Sunday, February 01, 2009

Harus Bela Anjing Pengawal

TULISAN saya minggu lalu, menyentuh peristiwa anjing menggigit kanak-kanak. Berikutan itu, beberapa pembaca bertanyakan mengenai pandangan Islam berkaitan dengan anjing peliharaan.

Seperti yang dinyatakan dalam penulisan lalu, anjing menurut pandangan jumhur fuqahak adalah najis mughallazah. Ia berdasarkan perintah Rasulullah agar membasuh bekas yang dijilatnya sebanyak tujuh kali dimulakan dengan air yang dicampur tanah. Namun, tidak bermakna Islam menganggap anjing sebagai makhluk hina yang wajib dibenci dan dijauhi.


Setiap makhluk ciptaan Allah ada kelebihan tersendiri. Lantaran itu tidak wajar bagi kita memandang hina pada sesuatu makhluk disebabkan kejadiannya yang buruk, kotor dan najis.


Dalam satu hadis diceritakan seorang lelaki diampunkan dosanya kerana menolong seekor anjing yang kehausan. Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Ketika mana seorang lelaki berjalan di suatu jalan, dia terlalu dahaga. Tiba-tiba dia menemui sebuah perigi. Oleh kerana tiada timba untuknya menceduk air dari perigi itu dia turun ke dalamnya dan meminum air sehingga puas. Kemudian dia naik ke atas dan ternampak seekor anjing terjelir-jelir lidahnya menjilat pasir kerana tersangat dahaga. Lelaki itu berkata kepada dirinya sendirinya: Anjing ini haus seperti apa yang aku rasakan sebelum ini. Lalu dia turun semula ke dalam perigi dan mengisi air ke dalam kasutnya. Dia memegang kasut yang dipenuhi air itu dengan mulutnya sambil memanjat naik ke atas. Kemudian dia memberi anjing itu minum. Allah berterima kasih kepadanya lantas mengampunkan dosanya dan memasukkannya ke dalam syurga.” Sahabat bertanya: “Ya Rasulullah! Apakah dengan menolong haiwan kita mendapat pahala juga?” Baginda menjawab: “Ya! Menolong setiap makhluk bernyawa akan diberi pahala.” (Hadis riwayat al-Bukhari).


Selain itu, al-Quran menerangkan beberapa fungsi anjing yang boleh dimanfaatkan oleh manusia. Antaranya anjing sebagai pengawal keselamatan. Ketika menceritakan kisah Ashabul-Kahfi, Allah berfirman maksudnya: “Dan kamu mengira mereka itu jaga padahal mereka tidur. Dan Kami balik-balikkan mereka ke kanan dan ke kiri, sedang anjing mereka mengunjurkan kedua-dua lengannya di muka pintu gua...” (Surah al-Kahfi, ayat 18). Ayat ini menunjukkan harus membela anjing untuk dijadikan pengawal keselamatan. Allah menyatakan bahawa anjing itu berada di muka pintu, bukan dalam gua bersama tuannya.
Jadi keharusan membela anjing sebagai pengawal tidak bermakna ia boleh dibawa masuk ke dalam rumah. Maksud yang tersirat dalam ayat ini diperkukuhkan dengan sabda Rasulullah bermaksud: “Malaikat (rahmat) tidak memasuki rumah yang ada dalamnya patung dan anjing.”
Ayat ini juga menunjukkan bahawa anjing adalah haiwan yang setia kepada tuannya. Perihal kesetiaan anjing memang selalu didengar. Ada yang berjaya menemui jalan pulang ke rumah tuannya walaupun terpisah berpuluh-puluh batu jauhnya.

Di samping itu, ayat berkenaan memaparkan bahawa keberkatan orang salih akan melimpahi sesiapa saja yang berdampingan dengannya walaupun seekor haiwan. Lantaran itu, kita seharusnya berhati-hati dalam memilih teman. Pastikan sentiasa berdampingan dengan golongan yang baik agar sama-sama mendapat kebaikan dan keberkatannya.

Selain menjadi pengawal, anjing juga boleh digunakan untuk berburu.
Allah berfirman maksudnya: “Mereka menanyakan kepadamu: “Apakah yang dihalalkan bagi mereka?” Katakanlah: “Dihalalkan bagimu yang baik-baik dan buruan yang ditangkap oleh binatang buas yang telah kamu ajar dengan melatihnya untuk berburu, kamu mengajarnya menurut apa yang telah diajarkan Allah kepadamu. Maka, makanlah daripada apa yang ditangkapnya untukmu, dan sebutlah nama Allah atas binatang buas itu (waktu melepasnya). Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha cepat hisab-Nya.” (Surah al-Maidah, ayat 4).

Binatang buas yang disebutkan di dalam ayat di atas termasuk anjing. Malah perkataan ‘mukallibin’ yang bermaksud ‘mengajar binatang buas untuk berburu’ diambil daripada perkataan ‘kalb’ yang bermakna anjing.
Ia menunjukkan binatang yang paling kerap digunakan untuk berburu adalah anjing. Hal ini diperkuatkan dengan beberapa hadis yang menunjukkan sahabat memang menggunakan anjing untuk berburu. Antaranya hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada ‘Adi bin Hatim. ‘Adi berkata: “Saya berkata kepada Rasulullah : Ya Rasulullah! Sesungguhnya saya telah melepaskan anjing saya yang telah saya ajar untuk berburu dan saya menyebut Nama Allah.” Baginda bersabda: “Sekiranya engkau melepaskan anjingmu yang telah diajar untuk berburu dan engkau menyebut nama Allah maka makanlah binatang yang ditangkap oleh anjingmu itu.”

Di samping kelebihan yang ada pada anjing, ia mempunyai satu tabiat hodoh, iaitu lidahnya yang terjelir-jelir setiap ketika.
Namun, di sisi Allah ada manusia yang sama hodohnya dengan anjing itu. Mereka ialah orang yang meninggalkan petunjuk kebenaran yang nyata dan memilih kesesatan. Mengutamakan kesenangan dunia yang sementara dan melupakan akhirat yang kekal abadi. Firman Allah bermaksud: “Dan bacakanlah kepada mereka berita orang yang telah Kami berikan kepadanya ayat-ayat Kami, kemudian dia melepaskan diri daripada ayat-ayat itu, lalu dia diikuti oleh syaitan, maka jadilah dia termasuk orang yang sesat. Dan kalau Kami mengkehendaki, sesungguhnya Kami tingkatkan darjatnya dengan ayat-ayat itu, tetapi dia cenderung kepada dunia dan menurutkan hawa nafsunya yang rendah.
Maka perumpamaannya seperti anjing; jika kamu menghalaunya dijulurkannya lidahnya dan jika kamu membiarkannya dia menjulurkan lidahnya juga. Demikian itulah perumpamaan orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka, ceritakanlah kepada mereka kisah-kisah itu agar mereka berfikir.” (Surah al-A’raf, ayat 175-176).

Kesimpulannya, semua makhluk yang diciptakan Allah, sama ada haiwan, tumbuhan-tumbuhan dan sebagainya untuk mempermudahkan kehidupan manusia. Hal ini agar mereka dapat menyempurnakan tugas sebagai khalifah dengan sebaiknya. Sebahagian makhluk menjadi sumber makanan, sebahagian digunakan untuk membuat tempat tinggal, pakaian, kenderaan dan sebagainya. Malah, ada yang berkhidmat kepada manusia secara diam-diam tanpa disedari oleh manusia sendiri seperti apa yang dilakukan oleh pelbagai jenis bakteria termasuk dalam badan manusia.Ada antara makhluk Allah, khususnya haiwan yang boleh dijadikan pengajaran serta iktibar dalam pelbagai aspek.
Perkara ini yang dimaksudkan Allah dalam firman-Nya bermaksud: “Dialah Allah yang menjadikan segala yang ada di bumi untuk kamu...” (Surah al-Baqarah, ayat 29)Firman-Nya lagi bermaksud: “Tidakkah kamu perhatikan sesungguhnya Allah telah menundukkan untuk kepentinganmu apa yang di langit dan apa yang di bumi dan menyempurnakan untukmu nikmat-Nya lahir dan batin. Dan antara manusia ada yang membantah keesaan Allah tanpa ilmu pengetahuan atau petunjuk dan tanpa kitab yang memberi penerangan.” (Surah Luqman, ayat 20).


Oleh Prof Madya Maznah Daud
Wadah Wanita Islam: 6 April 2005

No comments:

Post a Comment