Saturday, February 23, 2013

Ikhwan Muslimun dalam menghadapai keganasan

sambungan ...

Di atas manhaj yang lurus inilah dakwah Ikhwan berjalan sekarang dari semenjak ia ditubuhkan oleh Imam kita asy-Syahid Hasan al-Banna (semoga Allah redha kepadanya). Ikhwan berjalan di atas landasan dakwah kepada Allah dengan hikmah dan mau’eizoh hasanah secara teratur langkah demi langkah. Bermula dengan takrif, kemudian takwin, kemudian tanfiz. Bergerak langkah demi langkah dengan amal yang tersusun rapi, bermula dengan islah individu muslim, kemudian keluarga muslim, kemudian masyarakat muslim, kemudian kerajaan muslim, kemudian khilafah islamiah mengikut manhaj nubuwwah, kemudian membimbing alam seluruhnya ke arah menerima dan menegakkan risalah Islam yang abadi. Jamaah Ikhwan Muslimin sentiasa berusaha untuk berkhidmat kepada manusia – semua manusia - , membawa kebaikan kepada mereka semua. Syi’ar Jamaah ialah “Allah adalah matlamat” dan pendekatan Jamaah ialah “lembut bukan lemah, kuat bukan keras atau ganas”.

Berapa ramai mereka yang bersemangat, yang mahu cepat, cuba memendekkan jalan dan menggunakan cara yang kasar untuk mencapai tujuan melalui jalan pintas. Namun al-Imam berdiri di hadapan mereka dan berkata dengan tegas, dengan perasaan kasihan belas sambil mengingatkan mereka : “Sesungguhnya jalan ini telah digariskan langkah-langkahnya, dinyatakan sempadannya. Sesiapa di kalangan kamu yang mahu segera memetik buah sebelum is matang, atau memetik bunga sebelaum ia kembang, maka aku tidak bersama mereka dalam hal itu.” “Dan sesiapa yang sabar bersamaku sehingga benih tumbuh subur, pokok merimbun, dan buah masak serta sedia untuk dipetik, maka ganjaran untuknya atas kesabaran itu dijamin oleh Allah. kita sekali-kali tidak akan terlepas dari mendapat ganjaran orang yang berbuat baik. Sama ada kemenangan dan kepimpinan (an-nasr wa as-siadah), atau kesyahidan dan kebahagiaan (asy-syahadah wa as-sa’adah)

Berapa kali pula dakwah Ikhwan bertembung dengan permusuhan dan tipu helah, perangkap dan serangan, kezaliman dan perancangan jahat sehingga sampai ke tahap dibunuh, disiksa, dipenjara, dihalau puluhan tahun. Di samping tuduhan-tuduhan palsu, cerita yang direka-reka, tohmahan-tohmahan yang tidak berasas. Semua itu tidak membawa Jamaah bangkit membalas dengan kekasaran dan kekerasan. Jamaah tidak pernah membalas kejahatan dengan kejahatan, keganasan dengan keganasan. Tidak pernah satu haripun Jamaah terfikir untuk membalas dendam hatta kepada mereka yang membunuh dan membuat zalim. Kita hanya mengharap pahala dari sisi Allah, serta berharap orang yang zalim kembali kepada kebenaran, orang yang berdosa bertaubat kepada Allah ‘Azza wa Jalla. Kita sentiasa yakin sepenuhnya bahawa Allah s.w.t. tidak akan mensia-siakan ganjaran buat orang yang berbuat kebaikan. Sesungguhnya Allah menyediakan balasan yang tidak terbatas di dunia dan akhirat kepada orang yang sabar.
“dan sesungguhnya pahala (amal mereka yang baik itu) lebih besar di akhirat kelak, kalaulah mereka mengetahui.” (An-Nahl:41).

Bahkan kita telah menyaksikan dalam kehidupan dunia yang singkat ini bagaimana Allah telah membalas mereka yang memainkan peranan utama menyiksa dan membunuh ahli kita di dalam penjara.
“Dan demikianlah Kami membalas orang yang melampaui batas dan tidak beriman kepada ayat-ayat keterangan Tuhannya dan demi sesungguhnya azab akhirat itu lebih berat dan lebih kekal.” (To Ha:127)

Dan ketika sesetengah ahli yang sangat tertekan dengan penyiksaan yang tidak mampu ditanggung oleh upaya manusia terdorong untuk menghukum kafir ke atas pihak yang berbuat zalim, maka Mursyid yang kedua, Hasan al-Hudhaibi mengambil sikap yang cukup tegas dengan menerbitkan bukunya yang berjodol “Kami pendakwah, bukan penghukum”. Beliau menerangkan dengan sejelasnya batas-batas kebenaran, tanpa terbawa-bawa oleh emosi yang tertekan dengan perbuatan mereka yang zalim dan kejam.

Berapa banyak dakwah berdepan dengan kritikan, celaan hatta daripada orang Islam sendiri di sepanjang perjalanannya. Setengah mereka tidak puas hati dengan perjalanan Jamaah yang mereka rasakan sangat lambat, lalu mereka memilih cara kekerasan dan menggunakan senjata. Maka apa natijahnya? Darah dan kelumpuhan. Menyemarakkan kebencian di kalangan orang awam, memburukkan nama dakwah, memberi ruang kepada munafiqin dan orang yang benci kepada dakwah untuk melabelkan fikrah Islam sebagai ganas, dan memberi mereka alasan untuk memperhebatkan tekanan ke atas orang beriman. Dan sesungguhnya Allah Menghendaki golongan ini – atau kebanyakannya – kembali kepada kebenaran dan manhaj nabi-nabi. Mereka mula memahami bahawa sebaik-baik perkara itu yang pertengahan dan “sesungguhnya lemah lembut itu tidak terdapat pada sesuatu kecuali ia akan menghiasinya, dan tidak ditanggalkan dari sesuatu kecuali akan buruklah sesuatu itu”. Dan sesungguhnya antara unsur kekuatan ialah menahan marah dan memaafkan manusia, terutama ketika kita mampu membalasnya.
“Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.” (Aali ‘Imran:134)
“Bukanlah orang kuat itu dengan bertinju, tetapi orang kuat ialah yang dapat mengawal dirinya ketika marah”.

Dan selepas bertahun-tahun sabar serta sabar, manhaj perubahan secara aman telah berjaya dengan berlakunya thaurah yang diberkati. Antara cirinya yang cantik bagi thaurah ini ialah ia adalah thaurah silmiyyah. Thaurah rakyat Mesir yang amat sabar, sangat mementingkan perdamaian dalam mencapai hak-haknya kerana dia mengetahui bahawa al-Haq itu adalah Allah dan al-‘adl itu adalah Allah. dan Allah sekali-kali tidak akan mensia-siakannya. Sesungguhnya thaurah rakyat Mesir telah menciptakan kejayaan yang tidak pernah dicapai oleh mana-mana thaurah. Dalam masa 18 hari sahaja thaurah rakyat Mesir berjaya menyingkirkan rejim dictator yang paling kejam dengan menanggung kerugian yang paling minimum. Itulah kekuatan al-haq, as-sabr dan al-musobarah yang dimiliki oleh rakyat seluruhnya tanpa mengira usia, kumpulan serta kedudukan. Mereka berpadu demi mencapai kebebasan, mengubah reality, menyingkirkan kebatilan, membersihkan bumi Mesir dari kezaliman orang yang zalim. Mereka bersatu berpegang dengan kekuatan al-haq demi memenangkan al-haq.

Apakah gerangannya, setelah kemenangan yang nyata, setelah berjaya menghayati akhlak yang sangat tinggi, yang dikagumi oleh semua bangsa di dunia, suatu bentuk permuafakatan yang cemerlang, perpaduan, kasih sayang, saling bekerjasama antara semua golongan. Kaum muslimin berhimpun menadah tangan memanjatkan doa, mendirikan solat dengan khusyuk, sedang kaum masihiyyin mengawal mereka di medan Tahrir, medan thaurah. Mereka semua mengambil bahagian dalam mengadu kepada Allah supaya menyelamatkan Mesir dengan kekuatanNya dan kekuasanNya. Dia telah berjanji kepada hambaNya yang dizalimi: “Demi kebesaranKu dan keagunganKu, akan Aku tolong kamu walaupun selepas sekian waktu!”. Apakah gerangannya tiba-tiba sekarang kita lihat suatu gambaran yang pelik lagi asing, suatu tindakan menggunakan kekerasan, serangan dan menyakitkan orang dilakukan terhadap orang ramai kerana sebab semata-mata berbeza pendapat sahaja, atau perbezaan uslub, atau hendakkan pencapaian yang cepat tanpa mengukur sebesar mana masalah yang dihadapi oleh negeri ini, yang mana hasil mahsulnya dicuri dan disedut habis-habisan, sumber-sumbernya diperas oleh puak perosak puluhan tahun, perosak yang telah mengaku sendiri bahawa mereka telah membuat kerosakan sampai ke tahap maksimum yang tidak pernah ada bandingannya di dalam sejarah umat.

Sesungguhnya kita yakin bahawa penggunaan cara kekerasan ini merupakan sesuatu yang asing dari tabiat bangsa Mesir yang penyabar dan suka kepada perdamaian. Kita yakin bahawa di sana ada tangan-tangan tersembunyi yang cuba untuk menggagalkan thaurah, memusnahkan hasilnya, memburukkan wajahnya dan menghasut manusia agar tidak mengiktiraf thaurah dan menyesalinya.

Di sana ada orang yang tidak suka Mesir dan semua Negara yang terlibat dengan Arab Spring mendapat kebaikan dan bangkit dari kemunduran. Di sana ada harta yang disogokkan, ada perancangan yang diatur, perancangan jahat untuk menggagalkan semua langkah-langkah thaurah dalam mencapai kebebasan, mengembalikan pembangunan , melawan kerosakan dan menghalau orang-orang yang membuat kerosakan. Di sana ada orang yang ingin mengembalikan keadaan ke zaman kezaliman dan kerosakan, mereka terdiri dari musuh-musuh dari dalam yang mendokong rejim lama, yang mempunyai kepentingan, yang sama-sama makan dari hidangan yang haram. Juga terdiri dari musuh-musuh luar yang tidak suka kita jadi kuat dan mulia. Mereka menganggap thaurah yang diberkati itu sebagai ancaman paling besar buat mereka kerana mereka kehilangan perbendaharaan strategic , bahkan kita dapati ada serangan yang terancang dihalakan ke arah tentera Mesir yang hebat, yang merupakan perisai dan pedang bukan saja untuk Mesir, malah untuk umat seluruhnya di sepanjang sejarahnya. Maka siapakah sebenarnya yang mempunyai kepentingan dalam hal ini?

Siapakah yang menaja samseng-samseng itu? Siapakah yang merekrut mereka? Siapakah yang menolak mereka untuk menimbulkan kekeliruan bahawa mereka adalah para pendokong thaurah? Ketika berlaku thaurah bulan Januari, semua penunjuk perasaan berhimpun secara aman. Mereka berhadapan dengan kebatilan dengan dada mereka yang tidak bersenjata. Di kalangan mereka ada yang gugur sebagai syuhada’. Mereka tidak menyerang, tidak merosakkan harta benda. Berjuta-juta berhimpun di medan, tidak berlaku satupun serangan atau tindakan yang menyakitkan. Tidak ada kacau bilau. Semuanya bersatu, berkasih sayang, bekerjasama, berkongsi serpihan roti. Mereka berada dalam keadaan teratur, berdisiplin, menjaga kebersihan, mematuhi undang-undang. Matalamat mereka suci, wasilah juga suci. Seluruh dunia melihat wajah-wajah pemuda yang bersih suci membersihkan medan dengan tangan-tangan mereka sendiri selepas thaurah berjaya dan system batil tersungkur. Hanya Allah jua yang menumbangkan rejim itu. Demikian laungan para pemuda di medan Tahrir. Allah jua yang menolong rakyat Mesir menyempurnakan thaurah mereka.

Di manakah semua itu sekarang? Yang berlaku sekarang adalah percubaan untuk meruntuhkan institusi kerajaan dan membakarnya dengan molotov, menghalang lalu lintas, mengganggu urusan manusia, melepaskan peluru ke arah rakyat yang tidak berdosa. di samping itu mereka mengambil arak, dadah, membuat kekacauan dan merogol. Kita wajib membezakan antara pemuda yang bersih yang terlibat dengan thaurah yang inginkan kebaikan, walaupun mungkin ada yang ingin melihat kesan yang cepat. Kita harus bezakan mereka dengan puak-puak asing yang dipergunakan untuk menggagalkan system yang sah, yang dipilih oleh rakyat dengan sabar berlandaskan semangat juang yang tinggi demi kebaikan semua.

Kita mesti faham bahawa perbincangan, perkongsian, kejujuran, keikhlasan, membersihkan jiwa dari hasutan nafsu atau kepentingan individu yang gopoh, mesti melihat kepada masa depan umat dan masa kini, menyatukan tenaga, itulah satu-satunya jalan untuk pembangunan dan kemajuan, untuk menjayakan percubaan, memberikan harapan dan contoh kepada rakyat di kawasan ini dan alam seluruhnya bagaimana bangsa-bangsa bangkit, bagaimana tamadun dibina, yang dibuat oleh Mesir.

Adapun menggunakan keganasan, tipu muslihat dan perancangan jahat, maka menurut sunnah Allah natijahnya satu. Kami yakin dengan natijah itu.
“rancangan yang jahat itu tidak menimpa melainkan ke atas orang yang menjalankannya.” (Fatir:43)

Dari celah-celah peristiwa dan dugaan akan terserlah manusia yang membuat pembaikan daripada yang membuat kerosakan. Adapun Mesir, maka sesungguhnya Allah telah pelihara dengan kurniaNya jua, dan akan sentiasa memeliharanya dengan kekuasaanNya, dan dengan berkat pujian kepada Rasulullah s.a.w. yang benar lagi dibenarkan.

“Demikianlah Allah memberi misal perbandingan tentang perkara yang benar dan yang salah. Adapun buih itu maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang, manakala benda-benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di bumi.” (Ar-Ra’d:17)

“dan Allah Maha Kuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkanNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Yusuf:21)

المرشد العام للإخوان المسلمين
http://www.alamatonline.net/l3.php?id=52382

No comments:

Post a Comment