Saturday, February 23, 2013

Ikhwan Muslimun dalam menghadapai keganasan

Risalah Mursyid:
رسالة من: أ.د.محمد بديع
المرشد العام للإخوان المسلمين

Sesungguhnya Sifat Allah yang pertama disebut di dalam al-Quran ialah “ar-Rahman, ar-Rahim”. Justeru, Allah Ta’ala melayani makhlukNya dengan lembut, penuh rahmah sebelum dihukum dan disiksa, sehinggakan para penderhaka sekalipun. Dia berfirman maksudnya:

“Khabarkanlah kepada hamba-hambaKu (wahai Muhammad), bahawa Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (bagi mereka yang bertaubat dan beramal soleh). Dan bahawa azabKu, ialah azab yang tidak terperi sakitnya, (bagi mereka yang tetap dalam kederhakaannya).” (Al-Hijr: 49-50)

“Dan kalaulah Allah mengirakan kesalahan manusia serta terus menyeksa mereka disebabkan amal-amal jahat yang mereka telah kerjakan, tentulah Dia tidak membiarkan tinggal di muka bumi sesuatu makhluk yang bergerak; akan tetapi (Dia tidak bertindak dengan serta-merta, bahkan) Dia memberi tempoh kepada mereka hingga ke suatu masa yang tertentu; kemudian apabila sampai tempoh mereka (maka Allah akan membalas masing-masing dengan adilnya), kerana sesungguhnya Allah sentiasa Melihat keadaan hamba-hambaNya.” (Fatir:45)

Di dalam Hadis Qudsi, Dia berfirman maksudnya: “Sesungguhnya rahmatKu mengatasi kemurkaanKu” Riwayat Muslim.

Dan Allah tidak menurunkan kitab-kitab samawi, tidak mengutus rasul-rasul dan nabi-nabi melainkan sebagai pembawa rahmat kepada alam semesta, membebaskan kemanusiaan dari kecelakaan dunia dan akhirat. Dia berfirman kepada Adam a.s.
“kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dariKu, maka sesiapa yang mengikut petunjukKu itu nescaya dia tidak akan sesat dan dia pula tidak akan menderita azab sengsara.” (To Ha:123)

Dia menyifatkan NabiNya yang terakhir, Muhammad s.a.w. dengan sifat-sifat yang unggul.

“Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu) dan pohonkanlah ampun bagi mereka dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.” (Aali ‘Imran:159)

“Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w) yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu dan dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.” (At-Taubah:128)

Dan Rasulullah s.a.w. merupakan contoh terunggul dari segi kasih sayang dan berlembut dalam semua tindakan serta tingkah laku baginda. Sifat tersebut bukan saja terserlah ketika baginda melayani para pengikut baginda yang beriman, malah begitulah juga ketika baginda berhadapan dengan musuh-musuh serta penentang-penentang baginda. Tidakkah kamu pernah dengar Allah Ta’ala memerintahkannya agar berpaling dengan cara yang baik dari musuh yang mempersenda-sendakan baginda?

“Dan bersabarlah terhadap apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhkanlah dirimu dari mereka dengan cara yang baik.” (Al-Muzzammil:10)

Dan dalam keadaan yang sangat genting lagi mencabar, baginda enggan mendoakan kebinasaan ke atas kaum musyrikin, pada hal baginda seorang yang sangat maqbul doanya. Baginda hanya berkata: “Ya Allah, ampunilah, berilah hidayah kepada kaumku, sesungguhnya mereka orang yang tidak mengetahui”. Hati baginda sering terluka dihiris perasaan dukacita melihat kaumnya sesat dan engkar. Baginda bimbang mereka akan terjerumus ke dalam siksaan yang amat menyakitkan.

“Maka jangan-jangan pula engkau (wahai Muhammad), membinasakan dirimu disebabkan menanggung dukacita terhadap kesan-kesan perbuatan buruk mereka, jika mereka enggan beriman kepada keterangan Al-Quran ini.” (Al-Kahf:6)

Sehinggakan di dalam peperangan, ketika saling berbunuhan, baginda berpesan: “Apabila kamu membunuh, bunuhlah dengan sebaiknya”. Baginda melarang perbuatan mengkelar mayat walaupun pihak musuh berbuat demikian.

Sesungguhnya Allah Ta’ala telah menggariskan panduan untuk para nabi, rasul serta pengikut mereka yang terdiri dari sahabat, hawariyyin, pendakwah dan reformis sehingga ke hari qiamat. Untuk mereka Allah telah gariskan landasan islah dan manhaj dakwah kepada Allah di setiap masa dan tempat. Landasan yang berasaskan lemah lembut, bersikap lunak, mengemukakan hujah yang terpandu. Sehinggakan ketika mengemukakan dakwah kepada Firaun yang mengangkat dirinya sebagai tuhan, Allah perintahkan utusanNya:

“Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga dia beringat atau takut.” (To Ha:44)

Hatta kekerasan dengan kata-katapun ditolak. Nabi s.a.w. menjanjikan kata-kata yang lembut, memberikan makanan kepada orang yang memerlukan, solat malam ketika manusia sedang tidur sebagai pintu-pintu syurga. Dan sekiranya hendak berdialog atau berbahas maka berbahaslah dengan cara yang paling baik

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk.” (An-Nahl:125)

“Katakanlah (wahai Muhammad): "Inilah jalanku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain." (Yusuf:108)

“Tidak ada paksaan dalam agama (Islam) kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur).” (Al-Baqarah:256)

“Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayat petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya dia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayat petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayat petunjuk (kepada memeluk Islam)” (Al-Qasas:56)

“maka patutkah engkau pula hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman?” (Yunus:99)

Bahkan baginda menyeru agar tidak mengatakan bodoh kepada orang yang terjerumus ke dalam kancah syirik, pada hal syirik merupakan jenayah paling besar terhadap Allah. ini untuk mempastikan mereka tidak terdorong kepada melakukan dosa yang lebih besar, sebagai tanda simpati dan kasihan belas kepada mereka, dan supaya kita tidak menutup rapat pintu taubat serta peluang untuk mereka kembali kepada kebenaran

“Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Dia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.” (Al-An’am:108)

“Dan apabila engkau melihat orang-orang yang memperkatakan dengan cara mencaci atau mengejek-ejek ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka memperkatakan soal yang lain” (Al-An’am:68)

Sesungguhnya lemah lembut, kasihan belas dengan semua makhluk merupakan ciri dakwah Nabi s.a.w. Tidak kira sama ada tumbuh-tumbuhan, batu-batan, haiwan, burung-burung, dan terutamanya manusia. Sirah Nabi s.a.w. penuh dengan peristiwa dan kisah-kisah yang mengukuhkan apa yang kita kata. Ketika baginda menghadapi tentangan paling hebat dari kaumnya, malaikat penjaga bukit datang menemuinya dan berkata: “Sekiranya tuan mahu, aku akan hempapkan Akhsyabain ke atas mereka”. Seandainya Baginda melayani tawaran malaikat itu, tentulah akan membawa kehancuran kepada semua makhluk di sekitar Makkah. Namun Rasulullah s.a.w. menjawab: “Bahkan aku berharap agar Allah mengeluarkan daripada sulbi mereka zuriat yang menyembah Allah Yang Esa serta tidak menyengutukanNya dengan sesuatu apapun”. (Muttafaq ‘alaih)

Dan ketika Allah Ta’ala memberinya kemenangan yang nyata sewaktu Fathu Makkah, kaum musyrikin tunduk menyerah kalah kepadanya, baginda tidak langsung membalas dendam untuk dirinya. Sebaliknya Baginda memaafkan dan melupakan segala kesalahan. Baginda berkata: “Pergilah kamu. Sesungguhnya kamu semua sudah bebas. Hari ini adalah hari marhamah”.

bersambung...

No comments:

Post a Comment