And whatever good you do, (be sure) Allâh knows it. And take a provision (with you) for the journey, but the best provision is At-Taqwa (piety, righteousness). So fear Me, O men of understanding! (Al-Baqarah 2:197)
Friday, November 09, 2012
Detik-detik sejarah penuh emosi
Pada 19 Oktober 1951, Ustaz Hasan al-Hudhaibi secara rasminya dipilih sebagai Mursyid Aam Ikhwan Muslimin menggantikan asy-Syahid Hasan al-Banna yang dibunuh oleh pihak berkuasa Mesir pada 12 Februari 1949.
Ustaz Hasan al-Hudhaibi merakamkan detik-detik pertemuan terakhirnya dengan asy-Syahid Hasan al-Banna:
Pada jam 11 malam, locing rumahku berbunyi. Setelah pintu dibuka, Hasan al-Banna masuk membawa berita terakhir tentang perbincangannya dengan pihak kerajaan. Aku tidak mengerti kenapa waktu itu aku rasa sangat tertekan? Kenapa dadaku terasa sebak? Kenapa tiba-tiba perkataan 'bunuh' seolah-olah sedang meniti di hujung lidahku?
Aku dapat rasakan bahawa insan mulia ini akan dibunuh. Dia akan dicekup bila-bila masa oleh tangan-tangan yang berdosa. Sesungguhnya pihak kerajaan, malah siapa sahaja tidak mungkin tidak dapat membunuh seorang lelaki yang tidak punya apa-apa kecuali imannya! (pihak berkuasa telah membubarkan jamaah Ikhwan pada 8 Disember 1948 dan semua ahlinya ditangkap dan dipenjarakan)
Ketika dia hendak keluar meninggalkan rumahku, aku bersalaman dengannya, aku peluk dan aku ciumnya. Aku tidak berdaya menahan atau menyembunyikan air mataku. Dia tersenyum sambil membacakan ayat 51 daripada surah at-Taubah yang bermaksud: “Katakanlah, sekali-kali tidak akan menimpa kami sebarang musibah kecuali apa yang telah ditulis oleh Allah untuk kami,”
Sebentar kemudian jasadnya tenggelam ditelan kegelapan malam. Keesokannya jasadnya benar-benar tenggelam ditelan kezaliman. Sesungguhnya kerajaan Mesir telah membunuh seorang warganegaranya yang bernama Hasan al-Banna pada 12 Februari 1949. Dan kerajaan yang membunuh itu berjanji bukan sahaja untuk menutup bukti-bukti jenayah, malah berjanji untuk memberi hadiah kepada pembunuh!
Bagaimana Ustaz Hasan al-Hudhaibi terpilih?
Pada mulanya beliau menolak permintaan supaya dia memegang tampuk kepimpinan jamaah yang berat itu. Sesungguhnya jamaah pada ketika itu, selepas ditimpa pelbagai mehnah: jamaah dibubarkan, ahli-ahli dipenjarakan dan kemuncaknya pengasasnya dibunuh. Dalam suasana segenting itu pastinya jamaah memerlukan seorang pemimpin yang kuat, yang mampu menyatu dan memantapkan saf dari dalam di samping mendepani cabaran dan seribu satu ancaman dari luar.
Seramai 20 orang pimpinan ikhwan yang datang dari pelbagai daerah berhimpun di Iskandariah. Waktu itu musim panas. Ustaz Hasan berada di rumahnya di al-Mandarah. Pimpinan yang terdiri daripada Ustaz Abdul Aziz ‘Atiyyah, Abdul Qadir ‘Audah, Mahmud Abdul Halim, Yusuf Tala’at, Dr. Abdul Aziz Kamil dan lain-lain telah pergi ke rumah Ustaz Hasan. Beliau dan anak-anaknya mengalu-alukan kedatangan mereka. Mereka berbual mesra sambil bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu.
Ustaz Abdul Aziz ‘Atiyyah dan asy-Syahid Abdul Qadir ‘Audah memulakan bicara menerangkan keadaan yang dihadapi oleh jamaah. Keperluan kepada orang yang berwibawa untuk memimpin jamaah ketika itu sangat-sangat mendesak. Kemudian beberapa orang lain yang hadir turut mengeluarkan pandangan dan menyatakan hasrat mereka agar Ustaz Hasan menerima tanggungjawab yang besar dan berat ini.
Ustaz Hasan menerangkan keadaan dirinya dan alasan kenapa beliau tidak sanggup menerima amanah itu. Katanya, beliau tidak sanggup kerana tidak mampu untuk menyatukan hati pucuk pimpinan yang berlainan kecenderungan dan sudut pandang yang berbeza. Tambahan pula dia sakit dan tidak mampu memikul masuliyyah yang berat dalam keadaan dirinya yang tidak sihat.
Ustaz Mahmud Abdul Halim yang turut hadir pada pertemuan itu menceritakan dengan katanya: Setelah mendengar penjelasan Ustaz Hasan, kami benar-benar keciwa dan putus asa. Semua kami dapat rasakan kelat dan pahitnya air liur yang kami telan kerana terlalu sedih dan hampa. Dalam keadaan itu, tiba kami dengar satu suara, tangisan dan sedu sedan Akh (asy-Syahid) Yusuf Tala’at. Dalam sedu sedan beliau berkata kepada Ustaz Hasan: “Sesungguhnya kami mengetahui apa yang Ustaz tanggungi. Tetapi dakwah lebih mulia di sisi kami dan di sisi Ustaz juga. Mana mungkin kita biarkan dakwah tanpa qiadah? Sesungguhnya kami telah sepakat memilih Ustaz sebagai pemimpinnya. Andainya kami telah sepakat untuk membelanya, maka Ustaz juga mesti bersedia untuk membelanya. Dan Allah Maha Kuasa untuk menyembuhkan Ustaz seandainya Ustaz menyahut seruan dakwahNya. Dan kami sekali-kali tidak akan keluar dari tempat ini melainkan setelah Ustaz menerima kehendak Ikhwan yang kami ini sebagai wakil mereka.”
Dan sesungguhnya kata-kata Akh Yusuf Tala’at dan air matanya yang lebat mencurah-curah menjadikan hati Ustaz Hasan dan semua yang hadir bagai disihir. Air mata bercucuran dari mata kami dengan lebatnya dan kami rasa telah berpindah ke alam ruhi yang menyelubungi jiwa-jiwa kami. Ustaz Hasan tidak mampu berbuat apa-apa kecuali tersenyum sedang air mata berkaca-kaca memenuhi kelopak matanya. Dengan tenang dia mengatur kata: “Sesungguhnya aku ikut pendapat kamu semua dan aku memohon kepada Allah supaya Dia membantuku.”
Semua kami berdiri dan berpelukan antara satu sama lain. Sesungguhnya pertemuan itu berlaku begitu singkat, namun ia merupakan satu pertemuan bersejarah yang meninggalkan kesan yang cukup hebat kepada dakwah dan jamaah sepanjang zaman.
Sumber:
http://www.ikhwanonline.com/new/Article.aspx?ArtID=125200&SecID=373
No comments:
Post a Comment