Friday, November 01, 2024

MENCARI TITIK PERSAMAAN


Manusia sering berbeza pandangan antara satu sama lain. Namun, tidak bermakna tiada jalan pengelesaian dan persefahaman. Allah SWT mengajar kita, walau sebesar manapun perbezaan pandangan, carilah titik persamaan.

Allah SWT berfirman maksudnya:

Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu Kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah". Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam". (A-li'Imraan 3:64) 

TITIK PERSAMAAN ANTARA SELURUH UMAT MANUSIA

Al-Quran menegaskan bahawa manusia seluruhnya tanpa mengira bangsa, bahasa, warna dan benua semuanya berasal daripada keturunan yang sama, iaitu Adam dan Hawwa.

Allah SWT berfirman maksudnya:

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). (Al-Hujuraat 49:13) 

Oleh kerana mereka semua berasal daripada keturunan yang sama, maka tiada halangan untuk Allah jadikan mereka semua berada di atas satu jalan, menganut satu agama dan berfikir dengan cara fikir yang sama semuanya. Namun Allah tidak berkehendakkan begitu. maka perbezaan pendapat terus berlaku sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

“Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Dia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu. (Tetapi Ia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan.” (Hud 11:118)

TITIK PERSAMAAN ANTARA SELURUH UMAT ISLAM

Terlalu banyak titik persamaan antara seluruh Umat Islam tanpa mengira dari mana asal mereka. Semuanya beriman kepada Tuhan yang Esa, mengikuti Rasul yang sama, berpegang kepada Kitab yang satu, mengadap kepada Qiblat yang sama. Musim haji menjadi bukti yang nyata kesatuan umat Islam dari seluruh pelusuk dunia yang terdiri dari pelbagai aliran kefahaman, pelbagai mazhab dan pelbagai kecenderungan.

Allah SWT berfirman maksudnya:

“Dan sesungguhnya agama Islam ini ialah agama kamu - agama yang satu asas pokoknya, dan Akulah Tuhan kamu; maka bertaqwalah kamu kepadaKu.” 

(Al-Mu'minuun 23:52) 

“Sesungguhnya agama Islam inilah agama kamu, agama yang satu asas pokoknya, dan Akulah Tuhan kamu; maka sembahlah kamu akan Daku.” 

(Al-Anbiyaa' 21:92) 

RASULULLAH SAW TIDAK BERTEGANG SELAGI WUJUDNYA TITIK PERSAMAAN

Setelah baginda mencapai persetujuan dengan Suhail bin Amru yang mewakili kaum Quraisy untuk mengadakan perdamaian atau genjatan senjata yang dikenali sebagai perjanjian Hudaibiah, baginda SAW memanggil Ali RA supaya menulis surat perjanjian: 

Baginda menyampaikan sendiri apa yang perlu ditulis patah demi patah kepada Ali. Baginda memulakan dengan:

Bismillahir-Rahmanir-Rahim…

Amru pantas membantah: Adapun ar-Rahman, demi Allah, kami tidak tahu apa maksudnya. Tetapi, tulislah Bismika-Allahumma…

Maka Nabi SAW menyuruh Ali RA menulisnya begitu. Baginda SAW seterusnya menyambung: “Ini adalah perjanjian damai yang telah dipersetujui oleh Muhammad Rasulullah… 

Sekali lagi Amru membantah dengan berkata: kalau kami tahu engkau adalah Rasulullah, pasti kami tidak menghalang engkau daripada mengunjungi Baitillah dan tidak memerangi engkau! Justeru, tulislah Muhammad bin Abdullah.

Baginda SAW bersabda: sesungguhnya aku adalah pesuruh Allah meskipun kamu mendustakanku. Maka baginda menyuruh Ali RA supaya menulis Muhammad bin Abdululllah, dan memadamkan perkataan Rasulullah. Ali enggan memadamnya, lalu baginda memadamnya dengan tangannya sendiri… (Ar-Rahiq Al-Makhtum, ms 342-343)

Jelas sekali betapa Nabi SAW tidak bertegang menggunakan terma yang baginda yakin akan hakikatnya. Sebaliknya menerima cadangan musuh selagi mana tidak menafikan sepenuhnya kebenaran yang nyata.

IMAM MALIK RAHIMAHU-ALLAH BERLAPANG DADA DENGAN PERBEZAAN

Imam Malik rahimahu-Allah (W179H) berkata: Ketika Khalifah al-Mansur (W158H) berangkat menunaikan haji, beliau memanggilku bertemu dengannya. Aku pun datang mengadapnya. Kami berbincang tentang beberapa perkara. Beliau bertanya, aku menjawab. 

Beliau berkata: “Beta berazam untuk memerintah dengan menjadikan kitabmu ini, iaitu “Al-Muwatta’” sebagai dasar. Beta pegang satu naskhah. Kemudian beta akan hantar ke setiap negeri daripada negeri-negeri umat Islam satu naskhah. Dan beta perintahkan supaya mereka beramal dengan isi kandungannya dan tinggalkan selain daripadanya daripada ilmu-ilmu baharu. Sesungguhnya beta berpendapat asal ilmu ialah riwayat Ahli Madinah dan ilmu mereka.”

Aku berkata: “Wahai Amirul Mukminin, jangan lakukan. Sesungguhnya manusia telah disampaikan kepada mereka beberapa pendapat, mereka telah mendengar banyak hadis-hadis, mereka telah menerima pelbagai riwayat. Setiap kaum mengambil apa yang terlebih dahulu sampai kepada mereka. Mereka telah berpegang dan beramal dengannya. Jika dipaksa mereka tinggalkan apa yang telah mereka pegang, tentulah amat berat. Maka biarkanlah mereka berpegang dengan apa yang mereka telah pegang dan apa yang telah diplilih oleh rakyat setiap negeri untuk mereka pegang.

Khalifah berkata: “Demi umurka, jika engkau bersetuju dengan cadanganku, pasti beta perintahkan supaya dilaksanakannya.” (Al-Dhahabi, Siyar A’lam al-Nubala’).

Ma Syaa Allah! Betapa tingginya ilmu dan jauhnya pandangan Imam Malik. Khalifah mencadangkan untuk menjadikan kitab karangannya sebagai teks "undang-undang yang diikuti oleh seluruh rakyat, beliau menolaknya. Penyatuan umat bukan dengan dengan cara memaksa mereka mengikut satu aliran, satu pendapat daripada seorang imam. Sebaliknya penyataun adalah dengan meraikan kepelbagaian.

Dalam konteks ini, Imam Hasan al-Banna pernah berkata: kita bekerjasama dalam perkara yang kita persetujui, dan kita saling memaafkan dalam perkara yang kita perselisihkan. Ungkapan ini menggambarkan kefahaman beliau tentang tabiat dan fitrah manusia yang tidak boleh lari daripada berbeza pandangan. Justeru, memaksa mereka menerima satu pandangan tidak akan menatijahkan kesepakatan dan perpaduan, sebaliknya akan menjadi punca perpecahan dan pergaduhan yang tidak berkesudahan 


No comments:

Post a Comment