Monday, December 03, 2018

Tadayyun Syakliy (beragama pada rupa)


Musibah yang menimpa kita ialah kita tidak pergi haji melainkan membawa balik tamar, air zamzam, biji-biji tasbih buatan China.
Musibah yang menimpa kita ialah kita tidak puasa melainkan dengan menikmati hidangan sambusa, roti pita dan jus asam jawa.
Musibah yang menimpa kita ialah kita tidak solat kecuali dengan menggerakkan anggota dan otot-otot yang memeberi faedah kepada sendi-sendi tetapi tidak berbekas pada hati.

Umar bin al-Khattab r.a. pernah bertanya para hadirin tentang seorang lelaki, adakah dalam kalangan mereka yang mengenali lelaki itu? Lalu seorang lelaki bangun menjawab: “Saya mengenalinya wahai Amirul Mu’minin!”
Maka berlakulah soal jawab antara Umar dengan lelaki itu:

U : Barangkali engkau jirannya? Kerana jiran merupakan orang yang paling mengetahui akhlak jirannya?
L : Tidak! Saya bukan jirannya.
U : Boleh jadi engkau sahabatnya dalam satu perjalanan? Kerana perjalanan yang jauh melondeh tabiat-tabiat manusia yang terpendam.
L : Tidak! Saya tidak pernah bermusafir dengannya.
U : Barangkali engkau berurus niaga dengannya dengan matawang dirham dan dinar? Kerana dirham dan dinar dapat membongkar logam-logam dari dalam diri seseorang.
L : Tidak! Saya tidak pernah berurus niaga dengannya.
U : Barangkali  engkau melihatnya di masjid menggerak-gerakkan kepalanya dalam keadaan berdiri dan duduk (mendirikan solat)?
L : Ya, betul!
U : Duduklah! Sesungguhnya engkau tidak mengenalinya.

Sesungguhnya Umar bin al-Khattab mengetahui bahawa seseorang itu boleh menanggalkan agamanya di pintu masjid, kemudian dia memakai kasutnya keluar ke persada dunia dalam keadaan lahap memakan harta orang itu dan merobek maruah orang ini.

Dia mengetahui bahawa kayu siwak kadang-kadang dapat membersih dan memutihkan gigi, tetapi gigi yang putih itu malapah daging saudara satu sama lain.

Dia mengetahui bahawa solat boleh menjadi satu penampilan yang amat menarik bagi si penipu dan haji boleh menjadi jubah kemasyarakatan yang dipandang tinggi bagi orang yang rendah akhlaknya.

Dia amat yakin bahawa tadayyun yang tidak membekas pada tingkah laku merupakan tadayyun yang kosong.

Indonesia tidak dibuka oleh orang-orang yang berperang dengan pedang-pedang mereka. Tetapi ia dibuka oleh para pedagang mulim dengan akhlak dan sifat amanah mereka.
Mereka tidak menjual barang dengan agama mereka. Lantaran itu manusia sangat kagum dengan mereka dan berkata: “Alangkah indahnya agama ini!”

Iman yang palsu lebih buruk daripada kufur yang terang jelas. Dan pada kedua-dua itu ada jahatnya.

Cara berhubung dan berinteraksi dengan orang lain adalah gambaran tadayyun yang betul.
Sekiranya manusia tidak dapat membezakan antara peniaga yang beragama dengan peniaga yang tidak beragama, maka apakah faedahnya beragama?
Apabila seorang isteri tidak dapat membezakan antara suami yang beragama dengan suami yang tidak beragama, maka apakah nilainya beragama itu?
Dan begitulah kiasan di sebaliknya.
Apabila kedua ibu bapa tidak dapat melihat perbezaan bakti anak yang beragama dengan anak yang tidak beragama, maka untuk apakah beragama?

Justeru, musibah kita ialah haji kita tidak lain daripada tamar, air zamzam, biji tasbih yang diperbuat di negeri China.
Musibah kita ialah puasa kita hanya sambusa, roti pita dan jus asam jawa.
Musibah kita ialah solat kita sekadar gerakan anggota yang bermanfaat buat sendi-sendi tidak bermanfaat kepada hati.

Manefestasi tadayyun adalah sesuatu yang dipuji. Dan kita memang berbangga dengan agama kita, luar dan dalam, bentuk dan kandungannya.
Tetapi yang mengaibkan adalah kita berpegang pada bentuk luaran, dan kita tinggal isi kandungan.

Sesungguhnya agama ini telah merobah pengembala-pengembala kambing menjadi pemimpin umat. Dia tidak mengubah bentuk luaran tetapi mengubah isi kandungan.
Abu Jahal memakai jubah dan serban yang sama bentuk dengan apa yang dipakai oleh Abu Bakar r.a.
Janggut Umayyah bin Khalaf sama panjang dengan janggut Abdullah bin Mas’ud r.a.
Pedang Utbah diperbuat daripada logam yang sama dengan pedang Khalid bin al-Walid.

Serupa bentuk luaran tetapi berbeza kandungan dalaman.

Adakah kita benar-benar faham apa yang dikehendaki oleh agama kita daripada kita?
Sesungguhnya agama menuntut kita ibadah dengan maksudnya yang menyeluruh, merangkumi semua perkara yang disukai Allah dan diredhaiNya sama ada perkataan, perbuatan, yang zahir dan yang batin.

Itulah Islam.

Ali bin Muhammad as-Sollabi


https://ar.islamway.net/article/61744/التدين-الشكلي

No comments:

Post a Comment