Tuesday, September 20, 2016

Mencegah Fahaman Wahabi


Membaca laporan di atas pelbagai persoalan timbul dalam benak saya.

Pertama, apa yang disifatkan sebagai fahaman wahabi. Kalau benar ianya suatu fahaman ia tidak boleh disekat atau dicegah dengan kuatkuasa undang-undang kerana fahaman adalah sesuatu yang berakar umbi di dalam pemikiran seseorang berdasarkan dalil-dalil yang diyakininya. Al-Quran menganjurkan dakwah dengan hikmah dan dialog dengan cara yang terbaik. Allah Ta'ala berfirman maksudnya:
"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk.” (An-Nahl:125)

Jelas di dalam ayat di atas Allah perintahkan Nabi s.a.w. agar menyeru orang yang belum Islam dengan cara hikmah dan berbincang atau berbahas dengan mereka dengan cara yang terbaik.
Pengajarannya, alangkan dengan non muslim kita disuruh berbincang dan berdialog, maka apakah dengan sesama Islam yang beriman dan berpegang dengan kitab yang sama tidak ada ruang untuk berbincang, berbahas dan berdialog? Lojiknya mestilah ruang perbincangan lebih terbuka luas.

Kedua, Enggan berbincang merupakan ciri-ciri musyrikin kerana mereka sebenarnya tidak ada hujjah untuk dikemukakan bagi mempertahankan kesyirikan mereka. Lalu mereka mengambil pendekatan sekat, halang, penajara dan yang serupa dengannya. Inilah yang disebut di dalam al-Quran sejak sekian lama. Apakah pihak AMIN suka meniru pendekatan mereka itu?
“(Bapanya) menjawab: Patutkah engkau bencikan tuhan-tuhanku, wahai Ibrahim? Demi sesungguhnya jika engkau tidak berhenti daripada menyeru dan menasihati daku sudah tentu aku akan melontarmu dengan batu dan (ingatlah lebih baik) engkau tinggalkan daku sepanjang masa.” (Maryam:46)
“Firaun berkata: Demi sesungguhnya! Jika engkau menyembah Tuhan yang lain daripadaku, sudah tentu aku akan menjadikan engkau dari orang-orang yang dipenjarakan.” (Asy-Syu’araa’ : 29)
“Mereka (mengugut dengan) berkata: Jika engkau tidak mahu berhenti (daripada menyiarkan agamamu itu) wahai Nuh, sudah tentu engkau akan menjadi dari orang-orang yang direjam! (Asy-Syu’araa’ :116)
“Mereka menjawab: Sesungguhnya jika engkau tidak berhenti wahai Lut (daripada mencaci dan menyalahkan kami), nescaya engkau akan diusir keluar!” (Asy-Syu’araa’ : 167)

Ayat-ayat di atas hanyalah sebahagian daripada contoh kaum musyrikin terdahulu ketika berhadapan dengan orang yang tidak sefahaman dengan mereka. Mereka tidak mengemukakan sebarang hujjah selain daripada ugutan penjara, rejam, usir, buang negeri dan seumpamanya.

Ketiga, imam-imam ahli sunnah waljamaah sangat terbuka dalam menerima perbezaan pendapat dan menolak taksub kepada sesuatu pendapat tertentu. Sebagai contoh, Khalifah Abu Jaafar al-Mansur telah mencadangkan kepada Imam Malik rahimahullah agar menulis sebuah buku supaya menjadi rujukan umat Islam ketika itu. Lalu Imam Malik menulis kitab al-Muwatto’ tetapi beliau tidak bersetuju sekiranya semua manusia dimestikan berpegang dengan apa yang dimuatkan di dalam buku yang merupakan hasil ijtihadnya itu.
Beliau yang berijtihad sendiri dengan penuh taqwa dan amanah itupun tidak menerima cadangan agar pendapatnya dipaksakan ke atas semua umat Islam. Antara kata-katanya yang masyhur, “Tidak ada seorangpun daripada makhluk Allah kecuali boleh diambil kata-katanya dan boleh ditinggalkan melainkan Nabi s.a.w.”
Kalau mujtahid tidak memaksakan pendapatnya ke atas orang lain, apakah muqallid (orang yang bertaqlid) patut memaksakan semua umat mengikut pendapat yang dia taqlid? Memang tidak munasabah.

Keempat, Imam asy-Syafie yang kita mengaku sebagai pengikut mazhabnya, menunjukkan contoh keterbukaan apabila beliau berkata: “Pendapat aku betul, tetapi berkemungkinan salah. Dan pendapat lawanku salah, tetapi berkemungkinan betul. Dan aku tidak pernah berbahas dengan seseorang kecuali aku suka dan berharap kebenaran keluar daripada lidahnya.”

Sikap terbuka Imam asy-Syafie selari dengan apa yang diajar di dalam al-Quran. Allah Ta’ala berfirman di dalam surah Saba’ maksudnya:
“Bertanyalah (wahai Muhammad kepada orang-orang musyrik itu): Siapakah yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? Terangkanlah jawabnya: Ialah Allah dan sesungguhnya (tiap-tiap satu golongan), sama ada golongan kami ahli tauhid atau golongan kamu ahli syirik (tidak sunyi daripada salah satu dari dua keadaan): Keadaan tetapnya di atas hidayat petunjuk atau tenggelamnya dalam kesesatan yang jelas nyata. (24)
(Oleh itu) katakanlah (wahai Muhammad): Kamu tidak akan bertanggungjawab tentang kesalahan yang kami lakukan dan kami pula tidak akan bertanggungjawab tentang apa yang kamu kerjakan. (25) Katakanlah lagi: Tuhan kita akan menghimpunkan Kita semua (pada hari kiamat), kemudian Dia akan menyelesaikan perselisihan yang ada di antara kita dengan penyelesaian yang benar dan Dialah jua Hakim yang seadil-adilnya, lagi Yang Maha Mengetahui segala-galanya. (26) Katakanlah lagi: Tunjukkanlah kepadaku sifat-sifat ketuhanan yang ada pada makhluk-makhluk yang kamu hubungkan dengan Allah sebagai sekutu-sekutuNya. Tidak ada pada sesuatu makhluk pun sifat-sifat itu, bahkan yang mempunyai sifat-sifat ketuhanan ialah Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (27)

Perhatikan dalam ayat ke 24, walaupun telah jelas golongan musyrikin itu sesat, namun Allah tetap membuat andaian bahawa mereka mungkin berada di atas jalan petunjuk! “… sesungguhnya (tiap-tiap satu golongan), sama ada golongan kami ahli tauhid atau golongan kamu ahli syirik (tidak sunyi daripada salah satu dari dua keadaan): Keadaan tetapnya di atas hidayat petunjuk atau tenggelamnya dalam kesesatan yang jelas nyata.”

Itulah Allah mengajar kita bagaimana adab serta tujuan perbincangan dan perbahasan. Benar atau salah mesti berpaut kepada hujjah. Bukan di awal-awal lagi telah meletakkan hukuman, telah membuat keputusan bahawa pihak kita saja yang betul dan orang yang tidak sefahaman dengan kita selamanya salah. Justeru, pendapatnya mesti disekat dan dibenamkan habis-habisan.



No comments:

Post a Comment