Tuesday, August 30, 2016

MERDEKA...!!!


Setiap kali tibanya hari kebangsaan, hari merdeka 31 Ogos ramai yang akan bercakap dan mengulas erti merdeka. Bermacam-macam takrif diberikan dari pelbagai sudut dan pelbagai perspektif.

Namun, satu perkara yang kita tidak harus lupa. Iaitu hakikatnya kita adalah HAMBA.

Kita diciptakan untuk menjadi HAMBA:
"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka mengHAMBAkan diri kepadaKu.” (Adz-Dzariat:56)

Kita diseru supaya menjalani kehidupan ini di atas landasan perHAMBAan:
“Wahai sekalian manusia! PerHAMBAkanlah diri kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertakwa.” (Al-Baqarah:21)

Kita diminta supaya mengulangi ikrar sebagai HAMBA setiap hari sekurang-kurangnya sebanyak 17 kali sehari:
“Hanya kepada Engkaulah sahaja (Ya Allah) kami HAMBAkan diri dan hanya kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.” (Al-Fatihah:5)

Setinggi manapun mencapaian kita di dunia ini kita tetap HAMBA:
“Maha Suci Allah yang telah menjalankan HAMBANYA (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Al-Israa’:1)

Dan hanya ketika kita benar-benar memahami, menghayati dan melaksanakan tugas sebagai HAMBA kita akan memiliki ciri-ciri kemuliaan sebagai insan yang tinggi akal budi, akhlak terpuji, terelak dari sifat dan sikap yang keji:
“Dan HAMBA-HAMBA  Ar-Rahman, ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini; (63) Dan mereka  yang tekun mengerjakan ibadat kepada Tuhan mereka pada malam hari dengan sujud dan berdiri, (64)
Dan juga mereka yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, sisihkanlah azab Neraka Jahanam dari kami, sesungguhnya azab seksanya itu adalah mengerikan. (65)
Sesungguhnya Neraka Jahanam itu tempat penetapan dan tempat tinggal yang amat buruk; (66)
Dan juga mereka  yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu. (67)
Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak) dan tidak pula berzina dan sesiapa melakukan yang demikian, akan mendapat balasan dosanya; (68)
Akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat dan dia pula akan kekal di dalam azab itu dengan menerima kehinaan; (69)
Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (70)
Dan sesiapa yang bertaubat serta beramal soleh, maka sesungguhnya (dengan itu) dia bertaubat kepada Tuhannya dengan sebenar-benar taubat; (71)
Dan mereka yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara yang dilarang dan apabila mereka bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri daripadanya. (72)
Dan juga mereka yang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat keterangan Tuhan mereka, tidaklah mereka tunduk mendengarnya secara orang-orang yang pekak dan buta. (73)
Dan juga mereka yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang bertakwa. (74)
Mereka itu semuanya akan dibalas dengan mendapat tempat yang tinggi di Syurga disebabkan kesabaran mereka dan mereka pula akan menerima penghormatan dan ucapan selamat di dalamnya, (75) Mereka kekal di dalam Syurga itu; amatlah eloknya Syurga menjadi tempat penetapan dan tempat tinggal. (76)
(Al-Furqan:63-76)

Dari kefahaman dan keinsafan hakikat diri sebagai HAMBA lahirlah jiwa-jiwa yang bebas dan merdeka, terungkap pada kata-kata, terserlah pada budi bicara, terpahat pada amalan, terbukti pada perjuangan dan pengorbanan yang menjadi obor sepanjang zaman. Inilah apa yang diungkapkan oleh Allah Yarham Sayyid  Qutub, “Akhi, engkau merdeka di belakang tembok. Akhi, engkau merdeka di sebalik rantai-rantai yang membalut…”
Sebelum Sayyid Qutub, Imam Ibn Taimiyyah pernah melakar sejarah dengan ungkapannya, “Apa yang mampu dilakukan oleh musuhku terhadapku? Syurgaku dan tamanku di dalam dadaku. Ke mana aku pergi ia bersamaku, ia tidak berpisah dariku. Sesungguhnya penjara bagiku adalah khulwah. Pembunuhanku adalah syahadah (mati syahid). Pengusiranku dari negeriku adalah siahah (pelancongan).”

Maka, untuk menikmati kemerdekaan yang hakiki tetaplah mengabdikan diri, menyembah dan mengHAMBAkan diri kepadaNya sehingga mati:
“Dan HAMBAkanlah diri kepada Tuhanmu, sehingga datang kepadamu  keyakinan (kematian).” (Al-Hijr:99)

31 Ogos 2016


1 comment: