Wednesday, April 27, 2016

‪Artis yang menentang kezaliman


Artis merupakan antara golongan paling berpengaruh. Mereka diminati, disanjungi dan diikuti oleh ribuan malah jutaan peminat. Apa yang dilakukan para artis menjadi ikutan para peminat. Kadang-kadang para peminat hanya mengikut apa saja yang dilakukan oleh artis pujaan mereka tanpa memikirkan betul atau salah, baik atau betul.

Al-Quran menyebut bahawa terdapat dua golongan artis: golongan yang diikuti oleh mereka yang sesat dan golongan beriman yang bangkit menentang kezaliman dan penindasan. Allah Ta’ala berfirman maksudnya:

“Dan ahli-ahli syair itu, diturut oleh golongan yang sesat - tidak berketentuan hala.
Tidakkah engkau melihat bahawa mereka merayau-rayau dengan tidak berketentuan hala dalam tiap-tiap lembah (khayal dan angan-angan kosong)?
Dan bahawa mereka memperkatakan apa yang mereka tidak melakukannya?
Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh (dari kalangan penyair-penyair itu), dan mereka pula mengingati Allah banyak-banyak, serta mereka membela diri sesudah mereka dianiaya. Dan (ingatlah), orang-orang yang melakukan sebarang kezaliman, akan mengetahui kelak, ke tempat mana, mereka akan kembali.” [Asy-Syu’araa’:224-227]

Golongan pertama adalah artis (ahli-ahli syair) yang hanyut dalam angan-angan kosong, mengheret para peminat mereka ke lembah kesesatan yang merugikan. Allah menyifatkan mereka sebagai golongan yang “memperkatakan apa yang mereka tidak melakukannya”. Betapa tidak? Kadang-kadang kita saksikan mereka mendendangkan dengan suara merdu mendayu memuji kebesaran Tuhan, namun realitynya mereka tidak mentaati perintah Tuhan dengan sepenuhnya. Kadang-kadang kita saksikan mereka berlakon membawa watak insan paling suci lagi soleh, namun hakikatnya kehidupan mereka bergelumang dengan kemaksiatan.
Sungguhpun begitu, tidak semua golongan artis seperti itu. Al-Quran mengiktiraf ada di kalangan mereka yang baik.
Golongan yang baik dan dipuji oleh Allah ialah yang terdapat pada diri mereka ciri-ciri berikut:
-       beriman
-       beramal dengan amalan-amalan yang baik dan bermanfaat kepada diri sendiri, kepada umat manusia dan alam seluruhnya
-       banyak mengingati Allah dengan mentaatiNya dan mempertahankan agamaNya
-       membela diri dari kezaliman, tidak bersikap lemah tunduk menyerah kepada orang-orang yang zalim dan menindas.

Dan menariknya, dihujung ayat itu (227) Allah mengingatkan mereka yang zalim bahawa suatu hari nanti mereka akan mengetahui ke mana tempat kembali mereka dan akan menerima pembalasan yang setimpal di atas kezaliman mereka. Secara tidak langsung dapat difahami bahawa apabila golongan yang ditindas dan dizalimi bangkit membela diri mereka, Allah pasti akan menolong mereka dan orang-orang yang zalim pasti menerima akibatnya.

1 comment:

  1. Subhanallah! terima kasih post ni memang terbaik!






    peminat syair rock layan lagu Search - Mat Rock
    biar rock jangan munafik!

    ReplyDelete