Sunday, February 01, 2009

Enam ciri jamin kejayaan Muslim di dunia, akhirat

AIDILFITRI dipanggil hari kemenangan dan kejayaan bagi orang Islam yang berpuasa sepanjang Ramadan. Apabila disebut kejayaan, setiap hati akan berbunga bangga, setiap mata akan bersinar.

Kalau setiap orang ditanya: Apakah impian hidupnya? Pasti mereka akan menjawab: Menjadi orang yang berjaya! Tidak kira apa bidang yang diceburi dan apa juga lapangan yang diterokai, tiada seorang pun yang mahukan kegagalan. Allah sentiasa mendorong serta menyuruh hamba-Nya berusaha mencapai kejayaan. Perkara ini terbukti dengan begitu banyak ayat al-Quran yang membicarakan mengenainya.Perkataan al-Falah yang bermaksud kejayaan serta pecahannya disebut dalam al-Quran sebanyak 40 kali.

Perkataan al-Fauz yang juga bermaksud kejayaan atau kemenangan serta pecahannya disebut sebanyak 29 kali. Al-Quran menghuraikan secara terperinci maksud kejayaan. Bagaimana mencapai, peringkat, ciri orang yang berjaya serta halangan dalam menuju kejayaan.

Bukan sekadar itu, malah umat Islam diseru dan diperingatkan agar melangkah ke mercu kejayaan sekurang-kurangnya 10kali sehari melalui laungan azan (haiyya ‘alal-falah).Lantaran itu, sebagai orang yang mengaku beriman, kita perlu menilai kejayaan yang dicapai atau yang ingin dicapai dengan neraca Allah yang dinyatakan dengan jelas dan terperinci dalam al-Quran. Allah menyenaraikan ciri orang yang berjaya dan beruntung dalam firman-Nya bermaksud : “Sesungguhnya telah berjaya (beruntung) orang yang beriman, (iaitu) orang yang khusyuk dalam solatnya, dan orang yang menjauhkan diri daripada (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna, dan orang yang menunaikan zakat, dan orang yang menjaga kemaluannya kecuali terhadap isteri-isteri atau sahya yang mereka miliki; maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tidak dicela. Barangsiapa mencari selain daripada itu, maka mereka itulah orang yang melampaui batas. Dan orang yang memelihara amanat (yang dipikulnya) dan janjinya, dan orang yang memelihara sembahyangnya. Mereka itulah orang yang akan mewarisi, (yakni) yang akan mewarisi syurga Firdaus. Mereka kekal dalamnya.” (Surah al-Mukminun, ayat 1 -11). Ayat ini mengemukakan enam ciri mukmin yang berjaya.

Khusyuk dalam solat. Solat adalah Rukun Islam yang kedua selepas syahadah. Kalau syahadah diibaratkan sebagai tapak sebuah bangunan, solat adalah tiangnya. Tanpa tiang, tidak mungkin terdiri bangunan. Begitulah, tanpa solat tidak terbina agama. Namun sekadar solat belum tentu menjamin kemenangan. Allah hanya menjamin kemenangan bagi mereka yang khusyuk dalam solatnya. Khusyuk lahir daripada perasaan takwa, takut serta gentar berhadapan dengan Allah Yang Maha Perkasa. Orang yang benar-benar mengenali Allah, mengetahui sifat-Nya Yang Maha Agung, Kebesaran serta Kekuasaan-Nya yang tiada tara, dengan sendirinya akan menginsafi kekerdilan dan kehinaan diri di hadapan-Nya. Keinsafan melahirkan rasa takut, malu dan gentar, lalu sekalian anggota tunduk menyepi dan mengadap penuh mengharap. Anda boleh bayangkan ketika dipanggil bertemu orang atasan. Sebelum pergi anda berfikir baju apa hendak dipakai, bagaimana cara hendak masuk ke biliknya, bagaimana cara duduk, apa hendak jawab apabila ditanya, bagaimana mimik muka dan sebagainya. Ketika bertemunya, tentu anda tidak terfikir untuk melayan atau memberi perhatian kepada orang lain, walaupun orang yang paling anda sayangi. Demikian apabila kita mengadap Allah yang jauh lebih besar dan berkuasa daripada orang atasan kita. Tetapi mengapa kadang-kadang kita tidak berasa kebesaran-Nya? Itu yang perlu diperbaiki supaya kita tersenarai dalam golongan orang yang berjaya.

Menjauhi perkara yang tidak berfaedah. Kita semua tahu betapa berharganya masa. Ia lebih bernilai daripada emas dan pelbagai harta. Hilang emas boleh dicari ganti, tetapi tidak demikiannya dengan masa. Masa yang berlalu tidak mungkin dapat kembali lagi. Menghabiskan masa untuk perkara sia-sia adalah kerugian yang tiada bandingannya. Perkara yang tidak berguna adalah yang tidak mendatangkan apa-apa keuntungan sama ada di dunia atau akhirat. Ia merangkumi perbuatan, perkataan, fikiran, perasaan atau khayalan. Perkara itu sia-sia, mungkin kerana ia haram, maka kita mendapat dosa dengan melakukannya. Atau ia harus, tetapi tidak ada kena mengena dengan diri dan kehidupan kita. Maka, sia-sia saja melakukannya.Lantaran orang yang suka menghabiskan masa untuk perkara itu, tentu tidak boleh digolongkan dalam senarai orang yang berjaya.

Mengeluarkan zakat. Mukmin yang berjaya tidak memikirkan kepentingan diri semata-mata. Dia sedar harta yang diperoleh walaupun dengan usaha dan titik peluhnya sendiri, tidak mungkin diperoleh tanpa kudrat serta nikmat daripada Allah. Mukmin yang berjaya ialah mereka yang tahu nilai harta dan meletakkannya pada tempat yang betul. Mukmin wajib bersyukur kepada Allah, Pemilik dan Pemberi segala harta di dunia ini serta mengikut segala ketentuan yang dituntut oleh Allah. Jadi untuk menjadi mukmin berjaya, akui nikmat yang diterima dengan penuh kesyukuran serta bebaskan diri daripada belenggu kepentingan diri, kikir harta dan lokek jiwa.

Memelihara kemaluan dan kehormatan diri. Hubungan seksual adalah sebahagian daripada naluri yang dibekalkan oleh Allah dalam diri setiap insan sesuai dengan hikmah penciptaannya iaitu menjadi khalifah di bumi. Khalifah bermakna makhluk yang silih berganti iaitu daripada satu generasi lahir generasi berikutnya. Bagi memastikan naluri itu berfungsi dengan sebaiknya, Allah mensyariatkan perkahwinan. Tanpa perkahwinan terputus kesinambungan zuriat bani insan. Begitu juga jika dibiarkan naluri yang dibekalkan digunakan tanpa batasan. Dengan itu setiap orang berkewajipan mengawal nafsunya demi keselamatan generasi yang bakal mewarisinya. Kegagalan melahirkan generasi sejahtera adalah kegagalannya dalam melaksanakan sebahagian daripada fungsi yang diamanahkan kepadanya.

Menunaikan amanah dan janji. Pepatah Melayu yang sangat masyhur berbunyi: “Kerbau dipegang pada talinya, manusia dipegang pada janjinya”. Sesungguhnya amanah dan janji adalah asas hubungan setiap orang dengan pihak lain. Sebelum lahir ke dunia, manusia berjanji dengan Allah untuk menyembah dan beribadah kepada-Nya (lihat surah al-A’raf, ayat 172). Manusia juga telah menyanggupi di hadapan-Nya untuk memikul amanah yang telah ditolak oleh langit, bumi dan bukit bukau (lihat surah al-Ahzab, ayat 72). Semua itu adalah janji dan amanah yang paling asas. Sekiranya janji dan amanah itu dimungkiri dan dikhianati, sukar untuk kita mengharapkan janji lain ditepati. Justeru, gejala mengkhianati amanah dan memungkiri janji begitu berleluasa dalam masyarakat kini. Lebih malang lagi bangsa Melayu sering dikaitkan dengan tabiat tidak menepati janji. Apabila satu janji dimungkiri atau satu amanah dikhianati, kepercayaan akan hilang, buruk sangka dan dendam akan subur. Kejayaan yang diharap, kecundang yang datang.

Sentiasa memelihara solat. Ciri pertama berkaitan dengan solat. Ciri terakhir juga berkaitan dengan solat. Isyarat yang cukup jelas menunjukkan betapa pentingnya solat dalam Islam. Solat adalah amanah Allah, kemuncak pengabdian insan terhadap Penciptanya. Islam tidak mengiktiraf kejayaan yang dicapai oleh seseorang sekiranya dia meremehkan solat. Menjaga solat dari segi waktu, rukun, syarak, adab serta hikmahnya adalah teras utama untuk berjaya.


Oleh Prof Madya Maznah Daud
24 November 2004

No comments:

Post a Comment