Wednesday, July 30, 2014

Ramadhan telah berlalu, kita bagaimana?


Bagaikan baru semalam Ramadhan disambut dengan penuh keinsafan mengharap rahmat dan keampunan. Kini dia telahpun pergi membawa bersama kerinduan dan kesedihan hati para mukminin. Hati mukminin disimbah perasaan pilu dan sayu, mungkinkah akan bertemu lagi dengan Ramadhan pada tahun akan datang?

Apapun, yang pergi tetap pergi. Tidak mungkin akan kembali lagi. Yang penting setiap orang daripada kita mesti memeriksa dan muhasabah diri, apa yang Ramadhan tinggalkan untuk kita sebagai bekalan meneruskan kehidupan di dunia yang sementara ini? Bagaimana keadaan kita sekarang? Adakah bertambah taqwa atau berkurangan? Diriwayatkan bahawa Sayyidina Ali bin Abi Talib menyeru pada malam terakhir Ramadhan dengan seruan:
"Wahai alangkah beruntungnya kalau aku dapat mengetahui orang yang diterima amalnya, lalu aku mengucapkan tahniah kepadanya. Dan aku mengetahui orang yang tidak diterima amalnya, lalu aku mengucapkan takziah kepadanya."

Kata-kata itu menggambarkan bahawa keadaan manusia selepas menjalani ibadah sepanjang Ramadhan tidak sama. Ada yang diterima amalannya dan ada yang ditolak. Maka kita termasuk dalam golongan mana?

Hal ehwal manusia selepas Ramadhan :

Pertama: Golongan yang sedia berada dalam kebaikan dan ketaatan kepada Allah sepanjang masa. Bila tiba Ramadhan mereka bertambah rajin dan bersungguh-sungguh menambah amal: berpuasa, tilawah al-Quran, solat malam, bersedekah, menjaga silatul-rahim dan lain-lain lagi. Apabila berlalunya Ramadhan, hati mereka cukup terkesan. Sedih dan pilu tidak dapat digambarkan. Amalan yang dilakukan tidak menjadikan mereka puas dan yakin diri akan terselamat dari siksa. Keadaan mereka digambarkan di dalam firman Allah yang bermaksud:  “Sesungguhnya orang-orang yang sentiasa bimbang disebabkan takut kepada (kemurkaan) Tuhan mereka. Dan orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Tuhan mereka. Dan orang-orang yang tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan Tuhan mereka. Dan orang-orang yang memberi apa yang mereka berikan sedang hati mereka gementar kerana mereka yakin akan kembali kepada Tuhan mereka. Mereka itulah orang-orang yang segera mengerjakan kebaikan dan merekalah orang-orang yang mendahului pada mencapainya. (Al-Mukminun:57-61)
Aishah r.a. bertanya Rasulullah s.a.w. tentang ayat "Dan orang-orang yang memberi apa yang mereka berikan sedang hati mereka gementar kerana mereka yakin akan kembali kepada Tuhan mereka." Apakah "mereka" yang dimaksudkan di dalam ayat ini orang-orang yang minum arak dan mencuri? Baginda menjawab: "Bukan. Sebaliknya mereka yang dimaksudkan ialah orang-orang yang berpuasa, menunaikan solat dan bersedekah. Dalam pada itu mereka takut amalan-amalan mereka tidak diterima." Riwayat at-Tirmizi dan lain-lain.
Setengah ahli ibadah berkata: "Orang yang mengenali Allah, kebimbangan mereka selepas melakukan ketaatan lebih daripada kebimbangan mereka selepas melakukan kesilapan kerana kesilapan terhapus dengan taubat, sedangkan ketaatan menuntut keikhlasan di samping pelaksanaan dengan cara yang betul dan menepati syarak."

Diriwayatkan bahawa Sayyidina Ali r.a. sentiasa menangis kerana takut. Dua perkara yang amat ditakutinya: panjang angan-angan dan mengikut nafsu. Beliau berkata: "Adapun orang yang panjang angan-angan, menjadikannya lupa akhirat. Orang yang mengikut nafsu, menghalangnya dari kebenaran. Ingatlah bahawa dunia berpaling ke belakang untuk berlalu pergi dan akhirat pantas melangkah ke mari. Untuk kedua-duanya itu ada anak-anaknya. Maka jadilah kamu anak-anak akhirat. Janganlah kamu jadi anak-anak dunia. Sesungguhnya hari ini hari beramal, tiada perhitungan. Dan esok hari perhitungan, tiada lagi amal dapat dilakukan." Dikeluarkan oleh Ahmad

Golongan ini sentiasa dalam ketaatan, memelihara amal kebaikan secara berterusan sebagaimana Hadis yang disampaikan oleh Aishah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: "Amalan yang paling disukai Allah ialah yang berterusan walaupun sedikit." Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Kedua: Golongan yang sebelum Ramadhan berada dalam keadaan leka dan lalai. Bila tiba Ramadhan mereka kelihatan begitu rajin dan bersungguh-sungguh melakukan ibadah: solat, puasa, sedekah, tilawah dan lain-lain. Namun selepas berlalu Ramadhan, mereka kembali kepada cara hidup mereka yang lama. Masjid tidak lagi dikunjungi, al-Quran tersimpan di dalam almari lagi. Mereka seolah-olah telah merungkai kembali tenunan yang mereka kemaskan dengan tangan sendiri seperti yang digambarkan di dalam firman Allah maksudnya:
"Dan sempurnakanlah pesanan-pesanan dan perintah-perintah Allah apabila kamu berjanji dan janganlah kamu merombak (mencabuli) sumpah kamu sesudah kamu menguatkannya (dengan nama Allah), sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai Penjamin kebaikan kamu; sesungguhnya Allah sedia mengetahui akan apa yang kamu lakukan. Dan janganlah kamu menjadi seperti perempuan yang telah merombak satu persatu benda yang dipintalnya, sesudah dia selesai memintalnya kuat teguh;” (An-Nahl:91-92)

Basyar al-Hafi ditanya tentang manusia yang rajin beribadah di bulan Ramadhan tetapi tidak begitu pada bulan-bulan yang lain, lantas beliau menjawab: "Seburuk-buruk kaum adalah mereka yang tidak mengenali Allah kecuali pada bulan Ramadhan!"

Ketiga: Golongan yang tidak memperdulikan sama ada Ramadhan datang atau tidak. Keadaan mereka tetap sama. Tenggelam dalam maksiat, leka dan alpa dengan dunia. Alangkah ruginya mereka.
Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: "Celakalah orang yang namaku disebut di sisinya, namun dia tidak berselawat ke atasku. Celakalah orang yang sempat memasuki Ramadhan kemudian keluar daripada Ramadhan dalam keadaan dosanya tidak diampunkan. Celakalah orang yang sempat bersama kedua ibu bapanya yang telah tua, namun dia tidak dapat masuk syurga (kerana tidak berbakti kepada keduanya)." Riwayat at-Tirmizi, Ahmad dan al-Hakim.


Marilah sama-sama kita muhasabah dan memerhati keadaan diri, di dalam golongan manakah kita berada?

No comments:

Post a Comment