Saturday, May 31, 2014

KUDA BERANAK LEMBU

Pada zaman dahulu, tersebar satu kisah di kalangan Bani Israel, kononnya dua orang dari kalangan mereka berebut anak lembu.  Salah seorang daripada mereka adalah putera raja yang zalim dan seorang lagi petani miskin.

Putera raja mempunyai seekur kuda. Dia mendakwa anak lembu itu miliknya kerana ia dilahirkan oleh kudanya.
Petani miskin memiliki seekur lembu. Dia mendakwa anak lembu itu dilahirkan oleh lembunya. Oleh itu dialah pemilik anak lembu itu.

Pada masa itu, terdapat tiga orang hakim yang dilantik untuk membicarakan pertelingkahan di kalangan manusia.

Putera raja dan petani membawa kes mereka kepada hakim pertama. Hakim itu memutuskan bahawa anak lembu milik putera raja. Ia benar-benar dilahirkan oleh kudanya.

Petani tidak puas hati. Dia membawa kes itu kepada hakim kedua. Hakim itu juga menyokong keputusan hakim pertama.

Petani tetap tidak boleh terima. Dia mengemukakan rayuan dan minta diulang bicara oleh hakim ke tiga. Hakim ke tiga enggan membicarakan kes tersebut. Putera raja meradang dan bertanya, mengapa dia enggan membicarakan kes itu seperti dua orang hakim sebelumnya? Hakim menjawab bahawa hari itu dia sedang haid. Dia tidak boleh mengendalikan apa-apa kes kecuali dalam keadaan suci. Putera raja membentak, mana mungkin lelaki datang haid? Hakim melemparkan soalan balas kepada putera raja, apakah mungkin kuda melahirkan anak lembu wahai tuanku?


Fikir-fikirkan. Kadang-kadang dalam dunia hari ini banyak berlaku perkara-perkara luar biasa dan tak masuk akal didoktrinkan akhirnya diterima sebagai betul dan benar.

No comments:

Post a Comment