Musim haji 1431 berakhir sudah. Para tetamu Allah berduyun-duyun pulang meninggalkan kota suci dengan membawa seribu kenangan pahit dan manis sepanjang mengerjakan ibadah haji, rukun Islam yang ke 5. Apa yang paling penting ialah perasaan gembira dengan janji syurga serta diampunkan dosa.
Saya menerima sepucuk surat melalui email yang diutus oleh seorang sahabat dari Negara Arab mengisahkan pengalaman seorang tetamu Allah yang sungguh mencuit hati. Justeru saya rasa terpanggil untuk berkongsi dengan sahabat semua kisah tersebut.
Begini ceritanya:
Setelah berakhirnya musim haji, lapangan terbang Jedah penuh sesak dengan para jamaah yang menunggu pesawat untuk pulang ke tanah air masing-masing.
Antara mereka ialah Haji Sa’eid yang mengambil tempat duduk di sebuah kerusi. Di sebelahnya jamaah lain yang kelihatannya berasal dari negara yang sama dengannya.
Kedua-duanya bersalaman, berkenalan dan berbual mesra walaupun baru pertama kali berjumpa. Lelaki yang baru berkenalan dengan Haji Sa’eid itu (kita panggil dia Haji Abdul Ghani atau ringkasnya HAG) bercerita mengenai dirinya:
- Saya seorang konteraktor yang Berjaya, Alhamdulillah. Tahun ini Allah telah menganugerahkan rezeki di mana saya berjaya mendapat satu tender yang saya kira cukup untuk membiayai keperluan sepanjang hayat saya. Dengan rezeki yang melimpah ruah itu, saya berikrar perkara pertama yang mesti saya lakukan ialah menunaikan haji kali ke 10 sebagai tanda syukur kepada Allah di atas nikmat-Nya yang begitu banyak. Dan sebelum berangkat, saya tidak lupa mengeluarkan zakat, memberi sedekah agar haji saya diterima di sisi Allah. Syukur kepada Allah, sekarang saya telah dapat menyelesaikan haji saya yang ke 10.
Haji Sa’eid (HS) mengangangguk-anggukkan kepalanya sambil berkata:
- Haji yang mabrur, usaha yang disyukuri dan dosa diampuni insya Allah.
HAG tersenyum sambil mengaminkan doa HS. Kemudian dia bertanya:
- Anda bagaimana ya akhi? Adakah anda juga mempunyai cerita tertentu di sebalik haji anda?
HS menjawab dengan teragak-agak:
- Demi Allah ya akhi. Ceritanya sangat panjang dan saya tidak mahu memeningkan kepala anda mendengarnya.
HAG tertawa pendek. Dengan nada mesra dia berkata:
- Tak mengapa ya akhi. Kita di sinipun bukan buat apa selain menunggu saja. Ceritakanlah kisahmu itu!
HS turut ketawa seraya berkata penuh makna mengenangkan hari-hari yang dilalui sebelum dijemput oleh Allah menjadi tetamu-Nya yang dimuliakan.
- Ya, menunggu. Sebenarnya itulah permulaan cerita saya. Sesungguhnya saya telah menunggu saat untuk menunaikan haji beberapa tahun lamanya. Saya telah bekerja sebagai perawat fisioterapy sejak 30 tahun yang lalu, iaitu sejurus selepas menamatkan pengajian. Tak lama lagi saya akan bersara. Anak-anak semuanya telah berumahtangga dan telah terlepas dari tanggungan saya. Maka saya membuat keputusan menggunakan simpanan yang ada untuk menunai ibadah haji yang telah sekian lama saya impikan pada tahun ini. Maklumlah umur kita tiada siapa yang tahu bila akan habis?
- Saya mengeluarkan semua wang simpana dan berazam untuk pergi mendaftarkan diri di jabatan pengurusan haji selepas tugas saya selesai pada hari itu. Sebelum meninggalkan hospital tempat saya bekerja, saya terserempak dengan seorang ibu yang selalu membawa anaknya yang lumpuh untuk mendapatkan rawatan. Wajahnya sugul, muram dan kusam. Dia menghampiri saya seraya berkata:
- Selamat tinggal akhi Sa’eid. Ini merupakan kunjungan saya yang terakhir ke hospital ini.
Saya hairan mendengar kata-katanya itu. Saya terfikir, mungkin dia tidak berpuas hati dengan rawatan yang saya berikan dan telah memilih pusat rawatan lain untuk merawat anaknya. Setelah saya luahkan kehairanan saya itu, dia menjawab dengan suara yang sebak:
- Akhi Sa’eid, sesungguhnya Allah menjadi saksi bahawa anda seperti mengasihi anak saya lebih daripada ayahnya dan rawatan yang anda berikan telah banyak membantu memulihkan penyakitnya sedikit demi sedikit meskipun sebelumnya kami rasakan tidak ada harapan untuk dia sembuh.
HAG tidak dapat membendung perasaan hairannya terhadap keputusan ibu mahu menghentikan rawatan anaknya, lalu bertanya:
- Aneh, kalau dia berpuas hati dengan rawatan yang anda beri beri, dan anaknya semakin sembuh, kenapa dia mahu mengehentikan rawatan?
- Itu jugalah yang menghairankan saya. Saya segera ke bahagian pentadbiran, bertemu dengan pegawai di situ untuk mengetahui sebabnya. Saya amat terkilan seandainya keputusan yang dibuat oleh ibu itu berpunca dari kecuaian saya. Pegawai menjelaskan bahawa keputusan itu tidak ada kena mengena dengan saya. Sebenarnya suami wanita itu telah kehilangan pekerjaan, jadi mereka tidak mampu lagi menanggung kos rawatan. Justeru mereka membuat keputusan untuk mengehentikan rawatan anak mereka.
Tak terkata sedihnya hati HAG mendengar penjelasan HS itu membuat dia mengeluh panjang:
- La hawla wa la quwwata illa billah. Kasihan wanita itu. Bukan sedikit manusia yang terpaksa berhenti atau diberhentikan kerja pada zaman ini. Jadi apa yang anda lakukan ya akhi?
- Saya pergi bertemu dengan Pengarah, merayu supaya rawatan anak itu diteruskan dan kosnya ditanggung oleh pihak hospital. Namun pengarah tidak setuju sama sekali. Dia berkata, hospital ini bukan badan kebajikan untuk golongan fakir dan miskin. Kalau tidak mampu, mereka tidak perlu datang ke sini!
- Saya keluar dari biliknya dengan hampa. Saya tidak dapat membayangkan nasib anak itu jika rawatan dihentikan? Tiba-tiba tanpa saya sedari tangan saya meraba-raba wang yang ada di dalam saku saya, wang yang saya keluarkan untuk membayar kos menunaikan haji. Buat seketika saya terpaku di tempat saya berdiri. Kemudian saya mengangkat muka ke langit sambil meluahkan isi hati kepada Tuhan:
- Ya Allah, Engkau Maha Tahu apa yang ada di dalam hatiku. Engkau Maha Tahu bahawa tidak ada yang labih aku cintai selain daripada menunaikan haji di Rumah-Mu dan menziarahi Masjid Nabi-Mu. Aku telah berusaha sepanjang hayatku. Setiap detik, setiap waktu aku menghitung saat yang ditunggu-tunggu. Tetapi kini aku terpaksa membatalkan janjiku dengan-Mu. Maka ampunilah aku ya Tuhanku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.
- Saya pergi bertemu dengan kerani kewangan, dan saya berikannya semua wang yang ada pada saya sebagai pendahuluan kos rawatan anak itu selama 6 bulan. Saya meminta kerani memberitahu ibu itu, anaknya boleh meneruskan rawatan kerana pihak hospital mempunyai tabungan khas untuk kes-kes separtinya.
Air mata HAG berguguran mendengar penjelasa HS. Dia berkata:
- Semoga Allah memberkatimu dan membanyakkan lagi orang-orang sepertimu. Tetapi sekiranya anda telah mensedekahkan semua wang yang anda miliki, bagaimana anda dapat menunaikan haji tahun ini?
- Nampaknya anda tidak sabar untuk mendengar kesudahan cerita saya. Adakah anda telah jemu? Begini sambungannya...
- Selepas menyerahkan wang itu saya pulang ke rumah dengan perasaan bercampur-campur; seih kerana terlepas peluang untuk menunaikan haji yang merupakan satu-satunya peluang sepanjang hidup saya selama ini dan gembira kerana dapat melepaskan ibu dan anaknya dari kesusahan yang ditanggung mereka. Saya tidak dapat membendung dua perasaan yang bercampur-campur itu sehingga akhirnya saya tertidur dalam linangan air mata...
Bersambung...
tak sabar nak dengar seterusnya.Salam.
ReplyDeleteinteresting...n suspens...
ReplyDeleteinteresting...n suspens...
ReplyDelete