And whatever good you do, (be sure) Allâh knows it. And take a provision (with you) for the journey, but the best provision is At-Taqwa (piety, righteousness). So fear Me, O men of understanding! (Al-Baqarah 2:197)
Wednesday, February 17, 2021
SUMBANGAN WANITA DALAM ILMU HADIS
Tuesday, February 16, 2021
INILAH ISLAM YANG RAHMAH
Muhammad bin Sirin menceritakan bahawa seorang wanita datang mengadu kepada Khalifah Umar bin al-Khattab r.a.
“Sesungguhnya suamiku berpuasa setiap hari dan qiam sepanjang malam” kata wanita itu.
“Apa yang puan mahu? Adakah puan mahu dia berhenti dari berpuasa dan solat malam?” tanya Umar.
Wanita itu tidak meneruskan bicaranya. Dia pulang dengan hampa.
Kemudian dia datang lagi kali ke dua. Hasilnya sama.
Dia datang lagi kali ke tiga. Ketika itu Ka’ab bin Sur ada di sisi Umar r.a.
“Sesungguhnya suamiku berpuasa setiap hari dan qiam sepanjang malam” kata wanita itu.
Ka’ab menyatakan pandangannya kepada Umar bahawa wanita itu sebenarnya mengadu bahawa suaminya tidak menunaikan tanggungjawabnya sebagai suami. Dia sebagai isteri tidak mendapat haknya yang wajar. (Kita bayangkanlah, bilakah masa dia melayani isterinya kalau setiap hari berpuasa, malam pula diisi dengan ibadah sepenuhnya?)
Mendengar pandangan yang dikemukakan oleh Ka’ab, maka Umar memberi peluang kepada Ka’ab supaya menyelesaikan masalah wanita itu dengan suaminya.
Ka’ab meminta supaya wanita itu mengajak suaminya datang bersama dengannya. Apabila mereka berdua datang, Ka’ab membacakan keputusannya di hadapan mereka berdua dan disaksikan Umar.
Ka’ab berkata kepada suami wanita itu: “kamu hendakalah membuat giliran untuk isterimu satu kali daripada setiap empat malam!”
Maksudnya si suami hendaklah beribadah selama tiga malam. Malam ke empat dia mesti menunaikan hak isterinya.
Umar kagum dengan apa yang diputuskan oleh Ka’ab.
Beliau bertanya, “apakah yang menjadi asas kepada hukumanmu, wahai Ka’ab?”
Ka’ab menjelaskan bahawa Allah Ta’la mengharuskan lelaki berkahwin empat, tidak lebih daripada itu. Ini memberi gambaran bahawa setiap orang isteri mesti diberikan haknya sekali dalam setiap empat malam.
Maka Umar r.a. terus melantik Ka’ab menjadi qadhi di Basrah.
(Al-Isti’ab fi Ma’rifat al-Ashab)
Itulah gambaran betapa indah ajaran Islam yang penuh rahmah.
Seorang wanita biasa berani datang mengadu masalah rumahtangga kepada pemimpin terrtinggi negara tanpa sebarang halangan dan sekatan. Namun dengan sifat semula jadi wanitu yang sopan dan malu, dia tidak berterus terang dengan masalah yang dialaminya.
Khalifah Umar r.a. yang bijaksana dan adil, tidak bermakna dapat menyelami semua perkara yang tersirat di sebalik apa yang tersurat. Beliau tidak memahami apa sebenarnya yang ingin diluahkan oleh rakyatnya. Namun dia tidak mengabaikannya. Sebaliknya mendengar pandangan yang diberikan oleh pegawainya, Ka’ab serta memberi peluang kepada Ka’ab yang pada pemerhatiannya lebih memahami psikologi rumahtangga serta komunikasi suami isteri.
Dan ternyata Ka’ab dapat membuktikan kefahamannya yang mendalam tentang ajaran al-Quran, Kitab Allah yang Maha Sempurna.
Semoga kita semua diberi hidayah dan taufiq untuk kembali kepada al-Quran, memahami dan menghayatinya.
Ealkkan Diri Dari Termasuk Dalam Golongan Ini!
Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Tiga golongan yang Allah tidak bercakap dengan mereka pada hari qiamat, tidak mentazkiahkan mereka, tidak melihat kepada mereka, dan bagi mereka azab yang amat pedih. Tiga golangan itu ialah: orang tua yang berzina, raja yang banyak berdusta, orang miskin yang bongkak sombong.” Riwayat Muslim (RS 617 ms 223)
Kenapakah tiga golongan itu amat dibenci dan dimurkai?
Allah tidak sudi memandang mereka dengan pandangan rahmahNya, tidak sudi berbicara dengan mereka dengan bicara yang lembut membelai hati mereka, tidak sudi mentazkiah atau membersihkan mereka dari dosa dan sifat-sifat tercela yang ada pada mereka.
Yang tersedia untuk mereka hanyalah azab pedih yang tidak tertanggung sakitnya.
Pertama: Orang tua yang berzina.
Zina adalah perbuatan keji yang sangat besar dosa dan implikasinya kepada umat manusia.
Ianya haram dan dilarang tanpa mengira sama ada ke atas orang tua atau orang muda.
Orang tua, biasanya lebih matang, lebih waras dalam memilih jalan yang baik atau sebaliknya. Biasanya lebih mampu mengawal diri dari terjebak ke dalam kancah nafsu yang durjana.
Mereka sepatutnya menjadi contoh dan teladan yang baik kepada generasi muda.
Namun, apabila si tua tidak sedar diri, leka dan alpa dengan godaan syahwah yang tidak bertepi, selayaknyalah dia mendapat balasan yang begitu hina dari Penciptanya.
Kedua: Raja yang banyak berdusta.
Kebiasaannya yang suka berdusta adalah orang yang lemah. Dia berdusta di hadapan seseorang yang dianggap mempunayi kuasa ke atasnya dengan tujuan untuk menutup kelemahan atau kesilapannya, supaya dia tidak dihukum atau tidak dimarahi.
Contohnya, anak berdusta pada ibu dan ayah, murid berdusta pada guru, dan seterusnya.
Raja yang di tangannya segala kuasa. Seluruh rakyat jelata tunduk dan patuh kepada arahannya, maka apakah alasan untuk dia berdusta? Apa yang dia takutkan? Apa yang dia bimbangkan?
Tidak ada keperluan untuk dia berdusta kecuali kerana sifat dusta telah sebati mendarah daging di dalam dirinya.
Lantaran itu dia amat dibenci oleh Allah dan disediakan untuknya siksaan yang amat keji dan hina.
Ketiga: orang miskin yang bongkak dan sombong.
Orang miskin adalah golongan yang tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi untuk menyara diri dan keluarga. Mereka selalunya bergantung kepada pemberian dan belas ihsan pihak lain.
Maka dari manakah datang sifat bongkak dan sombong itu? Apa yang hendak disombongkan sedangkan dia sendiri bergantung kepada belas ihsan orang lain?
Mereka sepatutnya insaf dan merendah diri khususnya kepada mereka yang sudi membantunya.
Sifat sombong yang ditunjukkan amatlah tidak wajar sama sekali. Justeru balasan yang hina dan kejilah selayaknya buat mereka.
Kesimpulannya, semakin kecil dorongan untuk seseorang melakukan sesuatu kejahatan, semakin besar dosanya di sisi Allah ‘Azza wa Jalla.
Orang tua syahwahnya tidak seganas orang muda. Sepatutnya lebih mampu mengawal diri dari berzina
Orang yang mempunyai kedudukan yang tinggi tidak ada sebab yang munasabah untuk dia berdusta kepada orang bawahannya.
Orang miskin, apakah alasannya untuk sombong? Sepatutnya mereka insaf keadaan yang ada pada diri sendiri dan berusaha dengan sungguh-sungguh untuk memperbaiki dan mengatasinya.
Friday, February 12, 2021
NILAI SEORANG INSAN
Wednesday, February 10, 2021
AWAS! RAJAB HAMPIR TIBA!
Monday, February 01, 2021
ISTERI YANG DIHARAMKAN MENCIUM BAU SYURGA
Tidak layak mencium bau syurga yang harumnya dapat dihidu dari jarak yang jauh. Ada beberapa hadis yang menyebut ia dapat dihidu dari jarak 40 tahun perjalanan (Al-Bukhari), 70 tahun (Al-Tirmizi), 100 tahun (Al-Tabrani), 500 tahun (Ahmad)
Kalau menghidupun diharamkan, apa lagilah memasukinya. Jauh panggang dari api!
Dosa apakah yang dilakukan oleh wanita yang malang itu sehinggakan mencium bau syurga pun haram baginya?
Itulah dosa yang paling ditakuti oleh wanita yang bergelar isteri, iaitu MEMINTA CERAI! Kerana takut tidak dapat mencium bau syurga, ramai isteri yang terpaksa menanggung sengsara menghadapi kerenah suami yang tidak bertanggungjawab, berperangai jahat, suka mendera dengan pelbagai cara, sama ada dalam bentuk fizikal, mental, emosi, seksual dan sebagainya berpuluh-puluh tahun lamanya. Semua itu ditanggung dengan penuh rasa sakit, perit dan pedih. Hendak minta cerai takut tidak dapat mencium bau syurga.
Begitukah ajaran Islam?
Begitukah layanan terhadap wanita bergelar isteri yang dianjurkan oleh Islam?
Perkahwinan adalah satu aqad yang menghalalkan pergaulan antara seorang lelaki yang digelar suami dengan seorang wanita yang digelar isteri. Dengan aqad itu juga melahirkan hak dan tanggungjawab terhadap satu sama lain. Suami mempunyai tnggangjawab terhadap isteri sebagaimana isteri mempunyai tanggungjawab terhadap suami. “Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang makruf...” (Al-Baqarah 2:228)
Kalau suami dibenarkan menceraikan isteri yang tidak menjalankan tanggungjawabnya terhadap suami, apakah munasabah jika isteri tidak boleh meminta cerai dari suami yang tidak menjalankan tanggungjawabnya terhadap isteri? Adilkah begitu?
Mungkin yang menjadi sandaran mereka yang mengatakan isteri yang meminta cerai tidak mencium syurga adalah hadis yang diriwayatkan daripada Thauban r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Mana-mana isteri yang meminta cerai dengan suaminya tanpa sebab yang mengharuskan (min ghairi ba’s), haram ke atasnya bau syurga” Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibn Majah. Al-Albani mengkategorikannya sebagai sahih.
Hadis itu menyebut “meminta cerai tanpa sebab yang mengharuskan”. Maknanya tanpa apa-apa sebab yang munasabah dan diterima di sisi syarak. Jika ada sebab, ia tidak haram dan tidak diharamkan bau syurga. Untuk lebih jelas, ikuti kisah yang berlaku pada zaman Nabi s.a.w. ini:
Isteri Thabit bin Qais r.a. datang bertemu Rasulullah s.aw. Beliau mengadu:
“Ya Rasulullah, Thabit bin Qais, aku tidak mencela akhlak dan agamanya, tetapi aku benci kufur selepas Islam. (Di dalam riwayat Ibn Majah, ada tambahan:) “aku tidak mampu tanggung kebencian”
“Adakah engkau mahu pulangkan kebunnya?” tanya Rasulullah s.a.w.
“Ya” jawabnya
Rasulullah s.a.w. perintahkan suaminya, Thabit, “Ambillah kebunmu dan ceraikanlah dia satu talaq.”(Al-Bukhari, Muslim dan Ibn Majah)
Ulamak mentafsirkan ungkapan “benci kufur selepas islam” dengan maksud: “takut melakukan perbuatan-perbuatan yang bercanggah dengan hukum islam seperti benci suami, derhaka, tidak tunai hak-haknya (Fath al-Bari)
Kalaulah minta cerai itu haram, tidak dapat mencium bau syurga, tentu Nabi s.a.w. akan menegur isteri Thabit ini dan mengingatkannya akibat buruk yang akan menimpanya. Namun apa yang berlaku baginda bukan sahaja tidak menegur, malah melayani kehendaknya. Walhal sebab yang mendorongnya meminta cerai bukan kerana didera atau tidak diberikan haknya sebagai isteri. Tetapi sebabnya dia tidak suka kepada suaminya dan bimbang dengan sebab itu dia tidak dapat menunaikan tanggungjawab yang sepatutnya terhadap suaminya.
Kesimpulan: tulisan ini tidak bertujuan untuk menggalakan isteri segera meminta cerai apabila berlaku perkara yang tidak menyenangkan dengan suami.
Tujuannya hanyalah untuk menjelaskan hak-hak isteri yang dijamin oleh Islam berdasarkan apa yang diajar dan diamalkan oleh Nabi kita s.a.w.
Rumah tangga bukan penjara bagi wanita. Suami tidak pernah diberi lesen untuk menyakiti dan mendera isteri sama ada secara fizikal, mental, seksual, emosi dan apa saja cara. Dan isteri tidak pernah dipaksa menanggung derita akibat didera atas alasan mengharap menghidu haruman syurga.
Jangan biarkan diri menanggung sengsara akibat kejahilan sendiri. Menuntut ilmu adalah wajib ke atas setiap umat Nabi Muhammad s.a.w.
Sunday, January 31, 2021
Kisah Abu Dardaa’ r.a. memeluk Islam
Abu Dardaa’ r.a. atau nama sebenarnya Uwaimir bin Zaid bin Qais al-Ansari al-Khazraji adalah satu nama yang tidak asing kepada kita umat Islam. Sahabat Nabi s.a.w. yang dikenali sebagai Hakim al-Ummah, orang yang paling berhikmah atau bijaksana dalam kalangan umat ini.
Meskipun beliau merupakan golongan Ansar yang paling akhir memeluk Islam, namun ketokohan, kewibawaan, keunggulan serta sumbangannya di dalam pelbagai bidang tidak kurang daripada sahabat-sahabat Nabi s.a.w. yang lain ridhwanullahu’alaihim ajma’in.
Sebelum memeluk Islam, Abu Dardaa’ merupakan seorang penyembah berhala yang tegar.
Pada suatu hari, sahabatnya Abdullah bin Rawwahah r.a. dan Muhammad bin Maslamah r.a. yang telah memeluk Islam datang ke rumah Abu Dardaa’ semasa beliau tiada di rumah. Kedua-duanya memecahkan berhala yang disembah oleh Abu Dardaa’ sehingga pecah berkecai.
Apabila Abu Dardaa’ pulang, dia mengutip serpihan berhalanya yang telah berkecai itu seraya berkata, “Celaka engkau! Kenapa engkau tidak menghalang mereka? Kenapa engkau tidak mempertahankan dirimu sendiri?”
Mendengar rungutan Abu Dardaa’, isterinya Ummu Dardaa’ menambah, “Kalaulah berhala itu berguna atau dapat mempertahankan seseorang, pasti dia berguna atau dapat mempertahankan dirinya sendiri!”
Abu Dardaa’ bangkit lalu meminta Ummu Dardaa’ menyediakan air untuk dia mandi.
Selepas mandi dan memakai pakaian yang kemas, beliau terus keluar untuk bertemu dengan Rasulullah s.a.w.
Ketika dia sampai ke tempat Rasulullah s.a.w. Abdullah bin Rawwahah r.a. berada di sisi baginda s.a.w. Melihat Abu Dardaa’ datang, Abdullah r.a. berkata, “Ya Rasulullah, itu Abu Dardaa’ datang. Tentulah tidak ada lain tujuannya kecuali membalas dendam ke atas kami.”
“Sesungguhnya dia datang untuk memeluk Islam. Tuhanku telah berjanji kepadaku bahawa Abu Dardaa’ akan memeluk Islam.” jawab Rasulullah s.a.w.
Antara pengiktirafan Rasulullah s.a.w. ke atas Abu Dardaa’ ialah “Faris (tentera berkuda) yang terbaik” dan “Hakim Ummah”.
Beliau juga merupakan salah seorang yang ditugaskan mengumpul al-Quran pada zaman Nabi s.a.w.
Al-Bukhari meriwayatkan dengan sanadnya daripada Anas bin Malik r.a. katanya: “Ketika Nabi s.a.w. wafat tidak ada seorangpun yang mengumpul al-Quran sepenuhnya kecuali Abu Dardaa’, Mu’az bin Jabal, Zaid bin Thabit dan Abu Zaid.”
Abu Dardaa’ r.a. sangat berpegang teguh dengan apa yang diajar dan dipesan oleh Rasulullah s.a.w. kepadanya. Muslim meriwayatkan bahawa Abu Dardaa’ r.a. berkata: ‘Kekasihku s.a.w. berpesan kepadaku tiga perkara yang aku tidak pernah tinggalkan selagi aku masih hidup: berpuasa tiga hari setiap bulan, solat dhuha dan tidak tidur sebelum menunaikan solat witir.”
Abu Dardaa’ dikenali sebagai seorang yang sangat warak dan takut kepada Allah SWT. Ketika untanya mati, dia berkata kepadanya: “Wahai untaku, janganlah engkau mendakwa aku di hadapan Tuhanmu kelak. Sesungguhnya aku tidak pernah membebanimu membawa barang-barang lebih daripada kemampuanmu.”
Beliau juga sangat menjaga hak-hak ukhuwah fillah. Beliau pernah berkata: “Aku berlindung dengan Allah daripada datangnya satu hari dalam hidupku yang aku tidak ingat kepada Abdullah bin Rawwahah r.a. Setiap kali apabila bertemu denganku dari hadapan, dia akan menepuk dadaku, kalau dia datang dari belakang dia akan menepuk bahuku kemudian berkata kepadaku: “Wahai Uwaimir, mari kita duduk, kita beriman satu saat. Lalu kami duduk mengingati Allah selama mana yang kamu mahu. Kemudian beliau berkata: “Inilah majlis iman!”.
Di dalam menjaga ukhuwah fillah, Abu Dardaa’ r.a. berkata: “Sesungguhnya aku berdoa untuk 70 orang saudara-saudaraku fillah di dalam sujudku. Aku sebut nama mereka satu persatu!”
Antara kata-kata hikmahnya yang masyhur:
“Tiga perkara bagiku sangat melucukan: orang yang sibuk mengejar dunia sedangkan dia sedang dikejar kematian, orang yang lalai dari mengingati Allah sedangkan Allah tidak lalai dari menghisabnya, dan orang yang tertawa berdekah-dekah sedangkan dia tidak mengetahui adakah dia termasuk dalam kalangan mereka yang diredhai Allah atau dimurkainya...”
“Kalaulah seseorang itu lari dari rezekinya sebagaimana dia lari dari kematiannya, nescaya rezekinya akan mendapatkannya sebagaimana kematiannya mendapatkannya.”
“Sesiapa yang banyak bercakap, banyaklah dustanya. Sesiapa yang banyak bersumpah, banyaklah dosanya. Sesiapa yang banyak permusuhannya, tidak selamatlah agamanya.”
“Sesiapa yang tidak mengenali ni’mat Allah kecuali pada makanan dan minumannya sahaja maka sesungguhnya sangat kurang ilmunya dan dekatlah azabnya. Dan sesiapa yang tidak pernah berasa kaya di dunia maka tidak ada dunia baginya.”
Dipetik dan diolah daripada:
Islamstory.com
Friday, January 29, 2021
Wednesday, January 27, 2021
Tamparan kepada mereka yang merasakan dirinya hebat
Abu al-’Alaa’ al-Ma’ri (363-449H/973-1057M) seorang penyair, pemikir, ahli bahasa dan sastra yang terkenal pada zamannya, iaitu zaman kerajaan Abbasiah.
Pada suatu hari dia bertemu dengan seorang kanak-kanak (ghulam).
“Siapakah anda wahai tuan syeikh?” tanya ghulam itu.
“Aku adalah Abu al-’Alaa’ al-Ma’ri, penyair terkenal pada masa kini,” jawab Abu al-’Alaa’ al-Ma’ri.
“Ahlan wahai tokoh penyair yang hebat,” ucap ghulam. “Tuankah yang mengarang syair ini:
Dan sesungguhnya aku, sekalipun zaman kelahiranku di akhir waktu
Aku dapat menghasilkan sesuatu yang tidak mampu dihasilkan oleh orang terdahulu?”
“Ya,” jawab Abu al-’Alaa’ al-Ma’ri “akulah yang mengarangnya. Kenapakah kamu bertanya demikian?”
“Ungkapan yang sangat bagus,” puji ghulam “ia menggambarkan keyakinan pada diri sendiri, mengakui kebolehan serta keupayaannya. Tetapi orang terdahulu telah mengasaskan 28 huruf hijaiah. Adakah tuan mampu menambahnya satu huruf sahaja?”
Abu al-’Alaa’ al-Ma’ri terdiam. Lalu dia berkata: “Demi Allah! Aku tidak pernah terdiam, tidak mampu menjawab sebagaiman terdiamnya aku ketika ini.”
Dipetik drpd kitab “Zaad al-Murabbin” Ibrahim Badar Syihab al-Khalidi
Tuesday, January 26, 2021
ISTERI YANG DILAKNAT PARA MALAIKAT
Hari ini saya akan mengulas satu hadis yang zahirnya sangat kontroversi, sangat tidak bertimbang rasa dan tidak mesra wanita.
Kalau tidak percaya, cubalah baca:
Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Apabila seorang suami mengajak isterinya ke tempat tidur, tetapi isterinya tidak datang, maka suami itu tidur dalam keadaan memendam kemarahan, malaikat laknat isteri tersebut sehingga ke pagi.”
Muttafaq ‘alaih.
(Riadhus-Solihin, no 281, ms 115)
Hadis ini selalu dilihat dari sudut kewajipan isteri taat kepada perintah suami. Apa sahaja kehendak serta permintaan suami wajib dipatuhi, full stop.
Adakah benar begitu? Adakah benar Islam menetapkan hubungan antara suami isteri seperti hubungan ketenteraan antara jeneral dengan anggota tentera di bawahnya?
Tidak sama sekali. Allah SWT telah membina hubungan suami isteri di atas landasan rahmah dan mawaddah. Allah jadikan mereka berdua sebagai pasangan yang membawa panji-panji ketenangan, kedamaian dan kesejahteraan terhadap satu sama lain yang diungkapkan dengan satu perkataan yang cukup indah, SAKINAH.
Dalam melayari bahtera rumahtangga di lautan hidup yang sentiasa bergelora, Allah telah mengamanahkan kepada suami untuk menjadi kapten yang diberi nama QAWWAM. Sebagai qawwam, suami bertanggungjawab melindungi ahli keluarga dari segala perkara yang tidak baik, perkara-perkara yang menyusahkan, apa lagi yang mencelakakan.
Sebagai qawwam, suami wajib menjaga isteri dengan penuh rahmah, membelainya dengan mawaddah, memayunginya dengan sakinah.
Suami yang pengasih dan cinta kepada isterinya, apakah akan tergamak menjadi sebab kepada isterinya dilaknat para malaikat? Sampai hatikah dia mengajak isteri ke tempat tidur tanpa mengambil kira suasana dan kondisi isteri?
Sesungguhnya suami yang mempunyai sifat rahmah pasti tahu bahawa hubungan kelamin bukan bertujuan untuk memenuhi nafsunya semata-mata. Sebaliknya ia merupakan saat memadu cinta antara mereka berdua. Ia tidak boleh dilakukan dengan cara perintah ala tentera; perintah dan taat. Sebaliknya, ia mesti didahului dengan membina suasana, memahami keadaan serta kesediaan pasangan terlebih dahulu. Jika ini dilakukan dengan sebaik-baiknya sudah tentu isteri tidak akan menolak dan terhindarlah dia dari dilaknat.
Suami yang mengajak tanpa mengambil kira keadaan serta kesediaan isteri adalah suami yang tidak sayang kepada isterinya dan sengaja menjadi sebab untuk isterinya dilaknat. Dan pada masa yang sama dia juga telah menderhakai Allah SWT yang memerintahkannya melayani isteri dengan cara yang baik. “Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).” (An-Nisaa' 4:19)
Kesimpulannya, kita tidak boleh memetik satu nas tertentu daripada al-Quran atau Hadis, lalu kita terus buat kesimpulan bahawa inilah ajaran Islam tanpa kita kaitkan dan padankan dengan nas-nas lain yang saling berkaitan antara satu sama lain. Sesungguhnya Islam itu indah. Rahmah untuk semua tanpa mengira sama ada lelaki atau wanita.
