Friday, May 23, 2008

Wanita Istimewa

Wanita patut bersyukur dan rasa bertuah kerana diciptakan sebagai wanita lantaran wanita adalah ibu. Ibu dalam pelbagai bahasa mempunyai pengertian yang sangat besar. Menurut Kamus Dewan, ibu bererti bahagian yang besar (induk, utama, pusat dll) daripada sesuatu (seperti pejabat dll); rumah ibu bermakna bahagian yang besar atau bahagian tengah sesebuah rumah.

Dalam bahasa Arab, ibu disebut umm (alif dan mim bersyaddah) bermaksud asal sesuatu perkara, contohnya Mekah disebut sebagai ummul-qura yang bermaksud ibu negeri, jalan utama dikatakan ummut-tariq, dan surah al-Fatihah adalah ummul-kitab.

Dalam bahasa Inggeris, mother juga mempunyai pelbagai makna:
• Something or someone that gives rise to or exercises protecting care over something else;
• origin or source.
• A creative source; an origin: Philosophy is the mother of the sciences.
• The biggest or most significant example of its kind: the mother of all battles.
• Condition that is the inspiration for an activity or situation; "necessity is the mother of invention"

Lantaran itu lahirnya pelbagai ungkapan yang menggambarkan betapa istimewanya insan bernama wanita seperti tiang negara, sekolah pertama, ratu hati, racun dan penawar dan lain-lain.

Selain itu terdapat nas-nas al-Quran atau Hadis yang secara jelas menunjukkan betapa Syari’at Islam begitu mengambil berat tentang wanita. Antaranya, Allah Ta’ala memerintahkan para suami agar bergaul dan melayani isteri meraka dengan cara yang baik di dalam firmanNya yang bermaksud: ”Dan gaulilah mereka dengan cara yang baik”.
Manakala Hadis-hadis yang menunjukkan Syari’at Islam mengambil berat tentang wanita, antara lain ialah Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Syurga itu di bawah tapak kaki ibu”. Ini bererti seseorang manusia walau setinggi mana pangkatnya, tidak akan dapat masuk syurga sekiranya dia tidak merendahkan diri atau menghormati ibunya. Nabi juga meletakkan ukuran baik buruknya seseorang lelaki adalah bergantung kepada sejauh mana dia berbuat baik kepada isterinya. Ini digambarkan di dalam Hadis yang bermaksud: “Sebaik-baik kamu adalah orang yang paling baik kepada isterinya”. Di dalam khutbah baginda ketika Haji Wada’ (haji perpisahan) baginda tidak lupa untuk berpesan kepada umatnya agar berbuat baik kepada wanita dan berpesan-pesan antara satu sama lain mengenai perkara tersebut.

Al-Quran mengemukakan dua contoh wanita ternama yang patut menjadi teladan seluruh wanita sepanjang zaman dan menjadi role model bagi ibu bapa dalam membentuk anak-anak perempuan mereka. Mereka itu ialah Asiah permaisuri Firaun dan Maryam bonda kepada Nabi Isa ’Alaihis-salam. Firman Allah bermaksud:
”Dan Allah membuat isteri Firaun perumpamaan bagi orang-orang yang beriman, ketika ia berkata: "Ya Tuhanku, binalah untukku sebuah rumah di sisi-Mu dalam syurga dan selamatkanlah aku dari Firaun dan perbuatannya dan selamatkanlah aku dari kaum yang zalim,
dan Maryam puteri Imran yang memelihara kehormatannya, maka Kami tiupkan ke dalam rahimnya sebagian dari roh (ciptaan) Kami; dan dia membenarkan kalimat-kalimat Tuhannya dan Kitab-kitab-Nya; dan adalah dia termasuk orang-orang yang taat”.

Ciri utama yang dibentangkan di dalam ayat di atas ialah seorang wanita harus mempunyai wawasan atau matlamat hidup yang jelas dan tinggi. Ini digambarkan di dalam ungkapan Asiah : "Ya Tuhanku, binalah untukku sebuah rumah di sisi-Mu dalam syurga…”. Wanita beriman tidak sekadar mengimpikan sebuah banglo mewah di puncak bukit di pinggiran kota atau desa yang bersifat sementara, tetapi sebuah rumah di sisi Tuhan Yang Maha Agong di dalam syurga yang abadi.

Kedua, wanita beriman memiliki ilmu dan berani mempertahankan kebenaran dan menentang kezaliman. Asiah, permaisuri kepada seorang maharaja yang perkasa dan kaya raya, tidak membiarkan dirinya leka diulit kemewahan yang tiada batas sehingga tidak mengenal erti kebenaran dan keadilan. Sebaliknya beliau tidak teragak-agak menyatakan keimanan yang tulus suci kepada Allah SWT dan memohon supaya dirinya tidak terpalit dengan kezaliman yang dilakukan oleh suaminya sendiri.

Ketiga, wanita beriman memiliki keyakian yang tinggi terhadap Allah SWT serta ayat-ayatNya. Allah SWT adalah satu-satunya Pencipta dan Penguasa seluruh alam. Dia Maha Berkuasa, Maha Mengetahui, Maha Adil, Maha Bijaksana. Dia tidak menyuruh kecuali yang baik dan tidak melarang kecuali yang buruk serta tidak bermanfaat kepada hambaNya. Keyakinan kepada Allah mendorong kepatuhan yang tidak berbelah bagi kepada seluruh ajaran yang terkandung di dalam kitab suci yang diturunkanNya. Dan antara wasiat serta amanah paling utama yang dituntut ke atas wanita agar memeliharanya ialah kehormatan diri dan kesucian alat sulit atau kemaluannya. Seorang wanita yang tidak mampu mempertahankan kesucian maruahnya dan tidak peka terhadap harga dirinya adalah pengkhianat kepada satu amanah yang dituntut oleh Pencipta agar memeliharanya. Pengkhianatan itu bukan saja akan menjahanamkan diri dan hidupnya, malah mengancam kesejahteraan umat serta generasi akan datang.

Ciri wanita beriman seterusnya ialah zuhud.
Zuhud bermaksud tidak terpaut kepada dunia dan segala isinya. Nabi SAW bersabda maksudnya: ”Sekiranya aku memiliki emas sebesar bukit Uhud, aku bercita-cita supaya ia tidak berada di dalam tanganku lebih daripada tiga malam. Aku tidak akan tinggalkan sesuatupun selain daripada sedikit untuk melunaskan hutang.” Riwayat Bukhari dan Muslim.
Seorang lelaki bertanya Nabi SAW: ”Ya Rasulullah, tunjukkan saya satu amalan, apabila saya melakukannya saya akan dikasihi Allah dan manusia!” Baginda menjawab: ”Zuhud di dunia, nescaya kamu dikasihi Allah. Zuhud (jangan tamak) apa yang ada pada orang lain, nescaya kamu dikasihi manusia!” Riwayat Ibn Majah.

Tanpa ciri-ciri di atas, wanita tidak akan selamat dari terjebak ke dalam pelbagai kancah kehidupan yang berkemungkinan membawa kepada keruntuhan akhlak dan kemusnahan harga diri.

No comments:

Post a Comment