Friday, May 30, 2014

Hudud Oh Hudud!!!

Kanak-kanak dirogol 38 lelaki, kanak-kanak dikelar hingga terputus kepala, kanak-kanak didera sehingga mati, dan... dan... dan....
Pelbagai jenayah keji, kejam, jijik dan menyakitkan dilaporkan oleh akhbar perdana, laman-laman sosial dan sebagainya sehingga kita tertanya-tanya di zaman manakah kita berada sekarang?

Manusia hidup seolah-olah tiada Tuhan, tiada undang-undang, tiada keimanan kepada hari pembalasan. Ironinya, perlakuan-perlakuan keji yang jijik itu dilakukan oleh mereka yang berbangsa Melayu dan beragama Islam!

Apakah ini satu petunjuk daripada Allah apabila terdapat dari kalangan umat yang mengaku Islam yang secara terang-terangan mempertikaikan hukuman yang telah ditetapkan di dalam kitab suciNya? Seolah-olah Allah mahu menempelak manusia yang biadab itu, rasakan! Ambil engkau! Aku suruh engkau hukum penjenayah dengan hukuman berat engkau tak mahu, engkau tolak, engkau ragu! Sekarang hukumlah dengan hukuman kamu sendiri yang kamu rasa kamu tahu, kamu pandai, kamu lebih faham suasana dan sebagainya! Apakah hukuman yang kamu reka-reka itu mampu membendung jenayah?

Ada juga orang berkata, kita tidak boleh laksanakan undang-undang jenaya Islam dalam keadaan masyarakat seperti sekarang. Masyarakat majmuk, rakyat tak faham, banyak penyelewengan dan macam-macam. Tunggu suasana yang kondusif, pembahagian ekonomi yang adil, sosial yang stabil, orang ramai faham dan lain-lain.

Allahu Akbar! Pada fahaman saya yang cetek ilmu ini, Allah mensyari'atkan hukuman itu untuk menakutkan dan menggerunkan hamba-hambaNya. Apabila mereka mengetahui jika berzina mereka akan disebat 100 kali atau direjam sampai mati, mereka akan rasa takut dan gerun untuk melakukannya dan sedaya upaya cuba menjauhinya. Satu ungkapan yang masyhur daripada Khalifah ke tiga, Uthman bin Affan r.a. bermaksud: "Sesungguhnya Allah mencegah dengan sultan (kuasa) apa yang tidak tercegah dengan al-Quran!"

Memang Allah Ta'ala Maha Mengetahui di kalangan manusia ini ada yang lemah imannya. Dengar al-Quran dibaca, dengar ceramah, pergi kuliah, kempen tutup aurat dan sebagainya tidak berbekas di hati yang lemah imannya. Maka dia perlu dicegah dari melakukan jenayah dengan menggunakan kuasa, laksanakan hukuman yang sepadan dan setimpal. Baru dia serik. Yang belum buatpun akan rasa gentar. Lebih-lebih lagi hukuman itu ditentukan Allah. Dia yang menguasai hati hamba-hambaNya. Dia yang akan mencampakkan rasa gerun dan insaf ke dalam hati mereka. Kita WAJIB yakin dan percaya. Kalau tidak, periksa iman kita.

Turut tersebar juga video seorang ibu memukul lelaki yang dikatakan merogol anaknya. Kita faham apa perasaan ibu itu apabila anaknya dicerobohi dan simpati dengannya. Namun itu bukan penyelesaiannya. Allah tidak menyerahkan kepada orang yang jadi mangsa menghukum kerana dia akan bertindak mengikut perasaan dan tentunya hukuman itu akan melampaui batas serta tidak adil kepada penjenayah. Begitu juga Allah tidak serahkan kepada pihak berkuasa menentukan hukuman ke atas semua jenis jenayah kerana pihak berkuasa, tidak dapat menyelami perit pedih orang yang jadi mangsa. Kerana itu, Allah telah tetapkan dengan jelas dan nyata supaya adil kepada semua. Contohnya mencuri. Bayangkan kalau anda dapat tangkap pencuri yang mencuri duit anda yang halal, yang anda simpan untuk tujuan tertentu, kalau ikut hati apa tindakan yang hendak anda lakukan? Ada orang jawab, potong kepala! Ya, ikut hati mahu dibunuh saja pencuri tu. Apakah setimpal dia dibunuh kerana mencuri? Allah kata tidak! Hukuman yang lebih ringan daripada bunuh. Hilangkan sebahagian kecil daripada tangannya. Bukan hilangkan nyawanya.
Apakah pula hukuman yang pemerintah tentukan, yang tidak merujuk kepada wahyu Ilahi? Penjara. Dia serik? Tidak! Siapa tanggung kos penjara; bangunan, pegawai petugas, makan minum, latihan-latihan dan sebagainya? Duit cukai yang rakyat bayar. Keluar penjara, dia curi lagi duit rakyat! Adilkah?

Lantaran itu kita kena faham. Sebagai individu kita ada tanggungjawab, kerajaan juga ada tanggungjawab. Allah Ta'ala berfirman maksudnya: "dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa. Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.” (Al-Hajj:40-41)

Di dalam ayat atas, Allah dengan jelas menyebut tiga tanggungjawab orang yang diberi kuasa: mendirikan solat, menunaikan zakat dan menyuruh yang makruf (amar makruf) serta mencegah yang mungkar (nahi mungkar).

Nahi mungkar mempunyai tiga tahap, iaitu dengan tangan, dengan lisan dan dengan hati.

Maka bagi mereka yang ada kuasa di tangannya tidak cukup mencegah dengan lisan, apa lagi dengan hati. Mereka mesti mencegah dengan tangan. Gunakan kuasa yang ada untuk mencegahnya. Salah satu cara ialah dengan menghukum dengan hukuman yang telah ditentukan Allah. Dan pada masa yang sama, mereka wajib mendirikan solat dan mengajak rakyat bersama-sama melaksanakannya sebagai bukti ketundukan dan kepatuhan kepadaNya. Pemerintah juga wajib menunaikan zakat, iaitu mengambil dari orang kaya dan diagihkan kepada asnaf dengan adil dan saksama. Dengan cara itu dapat dijamin keadilan sosial di kalangan rakyat.

Pemerintah hendaklah berusaha mendidik rakyat cintakan kebaikan dan menghayatinya serta bencikan kemungkaran dan menjahuinya. Maka hukuman bukan satu-satunya cara untuk mencegah jenayah. Ia termasuk pelaksanaan yang menyeluruh merangkum semua perintah yang terkandung di dalam kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya s.a.w.

Marilah kita kembali kepada Pencipta Yang Maha Kuasa, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Terimalah apa yang telah diwahyukan. Berilah peluang supaya ia dilaksanakan. Lihat dulu kesannya, in syaa Allah Dia pasti menolong kita sebagaimana yang dijanjikan-Nya.



No comments:

Post a Comment