra’:24)
Berdasarkan maksud asal perkataan tarbiah, pakar-pakar ilmu pendidikan Islam mendefinisikan tarbiah adalah: “Satu proses bertujuan menyubur dan mengembangkan keupayaan, kemahiran seseorang untuk menghadapi tuntutan kehidupan yang pelbagai, atau satu proses pembinaan individu dengan binaan yang syamil supaya dia mampu berinteraksi dengan segala perkara di sekelilingnya atau menyesuaikan diri dengan suasana yang melingkarinya.”. Dalam konteks dakwah dan harakah, tujuan tarbiah adalah untuk melahirkan seorang ‘aamil dan mujahid yang akan mewarisi risalah dan menurunkannya generasi demi generasi hingga ke hari qiamat.
Justeru, murabbiah bolehlah diumpamakan sebagai seorang petani yang bertanggungjawab menanam dan menyuburkan tanamannya sehingga membesar dan menghasilkan buah yang ranum. Kemudian daripada buah yang ranum itu lahir pula biji benih untuk menumbuhkan pokok yang baru.
Seorang petani, sebelum memulakan kerja menabur dan menanam benih mestilah terlebih dahulu memiliki tanah tempat menabur benih. Maka murabbiah yang ingin menabur benih iman ke dalam hati mutarabbiahnya mestilah memiliki hati mutarabbiah itu terlebih dahulu.
Maka, perkara pertama yang wajib dilakukan oleh murabbiah ialah memiliki hati mutarabbiahnya. Bagaimana cara memiliki hatinya? Menurut Pepatah Arab, hati manusia akan condong kepada orang yang berbuat baik kepadanya.
Dengan berbuat baik kepadanya, cuba penuhi hajatnya, sentiasa mengambil berat hal keadaan dirinya, hati mutarabbiah akan dapat dimiliki.
Hal ini telah berlaku pada murabbi agung kita, Nabi Muhammad s.a.w. Peribadinya yang dicetak dan diwarnai dengan al-Quran itu mempesona dan memikat hati siapa saja yang mendekati dan menggaulinya.
Murabbiah juga mesti tahu, kerja seorang petani hanya menanam dan menjaga tanamannya dengan membaja, menyiram dan mengawal dari unsur-unsur perosak. Namun dia tidak berupaya untuk menumbuhkan tanaman itu dan mengeluarkan hasil yang diharapkan. Hasilnya adalah urusan Allah (Al-Waqi’ah:64). Maka murabbiah mestilah selalu berdoa dan bertawakkal kepada Allah agar usahanya berhasil lagi diberkati.
Seperkara lagi, tarbiah adalah satu proses yang berterusan. Pokok yang besar dan rendang tidak tumbuh dalam masa satu hari satu malam. Lantaran itu, tidak ada murabbiah kecuali dari kalangan orang-orang yang sabar. Sabar menghadapi karenah, sepak terajang mutarabbiah yang jahil dan mentah, sabar menunggu terbitnya hasil yang ranum dan manis, sabar menyantuni nafsu sendiri yang dibelenggu dengan pelbagai kelemahan dan kekurangan.  Justeru, apabila Luqman menasihati anaknya supaya melakukan dakwah, beliau terus berpesan agar bersabar. “Wahai anak kesayanganku, dirikanlah solat dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.” (Luqman:17)
Kesimpulannya, antara ciri-ciri penting seorang murabbiah ialah memiliki hati mutarabbiah, berdoa dan bertawakkal kepada Allah, serta sabar.

Monday, January 27, 2014

Dr Abdul Karim Zaidan (1921-2014) dalam kenangan



Isnin 27 Januari 2014 bersamaan 25 Rabiul Awwal 1435 dunia kehilangan seorang tokoh, seorang alim, pemikir Islam yang hebat, Dr Abdul Karim Zaidan, Muraqib Aam bagi jamaah Ikhwan Muslimin di Iraq. Sepanjang hayatnya penuh dengan sumbangan ilmu, pemikiran, tarbiah, pengajaran dan penulisan.

Al-Marhum menetap di Yaman sejak beberapa tahun lalu sebagai tenaga pengajar di universiti al-Iman yang diasaskan oleh Shaikh Abdul Majid az-Zindani.

Ringkasan sejarah al-Marhum, dipetik daripada tulisan murid beliau Dr Sami al-Janabi:

Dilahirkan pada tahun 1921 di Baghdad daripada keluarga al-Muhamadah, satu cabang daripada qabilah ad-Dulaym. Ayahnya meninggal dunia ketika beliau berusia tiga tahun.

Menyempurnakan persekolahan rendah di Baghdad. Memasuki pusat pengajian Dar al-Mu'allimin al-Ibtida'iyyah. Selepas tamat pengajian di situ, beliau menjadi guru di sekolah rendah. Kemudian memasuki kuliah undang-undang di Baghdad. Setelah tamat, dilantik sebagai mudir di sekolah menengah agama an-Najibiyyah. Memasuki Maahad asy-Syariah al-Islamiyyah Universiti Cairo dan meraih sarjana dengan darjah mumtaz. Dan mendapat ijazah kedoktoran daripada universiti yang sama pada tahun 1962 dengan darjah asy-syaraf al-uula.

Antara jawatan yang pernah disandang:

Professor Syari'ah Islamiyyah dan Ketua Bahagian Syari'ah di Fakulti Undang-undang Universiti Baghdad

Professor Syari'ah dan ketua bahagian agama fakulti sastera di Universiti Baghdad

Professor Syari'ah di fakulti pengajian Islam serta dekannya. Ia merupakan gelaran yang tidak pernah diperolehi oleh sesiapapun di Universiti Baghdad selain beliau.

Telah menghasilkan lebih daripada 10 buah buku yang sangat bermanfaat. Antaranya:
1.     Al-Madkhal lidirasat asy-Syari'at al-Islamiyyah
2.     Usul ad-Dakwah
3.     Al-Mufassol fi Ahkam al-Mar'ah wa Bait al-Muslim fi asy-syari'at al-Islamiyyah 11 jilid
4.     Al-Wajiz fi Syarh al-Qawaed al-Fiqhiyyah fi asy-Syari'at al-Islamiyyah
5.     Asy-Syarh al-'Iraqi lil-Usul al-'Isyrin
Dan banyak lagi.
Menerima anugerah al-Malik Faisal al-Alamiyyah dalam pengajian Islam pada tahun 1997/1417

Baliau dianugerahi ingatan yang sangat kuat bak besi berani. Baliau mengingati makna dan kata-kata berkaitan hukum fiqh walaupun telah bertahun-tahun berlalu. Saya masih ingat, al-marhum pernah membacakan beberapa ungkapan supaya saya tulis di bahagian muqaddimah tesis saya. Kemudian selepas diedit, saya ubah suai ayatnya mengikut ijtihad saya sendiri. Selepas tempoh masa yang lama, saya membacakan tesis saya di hadapannya. Dia bertanya, mana ayat yang dia bacakan dulu? Saya berkata, saya sudah ubah suai dengan bahasa sendiri. Dia berkata, jangan. Lalu dibacanya semula sama seperti apa yang telah dibacakan sebelum ini tanpa tambah dan kurang walaupun satu perkataan.

Al-marhum sangat mengambil berat tentang urusan dakwah di Iraq. Tidak pernah satu haripun beliau tidak bertanya khabar tentang negaranya, tentang para pendakwah serta hal keadaan mereka.

Al-Marhum merupakan insan yang paling zuhud. Tidak mementingkan pangkat dan jawatan. Tidak mengejar kemasyhuran, tidak mendampingi pemerintah dan ketua-ketua negara. Jauh daripada sifat ria' dan mengada-ngada.

Waktu-waktunya dihabiskan dengan membaca al-Quran, meneliti tulisan murid-muridnya dan berbincang dengan mereka di rumahnya, mengarang, bertemu para ilmuan dan mengajar. Tidak berlalu satu saatpun waktunya tanpa diisi dengan amal soleh.

Al-Marhum sangat mengkagumi Shaikhul-Islam Ibn Taimiah. Kajian dan tulisan beliau banyak dipengaruhi tokoh tersebut.

Baliau telah mengasaskan Kuliah Dirasat Islamiyyah pada akhir tahun 60an untuk membuka ruang pengajian ilmu syara' mengikut manhaj salaf. Dan kuliah yang diasaskannya itu telah berjaya mengeluarkan puluhan graduan. Namun , datang parti Ba'ath, kuliah itu telah ditutup, orang-orang yang condong kepada Islam ditangkap dan sekolah-sekolah agama dihapuskan.

Semoga Allah terima baliau dengan rahmat dan redhaNya.

Sumber:
http://www.egyptwindow.net/news_Details.aspx?Kind=1&News_ID=41014 

Tuesday, January 07, 2014

Surat Shaimaa' kepada ayahnya, Presiden Mursi



Surat sempena malam penghakiman

Wahai ayahku yang dikasihi, permata hatiku dan penyejuk mataku,

Adakah engkau masih ingat wahai ayah yang kukasihi, rangkap syair yang aku bisikkan di telingamu sejak lama dahulu dan engkau membalasnya di telingaku. Katakanlah wahai ayah, bahawa engkau masih mengingatinya.

Wahai ayahku, sekiranya aku melukis langit serta bintang-bintang yang memenuhinya, maka engkaulah bintang yang paling besar di langit itu.

Rangkap syair itu sangat simpel. Namun bagimu ia sangat besar ertinya dan engkau menghargainya sehingga aku merasakan bahawa aku adalah ratu para penyair. Sesungguhnya engkau sentiasa menggalakkan kami mengembangkan bakat kami dan sentiasa menambah ilmu dan pengetahuan kami.

Ayahku yang sangat dihargai, pada malam penghakiman yang mereka dakwakan, bayanganmu yang hebat menerjah mataku, lalu hatiku dilimpahi kerinduan untuk melihat dirimu dan mendengar suaramu yang lonak dan menenangkan. Kenang-kenangan berjuraian di hadapan mataku, mengulangi pita rakaman hidupmu yang penuh dengan lembaran-lembaran jihad, tidak akan cukup ruangan untuk dimuatkan kesemuanya.

Tetapi yang paling jelas mengusik hatiku ialah hembusan di malam inqilab, di mana engkau memberitahu kami dengan penuh yakin: "Sesungguhnya Mesir akan menang dengan Kuasa Allah dan KekuatanNya. Dan sesungguhnya Din Allah itulah yang menang. Sesungguhnya khilafah pasti akan tegak, tidak dapat tidak. Sesungguhnya sejarah akan menulis dengan huruf-huruf daripada cahaya tentang jihad dan perjuangan rakyat Mesir."

Aku bersaksi di hadapan Allah, sesungguhnya aku tidak nampak langsung engkau dalam keadaan kelu-kesah. Bahkan sebaliknya engkau begitu tenang, wajahmu sentiasa dihiasi senyuman. Engkau bangkit setiap malam menunaikan ibadah, solat, munajat dan doa. Engkau memberitahu kami dengan penuh izzah bahawa sesungguhnya kemerdekaan itu harganya adalah darah. Dan engkau wajib berada di barisan paling hadapan orang pertama yang wajib berkorban kerana engkau pemimpin yang bertanggungjawan ke atas rakyat. Dan engkau berkata: "Aku bercita-cita dan berharap agar Allah menerima darahku sebagai syahid di jalanNya."

Engkau mengingatkan kami tentang sayyidina Umar bin al-Khattab, sayyidina Uthman bin Affan dan Imam Hasan al-Banaa. Engkau berkata: "Sesungguhnya sayyidina Umar telah mati sebagai syahid, sayyidina Uthman telah mati sebagai syahid. Begitu juga Imam Hasan al-Banna. Aduhai, alangkah indahnya kalau aku ini seurat rambut pada diri salah seorang daripada mereka itu di kala engkau menghayati detik-detik penulisan sejarah sekarang ini. Ini merupakan satu kebaikan yang besar bagi kamu. Aduhai alangkah indahnya sekiranya aku menjadi satu baris dalam kitab sejarah ini."

Aku masih ingat suaramu yang begitu mantap dan penuh yakin ketika engkau berkata kepada kami: "Aku adalah satu lembar daripada lembaran thaurah Mesir yang hebat. Sekiranya aku pergi menemui Allah, maka hendaklah kamu sempurnakan perjalanan thaurah ini. Dan aku yakin terhadap rakyat Mesir. Mereka tidak akan membenarkan sejarah kembali ke belakang. Mereka tidak akan mensia-siakan kebebasan dan kemuliaan mereka walaupun terpaksa berkorban darah."

Aku tidak dapat menyembunyikan rahsia yang berlegar di dalam benakku. Aku benar-benar rasa gelisah dengan ungkapan terakhirmu itu. Aku berkata sendirian di dalam diriku, adakah rakyat Mesir akan membenarkan sangkaanmu itu terhadap mereka, atau mereka akan mengkhianati keyakinanmu terhadap mereka, bangsa yang hidup menderita, kelaparan dan tertekan?

Tetapi selepas enam bulan lima hari, sejak peristiwa di malam itu, aku ingin menegaskan kepadamu wahai ayahku yang disanjungi, sesungguhnya tanahair ini penuh dengan rijal, wira-wira dari kalangan lelaki, pemuda, wanita, gadis, kanak-kanak, orang tua lelaki dan perempuan yang sanggup berpayah. Mereka selama-lamanya tidak akan tunduk kepada aliran yang membawa kerosakan, mereka tidak akan menyerah kalah demi mempertahankan agama, tanahair dan legitimasi kerajaan mereka.

Sesungguhnya kami tetap meneruskan perjuangan wahai ayahku yang dicintai. Kami telah menjual kepada Allah nyawa dan anak-anak. Kami akan teruskan untuk merealisasikan thaurah sepenuhnya tanpa kurang walaupun sedikit sekalipun terpaksa menanggung beban apa saja, sekalipun terpaksa berkorban segala-galanya. Sesungguhnya Allah akan menyempurnakan urusanNya jika Dia Kehendaki.

Akhir risalahku buatmu:

Aku iangat ketika kami masih kecil, engkau selalu dendangkan kami nasyid ini:

Aku akan memikul nyawaku dan lupakan kerehatanku
Sama ada hidup membahagiakan kawan atau mati menjengkelkan lawan
Jiwa yang mulia itu hanya ada dua tujuan, mencapai cita atau mati dalam mengejarnya.

Ya. Engkau benar wahai insan yang paling mulia di sisiku. Sama ada kita hidup membahagiakan kawan kita atau kita mati dalam keadaan musuh membenci kita. Semoga Allah kurniakanmu syahid yang ikhlas di jalanNya dalam keadaan engkau mara tanpa undur. Semoga Allah terima jihadmu dan kami akan isytiharkan setinggi-tingginya: Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami telah redha kepadaMu, maka redhalah kepada kami.

Dan akhirnya, tetapi bukan yang terakhir, marilah sama-sama kita hidupkan syiar kita:
Allah matlamat kami
Ar-Rasul ikutan kami
Al-Quran dustur kami
Al-Jihad jalan kami
Mati di jalan Allah cita-cita tertinggi kami
Kami tidak redha yang lain sebagai ganti walau apapun yang kami hadapi. Moga kita bertemu di kolam Nabi, wahai ayahku.

Allah Maha Besar. Kemuliaan untuk Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman.

5 Rabiul Awwal 1435
7 Januari 2014

sumber:


 

Dia hendak bercakap denganku mengikut jadualnya, aku yang akan menentukan waktunya


Shaimaa', puteri kepada Dr Mursi, presiden Mesir yang sah berkata bahawa ayahnya enggan menjawab panggilan terakhir daripada presiden Amerika Obama pada 28 Jun 2013 yang lalu. Alasannya ialah dia sedang bersiap untuk solat Jumaah dan beberapa urusan penting tentang negara.

Shaimaa' berkata, 28 Jum 2013 merupakan hari pertama rakyat mula berhimpun di Rabi'ah al-'Adawiyyah. Setengah jam sebelum solat Jumaat, ayahnya dihubungi oleh setiausahanya bahawa Obama berada di talian dan dia hanya mempunyai masa 10 minit untuk bercakap dengan presiden Musri. Ayahku menjawab: "Beritahunya aku sedang sibuk. Aku sedang bersiap untuk solat Jumaat. Selepas itu aku ada mesyuarat penting. Di hadapanku sepanjang hari sibuk dengan urusan dalaman. Suruh dia berhubung sekali lagi, aku akan peruntukkan 5 minit untuk bercakap dengannya." Dan dia meletakkan gagang telefon.

Aku tergamam seketika sebelum dia memberitahuku bahawa yang menghubungi sebentar tadi adalah Obama.  Ayah berkata kepadaku: "Aku adalah presiden Republik Arab Mesir, Negara Islam terbesar. Dia hendak bercakap denganku mengikut jadualnya. Aku yang menetapkan bila jadualku untuk bercakap dengannya."

Shaimaa' mengulas, tentu sekali aku merasakan bahawa aku berada di hadapan satu lembaran daripada lembaran sejarah yang jauh menjangkau ke masa silam. Aku duduk terpaku di tempatku di selubungi perasaan bangga dan bahagia. Ayah memandang kami dengan senyuman yang tenang lagi nyaman. Dan diapun keluar pergi solat.

Itulah hari ketika kita sedari kita mulia.

http://www.islammemo.cc