Monday, August 22, 2016

Pertolongan datang saat kita sangat memerlukan ...


Rencah hidup seorang yang bergelar ustazah, setiap hari akan dihubungi dan dikunjungi oleh pelbagai golongan insan yang dikenali dan tidak dikenali untuk bertanya soalan berkaitan dengan pelbagai masalah agama.

Saya berpegang kepada kata-kata ulamak silam bahawa apabila orang datang bertanyakan soalan, itu merupakan rezeki bagi kita. Betapa tidak? Jika kita dapat menjawab, bererti kita telah membantu menyelesaikan masalahnya. Dengan itu kita mendapat pahala. Sebaliknya jika kita tidak dapat menjawab ketika itu, kita akan berusaha mencari jawapan dengan merujuk pakar atau menelaah kitab-kitab tinggalan ulamak terdahulu. Secara tidak langsung ia memberi peluang kepada kita menambah ilmu. Bertambah satu ilmu, tidak syak lagi merupakan rezeki yang tidak ternilai harganya.

Namun, tidak kurang juga kita menghadapi detik-detik cemas dan sukar apabila tidak mampu memberikan jawapan yang diharapkan kerana keterbatasan ilmu dan kesukaran mencari dalil yang berkaitan dengan apa yang ditanyakan. Apatah lagi sekiranya yang bertanya memerlukan jawapan yang pantas dan tuntas.

Antara pengalaman paling sukar yang pernah saya hadapi, ketika seseorang bertanya tentang hak ibu angkat dari segi kewajipan berbuat baik kepadanya adakah sama dengan ibu kandung yang melahirkan? Dia telah dibela oleh ibu angkat sejak kecil dan tidak mengetahui langsung tentang ibu kandungnya. Sekarang ibu angkatnya yang telah tua tinggal bersama dengannya. Ibu angkat dia pula seorang yang sangat cerewat sehingga dia rasa amat tertekan. Maka timbul persoalan di dalam hati sejauh mana dia harus melayan karenah ibu angkatnya? Adakah sama statusnya dengan ibu kandung?

Sungguh, saya amat buntu dengan soalan itu. Kalau saya jawab, tidak sama mungkin akan memberi kelegaan kepadanya yang mana kalau dia tak ikut semua kehendak ibu angkatnya, tak lah dikira derhaka seperti tak ikut cakap ibu sendiri? Tapi apa hujah saya? Apa dalilnya?
Kalau saya jawab, sama kedudukan ibu angkat dengan ibu kandung, apa pula reaksinya? Dan lebih penting daripada itu, apa dalilnya?
Sambil berfikir apakah jawapan yang paling berhikmah, saya layan dia bercakap dan sekali-sekala menyampuk. Saya teringat sepotong hadis, ketika itu tak ingat statusnya sahih atau tidak (selepas itu baru saya semak, ia hadis hasan gharib riwayat at-Tirmizi), kira-kira maksudnya, "bukan daripada kami orang yang tidak menyayangi yang kecil dan tidak menghormati yang tua...".
Saya ceritakan hadis itu kepadanya, namun tetap tidak menjawab persoalan pokok yang ditanya.
Saya sambung lagi, Allah suruh kita berdoa (ketika ini saya teringat doa yang Allah perintahkan di dalam surah al-Israa' ayat 24, “Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.”)

Terasa seolah-olah saya mendapat satu cahaya daripada ayat itu.

Jelas di dalam ayat itu Allah suruh kita berdoa supaya cucuri rahmat kepada mereka berdua. Alasannya ialah:  "sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil". Perkataan "rabbayani" iaitu memelihara dan mendidik, adakah berbeza antara ibu (dan ayah) kandung dengan ibu (dan ayah) angkat? Maka di sini saya temui jawapannya. Allah perintahkan kita berdoa untuk ibu ayah dengan menyebut jasa mereka dalam membesar dan mendidik, maka sepatutnya ibu dan ayah angkat juga mempunyai hak yang sama dengan ibu dan ayah kandung, lebih-lebih dalam keadaan kita tidak tahu dan tidak kenal pun siapa ibu dan ayah kandung kita. Ibu angkat itulah yang bersusah payah membesar dan mendidik kita sejak kecil. Syukur alhamdulillah, apabila saya menceritakan tentang doa itu dia faham dan dapat menerimanya. Dia akan terus berbakti kepada ibu angkatnya serta bersabar menghadapi apa saja karenahnya.

Dan yang lebih penting daripada itu, saya berharap dan berdoa agar jawapan itu tidak bercanggah dengan apa yang disyari'atkan oleh Allah s.w.t.


No comments:

Post a Comment