Tuesday, March 04, 2014

Siapakah Ahli Kitab?



Ahli Kitab ialah Yahudi dan Nasrani sebagaimana yang dinyatakan di dalam al-Quran al-Karim. Allah yang menamakan mereka ahli kitab kerana mereka memiliki kitab yang diturunkan Allah kepada Bani Israel, iaitu Taurat kepada Nabi Musa dan Injil kepada Nabi Isa ‘alaihimas-salam. “Dan ini sebuah Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan, yang ada berkatnya (banyak manfaatnya). Oleh itu, hendaklah kamu menurutnya dan bertaqwalah (kepada Allah), mudah-mudahan kamu beroleh rahmat. Supaya kamu tidak mengatakan: Bahawa Kitab (agama) itu hanya diturunkan kepada dua golongan (Yahudi dan Nasrani) dahulu sebelum kami dan sesungguhnya kami lalai (tidak faham) akan apa yang dibaca dan dipelajari oleh mereka.” (Al-An’am:155-156)
Ahli Kitab juga termasuk dalam golongan orang-orang kafir dan musyrik sama dengan penyembah berhala, penyembah bintang dan cakrawala serta lain-lain. Namun mereka diberikan hukum yang khusus disebabkan mereka pernah menerima kitab samawi daripada Nabi-nabi mereka yang terdahulu, iaitu kitab Taurat daripada Nabi Musa dan kitab Injil daripada Nabi Isa. Antara hukum yang khusus bagi mereka ialah:
a.   Halal memakan sembelihan mereka, iaitu binatang yang mereka sembelih untuk makan, bukan sembelih untuk selain Allah atau menyebut nama selain Allah ketika sembelih dan daging itu tidak bercampur dengan bahan-bahan lain yang haram dimakan oleh umat Islam. Allah berfirman maksudnya: “Pada masa ini dihalalkan bagi kamu (memakan makanan) yang lazat-lazat serta baik-baik. Dan makanan (sembelihan) orang-orang yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi kamu dan makanan (sembelihan) kamu adalah halal bagi mereka (tidak salah kamu memberi makan kepada mereka)…” (Al-Maidah:5)
b.   Dihalalkan atau diharuskan lelaki muslim berkahwin dengan wanita-wanita mereka yang baik, yang memelihara kesucian diri dan yang merdeka. Ini berdasarkan firman Allah yang bermaksud: “dan (dihalalkan kamu berkahwin) dengan perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya di antara perempuan-perempuan yang beriman, dan juga perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya dari kalangan orang-orang yang diberikan Kitab dahulu daripada kamu apabila kamu beri mereka mas kahwinnya, sedang kamu (dengan cara yang demikian), bernikah bukan berzina dan bukan pula kamu mengambil mereka menjadi perempuan-perempuan simpanan dan sesiapa yang ingkar (akan syariat Islam) sesudah dia beriman, maka sesungguhnya gugurlah amalnya (yang baik) dan adalah dia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.” (Al-Maidah:5)

Menurut Imam an-Nawawi rahimahullah, ahli kitab yang dihalalkan untuk makan sembelihan mereka dan berkahwin dengan wanita mereka terdiri dari dua kategori:
Kategori Pertama: Bukan keturunan Bani Israel. Mereka ini boleh dibahagikan kepada beberapa golongan:
Pertama: Golongan yang diketahui telah memeluk agama Yahudi dan Kristian sebelum kedua-dua agama itu diselewengkan dan dinasakhkan. Golongan ini, halal berkahwin dan makan sembelihan mereka.
Kedua: Golongan yang diketahui menganut agama itu selepas diselewengkan tetapi sebelum di nasakhkan. Sekiranya mereka tetap berpegang dengan yang benar dan menjauhi apa yang diselewengkan, hukum mereka sama dengan yang pertama. Sekiranya mereka mengikuti agama yang telah diselewengkan, maka tidak halal berkahwin dengan mereka.
Ketiga: Golongan yang diketahui menganut kedua-dua agama itu selepas diselewengkan dan dinasakhkan, maka tidak halal berkahwin dan makan sembelihan mereka.
Jadi, golongan yang menganut agama Yahudi dan Kristian selepas kedatangan Nabi Muhammad s.a.w. tidak haruslah berkahwin dengan mereka.
Keempat: Golongan yang tidak diketahui bilakah mereka menganut agama itu, maka tidak halal berkahwin dengan mereka.

Kategori Kedua: Ahli Kitab dari keturunan Bani Israel. Imam an-Nawawi berkata, ramai di kalangan fuqahak asy-Syafi’eiyyah berkata harus berkahwin dengan wanita Bani Isreal tanpa mengira sama ada datuk nenek mereka menganut agama itu sebelum penyelewengan atau selepasnya. Namun beliau tidak bersetuju dengan pandangan itu.
Walau bagaimanapun, wanita Bani Israel yang datuk nenek mereka menganut Yahudi atau Kristian selepas kedatangan Nabi Muhammad s.a.w. tidak ada beza dengan wanita ahli kitab yang lain, haram berkahwin dengan mereka.

Kesimpulannya ahli kitab yang merupakan penganut agama Yahudi dan Nasrani tetap ada sehingga sekarang. Namun adakah sembelihan mereka halal dimakan dan wanita mereka halal dinikahi oleh lelaki muslim, bergantung kepada syarat-syarat yang diterangkan di atas.

Hukum lelaki Muslim berkahwin dengan  wanita Ahli Kitab

Allah Ta’ala mensyari’atkan perkahwinan dan menetapkan golongan yang haram dan halal dikahwini. Lelaki yang beriman dituntut supaya memilih wanita yang beriman sebagai isterinya. Wanita yang musyrikah haram dikahwini oleh lelaki muslim walaupun musyrikah itu mempunyai daya tarikan yang cukup hebat. Begitulah juga sebaliknya, wanita yang beriman wajib memilih lelaki yang beriman sabagai suami. Lelaki yang musyrik tidak halal berkahwin dengan wanita muslimah walau bagaimana kacak sekalipun. Allah berfirman maksudnya: “Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk agama Islam) dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan-perempuan Islam) dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk agama Islam) dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu.” (Al-Baqarah:221)

Alasan kenapa lelaki dan wanita beriman diharamkan berkahwin dengan pasangan yang tidak beriman ialah: “(Yang demikian ialah kerana) orang-orang kafir itu mengajak ke Neraka sedangkan Allah mengajak ke Syurga dan memberi keampunan dengan izinNya. Dan Allah menjelaskan ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) kepada umat manusia, supaya mereka dapat mengambil pelajaran (daripadanya).” (Al-Baqarah:221)

Walau bagaimanapun, Allah mengecualikan daripada golongan musyrikah itu, wanita Ahli kitab atau kitabiyyah. Ini kerana kitabiyyah mempunyai persamaan dengan muslimah dalam sesetengah kepercayaan atau aqidah seperti beriman kepada Allah, hari akhirat, adanya perhitungan amal dan lain-lain. Dengan itu adalah diharapkan dapat memudahkan mereka menerima Islam. Keharusan berkahwin dengan kitabiyyah adalah dengan syarat mereka terdiri dari wanita yang muhsonat sebagaimana dinyatakan di dalam firman Allah yang bermaksud: “dan (dihalalkan kamu berkahwin) dengan perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya di antara perempuan-perempuan yang beriman, dan juga perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya dari kalangan orang-orang yang diberikan Kitab dahulu daripada kamu apabila kamu beri mereka mas kahwinnya, sedang kamu (dengan cara yang demikian), bernikah bukan berzina dan bukan pula kamu mengambil mereka menjadi perempuan-perempuan simpanan…” (Al-Maidah:5). 

Perkataan muhsonat dalam ayat itu bermaksud wanita yang menjaga maruah dan kesucian diri serta tidak berzina. Kitabiyyah yang tidak menjaga maruah dan kesucian diri, tidak halal berkahwin dengan mereka. Hal ini ditegaskan oleh Sayyidina Umar al-Khattab. Beliau melarang para sahabat r.a. berbuat demikian. Selain daripada syarat muhsonat, menurut Mazhab asy-Syafi’ei mereka mestilah terdiri dari keturunan yang telah menganut agama Yahudi dan Nasrani sebelum kebangkitan Nabi Muhammad s.a.w. (rujuk pandangan Imam an-Nawawi yang telah diperincikan di atas) Oleh itu, wanita yang baru menganut kedua-dua agama itu tidak termasuk di dalam kalangan kitabiyyah yang halal dikahwini oleh lelaki muslim.

Oleh kerana keharusan lelaki muslim berkahwin dengan kitabiyyah merupakan pengecualian daripada hukum asal, iaitu haram berkahwin dengan non muslim, maka pengecualian ini tidak boleh diberikan kepada muslimah  kerana hukum asal adalah haram. Harus itu satu pengecualian yang Allah beri kepada lelaki muslim untuk berkahwin dengan kitabiyyah, bukan kepada wanita muslimah untuk berkahwin dengan lelaki ahli kitab.

3 comments:

  1. salaimualaikum

    pengertian ahli kitab sebenarnya adalah simple sahaja, malah umat islam pun boleh di kategorikan sebagai ahli kitab. ahli kitab merujuk kepada mereka yang mengamalkan dengan penuh iman apa yang terkandung dalam kitab mereka.

    secara asasnya injil, taurat dan al quran memiliki benda atau perkara yang sama maka dari segi penyembelihan bagi ahli kitab sebenar sudah tentu menyebut nama Allah ketika menyembelih haiwan.

    kaum yahudi masih mengamalkan tatacara seperti kitab mereka malah mereka juga tidak memakan babi.(mereka cuma keterlaluan dalam menjalani hukum serta menyeleweng dalam beberapa perkara dalam agama mereka. maka penyembelihan mereka halal dan bersih.

    manakala nasrani atau kita lebih kenali sebagai kristian...kebanyakkan mereka kini tidak menyembelih haiwan dengan nama Allah atau merujuk kepada Allah, ada sebahagian mereka ada menyebut tetapi meletakkan nama yesus sebagai tuhan. maka penyembelihan mereka sebenarnya haram bagi kita. namun saya terjumpa juga aliran kristian orthodox serta beberapa aliran kecil yang tidak percaya bahawa yesus sebagai Tuhan malah penyembelihan mereka ada mengunakan nama Allah atau nama lain yang merujuk kepada Allah. maka mereka penyembelihan mereka adalah halal.


    bagi perkahwinan,

    perempuan islam sudah tentu tidak boleh berkahwin dgn lelaki al kitab kerana dalam keluarga lelki berkuasa dan suami adakala memaksa wanita islam masuk agama mereka secara paksa atau senyap. jika lelaki islam pula di benarkan berkahwin dgn wanita ahli kitab...kerana lelaki muslim tidak menyalah guna kan kuasa untuk memaksa isterinya melainkan dgn kerelaan isterinya itu sendiri jika dia mahu masuk islam. jika tidak maka lelaki islam akan tetap berlaku adil. kenapa wanita alkitab dibenarkan..seperti di jelaskan wanita al kitab adala orang yang memelihara diri mereka malah akan menjaga rahsia kita kerana Allah ( walaupun berbeza agama)

    dari sini kita kena faham...orang di gelar yahudi atau nasrani(kristian) tidak semestinya semua adalah al kitab. tetapi kita boleh kena al kitab jika mereka mendakwa dan menunjukkan mereka menjalankan hukum2 dalam kitab mereka dengan sebenar2 tanpa menukar apa2 ayat..

    ada satu website yang mana di buat oleh orang kristian yang sedaya upaya cuba menjelaskan hukum Allah dengan benar dan menjalankan hukum tersebut bagi saya golongan ini boleh di katakan hampir menjadi Al kitab seperti di ceritakan dalam Al quran namun sayangnya mereka masih peraya yesus adalah tuhan..maka mereka masih belum di kira al kitab sepenuhnya.

    islam pula agama di redhai kerana jika kita mengikuti apa terkandung dalam Al quran maka tiada sebarang ayat2 korupsi yang boleh memesongkan dari mengikuti hukum Allah sebenar berbanding bible. analogi ini bagaikan islam sebuah jambatan yang teguh dan lebar menyeberangi sungai manakala agama lain ada yang boleh menuju kearah Allah tetapi ianya sebuah jambatan yang uzur, rosak dan mudah menyebabkan kita jatuh kebawah,



    ReplyDelete
    Replies
    1. Salah ni, sebenanrnya mrk tetap dipanggil ahli kitab walaupun mereka telah kufir dan ubah isi kandungan kitab, tgok balik tafsir surah al Bayyinah, Allah bgtau mrk ahli kitab yang kafir, jadi secara teorinya mereka tetap dipanggil ahli kitab

      Delete
  2. Info yang sangat berguna...

    ReplyDelete