Saturday, July 19, 2014

Lailatul-Qadar – Rahsia yang cuba dibongkar


Seluruh umat Islam mengetahui besarnya kelebihan Lailatul-Qadar. Mereka juga dimaklumkan bahawa ia jatuh pada satu malam daripada malam-malam di bulan Ramadhan yang mulia. Tetapi bilakah masanya?

Menurut ar-Razi di dalam kitab tafsirnya Mafatih al-Ghaib, Allah Ta'ala merahsiakan dan tidak mendedahkan ketentuan malam al-Qadar kerana beberapa faktor:

Pertama – Allah merahsiakannya sebagaimana Dia merahsiakan banyak perkara lain seperti Dia merahsiakan redha-Nya dalam ketaatan yang kita lakukan supaya kita gemar melakukan semua amalan. Dia merahsiakan pengqabulan doa supaya kita lebih bersungguh-sungguh dalam berdoa. Dia merahsiakan Ismu A'dzam (Nama-Nya yang paling agung) supaya kita mengagungkan semua nama-nama-Nya. Dia merahsiakan Solat Wusta supaya kita tetap memelihara semua solat. Dia merahsiakan penerimaan taubat supaya kita terus bersungguh-sungguh memohon ampun dari semua dosa. Dia merahsiakan ajal supaya kita takut. Begitulah juga Dia merahsia malam al-Qadar ini supaya kita menghidupkan semua malam di bulan Ramadhan.

Kedua – Seolah-olah Allah berkata kepada kita: "Sekiranya Aku tentukan Lailatul-Qadar, sedangkan Aku Mengetahui keberanian kamu melakukan maksiat, maka boleh jadi pada malam itu nafsu kamu mendorong kamu melakukan maksiat, lalu kamu terjerumus ke dalam dosa, maka maksiat kamu pada malam yang kamu mengetahui ia adalah Lailatul-Qadar, lebih besar dosanya daripada kamu tidak mengetahui ia adalah Lailatul-Qadar. Lantaran itulah Aku merahsiakannya dari pengetahuan kamu. Diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. masuk ke dalam masjid, dia mendapati ada seorang lelaki sedang tidur. Lalu baginda menyuruh Ali mengejutkan lelaki itu supaya bangun dan berwuduk. Ali mengejutkan lelaki itu. Kemudian Ali bertanya kenapa baginda kenapa tidak mengejutkannya sendiri? Baginda menjawab: "Kerana  kalau lelaki itu enggan bangun apabila engkau yang mengejutkannya, dia tidak kufur.  (sebaliknya jika dia engkar suruhanku, dia akan kufur). Maka aku suruh engkau untuk meringankan dosanya jika dia engkar (enggan bangun). Kalau begitulah rahmahnya Rasululullah s.a.w. kepada umatnya, maka qiaskanlah rahmah Tuhan kepada hamba-Nya. Seolah-olah Dia berkata kepada kita: "Kalau kamu taat pada malam itu, kamu mendapat ganjaran 1000 bulan. Jika kamu buat maksiat, kamu dapat siksa 1000 bulan. Maka menolak azab lebih utama daripada meraih thawab (pahala).

Ketiga – Allah rahsiakan malam itu supaya mukallaf bersungguh-sunggh menjejakinya, maka dia mendapat pahala bersungguh-sungguh menjejeaki itu.

Keempat – Apabila seseorang hamba meyakini wujudnya Lailatul-Qadar, dia akan berusaha menghidupkan malam-malam Ramadhan semuanya. Maka Allah akan berbangga tentang kesungguhan mereka di hadapan para malaikat seraya berkata kepada mereka: "Wahai malaikat, tengoklah hamba-hamba-Ku yang sebelum ini kamu pernah berkata mereka melakukan kerosakan dan menumpahkan darah!"

Oleh kerana Lailatul-Qadar adalah satu daripada rahsia yang disembunyikan, maka ramai yang cuba meneka dan mencari-cari petunjuknya. Ar-Razi berkata, terdapat lapan pendapat tentang waktu Lailatul-Qadar setelah mereka sepakat mengatakan bahawa ia pada bulan Ramadhan:

Ibn Ruzain : malam pertama
Hasan Basri : malam ke 17
Anas bin Malik r.a. : malam ke 19
Muhammad bin Ishaq : malam ke 21
Satu riwayat daripada Ibn Abbas r.a. : malam ke 23
Ibn Mas'ud r.a. : malam ke 24
Abu Dzar al-Ghifari r.a. :malam ke 25
Ubai bin Ka'ab dan sekumpulan Sahabat r.a. : malam ke 27
Sekumpulan sahabat : malam ke 29

Setiap yang mengemukan pendapat membawa hujjah masing-masing.

Imam Shafi'ei cenderung kepada pendapat yang mengatakan ia jatuh pada malam ke 27 berdasarkan Hadis tanah yang basah disirami air hujan yang kebanyakannya berlaku pada malam 27.
Mereka juga menyebut beberapa alasan yang tidak begitu kuat:

Pertama - kata-kata Ibn Abbas r.a. bahawa surah al-Qadar mengandungi 30 perkataan, dan (هِىَ ) gantinama yang merujuk kepada malam itu adalah perkataan yang ke 27.

Kedua – diriwayatkan bahawa Umar r.a. bertanya kepada sahabat-sahabat, kemudian beliau meminta Ibn Abbas r.a. memberikan pendapatnya.  Ibn Abbas berkata: "Bilangan yang Allah paling suka ialah witir (ganjil). Dan bilangan ganjil yang Allah paling suka adalah 7. Contohnya, langit 7, bumi 7, seminggu 7 hari, lapisan neraka 7, tawaf 7 keliling, sujud di atas 7 anggota. Maka ini membuktikan bahawa Lailatul-Qadar adalah malam ke 27.

Ketiga – diriwayatkan daripada Ibn Abbas juga bahawa beliau berkata: { لَيْلَةِ ٱلْقَدْرِ } terdiri daripada sembilan huruf. Dan perkataan itu disebut sebanyak tiga kali. Maka jumlahnya adalah 27.

Keempat : Uthman bin Abi al-'Aas mempunyai seorang ghulam (hamba lelaki yang masih kecil). Ghulam itu berkata kepada Uthman: "Wahai tuan, sesungguhnya air laut menjadi tawar airnya pada satu malam daripada satu bulan." Uthman berkata kepada ghulam, bila tiba malam itu, beritahu kepadaku. Suatu malam, ghulam memberitahunya. Uthman mendapati malam itu adalah malam ke 27 Ramadhan.

Menurut penelitian yang dilakukan oleh Dr Ahmad Mustafa Sharif (Consultant Perubatan kanak-kanak, Mesir) Lailatul-Qadar setiap tahun bermula daripada ghurub (tenggelam matahari) hari Selasa terakhir daripada bulan Ramadhan. Ia merupakan permulaan malam Rabu terakhir. Ia merupakan waktu tetap pada setiap tahun berlaku di seluruh dunia sekalipun berbeza awal Ramadhan.

Katanya, sebagai contoh Lailatul-Qadar  pada tahun 1434 berlaku pada malam Rabu, malam ke 29 Ramadhan.
Adapun Lailatul-Qadar bagi tahun ini, 1435 jatuh pada malam ke 25 (bagi yang memulakan puasa pada hari Ahad), iaitu malam Rabu.

Kenapa malam Rabu? Antara faktor yang beliau kemukakan dengan taufiq daripada Allah Ta'ala:

Pertama – Allah menciptakan cahaya pada hari Rabu (dalam Islam, permulaan hari adalah malam). Daripada Abu Hurairah r.a. dia berkata: "Rasulullah s.a.w. memegang tanganku seraya berkata: "Allah 'Azza wa Jalla menciptakan tanah pada hari Sabtu, menciptakan bukit pada hari Ahad, menciptakan padanya pokok pada hari Isnin, menciptakan galian pada hari Selasa, menciptakan cahaya pada hari Rabu, menebarkan padanya binatang-binatang pada hari Khamis, dan menciptakan Adam selepas Asar pada hari Jumaat, sebagai akhir makhluk pada saat akhir daripada saat-saat hari Jumaat di antara Asar ke malam."

Kedua – Allah menciptakan malaikat pada hari Rabu. Daripada al-Azhari daripada Ibn Umar r.a. dia berkata: "Allah menciptakan tanah pada hari sabtu, menciptakan batu pada hari Ahad, menciptakan awan pada hari Isnin, menciptakan galian pada hari Selasa, menciptakan malaikat pada hari Rabu, menciptakan haiwan pada hari Khamis dan menciptakan Adam pada hari Jumaat antara Asar dengan Maghrib."
(kedua Hadis diriwayatkan oleh Muslim, Ibn Khuzaimah, Ibn Hibban, Ahmad, Baihaqi dan Tobrani).
Dalam kedua Hadis di atas, di dapati Allah menciptakan malaikat dan cahaya pada hari yang sama supaya malaikat turun pada malam itu agar bertambah cahaya di atas cahaya.

Ketiga – doa diqabulkan pada malam Rabu. Jabir bin Abdullah berkata bahawa Nabi s.a.w. berdoa di masjid al-Fath tiga hari berturut-turut; Isnin, Selasa dan Rabu. Maka diqabulkan doanya pada hari Rabu di antara dua solat sehingga diketahui riak gembira di wajah baginda." Riawayat Ahmad. Jabir berkata: "Maka tidak berlaku sesuatu yang penting lagi berat dalam hidupku kecuali aku berusaha untuk berdoa pada hari Rabu, lalu aku mengetahui ianya diqabulkan."
Dalam hal ini, Ibn Kathir menyebut di dalam kitab Bidayah wa Nihayah bahawa Nabi s.a.w berdoa pada hari Rabu supaya Allah memuliakan Islam dengan Umar bin al-Khattab atau Abu Jahal bin Hisham. Maka Umar memeluk Islam pada hari Khamis.
Daripada Aishah r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: "Sekiranya manusia mengetahui apa yang ada pada kehadiran solat Isya berjamaah pada malam Rabu, nescaya mereka akan datang walaupun dengan merangkak." Tobrani.

Oleh itu, Lailatul-Qadar berpindah-pindah antara malam-malam 24, 25, 27 dan 29, iaitu tujuh malam terakhir daripada bulan Ramadhan Mubarak (terdapat beberapa Hadis yang menyatakan Lailatul-Qadar  adalah pada tujuh malam terakhir.  Daripada Abdullah bin Umar r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: "Carilah Lailatul-Qadar pada tujuh terakhir." Riwayat Muslim, Ibn Hibban, Abu Daud, Ahmad dan Malik.) Dan ia berlaku secara tetap pada malam Rabu terakhir. Dengan itu dapat disatukan antara dua pendapat, iaitu pendapat yang mengatakan Lailatul-Qadar itu tetap dan pendapat yang mengatakan Lailatul-Qadar itu berubah. Imam an-Nawawi berkata di dalam Syarah Sahih Muslim bahawa menurut Ibn Mas'ud, Abu Hanifah dan dua orang sahabatnya Lailatul-Qadar berlaku setiap tahun pada malam tertentu secara tetap tidak berubah.
Tetapi Malik, Sufyan ath-Thauri, Ishaq dan Ahmad berkata ia berpindah-pindah di antara beberapa malam daripada 10 malam terakhir. Al-Mawardi mendakwa bahawa pendapat adalah ini disepakati.
  

No comments:

Post a Comment