And whatever good you do, (be sure) Allâh knows it. And take a provision (with you) for the journey, but the best provision is At-Taqwa (piety, righteousness). So fear Me, O men of understanding! (Al-Baqarah 2:197)
Sunday, November 11, 2012
Pulau Pandan jauh ke tengah, Gunung Daik bercabang tiga
Tajuk yang saya pilih kali ini merupakan pembayang bagi serangkap pantun lama. Tentu ramai yang hafal pantun tersebut.
Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik dikenang juga
Menghayati maksud pantun tersebut, saya teringat satu kisah yang diceritakan oleh seorang sahabat dari timur tengah. Kisahnya kira-kira begini:
Seorang anak muda bernama Sa'eid baru menamatkan pengajiannya dari sebuah universiti. Seperti graduan-graduan lain, dia sibuk mengisi borang, menghantar resume ke jabatan-jabatan kerajaan dan swasta bagi mendapat pekerjaan yang sepadan dengan kelulusan yang dimilikinya.
Beberapa hari kemudian dia menerima panggilan dari sebuah syarikat gergasi yang dimiliki oleh seorang jutawan terkenal di negerinya. Dia dijemput datang petang itu juga untuk memulakan tugasnya.
Gembira hatinya bukan kepalang. Hairanpun ada. Mengapa tiba-tiba dia diterima bekerja di syarikat yang hebat itu tanpa sebarang temuduga, pada hal dia tidak mempunyai pengalaman apa-apa.
Tepat pada waktu yang dijanjikan, Sa'eid tiba dengan pakaian yang agak lusuh. Itulah yang paling baik yang dimilikinya. Dia terus menuju ke kaunter pertanyaan dan memberitahu namanya. Salah seorang petugas di kaunter tersebut terus berdiri memberi hurmat kepadanya sambil berkata:
"Selamat datang Tuan Sa'eid. Kami rasa betuah dengan kedatangan Tuan. Silakan, saya akan menghantar tuan ke bilik Tuan Pengerusi Lembaga Pengarah!"
Sa'eid terpinga-pinga. Tidak faham apa yang berlaku di hadapan matanya sekarang? Dengan sopan dia berkata:
"Saudara, saya rasa saudara tersilap orang. Saya baru saja diterima bekerja di sini sebagai pekerja bawahan saja."
Penyambut tamu tadi bertanya:
"Bukankah Tuan orang yang bernama Encik Sa'eid Wahid Farid, dan Tuan ada temujanji jam 5.00 petang?"
"Ya! Sayalah orangnya."
Penyambut tamu itu tersenyum sambil berkata:
"Kalau begitu saya tidak salah, Tuan. Tuan Pengerusi Lembaga Pengarah yang perintahkan saya menyambut kedatangan Tuan dengan penuh hurmat, sesuai dengan kedudukan tuan."
Dengan penuh tanda tanya Sa'eid berjalan mengikut arah yang dibawa oleh penyambut tamu tadi. Dia terpinga-pinga melihat persekitaran yang serba mewah. Tetapi lebih menghairankan, setiap orang yang ditemui semuanya bangkit memberi hurmat kepadanya, seolah-olah dia seorang yang paling berkedudukan di tempat yang masih terlalu asing baginya. Dalam hati masih tertanya-tanya dan yakin bahawa mereka ini tersilap orang.
Mereka tiba di hadapan sebuah bilik yang sangat mengkagumkan. Sebentar kemudian, setiausaha yang duduk berhampiran dengan bilik tersebut mengisyaratkan supaya Sai'eid masuk. Apabila pintu bilik terbuka, Sa'eid melihat Pengerusi sedang duduk di kerusinya di dalam bilik yang serba mewah itu. Apabila terpandang wajah Sa'eid, Pengerusi terus bangun dari kerusinya, berjalan mendapatkan Sa'eid, lantas memeluknya dengan pelukan hangat seolah-olah menyambut seseorang yang telah sekian lama terpisah. Sambil berkata penuh mesra:
"Selamat datang Sa'eid, selamat datang sayangku, kekasihku."
Dengan tergagap-gagap Sa'eid berkata:
"Saya sangat berterima kasih di atas sambutan yang hebat ini. Tetapi saya yakin Tuan tersilap orang. Saya tidak pernah bertemu dengan Tuan sebelum ini dan tidak kenal Tuan kecuali melalui surat khabar dan majalah."
Tuan Pengerusi tersenyum. Dia melangkah ke arah laci mejanya dan mengeluarkan sekeping gambar kecil yang kelihatan sudah buruk. Dia menunjukkan gambar itu kepada Sa'eid.
Tambah terkejut Sa'eid melihat gambar itu. Separuh menjerit dia berkata:
"Ini gambar al-marhum ayah saya! Dari mana Tuan dapat gambar ini? Adakah Tuan kenal dia?"
"Al-marhum? Adakah lelaki yang baik ini telah meninggal dunia? Semoga Allah rahmati dan ampuninya dan menempatkannya di syurga."
"Tetapi saya tidak faham, bagaimana seorang yang kaya raya seperti Tuan mengenali ayah saya yang tidak terkenal, yang hidup dalam keadaan serba kekurangan?"
"Biar aku ceritakan apa yang berlaku sejak mula. Lebih 20 tahun yang lalu, aku seorang pemuda yang tidak punya apa-apa seperti kamu sekarang. Suatu hari, aku hendak pergi mencari pekerjaan dibandar, tetapi tidak ada duit untuk beli tiket bas. Aku duduk termenung di perhentian bas, sedih memikirkan di mana hendak cari duit. Di sebelahku, seorang pemuda yang sebaya denganku. Lama dia memerhatikan keadaanku. Akhirnya dia bertanya apa yang aku fikirkan? Aku ceritakan masalahku kepadanya. Tanpa berfikir panjang, dia mengeluarkan wang dari sakunya dan dihulurkannya kepadaku. Aku kaget dengan apa yang dilakukan dan enggan menerimanya. Namun dia mendesak, akhirnya aku ambil dan bertanya, bagaimana aku akan membayarnya nanti? Dia berkata, anggaplah itu sebagai sedekah jariah. Dan dia berpesan, sekiranya aku berjaya, jangan lupa menulung orang yang susah setiap hari. Aku tanya namanya. Dia memberitahu bahawa namanya Wahid Farid dan gelarannya ialah Abu Sa'eid. Aku berpisah dengannya di situ. Ketika aku membelek wang yang dihulurkan kepadaku, aku temui gambar ini terselit bersama lembaran wang itu. Aku simpan gambarnya sebagai kenangan.
Dengan wang yang diberikan, aku dapat ke bandar mencari pekerjaan. Di situlah aku memulakan kerjayaku sehingga aku berjaya seperti sekarang. Aku cuba cari dia di mana-mana, tapi tidak berjumpa dan aku berjanji akan laksanakan pesanannya selagi aku hidup. Sejak aku mula bekerja, aku tidak pernah tinggalkan satu hari berlalu tanpa aku menulung orang yang memerlukan yang aku tidak kenali. Kadang-kadang aku duduk di perhentian bas, di masjid, di hospital dan sebagainya. Setiap hari tanpa gagal. Bila orang yang aku tulung itu mengucapkan terima kasih, aku berkata, terima kasih itu adalah untuk Abu Sa'eid. Kalau tidak kerana pertulungannya, aku tidak akan mampu menulung.
Maka, ketahuilah anakku, al-marhum ayahmu adalah rakan kongsiku dalam semua kebaikan yang aku buat dan sedekah yang aku hulurkan."
Terpegun Sa'eid mendengar cerita Tuan Pengerusi, bagaikan sebuah drama yang tidak pernah terfikir langsung olehnya. Dengan linangan air mata dia berkata:
"Semoga Allah rahmati ayah saya. Dia sentiasa menggalakkan saya supaya menulung orang lain. Katanya, tulunglah makhluk Allah, nescaya Pencipta mereka akan menulungmu dengan sebaik-baik pertulungan, sama ada semasa hayatmu, atau selepas matimu, atau Dia membalas kepada anak-anakmu selepas kematianmu. Jangan pandang ringan setiap kebaikan walau sekecil mana sekalipun. Mungkin dengan pertulungan yang kecil itu dapat merubah kehidupan seseorang tanpa engkau sedari."
"Engkau tahu, anakku? Selama ini aku tidak pernah mengambil tahu tentang permohonan sebarang jawatan dalam syarikat ini. Urusan itu dikendalikan oleh jabatan sumber manusia. Tetapi kali ini, seperti ada bisikan yang mendorong aku meminta daripada pengurus bahagian itu untuk melihat borang-borang permohonan. Dan ketika membelek borang-borang itulah aku terpandang gambarmu. Aku segera mengenalimu kerana wajahmu salin tak tumpah dengan ayahmu.
Alhamdulillah, sekarang aku berpeluang membalas budi ayahmu. Aku tempatkanmu di pejabatku sendiri dan aku berjanji akan menulungmu menjadi insan yang berjaya yang menjadi kebanggaan ayahmu, insya Allah."
MasyaAllah, very inspiring untuk orang yang selalu lalai seperti saya.
ReplyDeleteAllahuakbar
ReplyDeleteSyahdunya...
ReplyDelete