Thursday, August 25, 2016

Saya beriman kepada qadha' dan qadar


(diolah daripada sebuah kisah benar)

Pada suatu pagi yang bening, sepasang suami isteri berjalan di hadapan deretan gerai menjual makanan. Mereka bersetuju untuk membeli sebungkus makanan sahaja dikongsi berdua. Selepas meninjau makanan-makanan yang dijual akhirnya mereka memilih mi goreng udang.

Mereka mencari tempat duduk yang sesuai tidak jauh dari deretan gerai-gerai. Seperti biasa isteri akan memberi peluang kepada suami makan terlebih dahulu. Bungkasan mi dibuka, kelihatan dua ekur udang sederhana besar terbaring di atas mi. Dia mengambil seekur daripadanya dengan garpu. Ketika hendak membawa ke mulut, udang itu terjatuh ke tanah. Dia cuba mengambil yang satu lagi. Ketika itu isteri yang yakin tidak ada lagi udang di dalam mi itu, berkata-kata di dalam hati "dia nak habiskan untuk dia saja ke udang tu? tak nak bagi untuk aku ke?" Dan sangkaan di dalam hati si isteri itu betul. Dia terpinga-pinga melihat si suami menghabiskan udang yang satu itu. Rasa kecil hati mula merembas di dalam urat saraf.

Setelah makan sesuap dua, suamipun menghulurkan bungkusan mi kepada isteri sambil berkata, "udang dah tak ada lagi la!!". Hati si isteri yang tadinya telah tegang diresapi perasaan kecil hati dan sangka buruk bahawa suami hanya pentingkan diri mula mengendur. Rupa-rupanya dia bukan sengaja nak habiskan udang itu kerana tak ingat pada isterinya, tapi kerana dia sangka masih ada lagi udang di dalam mi itu di bahagian dalam atau di bahagian bawah. "Kesian awak!", sambungnya lagi. "Takpe. Saya beriman kepada qadha' dan qadar." Jawab isteri dengan suara perlahan mengubat rasa keciwa sendiri. Sedang si suami langsung tidak menyedari apa yang bergolak di dalam jiwa isteri.

Beriman dengan qadha' dan qadar bukan hanya terkait dengan isu-isu yang besar seperti kemalangan, kegagalan, kemusnahan, kejayaan, keberuntungan dan sebagainya. Malah terlepas peluang untuk menikmati seekur udang juga pastinya terkait dengan qadha' dan qadar. Jika udang itu tidak tertulis sebagai rezeki si isteri, tak dapatlah dia merasainya.


Tahniah kepada sahabat kita ini kerana dapat mengatasi godaan nafsu dengan suluhan iman yang terang dan jelas. Maka keciwalah iblis serta hulubalangnya untuk cuba menabur benih-benih tak puas hati, kecil hati, jauh hati dan terasa hati di dalam dadanya. Benih-benih itu bila dipupuk lama-kelamaan akan subur menjadi benci dan pergaduhan yang sukar dihenti.

No comments:

Post a Comment