Sunday, March 09, 2014

Pray4MH370


Tiba-tiba kita dikejutkan dengan satu tragedi yang tidak disangka-sangka, Penerbangan MH370, sebuah pesawat Boeing 777-200 dalam perjalanan ke Beijing dari KLIA, hilang di ruang udara Vietnam.

Pesawat itu membawa 239 penumpang, termasuk 12 anak kapal. Terdapat 152 warga China dan 38 rakyat Malaysia dalam pesawat itu.

Sehingga kini, sudah lebih 30 jam dilaporkan hilang, tidak ada khabar berita, tiada petunjuk yang sahih untuk mengenal pasti apa yang sebenarnya berlaku dan apakah puncanya. Semua kita, terutamanya ahli keluarga hanya mampu berdoa dan berharap agar semuanya akan selamat.

Sesungguhnya, tepat seperti kata pepatah orang tua-tua "malang tidak berbau". Oleh itu kita mesti sentiasa bersedia menghadapi apa saja takdir yang akan menimpa sama ada baik atau sebaliknya. Sebagai muslim, kita wajib percaya bahawa setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya.

Sebagai warganegara Malaysia yang muslim dan selalu memilih MAS sebagai wahana perjalanan merentas negara dan benua, saya ingin mengemukakan beberapa cadangan. Sebahagian daripada cadangan ini saya pernah tulis di dalam kertas soal selidik yang diedarkan semasa saya menaiki MAS.

Saya tidak bermaksud bahawa cadangan yang saya kemukakan ini jika dilaksanakan dapat mengelak tragedi malang seperti yang berlaku sekarang. Tetapi sekurang-kurang jika ditakdirkan berlaku juga, maka yang pergi sama ada penumpang atau anak kapal akan pergi dalam keadaan husnul-khatimah.

Pertama – Penyediaan arak atau minuman keras. Semua sedia maklum bahawa minuman itu haram di sisi Islam dengan nas al-Quran (Surah al-Maidah 5:90). Kita membawa nama sebuah negara Islam dan tercatat pula di dalam perlembagaan, Islam sebagai agama persekutuan. Namun secara terang dan nyata melanggar hukum Islam. Bukankah itu suatu kejanggalan yang amat nyata? Adakah kita takut akan kehilangan penumpang jika tidak menghidang minuman yang Allah haramkan itu? Tidakkah kita beriman bahawa Allah yang memberi rezeki atau ar-Razzaq? Dan dalam keadaan kita tidak berhenti mengedar arak, MAS dilaporkan rugi juga (http://www.beritasemasa.com.my/mas-rugi-lagi-malaysia-airlines). Maksudnya, rugi bukan kerana tidak edar arak. Dan andaikata untung besar dengan hidang arak, bolehkah keuntungan itu kita gunakan untuk menebus laknat Allah?
Oleh itu, saya menyeru dan merayu pihak pengurusan MAS agar berhenti segera daripada menyediakan minuman itu. Selamatkan kakitangan MAS dari laknat Allah. Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: "Allah melaknat arak: orang yang meminumnya, orang yang memberi minum kepada orang lain, orang yang menjualnya, orang yang membelinya, orang yang memerahnya, orang yang diperah untuknya, orang yang membawanya, orang yang dibawa kepadanya dan orang yang memakan harganya." Hadis sahih diriwayatkan oleh Abu Daud, dan al-Hakim daripada Ibn Umar radhiallahu 'anhuma. Dan daripada Anas radhiallahu 'anhu, dia berkata "Nabi s.a.w. melaknat pada arak itu sepuluh perkara: orang yang memerahnya, orang yang diperah untuknya, orang yang meminumnya, orang yang membawanya, orang yang dibawa kepadanya, orang yang memberi minum kepada orang lain, orang yang menjualnya, orang yang makan harganya, orang yang membelinya dan orang yang dibeli untuknya." Riwayat at-Tirmizi dan Ibn Majah.

Kedua – Pakaian peramugari. Sedia maklum, wanita Islam wajib berpakaian menutup aurat berdasarkan firman Allah (Surah an-Nur 24:31 dan al-Ahzab 33:59). Sekiranya pihak pengurusan belum bersedia untuk mewajibkan pakaian yang menutup aurat ke atas peramugari yang beragama Islam, berilah peluang kepada mereka yang memilih untuk memakai pakaian yang menutup aurat untuk memakainya. Dengan itu pihak pengurusan tidak dianggap sebagai penghalang kepada kakitangan yang hendak melaksanakan perintah Allah. Sesungguhnya berpakaian menutup aurat tidak langsung mengganggu tugas sebagai peramugari. Ini terbukti di mana peramugari yang bertugas di dalam penerbangan sewa khas yang membawa jamaah haji ke tanah suci, semuanya berpakaian menutup aurat. Dan mereka dapat menjalankan tugas dengan cemerlang sekali.

Ketiga – Masalah solat. Dalam perjalanan yang jauh, ramai penumpang muslim yang tidak solat sedangkan solat adalah tiang agama, rukun Islam paling penting selepas syahadah. Tidak ada alasan untuk meninggalkan solat secara sengaja. Mereka tidak solat mungkin kerana tidak mengetahui masuknya waktu solat atau tidak mengetahui cara untuk menunaikan solat di dalam pesawat. Oleh itu dicadangkan, buat pengumuman setiap kali masuk waktu dan sediakan video tentang cara-cara berwuduk dan cara-cara menunaikan solat di dalam pesawat. Dengan itu, pihak pengurusan MAS telah melaksanakan tanggungjawab amar makruf dan mungkar. Mereka yang tidak solat tidak boleh lagi menyalahkan pihak pengurusan tidak menyediakan kemudahan untuk mereka.

Keempat – Doa. Doa adalah senjata orang beriman. Allah sayang kepada hambaNya yang berdoa dan telah mengajar pelbagai jenis doa, termasuk doa menaiki kenderaan dan doa musafir. Beberapa syarikat penerbangan dari negara Islam lain seperti Egypt, Qatar memasang doa-doa tersebut ketika hendak berlepas. Dicadangkan MAS juga memasang doa-doa itu yang sabit daripada al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w. Dengan itu, diharapkan perjalanan akan diberkati dan dilindungi dari bencana dan bahaya yang tidak diduga.



Itulah serba sedikit cadangan yang sangat mudah untuk dilaksanakan. Mudah-mudahan kita terelak daripada laknat Allah. Kita berusaha dan mencari jalan supaya kita mati dalam keadaan Allah redha dan husnul-khatimah (kesudahan yang baik).

Ya Allah, hambaMu telah sampaikan. Saksikanlah.




No comments:

Post a Comment