Saturday, August 17, 2019

ADAKAH KITA SEORANG PENDUSTA?


Zaman ledakan teknologi yang serba canggih seperti sekarang ini, kita saksikan penyebaran sesuatu berita sama ada baik atau sebaliknya begitu pantas dan meluas. Kadang-kadang sebahagian daripada kita tidak dapat menahan diri dari menekan butang “share” apabila menerima sesuatu berita sebelum sempat dipastikan kesahihan berita tersebut. Akibatnya ada pihak yang menjadi mangsa fitnah, tohmahan dan prasangka sehingga ke tahap bermusuhan dan cela mencela.

Seandainya kita mengambil langkah berhati-hati dan berwaspada sebagaimana yang disarankan Allah di dalam Kitab suciNya pasti perkara yang tidak diingini dapat dielak atau dikurangkan.

Mari kita sama-sama tadabur ayat berikut:

“Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya; padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada - "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka; dan jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu, tentulah kamu (terbabas) menurut Syaitan kecuali sedikit sahaja (iaitu orang-orang yang teguh imannya dan luas ilmunya di antara kamu).”

Al-Hafidz Ibn Kathir berkata: “Ayat ini mengandungi bantahan terhadap mereka yang segera menyebar dan menularkan sesuatu perkara sebelum dipastikan kedudukan yang sebenarnya kerana boleh jadi perkara itu tidak betul. Imam Muslim menyebut di dalam mukadimah kitab sahihnya daripada Abu Hurairah r.a. daripada Nabi s.a.w.
Baginda telah bersabda maksudnya: “Cukuplah seseorang itu menjadi pendusta dengan dia bercakap tentang semua perkara yang didengarinya.”
Di dalam sahih al-Bukhari pula, terdapat hadis yang bermaksud: “Sesiapa yang bercakap tentang suatu percakapan yang dia tahu perkara itu dusta, maka dia adalah salah seorang daripada pendusta.”
Dan di sini kami akan membawakan peristiwa yang berlaku pada Umar bin al-Khattab r.a. yang mana peristiwa ini diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim. Manakala Umar mendengar khabar bahawa Rasulullah s.a.w. telah menceraikan isteri-isteri baginda, beliau terus datang ke rumah Rasulullah s.a.w. Tiba di masjid, beliau mendengar semua orang yang berada di dalam masjid memperkatakan tentang hal itu. Beliau tidak teragak-agak, terus meminta izin bertemu dengan Rasulullah s.a.w. dan bertanya: “Adakah tuan telah menceraikan isteri-isteri tuan?” Baginda menjawab: “Tidak!”. Lantas Umar bertakbir: “Allahu  Akbar!”
Di dalam riwayat Muslim dinyatakan bahawa apabila Rasulullah s.a.w. menyatakan bahawa baginda tidak menceraikan isteri-isteri baginda, Umar terus bangkit, berdiri di pintu masjid lalu berkata dengan suara yang lantang: “Rasulullah tidak menceraikan isteri-isterinya!”
Dan turunlah ayat ini….

Mukhtasor Tafsir Ibn Kathir, Jilid 1, hal 417.

Berhubung dengan ayat ini juga Allah Yarham Sayyid Qutub mengingatkan kita:
“Sesungguhnya satu perkataan yang terluncur dari lidah, kadang-kadang mengheret bencana pada diri sendiri dan pada masyarakat seluruhnya, bencana yang tidak pernah terlintas di fikiran si penutur, dan tidak mungkin dapat ditarik kembali selepas ianya berlaku..”


Fi Zilal al-Quran, jilid 2, hal 723

Friday, August 16, 2019

Al-Wirdul-Qurani


Al-Quran panduan hidup kita. Tiada siapa yang ragu atau mempersoalkan kebenarannya kecuali mereka yang tidak beriman dengan al-Quran.

Persoalannya, sejauh mana intimnya kita dengan al-Quran? Benarkah kita mengambilnya sebagai panduan dalam setiap lapangan hidup kita?

Untuk menjadikan kita benar-benar rapat dan intim dengan al-Quran, lazimkan diri kita dengan perkara berikut, yang dinamakan sebagai al-wirdul-qurani atau berwirid dengan al-Quran.  Terdapat tiga bentuk wirid yang mesti dilazimi setiap hari.

Wirid Pertama:

Wirid Tilawah, iaitu membaca al-Quran dengan mematuhi adab-adabnyanya satu hari satu juzuk. Masa yang diambil untuk menghabiskan satu juzuk adalah antara 30 hingga 60 minit atau bergantung kepada tahap kelancaran kita membaca.

Wirid Kedua:

Wirid Hifdz, iaitu berusaha untuk menghafadz satu atau dua beberapa ayat setiap hari. Diulang-ulang sehingga betul-betul lancar dan terpahat dengan kemas di dalam ingatan. Dengan demikian lama-kelamaan kita dapat menghafadz sebahagian besar daripada al-Quran kalaupun tidak dapat menghafadz kesemuanya.

Warid Ketiga:

Wirid Tadabbur, iaitu mengambil satu atau beberapa ayat untuk memahaminya dari pelbagai sudut dan menghayatinya dengan sungguh-sungguh. Jangan beralih kepada ayat lain selagi tidak mencapai maksud daripada tadabbur ayat tersebut walaupun berhari-hari, berbulan-bulan malah bertahun-tahun.



Daripada kitab: Mafatih Lit-Ta’amul Ma’a Al-Quran, Dr Solah Abdul Fattah al-Khalidi

Thursday, August 01, 2019

Tarbiah Kita


Sesungguhnya tarbiah kita tegak di atas landasan memperdalamkan asas-asas keimanan, memantapkan hubungan persaudaraan, memakmurkan hati dan menjaga lidah. Kita mencampakkan jauh-jauh perasaan dengki dan membangunkan takaful, kerjasama dan saling membantu.
Kita mengeluarkan diri dari kesempitan keqabilahan, kedaerahan dan kepuakan kepada keluasan taaruf, kelapangan amal yang bertebaran merata-rata di segenap ufuk.
Kita meletakkan perasaan jahiliah di bawah tapak-tapak kaki kita. Kita menyahut seruan dan perintah seorang negro yang hitam jika dia lebih berilmu dan lebih berkelayakan.
Hala tuju kita dipandu oleh iman. Syarat perjalanan kita adalah Islam. Dan perasaan kita terhadap orang lain adalah persaudaraan.
Kita tidak mengenal kebencian dan tidak membenarkan umpatan.

Tahukah kamu berapa jilid ensiklopedia boleh dibukukan daripada kata-kata tidak berguna yang dihamburkan ketika berlaku perselisihan pandangan?
Berapa jam amalan terbengkalai tanpa sebarang hasil pada waktu yang dihabiskan untuk melayan dan menterjemah prasagka yang bukan-bukan?

-       Ustaz Umar Telemsani Mantan Mursyid Am Ikhwan Muslimin

Tarbiah Kita II

Yang menakutkan kita bukan sedikitnya bilangan atau kurangnya persiapan dan bekalan. Tetapi yang paling menakutkan ialah kita lupa diri kita, lalu kita tidak mempunyai hubungan yang baik dan intim dengan Allah Ta'ala.
Kalau kita beriman dengan sebenar-benar iman nescaya kita akan menang dengan isyarat jari sahaja.
Kita tidaklah mengharapkan kita hidup dalam keadaan ikhlas dengan sebenar-benar ikhlas sepanjang hayat kita. Cukuplah kalau kita dapat menghayati keikhlasan yang hakiki dalam satu detik sekadar satu rukuk sahaja.
Sesungguhnya, bukan dengan kepetahan dan bermuka-muka yang menyampaikan kita kepada matalamat dakwah kita. Sebaliknya yang menyampaikan kita adalah tawakkal dan doa. Kita mesti sentiasa berdoa, "Ya Allah, tiada yang mudah kecuali apa yang Engkau jadikannya mudah".
Bantu membantu sesama mukmin juga asas yang tidak boleh dipandang kecil. Dengan pertolongon sesama mukminlah  akan zahirnya taqdir Allah dalam memberi kemenangan sebagaimana firmanNya yang bermaksud: "Dialah yang menguatkanmu dengan pertolonganNya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman.” (Al-Anfal:62)
Aku perhatikan, di antara keindahan akhlak jamaah tabligh, apabila salah seorang daripada mereka berdiri untuk memberi nasihat atau peringatan kepada manusia, kawan-kawannya menadah tangan berdoa agar dia dapat berkata dengan betul, dan Allah beri kepadanya kelancaran dalam berbicara dengan bahasa yang tepat dan mudah difahami.
Alangkah indahnya kalau semua pendakwah berbuat demikian ketika sahabatnya berbicara. Tetapi sayangnya, hasutan syaitan dalam situasi  dan suasana fitnah yang melanda menjadikan seseorang itu bercita-cita agar orang yang berlainan pendapat dengannya gagap dan merapu ketika berbicara, biar dia lupa tatabahasa, dan tidak dapat mencari kata-kata untuk diucapkan...
La haula wala quwwata illa billah… wainna lillahi wainna ilaihi raji’un.
Bukankah asy-Syafi’e pernah berkata: "Aku tidak pernah berdialog dengan seseorang kecuali aku bercita-cita agar Allah menzahirkan kebenaran melalui lidahnya.”!!??


-       Ustaz Umar Telemsani Mantan Mursyid Am Ikhwan Muslimin