Bagaimana Kepimpinan Netanyahu Menulis Pengakhiran Bagi Israel?
Kita boleh memahami gelinciran sejarah ini melalui sekumpulan teori ketenteraan, politik dan sosial yang menjelaskan bagaimana kekuatan boleh berubah menjadi beban, kemenangan menjadi perangkap, dan peluasan menjadi kejatuhan. Apa yang saya tulis di sini bukanlah satu bentuk pendamaian dengan kesakitan, bukan juga menyemai ilusi, atau mencantikkan kekalahan. Ia adalah satu percubaan untuk membaca keadaan seperti mana adanya — dengan fikiran yang sejuk, pandangan yang tajam, dan hati yang tidak menipu diri.
1. Terlalu Meluaskan Diri (Overextension)
Setiap kali sesebuah negara meluaskan pengaruhnya melepasi sempadan geografi dan demografi secara berlebihan hingga melampaui keupayaannya untuk mengawal, negara itu tidak sedang menuju kekuatan — malah tergelincir ke dalam apa yang dikenali dalam wacana politik sebagai overextension (pengembangan berlebihan). Konsep ini merujuk kepada keadaan di mana negara melangkaui keupayaan sebenar lalu membuka pelbagai medan dan konflik yang tidak mampu ditanganinya, yang akhirnya menyebabkan keletihan dan keruntuhan.
2. Ilusi Kemenangan (Victory Delusion)
Apabila sesebuah negara menyangka bahawa siri kemenangan kecilnya bererti kemenangan mutlak, maka ia terdorong oleh keangkuhan untuk melakukan pengembaraan besar. Apa yang sedang berlaku pada Israel hari ini adalah satu persepsi keterlaluan terhadap kawalan, yang mendorong kepada keputusan peluasan yang emosional, lalu membawa kepada kebutaan strategik.
3. Kelesuan Kuasa Besar (Great Power Fatigue)
Istilah ini digunakan untuk menggambarkan keadaan apabila kekuatan sesebuah negara berubah menjadi beban, bukannya aset. Negara kecil dari segi penduduk dan geografi, tanpa kedalaman strategik yang sebenar, cuba memainkan peranan sebagai kuasa serantau utama, lalu membebankan institusi politik dan ketenteraannya, bahkan melemahkan penyokongnya. Lebihan kuasa yang digunakan secara tidak seimbang akan menghasilkan keletihan — bukan kemenangan.
4. Perang Pelbagai Medan (Multi-Front Warfare Trap)
Membuka lebih dari satu medan pada masa yang sama mungkin kelihatan seperti tindakan proaktif, tetapi ia berubah menjadi bencana apabila negara gagal mengawal mana-mana medan. Israel kini terlibat dalam konflik di Gaza, Lubnan, Syria, Iran, dan sedang berdepan ancaman dari Yaman dan Iraq. Kepelbagaian medan ini melemahkan pusat kepimpinan dan mengganggu keupayaan tentera untuk mengurus sumber serta bertindak dengan berkesan.
5. Perang Abadi (Forever Wars)
Satu bentuk konflik di mana sesebuah negara kehilangan keupayaan untuk mencapai kemenangan muktamad atau memaksakan penyelesaian, lalu terperangkap dalam keadaan keletihan berpanjangan tanpa had masa. Israel hari ini tampak telah memasuki era ini: setiap pertempuran membuka medan baharu, dan setiap medan berubah menjadi paya lumpur.
(Sebagai catatan: istilah ini lahir selepas peristiwa 11 September untuk menggambarkan penglibatan Amerika dalam konflik tanpa kesudahan menentang musuh yang tidak jelas. Walaupun permulaannya cepat — menumbangkan Taliban dan Saddam — Amerika terjerumus dalam perang terbuka melawan kumpulan-kumpulan yang sentiasa diperbaharui, tanpa hala tuju atau kemenangan yang pasti.)
Hari ini, musuh mengulangi corak yang sama: siri operasi yang dianggap sebagai kemenangan, lalu tergelincir ke dalam pertempuran kekal melawan kuasa tidak berpusat — perang tanpa peta jalan. Tiada musuh yang jelas, tiada penamat yang hampir, hanya keletihan yang berterusan. Dilema? Israel meneruskan peperangan bukan kerana tahu apa yang akan berlaku selepasnya — tetapi kerana ia takut pada apa yang tidak dapat dilihat esok hari.
6. Kos Melebihi Keuntungan (Cost exceeds Gain)
Setiap pusingan baru yang dilalui Israel membawa kos politik, ekonomi dan ketenteraan yang lebih besar daripada keuntungan yang diperolehnya. Legitimasi semakin terhakis, dominasi semakin terhakis, dan masyarakat memasuki keadaan tekanan berterusan. Kemenangan sesaat berubah menjadi beban yang berlarutan.
7. Kemenangan Membunuh (Pyrrhic Victory)
Ini adalah kemenangan yang dicapai secara ketenteraan tetapi memusnahkan keseimbangan dalaman dan asas kelangsungan negara. Ia umpama menang dalam satu pertempuran tetapi ditinggalkan tanpa keupayaan untuk menyertai pertempuran seterusnya. Israel mungkin telah memenangi beberapa pusingan, tetapi kini kehilangan keupayaan untuk meneruskannya.
Dalam konteks ini, kita mengimbau kembali analisis Ibn Khaldun mengenai saat kejatuhan negara. Beliau menyamakan pengakhiran sesebuah negara dengan sinaran pelita sebelum padam — sinaran terakhir, kilauan yang menipu. Israel hari ini berada di puncak kuasanya, tetapi sedang terbakar di tengah-tengah puncak itu. Ia melebihi kapasiti yang dimilikinya, berperang lebih dari yang mampu, dan terus memaksa dominasi sambil kehilangan kawalan.
Oleh itu, kita perlu membaca lanskap ini dari kejauhan.
Bukan untuk berdamai dengan kesakitan, bukan juga untuk mencantikkan kekalahan, tetapi untuk memahami arah konflik.
Kerana perlawanan yang sedar tidak hanya bersorak, tetapi juga menganalisis, membina, dan bersiap untuk hari esok.
"Sesungguhnya mereka melihatnya jauh, sedangkan Kami melihatnya dekat."
(Surah al-Ma’arij: 6–7)
— Minna Hawwa (منى حوّا)
No comments:
Post a Comment