Wednesday, September 07, 2016

SUJUD DAN SUJUDLAH


“(Ingatkanlah wahai insan yang tidak beriman) akan masa didedahkan kedahsyatan huru-hara (hari kiamat) dan mereka diseru supaya sujud maka mereka tidak dapat melakukannya;
Sambil pandangan mereka tunduk malu, serta mereka diliputi kehinaan dan sesungguhnya mereka (di dunia) dahulu telahpun diseru supaya sujud (tetapi mereka enggan) sedang mereka dalam keadaan sihat.” (Al-Qalam: 42,43)

Zahir ayat ini menggambarkan keadaan manusia yang ketika mereka hidup di atas muka bumi yang permai ini enggan sujud kepada Allah padahal mereka mampu berbuat demikian. Maka pada hari akhirat kelak mereka tidak akan dapat sujud walaupun mereka ingin melakukannya.

Iktibar buat kita yang masih dianugerahi kesihatan, yang masih mampu membongkokkan badan untuk sujud di atas lantai dan tanah beralaskan tikar atau sejadah, mahupun tidak beralas apa-apa.
Lihatlah kepada mereka yang telah uzur. Baik kerana factor usia atau kerana penyakit yang menimpa. Mereka tidak mampu lagi meletakkan dahi di bawah. Sujud hanya sekadar isyarat membongkokkan badan tanpa mencecah sejadah. Meskipun sujud itu sah dan diterima sebagai rukhsah, ni’mat dan kemanisan sujud pasti tidak sama.

Justeru, hargailah kesihatan anda sebelum ia ditarik pada bila-bila masa.
Sujud dan sujudlah. Ni’matilah kemanisan sujud. Di kala dahi mencecah tanah, hati bertaut, jiwa berpaut pada Khaliqnya yang melihat, mendengar, menjawab, membelai dengan cinta kasih nan maha agung!
“Dan bertawakkallah kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani,
Yang melihatmu semasa engkau berdiri (mengerjakan solat),
Dan (melihat) gerak-gerimu di antara orang-orang yang SUJUD. Sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Asy-Syu’araa’ : 217 - 220

No comments:

Post a Comment